Wednesday, October 31, 2012

Sinopsis Samarinda 'Saiful Nita'

Berakhir sudah slot Samarinda Saiful Nita yang ditayangkan di tv3 ... malam tadi episod akhir ... aku sukee cite ni .. walaupun pelakon lelaki dia si Aidil Aziz tu nampak kaku dan pelakon perempuan dia si Kilafiry tu nampak over ... jalan cite dia tetap best ... hehe ... permulaan cite dah tau yang si Nita ni tak sukakan si Saiful ... dah bertunang pun tak suka jugak .. asik meroyan nak mintak putus jek ... pastu boleh pulak jumpa balik pak we lama ... pak wa lama dah cerai pulak tu ngan isteri dia ... lagi la meroyan  si Nita suh Saiful putuskan pertunangan mereka ... Saiful pulak terberkenan ngan Netty ... Netty ni pelayan kat kelab malam ... Saiful suka Netty sebab dia tak macam Nita yang suka memberontak dan bersikap kasar terhadapnya ... haaaa ... itu intro ... drama Saiful Nita ni ada 25 episod ... jadi, jom layan sinopsis samarinda Saiful Nita ni ...


Sinopsis oleh : aznanie

Tan Sri Sulaiman dan Dato Mahmud bercadang untuk menjodohkan anak-anak mereka. Tan Sri Sulaiman mahukan Saiful menjadi menantunya kerana dia percaya hanya Saiful yang dapat membimbing Nita yang suka berfoya-foya di kelab-kelab malam. Dato Mahmud pula ada agendanya yang tersendiri. Dia bengang kerana syarikat milik Tan Sri Sulaiman yang mendapat tender yang sepatutnya menjadi miliknya. Syarikat miliknya hampir musnah gara-gara itu.

Nora, adik Saiful tidak bersetuju dengan rancangan ayahnya. Dia tidak sukakan Nita. Padanya Nita tidak sepadan dengan abangnya, Saiful. Dia tahu yang abangnya memang sukakan Nita dari dulu lagi tetapi sikap Nita yang bongkak dan sombong itu membuatkan Nora tidak dapat menerima kehadiran Nita dalam keluarganya. Tambahan pula, Nora mempunyai hubungan sulit dengan ayah Nita, Tan Sri Sulaiman. Dia tidak mahu Nita menjadi kakak iparnya kerana dia mahu menjadi ibu tiri Nita.

Di hari pertunangannya, Nita melarikan diri dari rumah. Dia pergi ke bandar setelah meminta pertolongan Hairi supaya membawanya lari tetapi Saiful yang kebetulan berada di bandar terserempak dengan Nita dan membawa Nita pulang ke rumah. Tan Sri Sulaiman amat marah dengan perbuatan Nita itu. Ibunya, Puan Sri Hasmah jatuh sakit kerana perbuatan Nita yang selalu menaikkan darahnya itu. Setelah selesai majlis pertunangannya, Nita mengamuk dan membuang cincin pertunangannya dengan Saiful itu.


Setelah sebulan usia pertunangan mereka, Nita meminta Saiful memutuskan pertunangan mereka. Dia mahu berkahwin dengan kekasihnya, Hairi. Tetapi Saiful tidak mahu memutuskan pertunangan mereka kerana ayahnya mahukan Saiful menjadi menantu Tan Sri Sulaiman. Dia mahukan harta Tan Sri Sulaiman jatuh kepada Saiful. Saiful berasa serba salah kerana hubungannya dengan Nita bukanlah baik sangat walaupun mereka sudah bertunang. Nita mempergunakan Saiful untuknya bebas keluar di waktu malam.

Saiful pernah menghalang Nita dari berfoya-foya dengan Hairi tetapi malangnya dia dibelasah oleh geng-geng Hairi. Mujur ada Netty yang menyelamatkannya. Netty ada pelayan di kelab malam. Saiful terpikat dengan kebaikan dan sikap Netty yang baik terhadapnya. Saiful mulai jatuh cinta padanya. Tapi Netty tidak mahu melayan Saiful kerana dia ada rahsia tersendiri.

Hairi mulai bosan dengan Nita yang padanya berdolak-dalik tentang hubungan mereka. Akhirnya, Hairi meninggalkan Nita. Nita menyalahkan Saiful kerana menyebabkan Hairi meninggalkannya. Akibat dari itu, Nita kemalangan. Dia dibawa ke hospital. Di situ dia terjumpa kembali dengan bekas kekasih lamanya, Fendi. Fendi adalah doktor yang merawat Nita. Nita gembira bertemu dengan Fendi. Tambahan pula, bila mengetahui yang Fendi sudah bercerai dengan Farah. Nita mahu kembali kepada Fendi.

Hubungan Nita dengan Fendi mulai terjalin. Nita berterus-terang pada ayahnya tentang hasratnya untuk berkahwin dengan Fendi. Nita juga meminta Saiful memutuskan pertunangan mereka. Saiful bersetuju tetapi dia mahu Nita merahsiakan perkara itu dari pengetahuan ibu bapa mereka. Nita terpaksa bersetuju dengan cadangan Saiful itu.

Nita dan Saiful ditugaskan ke Pulau Pinang. Nita memberitahu Fendi yang dia berada di Penang. Dia tahu Fendi akan turun ke Penang setelah selesai pekerjaannya. Sebenarnya, Fendi sudah ada di Penang dan tinggal di hotel yang sama dengan Nita. Sewaktu Nita dan Saiful sedang berjalan-jalan di tepi pantai, dia terpandang Fendi bersama seorang perempuan dan kanak-kanak. Dia melihat bertapa mesranya Fendi dengan kanak-kanak itu. Dia marah dan menyiasat, adakah betul lelaki itu adalah Fendi. Akhrinya, rahsia Fendi terbongkar. Dia memujuk Nita dengan mengatakan yang Farah membawa anak-anak mereka bercuti ke Penang. Jadi dia  meluangkan masa bercuti bersama anak-anak di waktu lapangnya.

Nita percaya pada Fendi. Dia yakin yang Fendi tidak akan menipunya. Walaupun Fendi sibuk dengan pekerjaannya sebagai seorang doktor tetapi Nita percaya yang Fendi menyintainya. Nita mulai lupa pada tugasannya. Saiful yang terpaksa menguruskan semuanya seorang diri. Hatinya menyumpah-nyumpah Nita kerana mengabaikan kerja setelah berjumpa dengan Fendi.

Perhubungan Nora dengan Tan Sri Sulaiman mulai terbongkar apabila Puan Sri Hasmah mengupah penyiasat untuk menyiasat perkara itu. Pada mulanya, Puan Sri Hasmah tidak percaya akan berita itu tetapi setelah di siasat secara mendalam barulah dia percaya. Puan Sri Hasmah menyerang Nora dan memarahinya. Dia juga memarahi Dato Mahmud kerana tidak pandai mendidik anak. Dato Mahmud pula memarahi Tan Sri Sulaiman kerana mengoda anaknya, Nora. Mereka bertengkar. Tan Sri Sulaiman membongkar perbuatan Dato Mahmud yang sabotaj Syarikatnya. Akhirnya Dato Mahmud di tangkap dan dipenjarakan.

Nora tidak percaya yang Tan Sri Sulaiman sanggup memenjarakan ayahnya. Dia memaksa Tan Sri Sulaiman menarik balik tuduhan ke atas ayahnya tetapi Tan Sri Sulaiman tidak mahu dan menyuruh Nora meninggalkannya. Dia menulis sejumlah duit di atas sekeping cek dan menyuruh Nora pergi ke Australia mengikut ibunya yang tinggal di sana. Nora tidak mahukan duit tetapi dia mahu Tan Sri Sulaiman mengahwininya. Tan Sri Sulaiman yang sudah dihalau dari rumah oleh Puan Sri Hasmah, kini tinggal di hotel. Sewaktu memujuk Nora, seorang pemberita telah mengambil gambarnya dengan Nora. Akhrinya, berita tentang Tan Sri Sulaiman mempunyai kekasih sulit diketahui umum.

Akibat tidak tahan dengan tekanan, Nora menelan pil tidur untuk membunuh diri. Mujur Saiful sempat membawanya ke hospital. Nora dapat diselamatkan. Setelah sembuh Nora pergi ke Australia mengikut ibunya. Nora meminta Saiful menjaga ayah dan syarikat milik ayah mereka. Saiful serba salah kerana pdia malu pada Tan Sri Sulaiman atas perbuatan ayahnya itu. Tambahan pula, dia sudah putus tunang dengan Nita.

Hairi dapat menjejaki Netty. Rupa-rupanya Netty adalah isteri Hairi. Hairi mengahwini Netty dan menjadikan Netty pelacur. Netty tidak tahan dan membuat laporan polis dan mengakibatkan Hairi dipenjara selama 8 tahun. Hairi marah pada Netty yang mengkhianatinya. Netty mulai ketakutan. Dia tahu yang Hairi mahu membunuhnya. Netty bersembunyi di suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Suzy.

Hairi memburu Suzy kerana dia yakin Suzy tahu di mana Netty berada. Saiful juga memburu Suzy untuk mencari Netty. Akhirnya, Saiful tahu cerita sebenar yang Netty adalah isteri Hairi dan masih lagi menjadi isteri Hairi. Dia menawarkan bantuan kepada Netty untuk membebaskannya dari Hairi tetapi Netty tidak mahu. Dia tahu Hairi takkan lepaskannya walau apa pun yang terjadi.

Fendi memberitahu Nita yang dia tidak dapat menunaikan janjinya. Dia tidak dapat mengahwini Nita kerana dia mahu bersama-sama anak-anaknya. Dia mahu kembali kepada Farah dan anak-anak mereka. Nita tidak dapat menerima kenyataan yang Fendi meninggalkannya. Dia mengalami tekanan perasaan yang hebat sehingga tidak dapat mengawal perasaannya. Ayahnya kembali ke rumah untuk menjaga Nita walaupun isterinya, Puan Sri Hasmah masih marah padanya. Tetapi demi Nita, ibunya terpaksa berbaik dengan ayahnya walaupun terpaksa. 

Hairi menangkap Suzy. Dia mencederakan Suzy dan memaksa Suzy memberitahu alamat Netty. Suzy terpaksa memberitahu Hairi tempat tinggal Netty kerana tidak mahu dibunuh oleh Hairi. Setelah Hairi meninggalkannya, Suzy menelifon Saiful. Dia mahu Saiful menyelamatkan Netty dari dibunuh oleh Hairi. Tetapi Saiful gagal menyelamatkan Netty. Selepas membunuh Netty, Hairi menjadi buruan pihak polis.

Tan Sri Sulaiman meminta pertolongan Saiful untuk memulihkan Nita. Semenjak Saiful menyelamatkan Nita, Nita mulai bergantung padanya. Nita lebih percaya kata-kata Saiful dari ayah dan ibunya. Setiap hari Nita mengharapkan Saiful datang menemaninya. Pun Sri Hasmah yang tidak sukakan keluarga Saiful mulai menghalang Saiful dari bertemu dengan Nita. Dia memulangkan semula cincin pertunangan Nita yang ditemuinya di bawah katil Nita.

Tetapi demi kesihatan dan kebahagiaan Nita, Puan Sri Hasmah terpaksa merelakan Saiful menemui Nita. Nita mulai ceria dan dapat melupakan Fendi. Sewaktu Nita dan Saiful bersiar-siar di jeti, kebetulan Hairi berada di situ. Dia cuba mengelakkan diri dari ditangkap oleh polis. Hairi berdiri di bawah jeti dan menarik kaki Nita yang kebetulan berdiri di atas jeti itu. Hairi terkejut melihat Nita. Dia mengacukan pistol ke arah Nita. Mujur pihak polis dapat menembak Hairi dengan tepat sebelum terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada Nita. Nita yang ketakutan, terduduk di atas jeti. Saiful menghampiri Nita dan memeluknya untuk menenangkannya.

Saiful memberitahu Nita yang Hairi adalah suami Netty. Hairi membunuh Netty kerana marahkan Netty mengkhianatinya dan tidak mahu Saiful mengahwini Netty. Nita terkejut apabila mengetahui yang Netty sudah tiada. Dia memberitahu Saiful yang Hairi mampu membuatkan dia melupakan Fendi. Saiful menegaskan yang Hairi tidak mencintai Nita. Hairi hanya mahu mengambil kesempatan ke atas Nita.

Saiful mahu pergi ke Australia untuk menjaga ibu dan adiknya, Nora. Dia mendoakan semoga Nita berbahagia dengan lelaki pilihannya. Dia memberikan Nita cincin pertunangan mereka kepada Nita sebagai hadiah dari seorang kawan. Dia juga berharap agar mereka tetap menjadi kawan. Nita terkejut melihat cincin itu. Dia menyangka yang cincin itu telah hilang tetapi apabila Saiful memberitahu yang itu adalah cincin pertunangan mereka yang dulu yang diberikan oleh Puan Sri Hasmah kepadanya. Nita meminta supaya Saiful tidak meninggalkannya. Dia sedar yang Saiful adalah seorang lelaki yang baik yang dapat menjaga dirinya. Dia memberikan Saiful sekeping syiling. Dia tahu yang Saiful selalu membuat keputusan dengan membaling syiling.

Akhirnya Saiful dan Nita bersama. Mereka bersama-sama memajukan syarikat milik ayah mereka. Ternyata pilihan Nita memilih Saiful adalah yang terbaik untuk dirinya kerana hanya Saiful yang mampu membahagiakan dirinya. Tamat ....


Para pelakon :
Aidil Aziz sebagai Saiful
Kilafairy sebagai Nita
Fauzi Nawawi sebagai Fendi
Dato' Jalaluddin Hasaan sebagai Tan Sri Sulaiman
Arash Muhammad sebagai Dato Mahmud
HamidahWahab sebagai Puan Sri Hasmah
Linda Hashim sebagai Nora

Penulis skrip : Sharifah Abu Salem
Pengarah : Amy Maziah
Terbitan : Pena Creative

Lagu tema Saiful Nita : Ku Pilih Hati Mu - Ussy feat Andhika Pratama

* Best ... jalan cerita best ... macam dalam novel sebab penulis novel yang buat skrip ... hehe ... sukee ending ... memang harap sangat Nita bersama ngan Saiful ... Saiful tu cool ... tahan sabar ngan perangai Nita yang selalu meroyan tu ... haha ... si Nita tu sikit-sikit nak putus tunang ... tu jek la modal dia kalau jumpa Saiful ... lawak betul dia panggil Saiful mamat poyo ... hahaha ... last-last Saiful dapat gak si Nita tu .. sebab tu tajuk dia Saiful Nita ... kalau tak bersama tak leh la tajuknya Saiful Nita .. kannnnn ...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...