Tuesday, November 05, 2013

Sinopsis Telemovie Istiqamah

Pagi tadi, masa bersantai ngan anak-anak depan tv .. tengok tv9 ... kebetulan telemovie Istiqamah ni sedang bersiaran ... telemovie sempena Maal Hijrah hari ini .... kisah yang berkisar tentang sebuah kehidupan sekeluarga yang diuji dan diduga oleh ALLAH  S.W.T ... diuji dengan kesakitan .... kesusahan hidup ... hasad dengki orang sekeliling ... dianiaya oleh saudara sendiri ... dan bermacam-macam dugaan lagi .... yang pasti dugaan itu adalah untuk menguatkan keimanan dan Istiqamah dalam diri .... jadi ... layan jek la yer sinopsis telemovie Istiqamah ni ...

Sinopsis oleh : aznanie

Suriati atau Ati terpaksa mengambil alih tugas suaminya, Budi menyara keluarga setelah Budi diserang sakit jantung dan mengakibatkan lumpuh seluruh badannya. Segala keperluan hariannya perlu di uruskan oleh Ati dan anak-anaknya iaitu Dewi dan Yana.

Kerana mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada suaminya, Ati berhenti kerja. Lagipun dia sedang sarat mengandung. Untuk menambah pendapatan mereka, Yana membantu ibunya menjual nasi lemak di sekolahnya.

Sikap Yana berbeza dengan kakaknya, Dewi. Dewi tidak suka menolong ibunya berjualan. Sikapnya yang pentingkan diri sendiri dan tidak pernah fikirkan perasaan orang lain. Dewi juga mencuri wang ibunya untuk kegunaannya sendiri sedangkan dia tahu kesusahan yang ditanggung oleh ibunya.

Ati menyewa rumah yang dihuninya sekarang. Rumah itu adalah kepunyaan sepupunya, Rina. Walapun bersaudara, Rina bukanlah seorang yang mempunyai belas kasihan dengan kesusahan yang dihadapi oleh Ati malah semakin membebankanya. Di tambah dengan hasutan dari Syukur, suaminya.

Syukur datang meminta wang sewaan sedangkan kebiasaannya Rina yang datang mengambilnya. Ati berpesan supaya memberikan wang itu kepada Rina kerana khuatir Rina akan datang lagi untuk memintanya. Benar sangkaan Ati. Rina datang meminta wang sewaan itu. Ati memberitahu yang Syukur sudah mengambilnya tetapi Rina tidak percaya kerana Syukur tidak pernah memberinya wang itu dan menuduh Ati sengaja membuat cerita kerana tidak mampu membayar sewa. Mahu tidak mahu Ati terpaksa membayarnya lagi.

Bulan berikutnya pun begitu jugak. Sehingga Ati benar-benar kehabisan wang dan terpaksa membenarkan Rina mengambil barangan berharga di rumahnya itu. Dewi mengamuk apabila mengetahui yang perkara itu. Dia menyalahkan ibunya kerana menyebabkan teleyisen kesukaannya itu diambil orang.

Budi berasa kasihan dengan isterinya tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Dia hanya mampu menyuruh isterinya itu bersabar dan sentiasa mengamalkan selawat dan beristiqamah.

Budi mulai nazak. Jirannya mencarikan kenderaan untuk membawanya ke hospital tetapi tidak sempat apabila Budi telah menghembuskan nafas terakhirnya di saksikan isteri dan anak-anaknya. Dewi mulai menyesali kenakalan dirinya. Dia meminta ampun dari ayahnya.

Setelah selesai urusan pengkebumian dan kenduri arwah, barulah Rina dan Syukur datang. Itupun kerana mahu meminta wang sewaan rumah. Apabila Ati memberitahu yang dia tiada wang, Syukur mengambil wang sedekah dari orang kampung untuk kegunaan Ati dan anak-anaknya itu tanpa rasa bersalah atau simpati.

Suatu hari Syukur datang ke rumahnya. Dia meminta wang sewaan pada malam itu dan jika Ati tiada wang dia harus pergi dari rumah itu. Ati dan anak-anaknya terpaksa meninggalkan rumah itu memandangkan dia memang tidak mempunyai wang pada masa itu. Syukur menyewakan rumah itu kepada orang lain tanpa pengetahuan Rina.

Ati dan anak-anaknya terpaksa bermalam di masjid memandangkan mereka tiada tempat untuk dituju. Ustazah Zainab yang bersimpati dengan nasib Ati membawanya ke rumahnya. Dewi sukakan rumah itu kerana rumah itu besar dan mewah.

Sikap Dewi semakin menjadi-jadi. Dia sudah pandai keluar rumah sehingga lewat malam. Dewi berkawan dengan budak lelaki yang selalu lepak bersamanya.

Suatu malam, Dewi tidak pulang ke rumah walaupun jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Ati bersama Ustazah Zainab menunggunya di rumahnya dengan perasaan bimbang. Yana keluar mencari Dewi walapun telah dilarang dari berbuat demikian.

Yana terjumpa Dewi sedang berbual bersama kawan lelakinya di seberang jalan yang penuh dengan kenderaan. Dewi ternampak Yana dan mengarahkan kawannya itu beredar dari situ tetapi belum sempat mereka beredar, Dewi melihat Yana telah dilanggar. Akibat dari itu,Yana telah meninggal dunia. Dewi sangat menyesal. Dia menyalahkan dirinya dan penyebab kematian Yana.

Setelah melahirkan anak ketiganya, Ati membuka sebuah restoran dengan bantuan Ustazah Zainab dan suaminya. Perniagaannya maju dan ramai pelanggan.

Rina datang mencari Ati di kedainya. Dia meminta maaf kerana memyusahkan hidup Ati selama ini. Dia memberitahu yang Syukur sudah mengadai semua rumahnya kerana kalah berjudi. Dia kini menumpang di rumah saudaranya. Ati kasihan pada Rina dan sudah memaafkan segala perbuatan Rina dahulu.

Ati dan Dewi menziarahi pusara Yana. Mereka membacakan ayat-ayat suci di pusaranya. Ati menyiram air yasin dan mengusap pusara Yana sebelum meninggalkan pusara itu. Istiqamah mesti dilakukan berterusan dengan keimanan yang kental.

" Maksud Istiqamah ialah teguh hati, tetap pendirian. Walaupun tidak semua orang mampu bersikap istiqamah ini namun melaksanakan islam untuk memperolehi hikmah secara mendalam sangat memerlukan sikap Istiqamah."

Para pelakon :
Sherly Merlis sebagai Ati
Zul Huzaimy sebagai Budi
Liza Abdulah sebagai Rina

Pengarah : Jamal Khan






1 comments:

sahizatul sahimi said...

Maal Jikrah tahun ni banyak cerita yang menarik kat tv kan kan kan?
Sahizatul Sahimi

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...