Saturday, November 24, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 17'


Arang And The Magistrate
Episod 17
Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 16 ...


Pertemuan di antara Arang dengan ibu Gim Eun Oh telah mengembalikan ingatannya. Dia melihat bagaimana Lee Seo Rim kehilangan nyawanya. Siapa yang menyebabkan dirinya begitu. Semuanya bagai terlayar kembali di ingatannya. Apabila Mu Yeon (makhluk yang berada di dalam diri ibu Gim Eun Oh) mahu memegang muka Arang, Gim Eun Oh sempat menyambar tangan ibunya itu. Ternyata perbuatan Gim Eun Oh itu menimbulkan kemarahan Mu Yeon. Tetapi dia tetap mahu memujuk Arang. Dia berkata dia menunggu kemunculan Arang setelah sekian lama. Gim Eun Oh terkejut dengan kata-kata Mu Yeon itu. Gim Eun Oh menyuruh Arang berdiri di belakangnya. Gim Eun Oh bersedia dengan kipas pemberian Jade Emperor di tangannya.

Mu Yeon melihat kipas itu. Dia tahu yang kipas itu adalah pemberian Jade Emperor. Gim Eun Oh menyuruh Mu Yeon meninggalkan tubuh ibunya. Mu Yeon mengejek Gim Eun Oh adakah dia melihat ibunya di dalam badan itu dan apakah yang akan Gim Eun Oh lakukan padanya. Gim Eun Oh berkata yang dia tahu di dalam badan itu masih ada roh ibunya. Dan dia sudah bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan ibunya. Mu Yeon mulai ketakutan melihat Gim Eun Oh begitu nekad untuk menghapuskan dirinya. Dia mengugut yang ibunya masih ada di dalam dirinya itu. Gim Eun Oh tidak peduli akan kata-kata Mu Yeon itu dan dia terus sahaja melibas kipas itu ke arah Mu Yeon.


Mu Yeon terkejut tetapi kemudian dia berasa lega kerana kipas pemberian Jade Emperor itu tidak berupaya menghapuskan dirinya. Gim Eun Oh juga terkejut dengan kejadian itu. Mu Yeon mentertawakan Gim Eun Oh kerana gagal menghapuskan dirinya. Dia berkata yang Gim Eun Oh tidak akan berjaya mendapatkan ibunya kembali melainkan Arang menyerahkan tubuhnya kepada Mu Yeon. Dengan itu Gim Eun Oh akan dapat kembali ibunya.


Gim Eun Oh naik angin dengan kata-kata Mu Yeon itu. Mu Yeon berkata sepatutnya Jade Emperor menyediakan sesuatu yang lebih baik jika mahu menghapuskan dirinya. Mu Yeon mengambil cucuk sanggulnya dan menikam Gim Eun Oh. Gim Eun Oh mengelak dengan menggunakan kipasnya. Kipasnya itu berlubang akibat di cucuk oleh Mu Yeon. Dan di kipas itu mengeluarkan asap hitam tanda simbol Jade Emperor itu telah di musnahkan oleh Mu Yeon. Mu Yeon mencuba lagi untuk menikam Gim Eun Oh, dengan tidak semena-mena Arang menerpa ke arah Gim Eun Oh dan tusukan itu mengenai tubuhnya. Gim Eun Oh terperanjat dengan perbuatan Arang itu. Mu Yeon menyuruh Gim Eun Oh membawa Arang balik dan berehat supaya Arang dapat pulih dengan cepat. Mu Yeon meninggalkan mereka berdua dengan ketawa gembiranya.


Gim Eun Oh membawa Arang pulang ke pejabatnya. Gim Eun Oh membaringkan Arang di dalam biliknya. Gim Eun Oh bertanya samada Arang masih kesakitan lagi. Arang hanya menidakkannya. Gim Eun Oh menyuruh Arang tidak memikirkan sangat apa yang dicakapkan oleh Mu Yeon tadi. Gim Eun Oh menyuruh Arang berehat sahaja. Tetapi Arang mahu memberitahu sesuatu pada Gim Eun Oh. Atas desakan Arang, Gim Eun Oh mendengar juga apa yang mahu Arang katakan padanya.


Arang mulai serba salah tetapi dia harus memberitahu berita itu kepada Gim Eun Oh. Arang memberitahu yang dia sudah mendapat ingatannya kembali dan dia tahu apa yang berlaku pada hari itu. Gim Eun Oh terkejut dengan berita itu. Dia bertanya adakah Arang tahu siapa yang membunuh dirinya. Arang mengiyakannya. Gim Eun Oh bertanya siapakah yang telah membunuhnya. Arang serba salah mahu memberitahu Gim Eun Oh.

Gim Eun Oh terus-terusan mendesaknya. Arang terpaksa memberitahu juga. Alangkah terkejutnya Gim Eun Oh apabila diberitahu yang ibunya telah menikam Arang sehingga dia mati. Gim Eun Oh tidak menyangka yang ibunya sanggup membunuh. Berbagai tanda tanya di benaknya. Akhirnya dia tinggalkan Arang di biliknya sendirian.


Ju Wal mulai teringat kembali ingatan yang telah dipadam dari ingatannya dulu. Dia tidak tahu kenapa semua ingatannya kembali semula padanya. Bayangan perbuatannya tatkala membunuh gadis-gadis yang diarahkan oleh Mu Yeon. Dia mulai berasa ketakutan. Sedang dia leka melayan perasaannya, tiba-tiba pembantunya, Gim Seo Bang masuk ke dalam biliknya membawa pesanan yang Mu Yeon mahu bertemu dengannya.


Arang pulih seperti sedia kala setelah berehat semalaman. Dia pergi ke bilik Lee Seo Rim. Dia kini sudah tahu siapakah yang menyebabkan kematiannya. Bagaimana cara kematiannya. Ibu Gim Eun Oh yang menikamnya tetapi ibu Gim Eun Oh tidak berniat untuk membunuhnya. Dia teringat kata-kata Jade Emperor seandainya dia dapat mencari siapa pembunuhnya, Jade Emperor akan membunyikan lonceng dan Arang akan tahu yang itulah jawapan pada soalannya. Arang terfikir adakah dia di hantar kembali ke dunia ini hanya untuk bertujuan itu sahaja.


Sedang dia asyik mengelamun sendirian, tiba-tiba dia mendengar suara Gim Eun Oh memanggil namanya. Dia bangun untuk mendapatkan Gim Eun Oh. Gim Eun Oh masuk ke dalam bilik Lee Seo Rim, hatinya lega bila terpandang Arang di situ. Gim Eun Oh memberitahu Arang yang bukan mudah baginya untuk berdepan dengan Arang di ketika itu. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Samada untuk meminta maaf dari Arang atas perbuatan ibunya yang telah menyebabkan kematian Arang, atau bersumpah untuk membalas dendam kepada pembunuh Arang dan menghantarnya ke syurga atau meminta Arang mengampunkan ibunya yang telah menyebabkan kematiannya. Arang tidak mahu mendengar Gim Eun Oh berkata begitu. Padanya, pasti ada sesuatu lagi yang belum di huraikan tentang kematiannya. Lagipun bulan mengambang belum pun tiba. Jade Emperor pasti tidak akan membiarkan dia menyelesaikan masalahnya dengan secepat itu. Arang mahukan Gim Eun Oh memberi tumpuan bagaimana cara untuk menyelamatkan ibunya. Gim Eun Oh terfikir yang di dalam ingatan Arang, Ju Wal bersama dengan ibu Gim Eun Oh pada masa kejadian itu berlaku. Jadi, Gim Eun Oh mahu berjumpa dengan Ju Wal untuk bertanya apa yang sebenarnya terjadi.


Gim Eun Oh pergi ke rumah Lord Choe untuk bertemu dengan Ju Wal. Sewaktu dia mahu masuk ke dalam kawasan rumah Lord Choe, dia terkejut apabila mendapati ada pegawal yang berkawal di pintu masuk. Lord Choe mempunyai pengawalnya sendiri di rumah itu.


Gim Eun Oh menyeludup masuk ke dalam bilik Ju Wal tetapi hampa apabila  mendapati Ju Wal tiada di biliknya. Gim Eun Oh memerhati sekeliling bilik Ju Wal dan dia tertarik dengan sekeping lukisan di atas meja Ju Wal. Dia mengambil lukisan itu dan melihatnya. Dia yakin itu adalah gambar Arang yang dilukis oleh Ju Wal. Dia mengambil lukisan itu dan memasukkannya ke dalam bajunya.


Sewaktu mahu keluar dari rumah Lord Choe, dia melihat begitu ramai pengawal yang berlegar-legar di kawasan rumah itu. Gim Eun Oh mengintip gerak-geri mereka. Tiba-tiba Gim Eun Oh melihat mereka membawa banyak senjata keluar dari sebuah stor. Gim Eun Oh masuk ke dalam stor itu sebalik sahaja pengawal-pengawal Lord Choe menghilangkan diri. Dia melihat begitu banyak senjata di dalam stor itu. Tahulah dia yang Lord Choe memiliki askar secara haram.


Sedang dia leka meninjau-ninjau keadaan di dalam stor itu, dia tidak perasan yang pengawal Lord Choe telah menutup pintu stor itu dan berkawal di luar pintu stor itu. Tiba-tiba senjata yang dipegangnya terjatuh ke lantai. Bunyi itu didengari oleh pegawal yang berkawal di luar pintu stor itu. Mereka masuk ke dalam stor dan memeriksa bunyi itu. Gim Eun Oh terdengar suara pengawal itu dan memyembunyikan dirinya. Tetapi malangnya pengawal itu telah ternampak Gim Eun Oh. Terjadi pergaduhan di antara mereka. Akibat dari itu Gim Eun Oh cedera parah di tusuk dengan lembing di lengannya. Tetapi Gim Eun Oh dapat melepaskan diri dari di tangkap oleh pengawal Lord Choe itu.


Arang berjumpa dengan Bang Ool di rumahnya. Arang menceritakan semuanya pada Bang Ool. Bang Ool terkejut dengan cerita Arang itu. Dia tidak menyangka yang ada makhluk jahat yang sanggup hidup dengan berpindah dari tubuh ke tubuh yang lain. Arang memberitahu yang dia melihat gadis yang sangat cantik di dalam tubuh ibu Gim Eun Oh. Dia bertanya adakah Bang Ool tahu cara untuk menarik gadis cantik itu keluar dari tubuh ibu Gim Eun Oh. Bang Ool berkata yang dia bukankah bomoh yang handal yang mempunyai kuasa hebat sebegitu. Arang menyuruh Bang Ool memanggil nenek moyangnya untuk dia bertanya tentang masalah itu. Bang Ool terkejut dengan kata-kata Arang itu. Dia menyatakan yang dia hanyalah seorang bomoh yang tidak mempunyai kuasa yang hebat untuk memanggil orang yang sudah mati. Arang memujuk Bang Ool mencubanya walaupun tahu ianya amat sukar.


Arang membawa Bang Ool naik ke atas bumbung rumah Bang Ool. Bang Ool naik dengan bersusah payahnya kerana dia tidak pernah naik ke atas bumbung seperti itu. Selepas itu dia menyuruh Arang, memegang baju yang dipakai oleh nenek moyangnya semasa hari kematiannya dan menyeru nama nenek moyangnya itu. Arang melakukan apa yang disuruh oleh Bang Ool. 3 kali Arang menyeru nenek moyang Bang Ool. Tiba-tiba langit menjadi mendung seperti mengundang sesuatu. Tetapi seketika sahaja. Selepas itu langit menjadi cerah semula. Arang dan Bang Ool berasakan yang mereka tidak berjaya memanggil nenek moyang Bang Ool bertemu mereka.

Tiba-tiba Arang mendengar suara seseorang menegur mereka di belakangnya. Dia berpaling dan terlihat seorang wanita berdiri di situ. Wanita itu menepuk Bang Ool yang masih tidak menyedari kehadirannya. Bang Ool berpaling dan melihat wanita itu. Dia bertanya siapakah gerangan wanita itu. Wanita itu berkata kenapa mereka memanggil dia datang ke situ. Bang Ool terkejut dan memanggil wanita itu sebagai moyangnya.


Arang dan Bang Ool duduk mengadap moyang Bang Ool. Moyang Bang Ool bertanya apakah tujuan mereka memanggil dirinya. Di sebabkan Bang Ool tidak dapat mendengar apa yang diperkatakan oleh moyangnya itu, dia bertanya kepada Arang apa yang diperkatakan oleh moyangnya itu. Belum sempat Arang menerangkan kepada Bang Ool, moyang Bang Ool menyambung kata-katanya. Moyang Bang Ool bertanya kenapa Arang memanggilnya ke situ. Arang bertanya bagaimana caranya untuk mengeluarkan roh orang lain dari tubuh orang yang ditumpanginya. Moyang Bang Ool melirik kepada Arang. Dia mengetahui yang di hadapanya itu adalah Arang. Dia berkata di dunia selepas kematian begitu banyak khabar angin mengenai dirinya. Sehingga ada yang bertaruh tentang nasibnya. Arang terkejut. Bang Ool bertanya apa yang diperkatakan oleh moyang nya itu. Belum sempat Arang menerangkan kepada Bang Ool, moyangnya bertanya kepada Arang adakah Arang merasakan yang dia akan pergi ke syurga. Moyang Bang Ool berkata syurga itu adalah suatu tempat yang sangat cantik. Tetapi jika Arang pergi ke syurga, Arang akan kehilangan sesuatu. Arang akan kehilangan semua ingatannya selama ini. Jika Arang tidak berjaya, dan di masukkan ke dalam neraka, rohnya akan dibakar sehingga tiada siapa mengingatinya lagi. Arang terdiam mendengar kata-kata moyang Bang Ool itu.


Bang Ool tidak puas hati. Dia mahu tahu apa yang dicakapkan oleh moyangnya. Dia mendesak Arang menerangkan kepadanya. Moyangnya menyuruh Bang Ool mendekatinya. Apabila Bang Ool datang dekat kepadanya, moyangnya menampar kepalanya sehingga Bang Ool terbaring ke tanah. Bang Ool memarahi moyangnya kerana melakukannya sebegitu rupa. Moyangnya berkata hanya itu sahaja caranya untuk membuatkan Bang Ool dapat mendengarnya. Bang Ool terkejut apabila mendapati yang dia sudah dapat mendengar suara moyangnya itu.


Moyang Bang Ool bertanya kembali kepada Arang, apakah soalan yang di tanyakan tadi kepadanya. Arang berkata yang dia mahu tahu adakah cara untuk mengeluarkan roh dari tubuh yang ditumpanginya. Moyang Bang Ool berkata yang dia tidak begitu mahir dalam hal yang begitu tetapi katanya jika roh yang empunya tubuh itu di letakkan sesuatu yang amat berharga dalam dirinya, roh yang menumpanginya akan keluar. Apabila roh itu sudah keluar dari tubuh yang ditumpanginya, barulah boleh di tikam dengan menggunakan pisau yang diberikan oleh Jade Emperor dan roh jahat itu akan dapat dihapuskan. Dia mahu Arang mengetahui apakah barang yang amat berharga pada ibu Gim Eun Oh. Selepas itu moyang Bang Ool meminta diri untuk beredar dari situ. Bang Ool sungguh terharu dengan pertolongan moyangnya itu.


Ju Wal berjumpa dengan Mu Yeon (makhluk yang menumpangi tubuh ibu Gim Eun Oh). Dia bertanya kenapa semua ingatannya yang telah dipadam dahulu muncul kembali. Mu Yeon memarahinya. Ini semua adalah kerana kesalahan Ju Wal sendiri. Kerana Ju Wal gagal mendapatkannya roh seperti yang diminta, kuasanya telah menjadi lemah. Hanya satu jalan penyelesaiannya. Mu Yeon perlu mendapatkan tubuh Arang untuknya kembali berkuasa dan Ju Wal tidak akan menderita dengan ingatannya sebagai seorang pembunuh. Mu Yeon menyuruh Ju Wal menghapuskan Magistrate Gim Eun Oh. Sejak berjumpa dengan Gim Eun Oh, roh wanita yang ditumpanginya itu asyik menolak rohnya keluar dari tubuhnya. Ini membuatkan tenaganya bertambah lemah kerana asyik berlawan dengan roh ibu Gim Eun Oh.


Arang menunggu kepulangan Gim Eun Oh. Dia tidak sabar untuk memberitahu Gim Eun Oh apa yang diperkatakan oleh moyang Bang Ool tadi. Gim Eun Oh melihat Arang duduk di hadapan biliknya. Dia memanggil Arang. Arang terkejut apabila melihat Gim Eun Oh cedera dan berlumuran darah. Dia mahu memanggil Dol Soe tetapi  Gim Eun Oh melarangnya kerana dia tidak mahu keadaan menjadi kecoh. Dia menyuruh Arang mencari sesuatu yang dapat membalut lukanya itu. Arang akur dan masuk ke dalam bilik Gim Eun Oh. Semasa mencari itu, Arang terjumpa dengan kipas yang selalu digunakan oleh Gim Eun Oh untuk berlawan dengan hantu. Dia teringat kata-kata Mu Yeon pada hari itu, Mu Yeon mahukan tubuhnya dan sebagai balasannya, Gim Eun Oh akan mendapat ibunya semula.

Seketika kemudian, Arang keluar bersama pembalut luka. Sewaktu Arang melihat luka itu, dia begitu ngeri dan buntu untuk melakukan apa-apa. Gim Eun Oh mahukan dia membalut luka itu dengan ketat. Arang menurut apa yang di arahkan oleh Gim Eun Oh.


Sewaktu Arang membalut luka di lengannya, Gim Eun Oh memerhatikan wajah Arang. Arang bertanya apakah yang difikirkan oleh Gim Eun Oh. Gim Eun Oh berkata apa yang terjadi kepadanya sekarang adalah kerana sikap pentingkan diri sendirinya dahulu. Ini adalah hukuman di atas perbuatannya dahulu. Baginya setiap orang ada kesusahan dan kesakitan masing-masing. Kenapa mesti orang lain menanggung dan merasai kesakitan mereka. Dia juga memarahi dirinya sendiri kerana dia berupaya melihat hantu. Dia mahu jadi seperti orang lain. Yang normal seperti orang lain. Tetapi setelah mengenali Arang, sikapnya mula berubah. Dia mula memahami kesakitan dan penderitaan yang di rasai oleh ibunya dan orang lain. Dia mulai sedar yang dia berkemampuan untuk menolong orang lain. Sebab itu dia amat berterima kasih dengan Arang kerana menyedarkan dirinya.

Arang menolak kata-kata Gim Eun Oh itu. Padanya dia yang tidak pernah berbuat apa-apa untuk Gim Eun Oh. Gim Eun Oh sudah terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Dia menolak cinta Gim Eun Oh bukanlah bererti dia tidak cintakan Gim Eun Oh tetapi dia tidak mahu meninggalkan Gim Eun Oh kesedihan apabila dia pergi kelak. Sebenarnya dia tidak tahu yang kenangan dan ingatan seseorang akan dapat membuatkan orang yang ditinggalkan merasai kewujudan dan kebahagian semasa mereka bersama. Arang melafazkan kata cintanya pada Gim Eun Oh buat pertama kalinya. Gim Eun Oh terpaku mendengarkannya. Selepas itu, Arang bergerak untuk meninggalkan Gim Eun Oh di situ. Tetapi belum sempat Arang melangkah jauh, Gim Eun Oh menarik tangan Arang sehingga mereka saling berpandangan. Gim Eun Oh memegang Arang dan mereka saling berkucupan.

 
Ju Wal teringat kata-kata Mu Yeon. Dia mahukan Arang untuk mendapatkan kekuasaan yang mutlak. Ju Wal nekad. Mu Yeon akan dapat Arang seperti yang dia mahukan dan Ju Wal akan menyuruh Mu Yeon memadamkan ingatannya tentang masa silamnya dan selepas itu dia akan menghapuskan Mu Yeon pula. Ju Wal membaling cincin pemberian Mu Yeon ke dinding. Cincin itu pecah berderai. Ju Wal menahan rasa marahnya pada Mu Yeon kerana menjadikan dirinya menderita seperti itu.


Arang memberitahu Gim Eun Oh apa yang diperkatakan oleh moyang Bang Ool kepadanya. Dan dia juga mahu bertemu dengan Ju Wal untuk bertanya apakah hubungan Ju Wal dengan Mu Yeon dan juga kenapa Ju Wal boleh berada di situ semasa kejadian yang menyebabkan kematiannya dulu. Gim Eun Oh melarang Arang berjumpa dengan Ju Wal tetapi Arang tetap berdegil juga.

Gim Eun Oh menceritakan kepada Dol Soe apa yang telah terjadi kepada ibunya. Dol Soe terkejut dan seakan tidak percaya. Gim Eun Oh mahukan Dol Soe pergi ke tempat persembunyian Mu Yeon dan menangkapnya dan membawa balik ke pejabatnya. Dol Soe menurut sahaja arahan Gim Eun Oh walaupun dia tidak berapa faham kejadian yang sebenarnya.


Dol Soe bersama para pengawalnya pergi ke tempat persembunyian Mu Yeon. Setibanya dia sana, Dol Soe menghampiri pondok itu dengan berhati-hati tetapi malangnya tiada sesiapa di situ. Dia terkejut dengan situasi itu sedangkan Gim Eun Oh berkata yang ibunya bersembunyi di situ.


Dol Soe memberitahu Gim Eun Oh tentang perkara itu. Gim Eun Oh juga terkejut dengan cerita Dol Soe itu. Dia percaya mesti ada orang yang telah membawa Mu Yeon bersembunyi di tempat lain.

Ju Wal membawa Mu Yeon ke sebuah gua. Dia berasa yang tempat itu lebih selamat dari di pondok itu kerana Gim Eun Oh sudah tahu akan tempat itu. Ju Wal meninggalkan Mu Yeon di situ buat sementara waktu kerana dia perlu mengambil barang-barang keperluan untuk kegunaan Mu Yeon nanti.


Setibanya Ju Wal di rumahnya, dia terkejut apabila melihat Arang berada di hadapan rumahnya. Dia memanggil Arang dan bertanya apa yang dibuatnya di situ. Arang mahu bertemu dengan nya dan mahu bertanya beberapa soalan kepadanya. Ju Wal membawa Arang ke suatu tempat yang tersorok. Arang bertanya apakah hubungannya dengan Mu Yeon. Bagaimana Mu Yeon boleh masuk ke dalam tubuh ibu Gim Eun Oh. Dia yakin yang Ju Wal tahu semua jawapan pada persoalannya itu.


Ju Wal memberitahu Arang yang Mu Yeon adalah pari-pari dari syurga. Dia meminjam tubuh manusia untuk membolehkannya hidup di dunia ini. Dia dapat memasuki tubuh manusia apabila pemilik tubuh itu sendiri yang membenarkannya. Dan sebagai ganjarannya, dia akan memenuhi apa sahaja yang di mahukan oleh pemilik tubuh itu.  Arang bertanya apakah yang ibu Gim Eun Oh mahukan. Ju Wal tidak tahu jawapannya.

Arang membuat keputusan untuk berjumpa dengan Mu Yeon. Dia mahu tahu apa yang diminta oleh ibu Gim Eun Oh sehinggakan dia rela menyerahkan tubuhnya kepada Mu Yeon. Ju Wal tidak bersetuju dengan permintaan Arang itu. Hatinya berat untuk membawa Arang bertemu dengan Mu Yeon. Dia tidak mahu Arang terpedaya dengan kata-kata Mu Yeon.

Gim Seo Bang memberitahu Lord Choe yang Magistrate Gim Eun Oh adalah orang yang telah mencederakan askar upahan. Lord Choe mula naik angin. Dia menyuruh Gim Seo Bang menyiapkan askarnya untuk melepaskan Geo Deol dari penjara di pejabat Magistrate.

Setelah Geo Deol berjaya di lepaskan, dia menghadap Lord Choe. Lord Choe berkata ini adalah kali terakhir dia menjaga Geo Deol dan menolongnya. Lord Choe menyuruhnya bersembunyi di suatu tempat dahulu untuk meredakan keadaan dahulu.


Dol Soe memberitahu Gim Eun Oh yang Geo Deol telah hilang dari kurungan mereka. Gim Eun Oh tahu pasti Lord Choe yang membuat angkara itu. Sedang mereka berbicara, tiba-tiba pegawainya menyuruh dirinya keluar dan melihat keadaan di luar pejabat Magistrate itu.

Sebaik sahaja keluar, Gim Eun Oh mendapati seorang penduduk kampung memberitahu yang anak lelakinya telah di ambil oleh askar Lord Choe kerana dia tidak membayar pinjamannya dengan jumlah yang sepatutnya. Lord Choe mahu menjual anak lelakinya dan dijadikan hamba. Dia meminta Magistrate Gim Eun Oh menyelamatkan anak lelakinya itu.


Magistrate Gim Eun Oh dan pengawal-pengawalnya mengejar askar upahan Lord Choe. Dia mahu mengambil semula budak lelaki yang diambil oleh Lord Choe itu.

Askar upahan Lord Choe membawa budak lelaki itu melalui pekan Miryang. Ibu kanak-kanak itu mencuba untuk menghalang askar upahan Lord Choe itu tetapi tidak berjaya. Dia telah dipukul dan ditolak sehingga terjatuh. Orang ramai hanya menyaksikan sahaja tanpa berbuat apa-apa kerana takut mereka juga akan di pukul dan ditangkap oleh askar-askar upahan Lord Choe itu.


Tiba-tiba ada orang kampung yang berani untuk membantu kanak-kanak itu. Tetapi dia dibelasah dengan teruknya dan seorang demi seorang penduduk kampung dibelasah oleh askar upahan Lord Choe itu. Kanak-kanak itu mengambil kesempatan untuk melepaskan diri dari situ. Kanak-kanak itu berlari dari situ. Askar-askar upahan Lord Choe mengejarnya. Kanak-kanak itu berlari ke arah Magistrate Gim Eun Oh yang menunggu di situ. 


Askar upahan Lord Choe meminta Magistrate Gim Eun Oh memberikan kanak-kanak itu kepada mereka. Mereka langsung tidak menghormati Gim Eun Oh selaku Magistrate di situ. Gim Eun Oh menyuruh Dol Soe menguruskan semua askar-askar upahan Lord Choe itu.


Keluarga lelaki itu berterima kasih kepada Magistrate Gim Eun Oh kerana menyelamatkan anak mereka dari di ambil oleh askar upahan Lord Choe. Mereka memberitahu yang perkara seumpama itu bukan pertama kali berlaku di pekan Miryang itu. Sudah ramai anak-anak penduduk kampung yang diambil oleh Lord Choe hanya kerana mereka tidak dapat membayar bunga kepada pinjaman mereka. Magistrate Gim Eun Oh terkejut mendengar kata-kata dari lelaki itu.


Dol Soe berkata menyelamatkan kanak-kanak itu bukanlah dapat menyelesaikan masalah mereka selagi hutang mereka tidak di lunaskan, maka Lord Choe masih berpeluang untuk menyeksa hidup mereka. Gim Eun Oh bersetuju dengan kata-kata Dol Soe itu. 

Lord Choe begitu marah apabila di beritahu oleh askar upahannya yang kanak-kanak itu telah di ambil oleh Magistrate Gim Eun Oh. Dia tidak menyangka yang Gim Eun Oh benar-benar mahu menjalankan tugas Magistrate di situ. Dia teringat kata-kata Lee Bang yang Gim Eun Oh telah mengupah pengawal di pejabatnya. Dia sudah merancang sesuatu untuk menghapuskan Gim Eun Oh. Dia hanya menunggu masa sahaja untuk bertindak. 


Magistrate Gim Eun Oh memanggi penduduk kampung datang ke pejabatnya. Dia memberikan mereka bantuan makanan dan menerima aduan tentang permasalahan mereka. Pegawai-pegawainya yang bertindak menyempurnakan arahan Magistrate itu.


Arang tidak berputus asa. Dia tetap mahu bertemu dengan Mu Yeon. Ju Wal akhirnya mengalah dan membawa Arang bertemu dengan Mu Yeon. Dia tidak menyangka yang Arang sanggup mengambil risiko yang begitu besar hanya kerana Magistrate Gim Eun Oh. Perasaan cemburunya tiba-tiba memuncak.

Magistrate Gim Eun Oh melihat Dol Soe ada kewibawaan sebagai pelindung untuk penduduk Miryang. Dol Soe berupaya melindungi mereka lebih dari dirinya. Jadi dia membuat keputusan untuk melantik Dol Soe sebagai ketua di pejabat Magistrate itu. Walaupun kedua-dua orang pegawai Magistrate itu tidak bersetuju tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu adalah keputusan dari Magistrate sendiri.


Dol Soe pergi ke rumah Bang Ool. Bang Ool terkejut apabila melihat Dol Soe berpakaian begitu. Dol Soe bercerita apa yang terjadi padanya. Dia menyuruh Bang Ool memanggilnya Chief Dol Soe tetapi Bang Ool tidak mahu. Dia sukakan Dol Soe yang lama. Dia tidak sukakan Dol Soe yang baru ini. Bang Ool mahu beredar dari situ tetapi Dol Soe menarik tangannya dan Bang Ool terdorong ke badan Dol Soe. Dol Soe terkejut dan bertanya kenapa Bang Ool berada di dalam dakapannya. Adakah Bang Ool memang suka berkeadaan begitu dengannya. Bang Ool menjadi keliru kerana sepatutnya dia yang menuturkan ayat yang sebegitu.

Setelah melepaskan diri dari pelukan Dol Soe,Bang Ool terpandang sekumpulan hantu sedang merenung ke arahnya. Dia terkejut dan kehairanan apa yang berlaku di situ. Dol Soe yang tidak nampak apa-apa turut memandang ke arah pandangan Bang Ool.


Mu Yeong melihat pisau pemberian Jade Emperor. Dia tahu yang dia tidak berupaya untuk memaksa Mu Yeon keluar dari tubuh ibu Gim Eun Oh. Dia harus meminta kerjasama dari Gim Eun Oh. Sedang dia leka melayan perasaannya, tiba-tiba King Yama datang menghampirinya. King Yama mahu Mu Yeong turun  ke dunia untuk menjalankan tugasnya seperti biasa. Tempoh percubaannya telah ditamat kan oleh Jade Emperor. Mu Yeong mahu membantah tetapi tiada upaya.


Hantu-hantu itu mahu memeluk Bang Ool. Bang Ool berlari di sekeliling Dol Soe. Dol Soe yang tidak nampak apa-apa kehairanan melihat tingkah laku Bang Ool itu. Bang Ool memberitahu yang ada hantu mahu menangkapnya. Dol Soe berkata yang mana ada sesiapa di situ. Tiba-tiba hantu itu memukul bahu Dol Soe dan Dol Soe jatuh pengsan. Bang Ool terkejut melihat keadaan Dol Soe. Dia mulai ketakutan. Tiba-tiba hantu-hantu itu terpandang Mu Yeong. Mu Yeong menangkap roh hantu itu. Bang Ool melihat ke arah Mu Yeong. Dia teringat, inilah penangkap roh yang di panggil Arang dahulu. Mu Yeong sempat memandang ke arahnya sebelum menghilangkan diri..


Dol Soe mengadu pada Gim Eun Oh apa yang terjadi kepadanya. Gim Eun Oh menyuruh Dol Soe berehat di dalam biliknya.

Setelah Dol Soe pergi, Gim Eun Oh mendapatkan Mu Yeong yang menanti Dol Soe keluar dari bilik Gim Eun Oh. Mu Yeong memberitahu yang makhluk di dalam badan ibu Gim Eun Oh itu adalah adiknya yang bernama Mu Yeon. Dia tidak dapat memaksa Mu Yeon keluar dari badan ibu Gim Eun Oh. Dia perlukan bantuan Gim Eun Oh. Gim Eun Oh bertanya bagaimana caranya. Adakah dengan mempergunakan Arang. Gim Eun Oh tidak bersetuju dengan cadangan Mu Yeong itu. Mu Yeong terkejut. Sangkanya Gim Eun Oh mahu menyelamatkan ibunya walau dengan cara apa sekali pun. Gim Eun Oh menyuruh Mu Yeong datang kembali dengan cadangan yang lebih baik dari cadangannya ini.


Mu Yeon bersedirian di dalam gua itu. Dia teringat perjalanan kehidupannya. Dahulu dia adalah seorang manusia yang mempunyai seorang kekasih. Mereka bercinta dengan sepenuh hati. Sehingga mereka dilahirkan semula tetapi sebagai adik beradik. Walaupun begitu, perasaan cintanya tetap ada untuk lelaki itu. Dia menyintai abangnya sendiri. Kemudian setelah menjadi pari-pari syurga, dan lelaki yang dicintainya itu menjadi pengambil nyawa, perasaan cinta itu tetap ada. Dia tidak suka tinggal di syurga kerana d situ mereka tidak boleh ada perasaan cinta, sayang atau memiliki. Dia mahu turun ke dunia manusia semula. Dia memujuk Mu Yeong supaya mengikutnya dan meminta Jade Emperor menjadikan mereka manusia semula. Tetapi Mu Yeong tidak mahu menurut kehendaknya. Mu Yeong hanya membiarkan dia menahan perasaannya keseorangan.


Ju Wal membawa Arang bertemu dengan Mu Yeon. Tetapi dia sempat berpesan agar Arang tidak terpengaruh dengan kata-kata Mu Yeon itu. Arang memandang Ju Wal seketika dan melangkah masuk ke dalam gua itu.


Pejabat Gim Eun Oh diserbu oleh pengawal pembesar lain. Ketua mereka memanggil Gim Eun Oh sebagai penjenayah dan mengarahkannya keluar dari pejabatnya. Setelah tiada balasan, dia menyuruh pengawalnya menarik Gim Eun Oh keluar dari biliknya.

Arang masuk ke dalam gua itu. Dia mulai berasa ketakutan tetapi dikuatkan semangatnya. Kini dia berdepan dengan Mu Yeon. Mu Yeon gembira melihat kedatangannya dan mengalu-alukan kedatangannya.


Magistrate Gim Eun Oh dan Dol Soe diheret oleh pengawal keluar dari biliknya. Gim Eun Oh meronta-rota untuk melepaskan dirinya. Dia bertanya siapakah mereka itu dan apa yang mereka mahukan. Bersambung ...




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Soe
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama

* Woooo ... dah nak habis episod ... lagi 3 episod habis la cite ni ... tak puas hati betul si Arang ni ... suka-suka hati dia jek nak gi memana ... dah tau si Mu Yeon tu memang dah lama nak badan dia .. eh .. macam makin bagi harapan kat Mu Yeon tu pulak ... geram aku ... buat tindakan tak fikir perasaan Magistrate langsung ... yang si Magistrate tu pulak beriya-iya tak nak Arang berjumpa atau jadi umpan Mu Yeon ... kecewa si Mu Yeong bila Gim Eun Oh tolak cadangan dia nak gunakan Arang untuk menyelamatkan adik dia si Mu Yeon tu ... Gim Eun Oh kena tangkap la pulak ... ni mesti kerja si Lord Choe ni ... kalau nak tau betul ke tidak ... nantikan sambungannya pada episod 18 nanti ... layanzzzza ....  

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...