Tuesday, May 09, 2006

Sinopsis Telemovie Toll Gate Girl


Tajuk : Toll Gate Girl
Pelakon : Amy Mastura sebagai Markonah
Rashid Salleh sebagai Johan
Rita Rudaini sebagai Milah
Markonah :
Seorang gadis yang datang dari kampung. Berkerja sebagai jurutol di lebuhraya. Berperwatakan menarik, kecil molek dan manja. Seorang gadis kampung yang naif, yang berkerja hanya untuk mencari rezeki untuk dirinya dan juga keluarganya, yang bersemangat untuk menyambut hari raya bersama keluarganya.
Johan : Seorang lelaki yang berjawatan tinggi. Agak berada. Memiliki kereta mewah. Ada Syarikat sendiri. Memiliki ego yang tinggi. Namun, jiwanya kosong. Tercari-cari matlamat hidup. Keseorangan tanpa keluarga. Hanya ditemani kawan sekerja dan bekas teman wanitanya. Tidak ada semangat untuk menyambut hari raya.

Sinopsis oleh : aznanie

Mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Markonah yang datang ke bandar KL untuk mencari kerja walaupun tanpa restu ibunya. Di sana dia berkerja sebagai jurutol di lebuh raya. Dia tinggal bersama Milah, yang sama kerja dengannya.

Markonah kalut mencari tiket bas untuk pulang beraya di kampungnya di utara tanahair. Tetapi nasibnya kurang baik apabila tiket bas sudah habis dijual. Terpaksalah dia mencari teksi untuk pulang ke kampungnya.

Dalam pada masa itu, Johan, iaitu seorang lelaki yang berkedudukan dan kaya yang kebetulan selalu melalui lebuh raya itu telah terpikat kepadanya. Dia telah mengirimkan sekeping kad ucapan hari raya kepada Markonah tapi tidak dilayan oleh Markonah.

Keesokkan harinya, Johan memberanikan diri mengajak Markonah berbuka puasa dengannya. Pada awalnya, Markonah tidak bercadang untuk bersetuju, namun dengan bantuan Milah, akhirnya berjaya juga Johan mengajaknya berbuka bersamanya.

Markonah tidak berapa menyenangi Johan kerana dia tidak mengenali Johan yang sebenarnya. Jadi, dia pun membuat helah supaya Johan berasa bosan dengannya. Tetapi malangnya, Johan bagaikan tidak mengerti apa yang cuba disampaikannya. Malah, Johan meminta nombor telefon untuk dihubungi. Dan, Markonah dengan lawaknya telah memberikan nombor telefon Saiful iaitu kawan lelaki yang berkerja bersamanya.

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung, tiba-tiba teksi yang disewanya rosak di tengah jalan. Markonah terpaksa menolak teksi itu ke tepi jalan. Dan dengan tidak disangka-sangka muncul Johan menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke kampung. Dengan perasaan ragu-ragu Markonah mengikutnya.

Di sepanjang jalan, mereka berbual-bual tentang diri masing-masing. Markonah lah yang banyak bercerita dan Johan hanya mendengar,cuma sesekali saja menyampuk. Sehingga lah terjadi satu pertengkaran kecil antara mereka. Dan Markonah terasa tersinggung dengan kata-kata Johan dan bertindak keluar dari kereta tersebut yang kebetulan sengaja diberhentikan semasa mereka bertengkar.

Setelah Johan berjaya memujuknya, mereka meneruskan perjalanan sehinggalah kereta Johan telah terlanggar seekor kucing. Mereka turun untuk mencari kucing tersebut. Dan semasa mereka hendak meneruskan perjalanan semula, kereta mewah milik Johan itu telah rosak. Jadi, mahu tidak mahu, mereka terpaksa bermalam didalam kereta.

Bila siang menjelma, Johan kagum melihat keindahan sawah padi yang terbentang luas di depannya. Dengan bantuan sebuah lori pengangkut padi, mereka meneruskan perjalanan ke kampung Markonah.

Di sana, Johan bertemu dengan keluarga Markonah yang terdiri daripada nenek, emak, mak sunya, puyah, adik perempuannya, Minah dan adik bongsu lelakinya, dik man.

Semasa mengikut Dik Man, pergi mengail ikan puyu, Johan telah jatuh ke dalam selut berlumpur. Johan tidak berjaya keluar dari situ. Dik Man meminta pertolongan daripada Markonah yang kebetulannya sedang berbual bersama abang Pian iaitu kawan sekampungnya yang menaruh hati kepadanya. Di situlah Johan bertemu dengan Pian. Dan Johan merasa sedikit cemburu apabila Minah menyatakan bahawa Pian menyukai Markonah.

Suasana menyambut hari raya yang sungguh meriah yang tak pernah Johan rasai sebelum ini. Dia berasa sungguh gembira dapat merasai semua ini. Sungguh mencabar baginya bila terpaksa mengejar ayam untuk di buat lauk untuk hidangan pagi raya, juga memasukkan pulut dalam batang buluh untuk dibuat lemang.

Dan setelah pasti dengan perasaannya, Johan telah meluahkan rasa hatinya kepada Markonah tetapi ditolak oleh Markonah dengan alasan dia belum bersedia untuk bercinta.

Johan kecewa dengan penolakan Markonah itu, maka dia pun mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur pada pagi hari raya. Mak su puyah yang menyedari akan perubahan Johan itu telah memarahi Markonah.

Dan di saat itu, Milah telah menghubungi Markonah untuk mengucapkan selamat hari raya. Dan Markonah memberitahunya yang Johan telah merajuk dan telah pulang ke KL. Milah telah memintanya mengejar Johan kalau mahu perhubungan mereka berkekalan. Dan Markonah telah bersetuju untuk mengejar Johan.

Dengan bantuan abang Pian, Markonah berjaya mengejar Johan. Dan dia bersetuju menerima cinta Johan. 'Detik mulanya hidupku ..... detik aku mengenalimu ....'
Pendapat aku:
Cite ni memnag best. Aku ada VCD dia. Berulang-ulang kali aku tengok. Tak jemu-jemu. Suka tengok Amy Mastura berlakon. Dengan lawak dia. Cara dia yang bersahaja. Cute sangat. Yang hero itu pun best. Dengan gaya cakap ala-ala mat salleh, memang jadilah watak Johan tu. Aku paling suka adegan yang kat sawah tu. Masa Johan terjatuh kat dalam selut lumpur tu. Memang meriah habis. Tak kering gusi dibuatnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...