Friday, June 01, 2012

Sinopsis Novel 'Cinta Jangan Sembunyi'

Baru habis baca novel ni petang tadi ... terus nak buat sinopsis .. sementara ingat lagi jalan ceritanya .. jalan cerita yang ringkas .. yang mudah difahami .. tak berbelit-belit .. gaya bahasa juga yang biasa-biasa sahaja .. yang penting buleh di ikuti dengan  rilex dan santai .. tidak terlalu menekan perasaan .. cewahhh .. komen cam juri profesional .. cam dah pro dengan novel-novel .. hahaha .. suh buat novel karang terkial-kial .. baca dan komen jek tau nyer .. hahaha .. jadi, jom layan sinopsis novel Cinta jangan Sembunyi karya Arfa Ardiya ...

" Walaupun mulut cuba menidakkan, mata dan hati bisa berbicara "

Sinopsis oleh : aznanie

Amni Nazuha terbelenggu dalam trauma di tinggalkan orang-orang yang amat disayanginya. Akibatnya, hatinya menjadi sekeras batu dan perasaannya jadi mati untuk bergaul mesra dengan orang-orang di sekelilingnya. Yang rapat dengannya adalah rakan serumahnya iaitu Zaza. Dunianya hanya pada pekerjaannya. Sebagai seorang akauntan, masanya banyak dihabiskan dengan membuat kerja-kerjanya dengan teliti.

Kehadiran rakan serumahnya yang baru, membuatkan dia tidak selesa. Bukan dia sombong, tetapi kenangan silam yang pahit tidak dapat di hapuskan dari kotak fikirannya. Namun, kata-kata semangat dari Zaza melunturkan ketakutannya. Akhirnya dia mampu bergelak ketawa bersama teman-teman serumahnya bagai satu keluarga.

Pertemuan semuladengan  Zairul Idzhan berjaya membuatkan hati wanitanya berdetak. Zairul Idzhan adalah rakan sekelasnya di sekolah rendah. Setelah masing-masing dewasa mereka terputus hubungan. Pada mulanya, dia langsung tidak merasakan apa-apa perasaan pada lelaki itu tetapi lama-kelamaan hatinya terusik jugak dengan kesungguhan Zairul Idzhan untuk memiliki dirinya. Dalam tidak sedar dia mulai merindui lelaki itu.

Sedang diri di landa bahagia bersama Zairul Idzhan, muncul Faizul menagih cinta lama. Cinta yang dia sendiri musnahkan. Amni Nazuha tidak sesekali lupa pada kejadian itu dimana Faizul dengan selamba bermesra bersama Rina di hadapan matanya. Hatinya bagai dihiris sembilu bila Faizul mengatakan bercinta dengannya umpama bersama dengan mayat. Tanpa kemesraan dan tanpa keseronokan yang dihajatinya dari seorang perempuan. Amni Nazuha pasrah dengan keputusan Faizul. Tapi kenapa lelaki itu kembali dalam hidupnya. Dia tidak memberitahu perkara itu kepada Zairul Idzhan kerana tidak mahu Zairul Idzhan berfikir yang bukan-bukan tentang perkara itu. Mentelah Amni Nazuha sedia maklum perangai Zairul Idzhan yang terlalu cemburu itu.

Tak cukup dengan kehadiran Faizul yang menganggu hidupnya, kehadiran Nazira jugak membuatkan hatinya gundah gulana. Kemaafan yang dipinta Ira mengundang amarahnya. Bukan sedikit hatinya tercalar dek perbuatan Ira dahulu. Walau sudah 6 tahun berlalu, tetapi kejadian itu masih segar di ingatannya. Fitnah dan kata cerca yang di hemburkan padanya tidak dapat di lupakan begitu sahaja. Keadaan Ira yang sarat mengandung itu juga sedikit pun tidak melembutkan hatinya. Dia tidak ingin melihat kelibat Ira dalam hidupnya lagi.

Keputusannya untuk menerima lamaran Zairul Idzhan amat-amat mengembirakan lelaki itu. Tidak disangka Amni Nazuha menerima lamarannya yang terbiar sepi. Mereka disatukan menjadi suami isteri yang sah namun perubahan Zairul Idzhan ketara di mata Amni Nazuha. Malam pertama tidak menjanjikan keindahannya bila Zairul Idzhan membiarkan dia terbiar sepi. Amni Nazuha buntu. Dia tidak tahu di mana silapnya.

Zairul Idzhan membawanya tinggal di rumahnya. Di sana mereka tidur berasingan. Zairul Idzhan keliru dengan dirinya. Dia mempercayai kata-kata Faizul yang di temuinya 2 hari sebelum majlis perkahwinannya dulu. Faizul mengatakan yang Amni Nazuha mengahwininya kerana mahu membuat Faizul cemburu. Bukan kerana Amni Nazuha  mencintainya kerana Amni Nazuha mencintai Faizul bukan dirinya. Kenyataan itu amat perit baginya. Mahu bertanya dia bimbang andai jawapan Amni Nazuha mengecewakan dirinya. Sudahnya dia menghukum Amni Nazuha di atas kesalahan yang tidak diketahui oleh isterinya itu.

Pelawaan Amni Nazuha untuk makan tengahari bersama suaminya ditolak dengan alasan ada mesyuarat. Tetapi kecurangan Zairul Idzhan terbongkar di depan matanya. Dia melihat sendiri kemesraan Zairul Idzhan dengan seorang perempuan yang seksi berjalan berpeluk-pelukan. Hatinya di hiris sembilu mengenangkan kejadian itu. Dia mahukan penjelasan dari suaminya tetapi apa yang dia dapat hanya amarah sang suami pada dirinya.

Zairul Idzhan bagai tidak percaya melihat Faizul dan Amni Nazuha bertengkar di tempat letak kereta. Di situ dia tahu kebenarannya. Siapa yang benar dan siapa yang salah. Dia berdosa kerana meragui kasih dan sayang isterinya. Setelah mendengar pengakuan Amni Nazuha yang dia mencintai Zairul Idzhan, hatinya berbunga riang. Tahulah dia kini Faizul sengaja membuat fitnah supaya hubungannya dengan Amni Nazuha berantakan dan dia dapat kembali ke sisi Amni Nazuha akhirnya. Licik sungguh permainan Faizul.

Pertolongan yang dilakukan Zairul Idzhan memakan dirinya sendiri. Dia termasuk perangkap Faizul akhirnya. Dia ditangkap berkhalwat dengan Ira. Wanita yang amat dibenci Amni Nazuha. Penjelasan dari Zairul Idzhan tidak di endahkannya. Dia nekad membawa diri ke luar negara. Membawa hati yang terluka dan sengsara.

2 tahun sudah berlalu, kini Amni Nazuha kembali ke tanahair. Dia berharap kembalinya kini memberikan ruang untuknya memulakan kehidupan yang baru. Di majlis perkahwinan Zaza, dia bertemu kembali dengan Zairul Idzhan. Melihat kemesraan antara Ira dan Zairul Idzhan hatinya bagai di hiris-hiris. Masih bersisa sayangnya pada lelaki itu. Tetapi di kuis rasa itu. Dia mahu bergembira untuk kawan baiknya di majlis perkahwinannya.

Amni Nazuha kembali ke tempat kenangan antaranya dengan Zairul Idzhan suatu masa dahulu. Dan tanpa disedarinya, Zairul Idzhan juga mengikutinya ke sana. Di sana mereka merungkai permasalahan. Dan alangkah terkejutnya Amni Nazuha apabila mengetahui yang Zairul Idzhan tidak mengahwini Ira tetapi sebaliknya suami Ira adalah Adrian, teman sepejabatnya dahulu. Dan yang lebih mengejutkannya lagi orang yang menghantar gambar dan membuat laporan di pejabat agama dulu adalah Faizul. Dan Faizul juga telah meninggal dunia akibat kemalangan yang menimpanya.

Amni Nazuha bersyukur segala permasalahan telah terungkai. Dan yang lebih menggembirakannya hubungannya dengan Zairul Idzhan masih seperti dulu. Zairul Idzhan begitu sabar menanti kepulangan dirinya. Amni Nazuha tersentuh dengan kesabaran dan kesungguhan Zairul Idzhan itu. Akhirnya kasihnya berlabuh jua di pangkuan Zairul Idzhan.

Kepulangan Syamim mengembirakan Amni Nazuha. Kawan baiknya sewaktu di universiti dulu. Mereka sering berhubung melalui emel dan chatting di internet sahaja. Pujukan Syamim tidak menghantar bekas di hatinya. Syamim mahukan Amni Nazuha memaafkan segala perbuatan Ira dahulu. Kerasnya hati Amni Nazuha tidak dapat di sangkal lagi tetapi segalanya berubah apabila Ira di masukkan ke hospital akibat terjatuh di bilik air. Ira yang sedang mengandung itu selamat melahirkan selepas kejadian itu. Tiada yang paling indah selain dari penerimaan maaf dari Amni Nazuha. Ira bersyukur sangat kerana Amni Nazuha sudi memaafkan dirinya. Kini mereka bertiga kembali bersatu dalam gelak dan tawa. Dia bersyukur dengan nikmat dan bahagia yang di kurniakan ke atasnya. Tamat ...

Penulis : Arfa Ardiya
Terbitan : Alaf 21
Point : 4/5

*   Best juga novel ni .. sehari jek baca dah habis .. plot yang biasa .. kisah cinta yang tidak kesampaian .. kemudian hadir cinta sejati kekal hingga ke alam perkahwinan .. dilanda dugaan seawal usia perkahwinan .. tidak mahu berbincang dengan pasangan apa jua permasalahan yang berlaku membuatkan kedua-duanya rasa sakit dan tertekan ...  itu isi penting dalam novel ni ... digarap dengan begitu indah oleh penulisnya ... dan terhasillah satu cerita yang membuatkan kita terfikir bahawa kemaafan adalah dendam yang terindah .. cewahhhh .. bersastera pulak aku ni .. apa pun best layan novel ni .. cuba lah baca novel Cinta Jangan Sembunyi ni  ... tak rugi tau .. hehe ..

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...