Sunday, February 17, 2013

Sinopsis Cerekarama 'Busu'

Memang aku penggemar cerekarama ... haha .. tiap minggu duk depan tv ... sebenarnya kalau tak kemana-mana ler ... minggu ni tak ke mana-mana .. anak-anak balik umah atuk dia ... so ... sorang-sorang layan cerekarama ... nasib baik cite kelaka ... tak ler bosan .. tapi dalam kelaka ada pengajarannya ... kisah mengenai seorang budak lelaki bernama Adib atau mesra di panggil Busu oleh keluarganya ... maklum le Adib ni anak bungsu Lebai Osman ... oleh kerana Adib ni budak lelaki yang amat ler lasaknya .. dia suka bermain dan merayau di sekeliling kampung ... jadi ... banyak ler kejadian-kejadian yang berlaku di kampung itu diketahuinya ... dek kerana sikapnya yang teramat perihatin tu .. dia dicop sebagai kaki sekodeng oleh orang kampung walaupun niatnya baik untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh segelintir anak-anak muda yang hanyut mengikut hawa nafsu ... soooo ... meh kita layan sinopsis cerekarama Busu yang digarap sinopsisnya oleh aku ... hehe ...



Sinopsis oleh : aznanie

Busu atau nama sebenarnya Adib adalah anak kepada Lebai Osman. Busu ada seorang kakak bernama Amnah yang bekerja di kedai roti. Mereka juga mempunyai seorang sepupu yang bernama Sulina. Sulina ni adalah anak kepada Pak Syohor. Keluarga Amnah dan Sulina menjaga mereka berdua dengan tegas kerana tidak mahu mereka berdua berbuat sesuatu yang dapat memalukan mereka sekeluarga. Sulina bekerja di kedai makan yang agak terkenal di pekan. Di situ dia berkenalan dengan seorang lelaki bernama Razak. Razak cuma budak penghantar surat sahaja tetapi oleh kerana kekacakannya Sulina tidak kisah. Razak ni sebenarnya pernah berkawan dengan Amnah. Tetapi sikap Razak yang suka berpoya-poya dan mengambil kesempatan ke atas perempuan yang dikenalinya membuatkan Amnah tidak mahu berkawan lagi dengan Razak.

Busu seorang budak lelaki yang amat lasak. Seluruh pelusuk kampung di jelajahinya. Bersama rakan-rakannya, mereka bermain perang-perang hingga ke dalam hutan. Suatu hari, sedang Busu bermain, dia ternampak kelibat Malik di rumah Pak Jaafar. Busu tau yang Pak Jaafar dan isterinya tiada di rumah kerana keluar berniaga. Yang tinggal di rumah itu cuma anak perempuannya sahaja iaitu Ain. Busu sangkakan Malik mahu menceroboh rumah Pak Jaafar. Dia mengendap di sebalik tingkap rumah. Tetapi apa yang dia nampak, bukanlah seperti yang dia fikirkan. Dia terlihat Ain sedang bermadu asmara dengan Malik di dalam rumah itu. Busu menceritakan kejadian itu kepada kawannya, Atan dan Atan menyuruh Busu memberitahu ayahnya tentang perkara itu. Lebai Osman dan beberapa penduduk kampung datang ke rumah Pak Jaafar dan bertanya kepada Ain tentang hal itu tetapi dinafikan oleh Ain. Dan ketika itu Pak Jaafar baru sampai ke rumahnya. Lebai Osman menerangkan kepada Pak Jaafar tujuannya datang ke situ. Pak Jaafar dan isterinya tidak mempercayai tuduhan Lebai Osman dan menuduh Busu suka mengendap rumah orang. Sempat juga isteri Pak Jaafar memperingatkan Lebai Osman supaya menjaga anak perempuannya terlebih dahulu sebelum menyibuk hal anak perempuan orang lain.

Di rumah, Lebai Osman mulai berfikir akan kebenaran kata-kata isteri Pak Jaafar itu. Dia memberitahu isterinya tentang rancangannya untuk menjodohkan Amnah dengan anak saudaranya, Azhan. Pada mulanya, isterinya terkejut dengan cadangan suaminya itu, tetapi apabila difikirkan semula, ada baiknya juga rancangan suaminya itu. Amnah terkejut dengan rancangan ayahnya itu. Dia tidak cintakan Azhan dan menganggap Azhan sebagai abangnya kerana jarak usia mereka begitu jauh. 10 tahun bezanya. Tetapi Amnah tidak dapat menolak rancangan ayahnya kerana keputusan sudah dibuat. Dia terpaksa menerima dengan redha.

Kerana menurut kata hatinya ingin keluar bersama Razak sehingga larut malam, Sulina di paksa berhenti kerja oleh ayahnya. Pak Syohor hanya membenarkan Sulina bekerja di kedai roti bersama Amnah. Mahu tidak mahu, Sulina terpaksa menurut kata ayahnya.

Amnah bercerita kepada Sulina tentang rancangan ayahnya  mahu menjodohkan dirinya dengan Azhan. Amnah juga memberitahu Sulina yang dia tidak cintakan Azhan dan tidak mahu mengahwininya tetapi jika dia menolak, dia bukannya ada teman lelaki yang lain. Sulina mentertawakan Amnah dan membandingkan dirinya lebih bertuah kerana dia mempunyai seorang teman lelaki yang kacak. Sedang mereka bercerita, Razak masuk ke dalam kedai roti itu. Sulina berasa gembira melihat kedatangan Razak. Amnah gugup kerana dia tidak menyangka Razak itulah lelaki yang dicintai oleh sepupunya itu. Razak menegur Amnah dengan mesra dan itu menimbulkan perasaan cemburu kepada Sulina. Dia memarahi Amnah kerana berbohong kepadanya. Sangkanya Amnah mahu menikamnya dari belakang dan merampas Razak darinya. Amnah menerangkan keadaan yang sebenarnya tetapi Sulina tetap tidak mahu mendengar kata-kata Amnah. Razak menghubungi Amnah di rumah. Amnah tidak suka Razak berbuat demikian. Amnah juga meminta Razak menjauhi Sulina jika tidak mahu rahsia Razak terbongkar. Amnah mahu menceritakan siapa Razak yang sebenarnya kepada Sulina. Razak tidak gentar dengan ugutan Amnah kerana dia tahu Sulina amat mencintainya dan tidak akan mendengar kata-kata Amnah dengan mudah.

Pak Syohor menerima pinangan anak kawannya untuk dijodohkan dengan Sulina. Sulina tidak mahu berkahwin dengan orang lain selain Razak. Dia berjumpa dengan Razak. Dia mahu Razak masuk meminangnya. Razak menolak permintaan Sulina dengan seribu macam alasan. Sulina tetap memujuk Razak. Sulina mahu mereka bertunang dahulu. Razak bersetuju dengan permintaan Sulina dengan syarat. Sulina bersetuju dengan syarat Razak itu asalkan mereka dapat bersama akhirnya.

Setahun berlalu. Amnah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang bernama Amirullah. Busu masih ligat dengan aktivitinya. Sedang dia bermain, dia terlihat seorang perempuan berlari ke masuk ke dalam hutan. Dia mengekori perempuan itu sehingga ke sebuah rumah usang yang ditinggalkan di dalam hutan itu. Busu mengendap dan dia melihat seorang perempuan sedang melahirkan bayi seorang diri di dalam rumah itu. Setelah selamat  melahirkan, perempuan itu meninggalkan bayinya di situ.

Busu tidak sampai hati mahu membiarkan bayi itu begitu. Dia pulang ke rumah dan mengambil baju, susu dan keperluan bayi milik anak Amnah. Amnah yang menyedari kehilangan barang-barang anaknya mulai berasa pelik dan tertanya-tanya. Dia mengesyaki itu angkara Busu tetapi dia tidak ada bukti dengan tuduhannya itu.

Busu meminta pertolongan rakan-rakannya, Atan dan Aya. Atan pada mulanya, berat untuk membantu Busu tetapi akhirnya bersetuju. Atan menyuruh Busu memberitahu ayahnya tentang perkara itu. Tetapi Busu tidak berani kerana dia tahu ayahnya tidak suka akan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan sebegitu. Dan dia juga tidak mahu keadaan menjadi kecoh dan memalukan keluarga ibu kepada bayi itu. Busu tekad dia mahu memulangkan bayi itu kepada ibu bayi itu dan menceritakan tentang hal itu kepada ayah saudaranya, Pak Syohor sahaja. Hanya Pak Syohor sahaja harapan Busu.

Busu membawa bayi itu ke rumah Pak Syohor. Tetapi malang, Pak Syohor tiada di rumah. Yang ada cuma Sulina dan ibu saudaranya sahaja. Busu mendekati Sulina dan memberitahu yang dia menjumpai anak kucing dan mahu memulangkannya semula tetapi dia dihalau oleh Sulina yang sudah semakin tidak menentu emosinya kerana ditinggalkan Razak. Ibu saudaranya juga  menyuruh Busu balik kerana bimbang Sulina akan mencederakan Busu.

Keesokkan harinya, Busu ke rumah Pak Syohor lagi. Kali ini dia melihat Pak Syohor dan ibu saudaranya sedang memujuk Sulina untuk di bawa ke hospital. Sulina tidak mahu kerana dia tidak sakit. Tetapi ayah dan ibunya tetap memaksanya untuk masuk ke dalam kereta dan membawanya ke hospital. Busu kecewa lagi kerana hasratnya mahu menceritakan tentang bayi itu kepada Pak Syohor tidak kesampaian. Busu dan kawan-kawan sudah penat dan tidak berupaya lagi mahu menjaga bayi itu tetapi mereka tiada pilihan lain.

Kehilangan barang-barang bayi menjadi tanda tanya di rumah Lebai Osman. Amnah syak Busu yang mengambil barang-barang milik anaknya itu. Dan dugaannya benar apabila dia ternampak Busu sedang mengambil pampers di bawah katilnya. Amnah bertanya untuk apa semua barang itu tetapi Busu mengatakan yang semua itu adalah untuk kegunaan kucing yang di peliharanya. Kucingnya selalu lapar dan berak merata-rata. Sebab itu dia mengambil susu Amirul dan lampin Amirul untuk dipakaikan kepada anak kucing itu. Amnah tidak mempercayai kata-kata Busu itu tetapi malas mahu memanjangkannya.

Lebai Osman mulai curiga dengan tindak tanduk Busu yang jarang berada di rumah. Di tambah pulak dengan cerita Amnah tentang kehilangan barang-barang milik Amirul. Lebai Osman berjaga untuk melihat apa yang dilakukan oleh Busu. Tetapi pada malam itu, mereka dikejutkan dengan jeritan Haji Salim yang mengatakan rumahnya di masuki penyamun. Lebai Osman dan orang kampung sepakat untuk membuat rondaan dan memperketatkan kawalan di kampung itu.

Lebai Osman dan keluarganya gempar apabila mendapati yang Busu tidak balik ke rumah pada malam itu. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi tetapi kelibat Busu tidak kelihatan. Ibunya sudah menangis dan mengatakan Busu telah di culik dan mahu Lebai Osman membuat laporan di balai polis tetapi Lebai Osman menyuruhnya bersabar. Pak Syohor menyuruh Azhan mencari Pak Jaafar dan Pak Husin yang ditugaskan meronda di kampung mereka malam itu. Sedang mereka kecoh-kecoh begitu, Pak Jaafar dan Pak Husin membawa Busu yang mereka tangkap sedang membawa kotak. Lebai Osman terkejut apabila mendapati yang di dalam kotak itu ada seorang bayi. Lebai Osman mengambil bayi itu.

Pak Jaafar menuduh Busu dengan macam-macam tuduhan. Dan Lebai Osman terbabit sama. Pak Jaafar tidak puas hati sebenarnya kerana Lebai Osman menuduh anaknya, Ain membuat perbuatan tidak senonoh dengan lelaki. Kini hatinya puas kerana dapat memulangkan paku buah keras kepada Lebai Osman. Keadaan menjadi tegang dengan kata-kata Pak Jaafar yang lancang itu.

Busu menyuruh mereka semua diam dan menceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Setelah didesak supaya memberitahu siapa ibu kepada bayi itu, Busu dengan teragak-agak memberitahu yang ibu kepada bayi itu ialah Sulina. Pak Syohor terkejut dan isterinya menangis di sisinya.

Sulina meminta maaf dari ayahnya. Dia tidak menyangka semuanya jadi begitu. Dia bersetuju dengan syarat Razak supaya mereka melakukan perbuatan terkutuk itu sebagai bukti cintanya. Sulina tidak menyangka yang Razak akan meninggalkanya setelah mendapat apa yang di hajatinya. Pak Syohor begitu marah sehingga jantungnya gagal berfungsi dan Pak Syohor rebah kerana diserang sakit jantung. Sulina dan ibunya menangis meratapi Pak Syohor yang tidak bermaya lagi.

Pak Jaafar dan isterinya berasa lega dengan kejadian itu. Dia merasakan arang yang terpalit di muka mereka hilang. Di rumah, Ain dan Malik sedang leka bermadu kasih. Malik mahu pulang tetapi di halang oleh Ain yang mahukan Malik berada bersamanya lebih lama lagi. Malik yang bimbang sekiranya ayah dan ibu Ain pulang ke rumah, tetap mahu pulang. Sedang Ain memujuk rayu Malik,  tiba-tiba pintu biliknya di buka ayahnya dan Malik berusaha mempertahankan dirinya tetapi di belasah oleh ayah Ain. Ain membohongi ibunya dengan mengatakan yang dirinya mahu dirogol oleh Malik tetapi ibunya telah mendengar segala perbualannya dengan Malik sebentar tadi. Hancur hati ibunya apabila melihat kelakuan anak yang dipercayai selama ini menikam dirinya dari belakang.

Busu berasa lega kerana semua permasalahan sudah dapat di selesaikan. Atan menggelarnya sebagai hero kerana berjaya menyelamatkan seorang bayi dari mati ditinggalkan. Dia bertanya sekiranya ada lagi misi menyelamatkan, dia mahu turut serta kerana mahu jadi hero seperti Busu juga. Busu memberitahunya yang dia sedang merancang untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan tetapi mesti rancangannya itu tidak dipersetujui oleh keluarga mereka. Atan berasa pelik dan bertanya. Busu berkata yang dia mahu menolong rakan-rakan mereka di Palestin sana. Atan berasa geram kerana dipermainkan oleh Busu. Tamat ...

Para pelakon :
Adik Fazli Daniel Ali sebagai Busu/Adib
Nad Zainal sebagai Amnah
Bea Rameshan sebagai Sulina
Fizo Omar sebagai Razak
Mustaffa Kamal sebagai Pak Syohor
Fathil Dani sebagai Lebai Osman

Terbitan   : Megaday Media Sdn Bhd
Pengarah : Ami Hatta

* Jalan cite yang best ... mudah difahami ... ada unsur-unsur lawak ... mesej of the story ... perbuatan membuang bayi adalah suatu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ... mujur ada yang prihatin untuk menjaga bayi itu ... walaupun nampak cam tak logik jek kann .. budak baru sekolah rendah berani begitu rupa ... dan mengambil tindakan sendiri ... hmmm ... hehe ... apa pun cite ni buleh layan ... best jugak ... tahniah kepada pengarahnya ... moga-moga tercalon dalam anugerah Skrin tahun depan ... voteeee hehe ...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...