Sunday, May 20, 2012

Cerekarama 'Senandung Cinta Semalam'

Tengok cerekarama di malam minggu ... cerita sedih ... tengok Wan Maimunah nangis ... aku pun nangis sama ... tengok maknya Liyana nangis ... aku pun nangis sama .. haha ... penuh depan aku tisu yang dah lencun ... haha ... sabo jek la ... jadi, jom layan sinopsis cerekarama Senandung Cinta Semalam ...


Sinopsis oleh : aznanie

Azhar amat menyayangi dan mencintai isterinya, Suria. Perkahwinan mereka amat bahagia, lebih-lebih bila Suria mengandungkan anak sulung mereka. Azhar sanggup buat apa sahaja untuk memenuhi permintaan Suria. Namun bahagia yang diharap musnah sekelip mata apabila Suria pergi menemui ilahi sebelum sempat melahirkan anak yang dikandungnya.

Azhar tidak dapat menerima hakikat itu. Dia nekad membawa diri ke UK. Tinggalkan segalanya. Membawa lara bersamanya.

12 tahun sudah berlalu. Azhar kembali ke pangkuan keluarganya di Malaysia. Namun bayangan Suria masih memburunya. Rasa cintanya pada Suria tidak pernah padam. Dia bertekad untuk tidak berkahwin lagi.

Pertemuan kembali keluarga bekas mertuanya mencetuskan konflik. Azhar terpegun dengan rupa paras adik iparnya, Liyana. Liyana seiras wajahnya dengan kakaknya, Suria. Azhar meminta ibubapanya meminang Liyana untuknya. Tetapi malangnya pinangannya itu ditolak oleh kedua orang tua Liyana. Ibunya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah kehilangan Suria di tangan Azhar. Mereka tidak mahu kehilangan Liyana pulak.

Liyana bertindak melarikan diri dari rumah. Dia pergi ke rumah Azhar. Terjadi pergaduhan di situ. Azhar yang tidak mahu Liyana terus-terusan disakiti ibunya, memberitahu yang dirinya tidak menyintai Liyana. Apa yang dilakukan adalah semata-mata kerana rindukan Suria sahaja kerana wajah Liyana seiras dengan Suria.

Liyana menderita. Dia tidak mahu makan dan badannya menjadi lemah. Ibubapanya berasa bimbang dan yakin yang Azhar dan Liyana benar-benar mencintai antara satu sama lain. Dan menyedari akan hal itu, pinangan Azhar di terima dan mereka selamat disatukan.

Liyana meminta Azhar menyayangi arwah kakaknya lebih dari dirinya tetapi Azhar menyatakan yang arwah Suria sudah ada tempat istimewa di hatinya. Dan apabila Liyana berjanji akan menyayangi Azhar sehingga ke akhir hayatnya, Azhar tidak bersetuju. Dia hanya mahukan Liyana setia berada bersamanya selagi hayatnya masih ada.

Liyana di sahkan mengandung. Mengandung anak kembar. Ibunya amat bimbang kerana arwah Suria dulu mengandung seorang pun tidak lepas, inikan pula anak kembar. Hatinya walang dan tidak mahu kehilangan Liyana.

Malang menimpa lagi. Kereta yang dipandu Azhar dilanggar oleh kenderaan yang dipandu oleh orang mabuk. Liyana cedera di kepala. Mujur anak-anaknya dapat diselamatkan. Dia selamat melahirkan sepasang  bayi kembar melalui pembedahan. Keadaan Liyana amat parah. Dia hanya bergantung pada mesin untuk meneruskan kehidupanya. Ibubapanya menyalahkan Azhar yang membawa malang pada anak-anaknya. Sedang pertelingkahan kedua-dua belah ibubapanya, Azhar jatuh pengsan dan di bawa ke hospital.

Di situlah segala rahsia terbongkar. Azhar mengidap leukemia dan disahkan hidup 3 bulan sahaja. Tetapi kerana kehidupannya yang bahagia penyakitnya dapat bertahan lama. Ibubapa Liyana merasakan yang mereka telah ditipu oleh keluarga Azhar. Pada mereka, keluarga Azhar sengaja merancang untuk memerangkap Liyana. Sengaja membuatkan Liyana menjadi janda setelah kematian Azhar.

Azhar hiba melihat keadaan Liyana yang dipenuhi wayar. Dia amat menyintai Liyana. Dia berdoa semoga ALLAH memberikan peluang untuk Liyana menikmati kehidupannya dengan lebih lama. Dia memohon agar ALLAH mengambil nyawanya sebagai galang ganti.

Keesokkan harinya, Liyana mulai sedar dari komanya. Tetapi Azhar telah tiada. Dia telah pergi menemui ilahi. Liyana redha dengan ketentuan tuhan itu. Jasad Azhar disemadikan bersebelahan dengan pusara Suria. Tamat ...

Para pelakon :
Kamal Adli sebagai Azhar
Puteri Sarah sebagai Suria / Liyana

* Jalan cerita yang menarik ... sedih sehingga mengalirkan airmata ... setia hingga ke hujung nyawa ... wahhh ...  seronoknya kalau ada yang setia cam tu kat dunia yang fana ini ... haha ... apa pun kalau dia buat Azhar tak meninggal cam mana agaknya ... hehe ... apa pun tahniah pada penulis cerita Senandung Cinta Semalam ni sebab berjaya membuatkan air mata ku mengalir sehingga tersumbat hidung ... hahhaha

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...