Sunday, November 25, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 19'


Arang And The Magistrate
Episod 19


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 18 ...

 Sedang Gim Eun Oh tercari-cari kelibat Arang, tiba-tiba dia dipanggil oleh hantu lelaki. Dia memberitahu yang dia ternampak Arang menuju ke dalam hutan. Dia cuba memanggil Arang tetapi Arang tidak menyahut panggilannya. Dia berkata yang Arang pergi ke sebuah gua yang mempunyai kuasa yang sama seperti di pondok di dalam hutan dahulu. Dia menunjukkan jalan kepada Gim Eun Oh. Gim Eun Oh mengikut hantu itu masuk ke dalam hutan.



Setibanya dia tempat itu, Gim Eun Oh terlihat kelibat Ju Wal sedang berlari ke arah gua itu. Gim Eun Oh juga turut berlari mendapatkan Ju Wal.

Sewaktu Arang masuk ke dalam gua itu, Mu Yeong memerhatikannya dari atas gua itu. Dia mengambil pisau yang diberikan Jade Emperor kepadanya. Dia sudah bersiap sedia andainya Mu Yeon keluar dari tubuh ibu Gim Eun Oh, dia akan menikam Mu Yeon.


 Mu Yeon melihat Arang. Dia bertanya sudahkah Arang bersedia. Dia tidak pernah memaksa sesiapa untuk tujuannya itu. Arang harus rela untuk memudahkan urusannya masuk ke dalam tubuh Arang nanti. Arang meminta Mu Yeong berjanji akan memulangkan ibu Gim Eun Oh kepada Gim Eun Oh sebagai balasannya. Mu Yeon mendekati Arang. Dia berkata itu sudah semestinya. Bukankah dia sudah berjanji begitu sejak awal pertemuan mereka lagi. Arang bertanya lagi, sekiranya Mu Yeon memasuki tubuhnya, adakah dia akan berpeluang untuk berjumpa dengan Gim Eun Oh lagi. Mu Yeon berkata dia tidak akan dapat bertemu dengan Gim Eun Oh. Dia bertanya tidakkah Arang menyesal dengan jawapannya itu. Tanpa sedar airmata Arang mengalir tetapi dia tekadkan hatinya untuk meneruskan juga niatnya itu.

Mu Yeon bersedia untuk memasuki tubuh Arang. Dia menyuruh Arang mengosongkan fikirannya dan hanya fokus pada apa yang dihajatkan sahaja. Arang faham dan menutup matanya. Mu Yeon meletakkan tangan di atas kepala Arang. Mu Yeong sudah sedia di muka pintu gua itu. Tiba-tiba Arang terdengar suara jeritan Ju Wal. Arang membuka matanya. Mu Yeon berasa marah dengan perbuatan Ju Wal itu.

Ju Wal menghampiri Arang. Dia berkata Arang tidak sepatutnya mempercayai kata-kata Mu Yeon kerana walaupun Arang memberikan tubuhnya kepada Mu Yeon, ibu Gim Eun Oh pasti tidak dapat diselamatkan. Arang memandang Mu Yeon. Mu Yeon begitu marah pada Ju Wal. Dia menolak Ju Wal dengan kuasanya dan menyebabkan Ju Wal terjatuh kesakitan.





Arang memandang ke arah Ju Wal yang mengerang kesakitan itu. Mu Yeon berkata adakah Arang mempercayai kata-kata Ju Wal itu. Ju Wal hanya mahu menarik perhatian Arang sahaja kerana dia cintakan Arang. Mu Yeon seakan mendesak Arang supaya mempercayai dirinya. Akhirnya, Arang meneruskan niatnya,. Mu Yeon berasa lega dan menyambung tugasnya semula.




Tubuh ibu Gim Eun Oh mengeluarkan asap hitam dan asap hitam itu menyelubungi diri Arang. Mu Yeong yang memerhatikan mereka, terus mendekati Mu Yeon. Dia mahu menikam Mu Yeon yang masih di dalam jasad ibu Gim Eun Oh. Gim Eun Oh juga sampai ke situ di ketika itu. Dia menjerit memanggil nama Arang. Dia mendekati mereka dan menumbuk Mu Yeong yang mahu menikam ibunya itu. Mu Yeon terjatuh ke tanah. Gim Eun Oh mengangkat Arang yang lemah tubuhnya. Gim Eun Oh membawa Arang keluar dari gua itu.




Mu Yeong mahu menikam Mu Yeon tetapi dia tidak dapat berbuat demikian. Pisaunya tidak dapat menembusi tubuh Mu Yeon kerana Mu Yeon masih di dalam tubuh ibu Gim Eun Oh. Mu Yeon menolak tangan Mu Yeong dan Mu Yeong terdorong ke belakang.





Mu Yeon bangun dan mahu mengejar Arang tetapi dia dihalang oleh Ju Wal. Mu Yeong sedar tiada apa yang dapat dilakukan olehnya. Dia menghilangkan dirinya dari situ. Ju Wal menghunus pisaunya ke arah Mu Yeon. Dia berkata dia akan menghapuskan Mu Yeon dahulu kemudian dia akan membunuh dirinya pula. Mu Yeon mulai naik angin dengan tindakan Ju Wal itu.



Tetapi belum sempat Mu Yeon berbuat apa-apa,  tiba-tiba Mu Yeon mengerang kesakitan. Mu Yeon memegang dadanya. Seakan kesakitan itu datangnya dari arah jantungnya. Ju Wal terpaku melihat keadaan itu. Kemudian dia mendengar Mu Yeon memanggilnya tuan muda dan selepas itu Mu Yeon jatuh dan tidak sedarkan diri.


Gim Eun Oh meletakkan Arang di sebatang pokok. Dia mengejutkan Arang. Apabila Arang telah sedar, dia memarahi Arang. Dia berkata dia akan mencari jalan untuk menyelamatkan ibunya dan dia juga akan menghantar Arang ke syurga. Dia nak Arang percaya kata-katanya. Arang menangis di dalam pelukan Gim Eun Oh. Dia berkata tak lama lagi dia akan hilang juga, tetapi Gim Eun Oh perlukan seorang ibu. Itu sahaja jalan yang terbaik untuk mereka. Sebenarnya, Arang juga tidak mahu pergi. Arang tidak mahu meninggalkan Gim Eun Oh sendirian. Arang menangis semahunya di dalam dakapan Gim Eun Oh.


Mu Yeong bertemu dengan Jade Emperor. Dia meminta maaf kerana gagal membunuh Mu Yeon. Jade Emperor bertanya samada Mu Yeong mahu menyelamatkan Mu Yeon atau mahu menghapuskannya. Kegagalannya menikam Mu Yeon hari ini adalah disebabkan Mu Yeong mahu menyelamatkannya. Mu Yeong berharap dengan membunuhnya, dia dapat menebus dosa Mu Yeon. Mu Yeong mahu menamatkan penderitaan Mu Yeon. Kegagalan Mu Yeong membunuh Mu Yeon juga adalah disebabkan Mu Yeong tidak dapat membuang perasaan kemanusiaan pada dirinya. Sebagai pengambil roh, Mu Yeong tidak seharusnya mempunyai perasaan yang sebegitu lagi. 


 Ju Wal membawa ibu Gim Eun Oh pulang ke rumahnya. Keadaannya sangat lemah. Ju Wal duduk menghadapnya. Bayangan kejadian sewaktu Lee Seo Rim mati berlegar-legar di fikirannya. Dia tidak sanggup menatap wajah ibu Gim Eun Oh lagi. Dia terduduk di dalam biliknya. Dia teringat saat-saat dia menikam Arang buat pertama kalinya. Dia sedar yang Arang itu adalah Lee Seo Rim. Dia menyalahkan dirinya kerana tidak perasankan wajah Lee Seo Rim. Dia juga teringat yang dia pernah meminta hati Arang untuk dia cintai. Juga dia pernah memberitahu Arang yang dia tidak pernah ada perasaan pada Lee Seo Rim. Barulah dia tahu kenapa Arang tidak menerima dirinya kerana Arang berasa kecewa dengan sikapnya pada Lee Seo Rim.


Arang tersedar dari tidurnya. Dia mendapati Gim Eun Oh tidur disebelahnya. Dia memerhatikan wajah Gim Eun Oh. Dia mahu menyentuh wajah itu tetapi dia tidak mahu membuat Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Arang hanya meletakkan tangannya ke atas telapak tangan Gim Eun Oh. Dia menyambung tidurnya semula. Gim Eun Oh membuka matanya dan mendapati tangan Arang di atas tangannya. Dia mempereratkan gengaman tangannya.


Gim Eun Oh keluar dari bilik Arang. Dia memandang ke arah bulan. Dia tahu masanya sudah tidak lama lagi. Dia tidak dapat berbuat apa-apa. Dia hanya berserah sahaja. Tiba-tiba dia merasakan kehadiran Mu Yeong. Dia menoleh dan mendapati Mu Yeong berada di belakangnya. Mu Yeong memberitahunya yang matlamat mereka adalah sama. Gim Eun Oh berkata jikalau Mu Yeong mahu mempergunakan Arang lagi, dia tidak bersetuju dengan rancangannya itu. Mu Yeong berkata dia mahu menghapuskan Mu Yeon dan menyelamatkan ibu Gim Eun Oh. Gim Eun Oh bertanya sekiranya dia dapat mengeluarkan Mu Yeon dari tubuh ibunya, adakah ibunya akan selamat. Mu Yeong berkata walau bagaimana pun caranya, ibu Gim Eun Oh tidak dapat diselamatkan. Belum sempat Gim Eun Oh bertanya lebih lanjut, Mu Yeong sudah menghilangkan dirinya.


Arang pergi ke pusara Lee Seo Rim. Dia mahu Lee Seo Rim tahu apa yang dibuatnya adalah di atas kemahuannya sendiri. Dia tidak menyesal mengetahui kebenaran di sebalik kematiannya. Dia tahu di mana dia mendapat keberanian untuk mempertahankan orang yang dicintainya. Dia tahu yang Lee Seo Rim juga akan melakukan perkara yang sama dengannya. 


Ju Wal pergi ke pusara Lee Seo Rim. Dia ternampak Arang di situ. Dia terkejut dan mahu melarikan diri tetapi dia membatalkan niatnya. Dia kembali mendekati Arang. Arang terkejut melihat kedatangan Ju Wal. Dia bertanya samada Ju Wal sudah sihat atau belum. Ju Wal berkata ada seorang lelaki bodoh dan seorang gadis yang mana lelaki bodoh itu tidak memandang langsung pada gadis itu tetapi gadis itu sangat menyintai lelaki bodoh itu. Lelaki bodoh itu tidak mengetahui langsung akan perasaan gadis itu terhadapnya. Tetapi untuk menyelamatkan lelaki bodoh itu, gadis itu mati. Gadis itu sanggup korbankan dirinya hanya untuk menyelamatkan lelaki bodoh yang tidak berperikemanusiaan itu. Kemudian, gadis itu dihidupkan semula, tetapi lelaki bodoh itu tidak dapat mengenali rupa gadis itu. Ju Wal terduduk sambil menangis. Dia meminta maaf tetapi dia tidak mahu Arang memaafkannya. Arang sedih melihat keadaan Ju Wal itu. Dia memegang lengan Ju Wal dengan harapan dengan cara itu dapat menenangkan perasaan Ju Wal.


Sewaktu Ju Wal sampai di rumahnya, dia melihat ibu Gim Eun Oh duduk di luar rumahnya. Keadaan ibu Gim Eun Oh sangat lemah. Ju Wal membantu ibu Gim Eun Oh masuk ke dalam rumah. Setelah membaringkan ibu Gim Eun Oh, dia bertanya mengenai Mu Yeon. Ibu Gim Eun Oh berkata disebabkan keadaan Mu Yeon terlalu lemah, maka dia mendapat semula tubuhnya. Dia meminta Ju Wal melakukan sesuatu untuknya. Dia mahu Ju Wal memberitahu Gim Eun Oh yang ibunya mahu meminta maaf kerana selama ini ibunya tidak berpeluang untuk melakukan sesuatu untuknya. Ibunya terlalu sibuk untuk membalas dendam.


Ju Wal berjumpa dengan Gim Eun Oh. Dia berkata yang ibu Gim Eun Oh sudah sedar. Ju Wal mahu Gim Eun Oh berjumpa dengan ibunya sebelum tenaga Mu Yeon pulih dan kembali semula menguasai tubuh ibunya. Gim Eun Oh tidak percaya kata-kata Ju Wal itu. Dia meminta Ju Wal mengemukakan bukti di atas kata-katanya itu.


Dalam tidak percaya, Gim Eun Oh mengikut juga Ju Wal ke rumahnya untuk bertemu dengan ibunya. Ju Wal membiarkan Gim Eun Oh berbicara sendirian bersama ibunya. Pada mulanya, Gim Eun Oh tidak mempercayai wanita di hadapannya itu adalah ibunya tetapi setelah berbicara dengan lebih lanjut barulah Gim Eun Oh percaya. Ibunya mengatakan kekesalannya kerana terlalu mengikut kata hatinya. Kerana dendam yang membara, dia lupa pada anaknya. Dia mahu Gim Eun Oh memaafkan dirinya kerana meninggalkannya. Dia sebenarnya tidak mahu Gim Eun Oh membesar sebagai anak seorang hamba. Kerana itu dia menyerahkan Gim Eun Oh kepada ayahnya supaya Gim Eun Oh dapat penghormatan seperti ayahnya. Ibunya memberitahunya supaya menikam dirinya apabila Mu Yeon kembali menguasai dirinya. Dia mahu Gim Eun Oh membebaskan dirinya dari penderitaan yang dilaluinya sekarang.  Gim Eun Oh menangis apabila mendengar kata-kata ibunya itu.


Gim Eun Oh keluar dari bilik ibunya berbaring. Dia terlihat Ju Wal menantinya. Dia mengucapkan terima kasih kepada Ju Wal yang membantu dia mempertemukan dia dengan ibunya. Ju Wal berpesan supaya Gim Eun Oh tidak berputus asa dengan Arang. Dia juga bertanya kenapa Gim Eun Oh dapat memperolehi sesuatu yang paling dia mahukan. Gim Eun Oh hanya mendiamkan diri dan berlalu dari situ.


Ju Wal duduk keseorangan di luar rumah. Gim Seo Bang datang menegurnya. Dia memberitahu yang dia mahu meninggalkan Miryang. Dia bertanya adakah Ju Wal akan terus bersama Mu Yeon. Ju Wal hanya mendiamkan dirinya sahaja. Ju Wal bertanya adakah nama masa kecik Gim Seo Bang sama dengan namanya iaitu kulit dan tulang. Dia berkata walaupun dulu dia hidup susah, tiada keluarga dia lebih bersyukur kini kerana sekarang semuanya sudah jadi porak peranda. Dia rasa lebih suka jika dia tiada siapa-siapa. Tidak payah ikut telunjuk sesiapa. Gim Seo Bang menenangkan dirinya dengan berkata mungkin pertemuan Ju Wal dengan Mu Yeon sudah ditakdirkan dan ada kebaikannya juga. Gim Seo Bang membuat keputusan untuk terus tinggal di situ selagi Ju Wal masih ada di rumah itu.


Gim Eun Oh balik ke pejabatnya dalam keadaan yang tidak bermaya. Dia sedih kerana dia tidak menemui cara untuk menyelamatkan ibunya. Dia menyebut nama gurunya dan bertanya tiadakah cara untuk membantunya. Selepas itu dia tertidur dalam keadaan duduk sebegitu.


Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Dia mendapati dia berasa di tempat yang sungguh asing baginya. Sedang dia termanggu-manggu, datang 2 orang kanak-kanak memanggilnya ayah. Dia terkejut. Tiba-tiba dia melihat Arang masuk dengan membawa makanan. Mereka duduk mengelilingi meja itu. Dia bagai tidak percaya yang dia mempunyai 2 orang anak bersama Arang. Arang menyuruhnya mengambil ibunya di pejabat kerana ibunya berjumpa dengan Bang Ool di situ. Gim Eun Oh kehairanan mendengar nama ibunya di sebut.


Sepanjang perjalanannya ke pejabat Magistrate, dia melihat tiada sebarang perubahan pun di pekan Miryang itu. Setibanya dia di pejabat Magistrate, pengawal memberi hormat kepadanya seolah-olah mengenali dirinya. Gim Eun Oh melihat persekitaran pejabat Magistrate itu, tiada apa yang berubah pada pandanganya. Tiba-tiba dia ditegur oleh Dol Soe. Dia melihat Dol Soe berpakaian Magistrate. Dol Soe memberitahunya yang Gim Eun Oh yang memberikannya jawatan itu. Gim Eun Oh bertanya tentang ibunya. Dol Soe memberitahu yang Bang Ool akan membawanya apabila mereka selesai dengan urusan mereka. Dari jauh, Gim Eun Oh melihat Bang Ool memimpin tangan ibunya. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya itu. Ketiga-tiga pegawai Magistrate memberikan hadiah kepada ibu Gim Eun Oh kerana mengetahui yang hari itu adalah hari lahir ibu Gim Eun Oh.


Gim Eun Oh masih lagi kehairanan. Dia bagai tidak percaya yang dia berjalan bersama ibunya di ketika itu. Dia memerhatikan ibunya. Dia memanggil ibunya. Ibunya menoleh padanya dan mengerti perasaannya ketika itu. Gim Eun Oh memeluk ibunya dengan erat. Dia tidak mahu kehilangan ibunya lagi. Ibunya berpesan supaya dia mendengar dengan teliti pesanan dari gurunya. Tiba-tiba muncul seorang lelaki mengantikan tempat ibunya. Gim Eun Oh bertanya siapakah lelaki itu. Lelaki itu menjawap dia lah Jade Emperor dan dia juga adalah guru Gim Eun Oh dahulu. Gim Eun Oh bertanya tiadakah cara untuk menyelamatkan ibunya. Jade Emperor menyuruh Gim Eun Oh mengingatkan kembali apa yang pernah di beritahunya dahulu dan apa yang pernah diberikan dahulu kepadanya. Walaupun Gim Eun Oh tidak berupaya menyelamatkan ibunya sekurang-kurangnya Gim Eun Oh dapat menyelamatkan roh ibunya. Jade Emperor menyuruh Gim Eun Oh berfikir apa yang ibunya benar-benar mahukan. Selepas itu Jade Emperor menghilangkan diri. Gim Eun Oh berfikir apa yang benar-benar ibunya mahukan darinya. 


Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Rupanya apa yang dialaminya sebentar tadi hanyalah dalam mimpinya sahaja. Dia teringat kata-kata gurunya, gurunya menyuruh dia mengingati kembali apa yang pernah di tuturkan dan apa yang pernah diberikan kepadanya dahulu.

Mu Yeon telah kembali semula menguasai tubuh ibu Gim Eun Oh. Ju Wal yang memerhatikan nya menjadi takut. Dia takut jikalau Mu Yeon bertindak ke atas dirinya. Ju Wal menghindarkan dirinya dari situ.


Arang memberikan Gim Eun Oh cucuk sanggul milik ibunya itu. Gim Eun Oh teringat kata-kata gurunya sekiranya dia mahu memenangi hati ibunya berikannya cucuk sanggul itu. Barulah Gim Eun Oh faham apa yang dimaksudkan oleh gurunya dahulu. Gim Eun Oh menceritakan kepada Arang yang dia bertemu dengan gurunya di dalam mimpinya. Menurut gurunya, memang tiada cara lain untuk menyelamatkan ibunya. Tetapi mungkin dia dapat menyelamatkan roh ibunya. Menyelamatkan roh ibunya adalah jalan terbaik yang dapat difikirkan olehnya buat masa ini. Dan dia juga merasakan itulah yang dimahukan oleh ibunya. Dia yakin yang cucuk sanggul itu adalah senjata yang dapat membuatkan Mu Yeon keluar dari tubuh ibunya dan dapat menyelamatkan roh ibunya.


Mu Yeong menanti Gim Eun Oh di hadapan biliknya. Gim Eun Oh memberitahunya yang dia bersedia mengikut rancangan Mu Yeong. Dia akan mengeluarkan roh Mu Yeon dari tubuh ibunya dan Mu Yeon akan menjalankan tugasnya pula. Gim Eun Oh berpesan supaya Mu Yeong menghapuskan Mu Yeon tanpa melakukan sebarang kesilapan. Mu Yeong bersetuju dengan kata-kata Gim Eun Oh itu.


Setibanya Gim Eun Oh di hadapan biliknya, dia terkejut apabila mendapati Ju Wal menantinya di situ. Dia menghampiri Ju Wal. Ju Wal memberitahunya yang Mu Yeon telah kembali menguasai tubuh ibu Gim Eun Oh. Gim Eun Oh terkejut dengan berita itu walaupun sudah menjangkakanya.


Magistrate Gim Eun Oh telah bersiap-siap untuk menguruskan penghantaran Lord Choe ke Hanyang. Arang datang menemuinya dan terkejut apabila mendapati Gim Eun Oh sudah bersiap untuk keluar. Gim Eun Oh memberitahunya sebelum dia menguruskan tentang ibunya, dia perlu menguruskan hal Lord Choe dahulu.

Lord Choe di bawa ke Hanyang melalui pekan Miryang. Di sepanjang jalan, Lord Choe memaki hamun Geo Deol. Dia berkata yang Geo Deol banyak menyusahkannya. Dia mengarahkan Geo Deol mengikut arahannya apabila sampai di Hanyang nanti supaya memberitahu yang semua itu adalah rancangan Geo Deol. Geo Deol tidak mahu mengikut kata-kata Lord Choe. Geo Deol merancang untuk memberitahu raja semua mengenai kejahatan Lord Choe. Dengan harapan Raja akan bersimpati dan akan menbebaskannya. Lord Choe naik angin dan berkata siapa yang lebih dipandang oleh Raja. Samada dirinya kelas atasan atau Geo Deol hanya orang suruhannya sahaja.  Dia yakin yang dia akan dibebaskan dan Geo Deol akan dihukum pancung dan kepalany akan digantung di pekan Hanyang. Lord Choe berteriak kepada orang kampung, sekiranya tiba di Hanyang nanti, dan dia dibebaskan, dia pasti akan membalas setiap perbuatan penduduk kampung padanya.


Kanak-kanak yang pernah ditangkap oleh Lord Choe dulu ternampak Lord Choe di arak di dalam kurungan itu. Dia membaling batu ke arah Lord Choe dan batu itu terkena kepalanya. Lord Choe memarahi siapa yang membaling batu ke arahnya. Kanak-kanak itu menolak-nolak kayu kurungan Lord Choe. Penduduk kampung yang melihat keadaan itu, beramai-ramai mengoncang-goncangkan kayu kurungan Lord Choe itu. Sehingga kurungan itu terbuka dan mereka mengheret Lord Choe keluar dari kurungan itu. Lord Choe meronta-ronta dan terlepas dari pegangan penduduk kampung. Dia memaki hamun penduduk kampung yang melakukan dia begitu. Geo Deol yang melihat mengambil kesempatan untuk membunuh Lord Choe. Dia sudah tidak tahan dengan perangai Lord Choe yang selalu memarahi dan memandang rendah dirinya. Geo Deol menetak Lord Choe dengan menggunakan pedang. Akhirnya, Lord Choe mati di tengah-tengah pekan Miryang. Ju Wal yang menyaksikan kejadian itu terkejut. Bukan kerana Lord Choe itu adalah ayahnya, tetapi kerana Lord Choe melakukan perbuatan yang sama dengannya. Dia tahu orang seperti merek pasti akan menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka. Ju Wal mulai takut dengan apa yang bakal dihadapinya kemudian hari.







 Gim Eun Oh sudah bersiap untuk pergi ke rumah Ju Wal. Dia mahu menyelamatkan ibunya. Arang menjenguk Gim Eun Oh. Dia bertanyakah adakah Gim Eun Oh sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Gim Eun Oh meyakinkan Arang yang semuanya akan selamat dan Arang tidak perlu risaukan dirinya. Melihatkan Arang begitu berat hati untuk melepaskan dirinya, Gim Eun Oh memeluk Arang dan memberikan keyakinan kepada Arang.


Gim Eun Oh bertemu dengan Mu Yeong di hadapan pintu pagar di rumah Ju Wal. Kedatangan mereka berdua dapat dihidu oleh Mu Yeon. Gim Eun Oh menolak pintu pagar dan masuk ke dalamnya. Dia tidak tahu yang Arang mengekorinya dari belakang. Sewaktu Gim Eun Oh masuk ke dalam rumah, Arang baru sampai ke situ. Mu Yeon memandang Gim Eun Oh dan Mu Yeong dengan perasaan marah. Mu Yeong bersiap sedia dengan pisau pemberian Jade Emperor dan Gim Eun Oh juga bersedia dengan cucuk sanggul pemberian Jade Emperor juga.

Gim Eun Oh mahu menyerang Mu Yeon tetapi Mu Yeon sudah bersedia. Dia menolak Gim Eun Oh dengan kuasa yang dimilikinya hingga Gim Eun Oh terpelanting ke tanah. Arang menerpa Gim Eun Oh dan membantunya bangun. Gim Eun Oh terkejut dengan kedatangan Arang itu. Mu Yeong pula cuba menyerang Mu Yeon. Mu Yeon melakukan perkara yang sama kepada Mu Yeong tetapi Gim Eun Oh mengambil kesempatan dengan menyerang di bahagian tepi Mu Yeon. Cucuk sanggul itu tepat menuju ke arah jantung Mu Yeon tetapi dapat ditahan olehnya. Gim Eun Oh menolak cucuk sanggul itu dengn sepenuh tenaganya. Mu Yeon memancing perasaan Gim Eun Oh dengan memberitahu yang itu adalah ibunya. Gim Eun Oh menguatkan semangatnya dengan berkata yang dia mahu menyelamatkan ibunya. Gim Eun Oh menolak cucuk sanggul itu sehingga menembusi dada dan jantung ibunya.


Ibu Gim Eun Oh dan Mu Yeon mengerang kesakitan. Roh Mu Yeon akhirnya keluar dari tubuh ibu Gim Eun Oh. Ibu Gim Eun Oh terjatuh ke tanah dan tidak berdaya lagi.


 Gim Eun Oh  menerpa ke arah ibunya apabila melihat Mu Yeon telah tiada di dalam tubuh ibunya. Gim Eun Oh  menangis di sisi ibunya. Dia terlupa kepada Arang yang berada di situ. Dia hanya nampak ibunya sahaja. Dia masih berharap agar ibunya dapat diselamatkan.


Mu Yeon melihat ke arah Arang. Dia merasakan dia berpeluang menyelamatkan diri dengan memasuki tubuh Arang. Mu Yeon berlari mendapatkan Arang. Dia menolak Mu Yeong yang berada di hadapannya. Arang melihat Mu Yeon berlari kearahnya. Arang menjadi takut sekiranya Mu Yeon berjaya memasuki tubuhnya. Dia menjerit tidak sekuat hatinya. Bersambung ....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Soe
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Tinggal satu episod lagi ... lepas ni finale episod ... makin mendebarkan ... tak sabar nak tahu kesudahannya ... tak de cara lain melainkan menikam jantung ibunya untuk mengeluarkan roh Mu Yeon jahat tu ... sian kat Gim Eun Oh ... sekian lama mencari ibu dia .. dah jumpa ... kena bunuh ibu dia pulak ... calang-calang orang sanggup buat cam tu ... yang Arang pulak degil ... orang cakap jangan ikut .. ikut jugak ... haaaa ... dapat masuk ke tak si Mu Yeon jahat tu kat badan si Arang ... nantikan episod akan datang ... finale episod ... layanzzzzz ajerrrr ... hehe


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...