Friday, October 12, 2012

Sinopsis Cerekarama 'Aku Mahu Terbang'

Mood tengok cerita ... hahaha ... tengok cite Aku Mahu Terbang ... cite ni pernah ditayangkan di tv3 melalui slot cerekarama ... kisah mengenai seorang budak lelaki yang bernama Mohd. Rezki Bin Mohd Amin ... yang mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang ... walaupun bermacam cabaran yang terpaksa dia lalui, dia tetap berusaha untuk merealisasikan impiannya itu ... sooo ... jom layan sinopsis Aku Mahu Terbang ni ...


Sinopsis oleh : aznanie


Muhammad Rezki Bin Mohd Amin adalah seorang budak lelaki yang tinggal bersama ibu dan abangnya, Syukur. Ayahnya sudah meninggal dunia. Rezki mempunyai seorang kawan yang lumpuh bernama Busran. Itulah kawan baik yang sentiasa di sisi. Abangnya, Syukur selalu menasihati Rezki supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impiannya menjadi seorang juruterbang.

Di kelasnya, ada seorang budak yang bernama Jabar yang tidak senang dengannya. Jabar dan kawan-kawannya tidak mahu Rezki di puji oleh guru mereka. Kerana sikap cemburu itu, Jabar dan kawan-kawannya telah menunggu Rezki di tepi jalan sewaktu Rezki dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Rezki telah ditolak sehingga terjatuh dan bajunya kotor terkena tanah. Jabar telah mempersendakan kasut Rezki yang telah koyak itu . Bukan itu sahaja, Jabar juga mentertawakan cita-cita dan impian Rezki untuk menjadi seorang juruterbang. Akibat terlalu marah, Jabar telah membuang beg Rezki di tebing sebuah sungai.

Rezki kecewa dengan perbuatan Jabar itu. Dia pergi ke rumah Busran, satu-satu kawan baiknya. Busran tahu siapa yang menyebabkan baju Rezki kotor. Busran memujuk dan menceriakan Rezki dengan lawaknya. Rezki terhibur dengan telatah dan kata-kata perangsang dari Busran itu. Setelah mencuci kotoran di bajunya, barulah Rezki balik ke rumahnya. Dia tidak mahu ibunya memarahinya apabila melihat bajunya yang kotor itu.

Rezki suka melukis gambar kapal terbang. Hobinya itu selaras dengan cita-citanya untuk menjadi juruterbang tetapi ibunya tidak memahaminya. Ibunya selalu memarahinya kerana terlalu asyik melukis sehingga mengabaikan kerja rumah yang diberikan cikgunya. Pada ibunya, jika mahu menjadi juruterbang, sesseorang itu haruslah bijak dalam pelajaran, bukannya melukis gambar kapal terbang dan berangan menaikinya. Ibunya bertanya samada Rezki mahu menjadi juruterbang atau pelukis. Rezki sedih dengan tindakan ibunya yang merenyukkan lukisan kapal terbangnya. Padanya ibunya tidak memahami jiwanya. Dan disebabkan perkara itu, Rezki memendam perasaan. Dia naik ke atas bumbung rumahnya dan memandang ke langit. Abangnya, Syukur memahami perangai adiknya itu. Dia turut naik ke atas bumbung dan mententeramkan Rezki.

Syukur adalah abang yang sangat memahami diri Rezki. Syukur sanggup membuatkan Rezki sebuah kapal terbang yang diperbuat daripada kayu di atas sebatang pokok. Rezki dan Busran sama-sama membantu Syukur menyiapkan kapal terbang kayu itu. Rezki sangat gembira kerana tidak lama lagi kapal terbang kayunya akan siap.

Apabila Rezki telah mendapat keputusan peperiksaannya, dia mahu memberitahu kepada kawan baiknya, Busran tetapi Busran telah meninggal dunia. Rezki sedih kerana satu-satunya kawan baiknya telah tiada. Dia benar-benar terasa kehilangan Busran.

Jabar dan kawan-kawannya masih berdendam padanya. Jabar dan kawan-kawannya memecahkan kapal terbang kayu yang dibuat abangnya. Jabar tidak mahu Rezki mendapat lebih dari dirinya. Dia tidak mahu kalah di tangan Rezki. Rezki sedih melihat kapal terbang kayunya hancur berkecai. Rezki mengadu di pusara Busran. Walaupun dia tidak dapat mendengar bicara Busran lagi, tetapi dia tahu hanya Busran yang benar-benar memahami dirinya.

Rezki berjaya melayakkan diri ke sekolah penerbangan di Kuala Lumpur. Rezki agak rapat dengan Cikgu Alif, salah seorang pengajar di sekolahnya itu. Pada dialah Rezki selalu meminta nasihat dan pandangan mengenai pembelajarannya tentang mendalami ilmu penerbangan.

Syukur memberitahu ibunya yang kekasihnya, Aida sudah bertanya tentang rombongan meminang. Tetapi Syukur masih belum bersedia kerana merasakan usianya masih terlalu muda untuk berkahwin. Ibunya menasihatinya dan menyatakan yang seru jodohnya telah sampai. Akhirnya, Syukur bersetuju dengan saranan dan nasihat ibunya itu.

Di sebabkan peperiksaan SPM semakin hampir, Reski tidak dapat pulang ke kampung tetapi dia meminta ibu dan abangnya datang ke Kuala Lumpur bertemunya. Ibunya berjanji akan datang menziarahinya pada minggu depan dengan Pak Tahir. Sebenarnya ibunya terlalu merindui Rezki. Ibunya melihat kertas lukisan tangan Rezki yang direnyukkan dahulu. Perasaannya sedih mengenangkan saat itu. Sedang dia sibuk melayan perasaan, Syukur datang dan memintanya ke depan rumah. Dia mahu menunjukkan sesuatu. Ibunya akur dan mengikutnya. Terperanjat ibunya melihat Syukur telah membeli sebuah kereta terpakai. Syukur memberitahu ibunya yang mereka boleh pergi melawat adiknya di Kuala Lumpur bila-bila masa sahaja.

Syukur dan ibunya mahu melawat Rezki di Kuala Lumpur dengan menaiki kereta yang baru dibeli Syukur. Tiba dipertengahan jalan, ibunya menyuruh Syukur patah balik ke rumah mereka kerana dia terlupa meutup paip air. Pada mulanya, Syukur tidak mahu kerana dia teringat kata-kata ibunya yang berpatah balik akan membawa kepada perkara buruk. Ibunya hanya terdiam dengar kata-kata Syukur itu.

Tiba di persimpangan jalan, sebuah kereta waja telah dipandu laju dan memintas sebuah lori dihadapan Syukur. Syukur tidak menyedari yang lori dihadapannya telah memberhentikan lorinya secara mengejut dan kereta Syukur melanggar bahagian belakang lori itu. Akibat dari pelanggaran itu, Syukur dan ibunya telah meninggal dunia.

Rezki menyalahkan dirinya di atas kematian abang dan ibunya. Dia tidak mahu meneruskan persekolahannya. Dia tidak mahu menjadi juruterbang lagi. Semua orang yang disayanginya telah tiada. Semangatnya untuk belajar dan mengejar cita-citanya telah musnah. Walaupun di tenangkan oleh cikgunya, Rezki tetap dengan pendiriannya.

Akibat terlalu banyak berfikir dan termenung, Rezki pengsan sewaktu duduk di tebing sungai. Dia terjatuh ke dalam sungai. Mujur dapat diselamatkan dan dibawa ke hospital. Cikgu Alif memujuknya dengan memberikan kata-kata perangsang agar Rezki kuat dalam menempuhi cabaran dan dugaan dalam kehidupannya.

Akhirnya, Rezki menemui semangatnya semula. Dia pulang semula ke sekolahnya untuk mengambil peperiksaan. Cikgu Alif membenarkan dia menduduki peperiksaan walaupun masa untuk menjawab telah tamat.

Setelah 3 tahun berlalu, akhirnya Rezki berjaya mendapat sijil penerbangannya. Di kala itu dia teringat kembali kepada kedua orang tuanya, abangnya dan kawan baiknya. Di dewan itu, Rezki bagai terbayang-bayang kelibat ibu dan abangnya, Syukur. Dia diberi peluang untuk berucap di dewan itu kerana dia merupakan pelajar terbaik. Rezki berterima kasih kepada mereka-mereka yang amat disayanginya walaupun mereka semua telah tiada di dunia ini. Dia bersyukur kerana impiannya untuk menjadi juruterbang telah berjaya digapai. Tamat ...

Para pelakon :
Mohammad Syafie Naswip sebagai Rezki
Fadilah Mansor sebagai Ibu Rezki
Amar Asyraf Zailuddin sebagai Syukur
Beto Khusyairy sebagai Cikgu Alif / tenaga pengajar
Puteri Sarah Liyana sebagai Aida

Pengarah : Mohamed Feroz Kader




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...