Sambungan dari Part II
Sepanjang perjalanan menuju ke HKL, aku menangis lagi. Anakku yang pada mulanya sudah kelihatan riang kerana menyangkakan yang dia sudah dibenarkan pulang ke rumah, kembali sugul. Dia merajuk dengan ku. Sepanjang 3 jam perjalanan, dia hanya memejamkan matanya sahaja.
Suamiku mengikut dari belakang dengan kereta. Kerana tidak pernah pergi ke HKL, maka kami tidak tahu dimana terletaknya Institut Pediatrik.
Sesampainya di Institut Pediatrik, kami terus dibawa ke wad KK3 yang menempatkan pesakit kanser. Dan sememangnya kedatangan kami dinantikan.
Setelah anakku ditempatkan di bilik 7 iaitu bilik khas untuk pesakit baru dan kritikal, sekumpulan doktor dan seorang pakar telah datang menemui anakku dan memberitahu aku serta suami ku apa perancangan yang akan mereka lakukan untuk merawat anak ku.
Mengikut perancangan pakar kanak-kanak tersebut, anakku akan diberikan kemoterapi sebanyak 9 dos. 1 dos mempunyai 3 jenis kemo. Dan mengambil masa 1 bulan untuk memulakan dos yang seterusnya. Itupun kalau anak ku tidak demam dan darah stabil dan okay. Doktor pakar juga menyarankan agar anakku dibuatkan 'Central Venous Line' atau nama ringkasnya 'CVL' kerana mereka memerlukan satu line dimana memudahkan darah di ambil dan line tersebut tahan untuk tempoh yang lama. 'CVL' adalah satu tiub kecil yang disambungkan ke salur darah utama berhubung terus kepada jantung.
Pada 26.06.2004, anakku diberikan kemo dos 1. Selepas habis kemo tersebut, anakku terus mengalami demam. Jadi doktor tidak dapat membuat CVL seperti yang dirancangkan. Anakku diberikan antibiotik. Namun demam tidak kebah-kebah juga.
Dalam pada itu, anakku sudah mengalami kesukaran untuk membuang air besar kerana ketumbuhan itu telah menekan usus besarnya. Mengakibatkan perutnya mula membesar. Anakku sudah mula muntah-muntah. Memuntahkan sejenis cairan hijau iaitu menurut doktor itu adalah air dari hempedunya.
Melihatkan keadaan itu, pakar membuat keputusan untuk mengeluarkan sedikit usus besar yang dikenali sebagai 'Stoma' bagi membolehkan najis anakku keluar. Jadi, kes anakku dirujuk pula oleh sekumpulan pakar bedah kanak-kanak yang diketuai oleh Dato' Zakaria.
Sebelum anakku dibedah, doktor telah memberikan kemo dos 2 kepada anakku iaitu pada tanggal 04.07.2004.
Pada tanggal 08.07.2004 anakku selamat di bedah. Walaupun pada masa itu anakku sedang demam tapi doktor terpaksa melakukan juga pembedahan tersebut.
Aku dan suamiku menunggu di luar dewan bedah dengan debaran di dada. Ini merupakan kali kedua kami menunggu. Masih sama keadaannya. Masih bersarang kebimbangan dan keresahan di fikiran.
Setelah keluar dari dewan bedah, anakku masih tidak sedarkan diri lagi kesan dari ubat tidur yang diberi sebelum pembedahan. Doktor menerangkan bahawa stoma yang terdapat pada anakku akan hanya dimasukkan kembali apabila sudah ada laluan untuk najis keluar seperti sedia kala. Mereka juga telah membuat 'CVL' pada anakku.
Bersambung .....
0 comments:
Post a Comment