Monday, May 15, 2006

Kisah anakku dan aku - Part IV

Sambungan dari Part III

Setelah keluar dari dewan bedah, anakku ditempatkan di wad pembedahan yang dikenali dengan nama wad 'KK4'.

Apabila dia tersedar, dia terus merengek-rengek. Badannya panas. Dia demam lagi. Doktor memberi dia antibiotik 'anti fungus' untuk membunuh kulat yang terdapat dalam darahnya yang mengakibatkan anakku demam.

Akibat dari antibiotik dan kemo yang diberikan, rambut anakku mula gugur. Dan doktor menyarankan agar rambut anakku di cukur.

Setelah dua hari pembedahan ke atas anakku dilakukan, 'morphine' yang digunakan untuk menahan sakit anakku telah di hentikan. Masa itu lah anakku mula kegelisahan. Asyik merengek dan mengadu sakit.

Kerana rasa kurang selesa itulah yang menyebabkan anakku mengaru kesan belahan di perutnya dan menyebabkan parut luka itu bernanah.

Dan disebabkan perutnya mula membesar kembali maka belahan itu terbuka. Ngeri aku melihat keadaan itu. Doktor mengarahkan jururawat mencuci belahan yang terbuka itu 3 kali sehari supaya luka itu tidak dijangkiti kuman atau fungus.

Kesian aku melihat anakku setiap kali lukanya dicuci. Mukanya berkerut menahan kesakitan. Tapi anakku tidak menangis. Dia hanya menahan saja kesakitannya.

Aku diajar cara-cara menjaga 'Stoma' yang terdapat di sebelah kiri perut anakku. Bagaimana mahu menukar kantung stoma, mencuci stoma dan juga menyukat cairan yang keluar dari stoma itu. Kali pertama melakukannya, aku menangis. Bukan kerana susah melakukannya tapi aku tidak menyangka yang anakku akan menerima nasib yang sedemikian rupa. Selama ini aku hanya melihat penderitan orang lain. Tapi bila sendiri melaluinya, barulah ku tahu keperitannya.

Bersambung .....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...