Thursday, November 01, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 7'


Arang And The Magistrate
Episod 7

Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 6 ....

Gim Eun Oh terus-terusan mencari 8 keping mentera yang terpasang di situ. Dia yakin pasti mentera itu berkait dengan ketiadaan roh atau hantu di kawasan itu. Dia mencari sehingga tinggal 1 lagi mentera. Akhirnya dia terjumpa mentera itu tetapi kedudukannya yang berada di tepi gaung dan di atas pokok menyukarkan tugasnya. Gim Eun Oh berusaha untuk mencapainya juga.


Di atas sana, Jade Emperor, King Yama dan Mu Yeong setia melihat bola kaca itu. 1 mentera yang dapat di buka oleh Gim Eun Oh, 1 bahagian bola kaca itu retak. Sehinggalah keempat-empat bahagian bola kaca itu retak dan memecahkan sebahagian bola kaca itu. Jade Emperor mengarahkan Mu Yeong melihat di situ adakah masih ada jejak roh dan hantu yang hilang dari pengetahuan mereka. Jade Emperor memberitahu King Yama yang selepas ini pasti banyak tugasan yang menanti mereka. King Yama akhirnya mengakui yang Gim Eun Oh memang seorang yang boleh diharapkan.


Lee Bang dan 2 orang rakannya, melihat Gim Eun Oh sedang memanjat pokok untuk mengambil mentera itu. Mereka merancang untuk menolak Gim Eun Oh ke bawah gaung. Lee Bang menghampiri Gim Eun Oh. Dia memejamkan matanya dan mendepakan tangannya untuk menolak Gim Eun Oh. Setelah Gim Eun Oh dapat mencapai kain mentera itu, kakinya tersalah pijak dan Gim Eun Oh terjatuh ke bawah gaung. Kawan-kawan Lee Bang mendapatkannya apabila melihat Gim Eun Oh sudah terjatuh ke dalam gaung itu. Lee Bang berkata dia tidak menolak Gim Eun Oh tetapi kawan-kawan tidak mahu mendengar kata-katanya itu. Tiba-tiba dia terdengar suara Arang memanggil nama Gim Eun Oh. Mereka bertiga melarikan diri dari situ.


Mu Yeong melihat ke bawah gaung tempat Gim Eun Oh terjatuh tetapi dia tidak berbuat apa-apa. Dia tidak boleh mencampuri urusan manusia. Arang tiba di tempat itu tetapi tidak melihat kelibat Gim Eun Oh. Sewaktu dia berpaling, dia melihat Mu Yeong berdiri di belakangnya. Dia memarahi Mu Yeong kerana sangkanya Mu Yeong masih mengekori dirinya tetapi Mu Yeong berlalu tanpa berkata sepatah pun kepada Arang. Mu Yeong mendekati lubang itu dan melihat kain mentera yang tersusun di hadapannya. Arang meninggalkan Mu Yeong dan mencari Gim Eun Oh. Mu Yeong memegang kain mentera itu. Tiba-tiba dia seakan dapat merasakan yang itu adalah perbuatan adiknya, Mu Yeon. Arang tiba di tempat Gim Eun Oh jatuh. Melihat sekali imbas di situ. Kemudian dia seperti melihat sesuatu di bawah gaung itu. Dia mendekati untuk melihat dengan lebih jelas.

Lady tahu yang tempat yang dikawal olehnya itu telah di cerobohi. Dia sangat marah dan kebetulan Ju Wal masuk dan berjumpa dengannya.Dia menyalahkan Ju Wal di atas segala yang terjadi. Ju Wal ketakutan dan mengatakan yang dia memang sudah membunuh gadis itu dan tidak tahu bagaimana gadis itu boleh hidup semula. Lady terkejut dengan kata-kata Ju Wal itu. Dia dapat merasakan yang Jade Emperor sedang merancang sesuatu.

Arang melihat Gim Eun Oh terbaring di bawah gaung. Dia menjerit memanggil nama Gim Eun Oh tapi tiada jawapan. Arang pergi balik ke kawasan lubang itu untuk mengambil tali. Dia meminta pertolongan Mu Yeong tetapi Mu Yeong tidak menendahkannya dan terus hilang dari pandangannya. Arang mengikat tali itu kepada pokok dan dia turun ke bawah. Tetapi malang apabila dia nyaris-nyaris terjatuh ke bawah gaung yang berair. Mujur Gim Eun Oh sempat menarik tangannya. Arang bertanya apa yang mereka harus lakukan. Gim Eun Oh mahu tidur sebentar kerana dia terasa sangat letih. Arang mulai ketakutan sekiranya Gim Eun Oh tidur dikhuatiri Gim Eun Oh tidak akan sedar. Arang terlihat seperti ada pintu masuk di celah tebing itu.


Arang mengheret Gim Eun Oh masuk ke dalam gua. Sekuat tenaganya dia  menheret Gim Eun Oh masuk ke dalam gua itu. Apabila tiba di dalam gua, Arang melihat Gim Eun Oh kesejukkan. Dia tidak mempunyai bahan untuk membuat unggun api, jadi dia memeluk Gim Eun Oh supaya Gim Eun Oh merasa hangat dari tubuhnya. Gim Eun Oh memberitahunya yang tubuhnya tidak ada kehangatan. Arang terkejut dengan kata-kata Gim Eun Oh. Dia mahu bertanya lanjut tetapi Gim Eun Oh pura-pura tidur. Arang meninggalkan Gim Eun Oh untuk mencari bahan untuk membuat unggun api. Dia berjalan jauh ke dalam gua itu tetapi tidak bertemu apa-apa.


Arang buntu memikirkan cara untuk mendapatkan bantuan. Tiba-tiba dia terpandang seseorang berjalan menghampirinya. Lelaki itu bertanya kepada Arang apa yang dibuatnya di dalam gua itu. Dia menerangkan yang dia adalah seorang pencari ubatan yang berteduh kerana hari hujan.

Arang membawa pencari ubat itu bertemu dengan Gim Eun Oh. Lelaki itu melihat keadaan Gim Eun Oh yang cedera parah. Arang bertanya samada lelaki itu ada membawa alat untuk membuat unggun api. Lelaki itu menerangkan yang dia sentiasa membawa bahan itu kerana dia tidak suka makan hati mentah. Arang terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia bertanya lelaki itu manusia atau apa. Lelaki itu menjawab dia sendiri tidak tahu apakah dia. Dia meminta Arang memberikan hati kepadanya. Arang ketakutan apabila lelaki itu memegang dan mahu memakan hatinya.

Tiba-tiba lelaki itu dipukul dari belakang. Arang melihat Gim Eun Oh yang memukul lelaki itu dengan kayu. Gim Eun Oh terus membelasah lelaki itu dan menyuruh Arang melarikan diri. Arang tidak mahu. Dia terus memapah Gim Eun Oh pergi dari situ. Tiba-tiba lelaki tadi bangun dan menumbuk Gim Eun Oh sehingga Gim Eun Oh cedera dan tidak bermaya lagi. Arang menarik lelaki itu dari terus membelasah Gim Eun Oh.


Tetapi Arang pula yang ditangkap oleh lelaki itu. Dia cuba menarik hati Arang keluar dari tubuhnya tetapi tangannya tidak dapat menembusi tubuh Arang. Dia kehairanan melihat kejadian itu. Dia melihat Arang seperti manusia tetapi Arang bukan manusia ataupun hantu. Arang mengambil kesempatan itu menanduk kepala lelaki itu sehingga lelaki itu terjatuh ke tanah. Arang menegaskan yang dia adalah manusia. Lelaki itu tidak percaya dan menyatakan yang Arang tidak punyai hati. Sebenarnya dengan keadaan Arang yang sebegini Arang akan menghadapi masalah besar di kemudian hari.

Kemunculan Mu Yeong mengejutkan lelaki itu. Dia tidak percaya yang Mu Yeong boleh sampai ke kawasan itu. Mu Yeong mengeluarkan pedangnya dan menetak lelaki itu. Mu Yeong berkata yang itu adalah roh-roh manusia yang terkumpul menjadi satu di dalam badan yang menyerupai manusia. Mu Yeong tidak tahu berapa banyak lagi roh-roh yang sebegitu ada di situ. Selepas itu Mu Yeong menghilangkan dirinya sebelum sempat Arang bertanya kenapa roh itu mengugutnya.

Dol Soe mulai bimbang kerana Gim Eun Oh belum pulang. Hujan semakin lebat. Dia meminta ketiga-tiga pegawai kerajaan itu mencari Gim Eum Oh tetapi mereka bertiga memberi alasan hujan lebat dan akan mencari apabila hujan reda kelak. Do Soe tidak dapat bersabar dan keluar juga mencari Gim Eun Oh.

Mu Yeong bertemu dengan King Yama dan Jade Emperor. Dia memberitahu yang di kawasan yang di seal itu terdapat satu makhluk yang terhasil dari roh-roh yang terkumpul. Dia tidak pasti sekiranya ada lagi mahluk yang sebegitu tetapi dengan lebih berkuasa lagi. Jade Emperor hanya menganggukkan kepalanya. Mu Yeong beredar dari situ.

King Yama mengeluh sambil memandang Jade Emperor. King Yama bertanya bilakan manusia yang dilatih oleh Jade Emperor mahu menjadi kuat dan dapat menyelesaikan masalah itu. Jade Emperor berkata manusia dijadikan bersama kesakitan supaya mereka lebih berpengalaman. King Yama mengeluh kerana kuasa jahat di dunia manusia itu sudah berupaya mencipta mahluk jahat (demon) yang lain. Jade Emperor memandang dayang disebelahnya. Dia menenangkan King Yama dengan berkata mereka masih ada Arang sebagai senjata terakhir mereka.


Arang membuat unggun api di sebelah Gim Eun Oh. Dia membebel seorang diri. Dia berkata dia lebih rela di hantar ke neraka daripada menjadi demon yang makan hati manusia. Kemudian dia membetulkan ayatnya dengan dia tidak mahu pergi ke neraka dan tidak mahu menjadi demon. Dia bertanya samada Gim Eun Oh mahu membantunya atau tidak. Gim Eun Oh meniyakannya. Gim Eun Oh berjanji selepas ini dia akan mencari bukti siapakah pembunuh Lee Seo Rim. Arang berasa lega dengan jawapan Gim Eun Oh itu. Kemudian dia bertanya lagi samada tunangan Lee Seo Rim menghadiri pengkebumian Lee Seo Rim atau tidak. Dia tidak dapat melihat dengan lebih lama di situ kerana Gim Eun Oh. Dia berasa kesal kerana tidak sempat bertemu dengan tunang Lee Seo Rim sebelum itu. Gim Eun Oh hanya mendiamkan diri dan berpura-pura tidur.

Apabila hari siang, Arang tersedar dari lenany. Dia mendapati Gim Eun Oh tiada di sisinya. Dia menjerit nama Gim Eun Oh. Rupanya Gim Eun Oh mencari jalan keluar. Tiada jalan keluar dari dalam gua itu. Hanya tempat mereka jatuh itu sahaja jalan keluar dari situ dengan memanjat tebing itu. Arang mengeluh kerana jalan hidup yang dilaluinya tiada yang menyenangkan. Semuanya banyak cabaran dan dugaan.

Gim Eun Oh terlihat seseorang menghulurkan tali kepadanya. Dia mendongak dan terlihat Dol Soe di atas. Dia menjerit memanggil Dol Soe. Dol Soe menyuruh Gim Eun Oh naik ke atas dengan tali itu. Gim Eun Oh memgambil tali itu dan mahu Arang naik dahulu ke tas tetapi Dol Soe menarik tali itu kembali. Dia tidak suka pada Arang dan tidak mahu Arang naik dahulu. Dia mahukan Gim Eun Oh yang naik dahulu. Akhirnya Gim Eun Oh bersetuju untuk naik ke atas dulu. Dol Soe mencampak tali dan Gim Eun Oh memanjat dan Dol Soe menarik tali yang dipegang Gim Eun Oh. Akhirnya Gim Eun Oh sampai ke atas dengan selamat.

Gim Eun Oh menolak Dol Soe ke tepi dan mengambil tali dan mencampakkannya ke bawah. Dia menyuruh Arang memanjat naik pula. Dol Soe berharap yang tali itu akan putus. Gim Eun Oh berkata kepada Arang sekiranya tali itu putus. Arang perlu pejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam dan fikirkan saat-saat indah dalam hidupnya. Bersabar kerana Arang pasti akan hidup semula. Arang memarahi Gim Eun Oh kerana berkata begitu. Tiba-tiba tali yang ditarik oleh Arang terputus dua. Arang terhumban ke bawah gaung. Tubuhnya terhempas pada batu dan tergolek masuk ke dalam air. Gim Eun Oh mahu pergi ke bawah melihat Arang tetapi dikala itu tubuhnya menjadi telalu lemah dan dia jatuh pengsan.


Jade Emperor bertanya kepada Mu Yeong adakah roh kepada tulang-tulang itu dapat di kesan. Mu Yeong berkata tiada roh yang berkeliaran di situ. Pasti roh-roh itu di simpan di tempat lain. Di ketika itu, tongkat yang dipegang oleh Mu Yeong mengeluarkan cahaya dan bergetar. King Yama menyuruh Mu Yeong pergi mendapatkan hantu-hantu yang membuat kacau di dunia manusia.

King Yama mulai naik angin dengan situasi itu. Jade Emperor menenangkannya kerana perasaan marah boleh menyebabkan muka King Yama cepat tua. King Yama menyalahkan Jade Emperor atas semua permasalahan yang berlaku itu. Salah Jade Emperor kerana tidak mahu mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Jade Emperor terlalu lembut hati sehingakan mewujudkan kekacauan di dunia manusia itu. Jade Emperor berasa hairan kerana sepatutnya mahluk jahat itu sudah tahu mengenai kewujudan Arang dan mulai bertindak ke atas Arang.


Lady sudah mulai mengetahui yang Arang itu memiliki tubuh yang abadi. Tubuh yang tidak boleh mati. Jadi dia mahukan tubuh Arang untuk dia terus hidup di dunia ini. Dia menyuruh Ju Wal merapati Arang. Selidik apa yang Arang mahukan. Ju Wal bertanya apa yang harus di lakukan pada Gim Eun Oh. Lady menyuruh Ju Wal membiarkan Gim Eun Oh hidup kerana Arang rapat dengan Gim Eun Oh. Dia mahukan Ju Wal mendapatkan kepercayaan Arang dan membawa Arang kepadanya dengan kerelaan hati Arang.

Lady masuk ke dalam tempat rahsianya di bawah tanah. Dia situ terdapat 2 biji tempayan bertutup. Dia mengusap tempayan itu dan tiba-tiba keluar asap hitam dan membentuk roh yang mengikut perintahnya. Dia mahukan roh-roh itu melindunginya kerana pagarnya sudah dibuka, pasti dia akan ditemui.Lady berasa gembira dengan berita yang baru diketahuinya. Selepas dia mendapat tubuh Arang, dia tidak perlu lagi tubuh manusia yang di rasuknya sekarang ini. Dia juga tidak perlukan si tua Lord Choe dan Ju Wal lagi.


Lord Choe semakin pulih. Orang suruhannya baru pulang dari menyiasat tentang Gim Eun Oh. Dia memberitahu yang Gim Eun Oh sememangnya anak Gim Eun Bul tetapi anak luar nikahnya dengan seorang hamba. Keluarga ibu Gim Eun Oh itu adalah pemberontak. Lord Choe berasa gembira dengan berita itu. Dia mahu menggugut Gim Eun Oh dengan maklumat itu. Dia mahu Gim Eun Oh tunduk dan mengikut arahannya.


Ju Wal bertemu dengan Lee Bang dan kawan-kawannya. Mereka menyatakan yang Gim Eun Oh dan Dol Soe telah mati. Mereka mahukan Ju Wal memberitahu kepada Lord Choe supaya tenang kerana mereka telah menguruskan segalanya. Sedang mereka berbual-bual, Dol Soe muncul dengan mengendong Gim Eun Oh. Dia menjerit supaya mereka memanggil doktor dan menyuruh seseorang pergi melihat Arang yang terjatuh ke dalam gaung itu. Ju Wal terkejut dengan berita itu dan bergegas ke sana.

Ju Wal mencari Arang. Akhirnya dia terjumpa Arang terbaring di tepi sebuah sungai. Dia memeriksa Arang dan mendapati Arang masih hidup. Dia melihat ke tempat Arang terjatuh. Dengan ketinggian begitu mustahil bagi manusia biasa boleh selamat sepertinya. Tiba-tiba Arang tersedar dan mendapati Ju Wal sedang memangkunya. Dia berasa hairan bagaimana Ju Wal boleh berada di situ. Ju Wal menyatakan yang dia kebetulan sahaja lalu di situ dan berjumpa dengan Arang di situ.

Arang bangun dan mulai berjalan tetapi keadaannya yang lemah tidak membolehkan dia berjalan dengan betul. Badannya terhuyung-hayang dan hampir jatuh. Ju Wal mengangkatnya dan meletakkannya di atas kudanya. Arang kehairanan dengan tindakan Ju Wal itu. Arang meminta Ju Wal menghantarnya ke pejabat Gim Eun Oh dan Arang tidak sedarkan diri selepas itu.


Gim Eun Oh tersedar dari lenanya. Dia membuka mata. Bersambung ....





Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Seo
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Lebih mendebarkan ... Lady tu dah tau yang Arang memiliki tubuh yang kekal abadi .... dia nak tubuh Arang pulak ... dia dah mulai bosan dengan tubuh manusia yang dirasuknya itu ... tubuh wanita yang dirasuknya tu dah semakin tua ... dia perlukan roh untuk memulihkan tenaganya ... sedangkan dia tidak mendapat roh pada bulan mengambang yang lalu kerana kesilapan Ju Wal memilih mangsanya ... Gim Eun Oh tu nampak cam tak pedulikan Arang tapi keperihatinan dia pada Arang melampau nampaknya ... sampai tengah sakit pun masih boleh menyelamatkan Arang lagi ... punya kuat semangat .. hehe ... geram jek dengan Dol Soe tu ... keadaan tengah kritikal pun masih nak marah-marah dengan Arang lagi ... siap doakan tali yang dipegang Arang tu putus ... hehe ... lawakkk ... ok ... lepas ni nak buat episod 8 pulak ... layannnn jek la eaaa ... 



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...