Saturday, March 01, 2014

Sinopsis Episod Akhir Menjinak Ombak

Habis dah cite Menjinak Ombak yang ditayangkan kat tv3 setiap malam Jumaat, jam 9.00 malam ... sebenarnya tak follow setiap minggu ... ada gak yang tertinggal-tinggal ... hehe ... tapi episod akhir malam tadi tengok ... khusyuk menengoknya ... hahaha ... buleh la wat sinopsis episod akhir kannn ... hehe .. jom layan sinopsis episod akhir cite Menjinak Ombak ni ...

Slot Zehra : Menjinak Ombak
Episod Akhir

Sinopsis oleh : aznanie

Firhad menceritakan semua perilaku Ustaz Fatah pada Syakinah tetapi Syakinah tidak mempercayainya. Syakinah tidak percaya yang Ustaz Fatah sanggup membunuh Hanani, adiknya kandungnya sendiri.

Syakinah meminta kepastian dari ayahnya. Dan jawapan ayahnya sungguh mengejutkan Syakinah. Syakinah bergegas mencari Ashraf. Dia menceritakan perkara itu kepada Ashraf. Ashraf tidak tahu apa yang mahu dilakukan memandangkan mereka berdua tidak mempunyai bukti. Syakinah nekad mencari bukti dan mengheret Ustaz Fatah ke muka pengadilan. Dan tanpa mereka sedari, Ustaz Fatah menghendap dan mendengar perbualan mereka.

Malam itu, Ustaz Fatah keluar dengan alasan ada kuliah di surau tetapi sebenarnya dia ada agendanya tersendiri. Dia mahu menghapuskan orang yang akan membongkar perbuatan jahatnya dulu.

Rupanya ibu dan ayah Ustaz Fatah tahu kejadian sebenarnya. Tetapi mereka hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu anak mereka ditangkap dan membiarkan Firhad dituduh membunuh Hanani.

Ashraf keluar mahu berjumpa dengan kawannya tetapi dia tidak tahu yang Ustaz Fatah sudah menantinya. Ashraf terjatuh dengan kepala berlumuran darah akibat di hentak dengan kayu baseball. Dalam kesamaran dan kesakitan, Ashraf melihat Ustaz Fatah menghampirinya dan menusuk pisau ke lehernya.

Syakinah mahukan kepastian dari Ustaz Fatah. Dia mengajak Ustaz Fatah berjumpanya di hulu sungai. Syakinah mencari Ashraf. Dia mahu Ashraf menemaninya ke hulu sungai. Tetapi Ashraf tiada di rumahnya. Ibunya bimbang sesuatu terjadi kepada Ashraf dan mencarinya.

Firhad mencari Syakinah dan Ustaz Fatah di rumah Syakinah. Ayah Syakinah mengesyaki sesuatu dan bertanya adakah Firhad yang memberitahu Syakinah mengenai Hanani. Firhad berterus terang siapa dirinya. Ibu Syakinah yang terdengar kata-kata Firhad itu terus naik angin dan memarahi Firhad.

Kedatangan ibu dan ayah Ustaz Fatah menghangatkan lagi keadaan. Ayah Ustaz Fatah menumbuk Firhad dan memberitahu yang Firhad adalah pembunuh Hanani.

Firhad mempertahankan dirinya. Dia tahu yang ibu dan ayah Ustaz Fatah mengetahui perkara sebenarnya. Dan meminta supaya perkara itu didedahkan.

Syakinah meminta penjelasan Ustaz Fatah tentang pembunuh Hanani. Dia terkejut apabila Ustaz Fatah mengaku membunuh Hanani untuk menyelamatkan maruah keluarganya dan kesucian agama. Baginya orang yang melanggar dan mencemarkan kesucian agama memang patut dibunuh.

Ustaz Fatah mengajak Syakinah bersamanya menjaga kesucian agama. Syakinah mahu membuat laporan polis kerana dia ada merakam perbuatan mereka.

Ustaz Fatah mulai menunjukkan sikap sebenarnya. Dia mengeluarkan pisau dan berlari ke arah Syakinah. Kebetulan Firhad tiba di situ. Ustaz Fatah mendekati Syakinah dan menikam Syakinah. Firhad mendekati Ustaz Fatah dan berlaku pergelutan. Ustaz Fatah tewas bila kepalanya terhantuk ke batu. Firhad menerekam Syakinah yang terbaring berlumuran darah. Dia meminta Syakinah kuat semangat dan bertahan sehingga dia membawanya ke hospital.

Akhirnya Ustaz Fatah dijatuhi hukuman kerana membunuh Hanani dan Ashraf. Firhad dan Syakinah akhirnya bersama dan hidup bahagia. Tamat ...

Para pelakon:
Fezrul Khan sebagai Ustaz Fatah
Nur Risteena sebagai Syakinah
Talha Harith sebagai Ashraf
Syukri Yahya sebagai Firhad


Arahan : Along Kamaludin

* Best gak cite ni ... lain dari yang lain ... jalan cite menarik ... pelakon pun best-best ... hero cite ni sape ea ... ustaz Fatah ker??? kan dia tu jahat ... hero jahat hehe ... si Firhad kot .. tapi nama dia bukan yang atas sekali ... ingatkan si Ashraf tapi kena bunuh pulak ngan si ustaz sakit jiwa tu ... haha ... ingatkan Syakinah kawin ngan Ashraf ... dah Ashraf mati pulak ... sah-sah ler dapat ker Firhad ... apa pun buleh layan la ini cite ... best ... layan ...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...