Thursday, April 26, 2012

Sinopsis Novel 'Rindu Di Kalbu - Durrah Fatiha'

Cetakan pertama novel Rindu Di Kalbu karya Durrah Fatiha ini adalah tahun 2006 ... aku beli novel ni pun tahun 2006 jugak ... suka membeli dan suka jugak membaca .. sampai tak tidur malam gara-gara nak menghabiskan 1 novel .. selagi tak habis hati tu rasa tak tenteram jek .. asik teringat jek apa kesudahannya .. hehe .. fanatik betul .. jom layan sinopsis  novel Rindu Di Kalbu ni ...

" Rindu akan menjadi bara selagi ia dipendam di dalam dada "

Sinopsis oleh : aznanie


Ain Syauqina masih mencintai Ammar Wajdi. Walau percintaan mereka telah terkubur kerana kelancangan tindakan Ammar Wajdi yang dirasakan telah mencabul rasa cintanya dengan perlakuan yang di larang agama. Sejak kejadian itu Ain Syauqina melarikan diri dari Ammar Wajdi. Tidak mahu meneruskan perhubungan mereka lagi. Segala panggilan telefon dan mesej dari Ammar Wajdi tidak di endahkan . Akhirnya, masing-masing membawa haluan .Namun di akui juga dirinya menyumbang kepada kejadian itu. Pakaian yang dipakainya pada malam itu terlalu seksi hingga menimbulkan keghairahan Ammar Wajdi yang sememangnya mempunyai perasaan kepadanya. Sejak itu Ain Syauqina menukar imej berpakaiannya. Kini dia lebih selesa mengenakan tudung dan berpakaian menutup aurat dan menjaga tata pergaulannya bersama lelaki.

Kehadiran Azad Hamdi sedikit pun tidak mengocakkan hatinya namun Azad Hamdi yang pandai mengambil hati ibunya sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Ain Syauqina mulai risau bila ibunya asyik memuji dan mengharapkan Azad Hamdi menjadi menantunya.

Kemunculan Ammar Wajdi dalam hidupnya bukanlah sesuatu yang mengembirakan hatinya. Dia lemas dengan pujukan Ammar Wajdi yang inginkan mereka kembali menyemai rasa. Lalu dibiarkan Ammar Wajdi ternanti-nanti jawapan darinya. Di saat hati mulai mengenang keindahan cinta silam, salah sangka datang menjenguk hatinya. Ain Syauqina merasakan Ammar Wajdi tidak jujur kepadanya apabila dia melihat dengan matanya Ammar Wajdi sering bersama dengan seorang gadis yang dikenalinya sebagai Mimi. Dan disebabkan faktor itulah juga dia menerima lamaran Azad Hamdi, iaitu adik Ammar Wajdi sendiri.

Kepulangan Ammar Wajdi disambut dengan berita pertunangan Azad dan Ain Syauqina. Hatinya membara dan bergelodak. Gadis kesayangan akan menjadi adik iparnya. Dia tidak dapat menerima kenyatan ini. Sakitnya hati dipermainkan Ain Syauqina.

Kebenaran terungkai kini namun agak terlewat. Siapa Mimi pada Ammar Wajdi menjadikan Ain Syauqina benar-benar kesal.Dirinya sudah menjadi tunangan Azad Hamdi, jejaka yang tidak dicintainya. Ingin kembali kepada Ammar Wajdi dia tidak punya kekuatan itu. Mahukan Ammar Wajdi memaafkan dirinya?

Setelah diketahui yang Ain Syauqina juga masih mencintainya, Ammar Wajdi nekad untuk merampas Ain Syauqina dari adiknya, Azad Hamdi. Tapi Ammar Wajdi tidak mahu keadaan menjadi kecoh kalau dia berterus terang sekarang. Jadi mereka meneruskan hubungan cinta mereka secara rahsia.

Bila Azad Hamdi seakan mendesak untuk mempercepatkan perkahwinan mereka, Ain Syauqina menjadi gelabah. Ammar Wajdi juga buntu untuk mencari jalan supaya pertunangan antara Azad dengan Ain Syauqina dapat diputuskan.

Akhirnya cinta rahsia mereka terbongkar jua. Azad Hamdi kecewa yang amat. Dia bertindak memutuskan pertunangannya. Ibu Azad Hamdi tidak dapat menerima sikap Ain Syauqina yang pada matanya memandang kebendaan. Padanya, Ain Syauqina mencintai Ammar Wajdi kerana harta. Ekoran kejadian itu Ain Syauqina melarikan diri ke Kedah. Bertemu keluarga sebelah ayahnya. Selepas ibunya meninggal dunia, Ain Syauqina mengmbil keputusan untuk menetap terus di sana memandangkan dia sudah bekerja di Resort milik Pak Su Zamani, iaitu adik bongsu arwah ayahnya.

Kebetulan yang tak disangka, Ammar Wajdi bertemu semula dengan Ain Syauqina. Dia berusaha memujuk Ain Syauqina kembali ke pangkuannya. Ternyata hati Ain Syauqina tak dapat dipujuk lagi. Hatinya terlalu parah dilukai keluarga lelaki itu.

Suatu kejadian tak disangka berlaku. Pak Su Zamani memaksa Ammar Wajdi mengahwini Ain Syauqina kerana mereka telah ditangkap duduk berduaan di dalam rumah Ain Syauqina. Ammar Wajdi bersetuju kerana dia amat mencintai Ain Syauqina. Ain Syauqina juga akhirnya bersetuju kerana memang dirinya masih mencintai Ammar Wajdi. Hanya sikit penentangan dari pihak ibu Ammar Wajdi.

Mereka disatukan dalam suasana yang meriah. Menyulam bahagia setelah puas dilanda derita. Namun, baru sahaja tunas-tunas bahagia mulai bercambah datang lagi dugaan melanda. Ibu Sofie iaitu gadis yang nyaris menjadi tunangan Ammar Wajdi datang membuat onar. Kepada ibu mertua Ain Syauqina dikhabarkan Ain Syauqina pernah meminta wang supaya dirinya tidak menganggu perhubungan antara Ammar Wajdi dengan Sofie. Untuk menguatkan kata-katanya, ditunjukkan bukti penyata bank yang menunjukkkan pengeluaran wang sebanyak Rm 50,000.00 dari akuannya. Ammar Wajdi yang pada mulanya tidak mempercayai perkara itu, mula termakan kata-kata ibunya. Dia nekad untuk melihat sejauh mana cinta isterinya itu. Adakah pada harta atau pada dirinya?

Ammar Wajdi sengaja memasukkan wang sebanyak Rm 50,000.00 ke dalam akuan Ain Syauqina. Tanpa disangkanya Ain Syauqina telah mengeluarkan wang sebanyak Rm 20,000.00 tanpa memberitahunya. Tak cukup dengan itu, Ain Syauqina menggunakan Rm 2,000.00 dari kad kredit yang diberikannya pada isterinya itu. Ammar Wajdi kecewa. Ain Syauqina yang disangkanya tidak memandang hartanya rupanya berperangai begitu.

Ammar Wajdi membawa Ain Syauqina ke suatu tempat di Port Dickson. Di situ Ammar Wajdi melepaskan rasa terbuku dihatinya. Bertambah geram bila Ain Syauqina tidak mahu berterus terang dengannya. Akhirnya dalam keadaan marah Ammar Wajdi terlepas mengucapkan lafaz yang tidak pernah terfikir olehnya. Lafaz yang membawa penyesalan pada dirinya.

Setelah diceraikan, Ain Syauqina membawa diri lagi. Kali ini dia berteduh dibawah lindungan abahnya, Hasyim. Kecewa dirinya bukan kepalang. Kerana janjinya pada Sarah untuk tidak memberitahu sesiapa akan hal dia meminjam duit kerana seorang lelaki yang dicintainya, rumahtangganya hancur berkecai.

Ammar Wajdi puas memujuk rayu Ain Syauqina untuk kembali semula bersamanya, namun tidak diendahkan. Tapi kerana masalah Sarah dia meminta pertolongan lelaki itu. Sarah yang melihat kebaikan Ain Syauqina berterus terang yang dia telah menggunakan cek yang Ain Syauqina beri padanya supaya memberikan kembali kepada Ibu Sofie. Terkedu Ain Syauqina mendengarnya. Tapi nak buat macam mana. Benda dah berlalu. Ain Syauqina bertekad untuk membayar kembali wang itu kepada Ibu Sofie. Padanya itu adalah maruahnya.

Kebenaran terungkai sudah. Ibu Ammar Wajdi berasa menyesal kerana menuduh Ain Syauqina yang bukan-bukan sedangkan wanita itu bukan begitu. Dia memujuk Ain Syauqina menerima kembali Ammar Wajdi memandangkan Ain Syauqina sedang mengandung. Akhirnya, mereka kembali bersatu. Berharap cinta mereka terus bersinar memayungi rumahtangga mereka tanpa dugaan yang mendatang. Tamat ...

Penulis : Durrah  Fatiha
Terbitan : Alaf 21
Point : 5/5

* Best novel ni ... banyak dugaan dalam perhubungan cinta Ain Syauqina dengan Ammar Wajdi ni ... suka .. sedih .. suka balik ..  sedih balik .. nasib baik ending tak sedih .. happy ending ... best ...
 
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...