Tuesday, December 11, 2012

Sinopsis Filem 'Istanbul Aku Datang'

Baru berpeluang menonton filem Istanbul Aku Datang ... best jugak ceritanya ... cerita yang sempoi ... tak de yang perlukan kita berfikir berat sebab jalan ceritanya straight jek ...membariskankan pelakon hebat seperti Lisa Surihani sebagai teraju utamanya yang bergandingan dengan Tomok sebagai kekasih hatinya ... juga Beto Khusairy sebagai lelaki kedua yang mencuri hati si gadis ....  kisah seorang gadis yang datang ke Istanbul dengan satu misi iaitu merancang untuk bertunang dengan kekasihnya ... bermacam-macam kejadian yang menimpanya di sana .. tetapi berbekalkan keyakinan dan semangat yang tinggi ... gadis itu dapat mengatasinya ... haaaa ... tu baru intro ... berjayakah gadis itu mencapai impiannya .. jom layan sinopsis filem Istanbul Aku Datang ...


Sinopsis oleh : aznanie


Dian membuat keputusan untuk ke Istanbul untuk menemui kekasih hatinya, Azad. Misinya adalah mahu Azad melamarnya. Sesampainya dia di Istanbul, dia cuba menghubungi Azad tetapi Azad gagal dihubungi. Mahu tak mahu dia terpaksa berusaha mencari sendiri alamat kediaman Azad. Sewaktu mendaki anak tangga, Dian hampir terjatuh. Nasibnya baik kerana ada seorang pemuda Turki yang membantunya. Pemuda itu membantunya naik ke kediaman Azad.

Azad terkejut apabila mendapati Dian berada di hadapannya. Dia membawa Dian masuk ke biliknya dan memberitahu akan kesukaran untuknya meluangkan masa untuk Dian kerana dia sibuk dengan urusan pembelajarannya. Dian faham akan situasi Azad itu dan berjanji tidak akan terlalu bergantung dan menyusahkan Azad.


Dian menguruskan segala keperluan Azad di rumah itu. Membasuh pakaian, mengemas bilik dan memasak untuk Azad dan rakan serumahnya. Tetapi Dian kecewa apabila Azad mahu dia berpindah dari rumahnya itu. Alasan yang diberikan oleh Azad ialah tak manis seorang gadis tinggal serumah dengan 3 orang lelaki. Mahu tidak mahu, Dian terpaksa menurut kehendak Azad.

Selesai urusan pendaftaran kursus yang diambilnya, Dian mulai mencari bilik sewa. Bermacam-macam tempat dia cuba. Semuanya tidak menepati citarasanya. Sehingga suatu hari, dia terjumpa dengan lelaki yang menolongnya dahulu. Dia memberitahu niatnya untuk mencari rumah sewa. Lelaki itu berjanji mahu mencarikannya rumah sewa seperti yang diinginkannya.


Lelaki itu membawa Dian ke sebuah apartment. Lelaki itu memberitahu yang rumah itu adalah milik ayahnya. Setelah melihat di dalam apartment itu, ternyata Dian tertarik dan bersetuju untuk menyewa rumah itu. Dia membayar deposit 3 bulan kepada lelaki itu.

Sedang Dian leka mandi, tiba-tiba dia terdengar suara lelaki di dalam bilik air itu. Dian terkejut dan ternyata lelaki itu juga terkejut. Terjadi pertengkaran di antara keduanya. Lelaki itu dari Malaysia sepertinya jugak. Harris membawanya bertemu dengan tuan punya apartment itu. Malang nasibnya, apabila tuan apartment yang disewanya itu, pergi ke Mesir dan tidak tahu bila pulangnya. Harris menyuruh Dian keluar dari apartmentnya tetapi Dian menolaknya kerana dia sudah kehabisan duit untuk berpindah ke tempat lain.

Bermacam-macam alasan yang diberikan Dian supaya Azad tidak datang ke apartmentnya. Dia tidak mahu Azad tahu yang housematenya adalah seorang lelaki. Terjadi salah faham apabila Dian menganggap Harris adalah lelaki gay. Ini kerana Dian ternampak seorang lelaki Turki keluar dari bilik Harris dan Harris memakaikannya mafla di leher lelaki itu.

Kelakuan Azad di rasakan aneh oleh Dian. Azad tidak mahu nampak terlalu mesra dengan Dian di khalayak ramai tetapi aksinya mesra apabila berada di tempat tertutup. Dian mulai merasakan sesuatu. Tetapi alasan Azad dapat diterima oleh akalnya. Dian tidak jadi merajuk dengan Azad kerana Azad pandai mengambil hatinya.


Tetapi tidak selamanya rahsia itu dapat di simpan dari pengetahuan Azad. Azad memberitahu Dian yang dia dalam perjalanan ke apartment Dian. Dian kelam kabut. Dia menelifon Harris dengan menyamar sebagai wanita tempatan dan menyuruh dia pergi ke suatu tempat. Dian sampai ke apartmentnya. Dia menyorokkan semua baju-baju dan barang keperluan Harris. Tiba-tiba dia terkejut apabila melihat seorang lelaki Turki keluar dari bilik Harris dengan tidak memakai baju. Dan kebetulan itu, Azad sudah berada di hadapan pintu apartment Dian. Lelaki itu membuka pintu dan Azad terlihat Dian sedang berdiri kalut di situ.

Azad menghemburkan kata-kata amarahnya pada Dian. Dia menuduh Dian menyimpan lelaki lain. Azad tidak mahu mendengar penjelasan dari Dian. Sedang mereka saling berbicara, Harris masuk. Azad memandang Harris dan terkejut apabila Dian memberitahu yang Harris itu adalah rakan serumahnya. Azad mulai berang dan meninggalkan Dian yang cuba untuk menjelaskan keadaan yang sebenarnya.

Dian mengejar Azad. Tiba di pertengahan jalan, dia bertembung dengan lelaki yang menipunya dulu. Lelaki itu bersama dengan seorang lelaki tua. Lelaki tua itu mengajak Dian naik ke apartmentnya semula. Dian terpaksa melupakan hasratnya untuk mengejar Azad.

Lelaki tua itu sebenarnya adalah Tuan Suleyman iaitu pemilik apartment itu. Tuan Suleyman menerangkan siapa lelaki yang menipu Dian itu. Dan Tuan Suleyman telah membayar gantirugi Dian dan mahu Dian keluar dari apartment itu. Dian terpaksa bersetuju dan mengemas barang-barangnya. Harris mulai rasa simpati kepada Dian.

Harris menawarkan dirinya untuk menerangkan perkara sebenarnya kepada Azad. Dia yakin yang Azad bukanlah seorang lelaki yang keras kepala sehingga tidak mahu mendengar penjelasan dari mereka. Dian berasa gembira dan bersetuju dengan cadangan Harris itu.

Sesampainya di rumah Azad, Azad mulai naik angin apabila ternampak Dian bersama dengan Harris. Macam-macam kata nista yang dilemparkan oleh Azad kepada Dian. Terjadi adegan tumbuk- menumbuk di antara Azad dan Harris. Dian cuba meleraikan tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba masuk seorang wanita Turki dan membantu Azad. Apabila terpandang Dian, wanita itu mencampakkan aiskrim yang dipegangnya ke arah kepala Dian dan aiskrim itu melekat di rambut Dian. Terjadi pergelutan di antara Dian dengan wanita itu. Azad dan Harris meleraikan mereka. Azad menyuruh wanita Turki yang dipanggil Merlis itu pulang dahulu tetapi Merlis tidak mahu. Dia mahu tahu kenapa mereka berdua memukul teman lelakinya. Dian terpaku apabila mendengar kata-kata Merlis itu. Dia memandang Azad dan terus berlalu dari situ. Harris mengekori Dian dan membawa Dian ke apartmentnya.

Dian bagai hilang semangat dan tidak berdaya apabila mengetahui yang dirinya ditipu oleh Azad selama ini. Rupanya Azad sudah ada kekasih lain di sini. Dian mulai teringat segala kata-kata Azad dan tingkah laku Azad terhadapnya dahulu. Harris membersihkan rambut Dian yang terkena aiskrim itu. Dian hanya menurut sahaja perlakuan Harris itu.

Dian memberitahu Harris yang dia mahu pulang ke Malaysia. Dia sudah menempah tiket dan akan pulang keesokkan harinya. Harris mengajaknya keluar dan melihat keindahan Istanbul kerana sebelum ini Dian belum benar-benar menikmati keindahan Istanbul. Harris membawanya ke tepi sungai. Mereka menemui Omar iaitu seorang model yang disangka kawan gay Harris. Rupa-rupanya Harris hanya melukis Omar sebagai watak dalam siri kartunnya Sinbad. Dian rasa terhibur berada di kalangan keluarga Omar. Harris mula merasakan sesuatu apabila memandang Dian dan Dian juga rasa begitu tetapi masing-masing tidak meluahkannya.


Sewaktu pulang ke apartmentnya, Azad sudah menunggu Dian di situ. Dia mengajak Dian ke suatu tempat untuk berbicara dengannya. Harris keberatan untuk membenarkan tetapi terpaksa beralah apabila Dian memintanya berbuat demikian.

Azad merayu supaya Dian menerimanya kembali. Dia sudah memutuskan hubungannya dengan Merlis. Alasanya bermain cinta dengan Merlis hanyalah sekadar mengisi rasa kekosonganya yang jauh dari keluarga dan Dian. Dia tidak pernah mencintai Merlis sebagaimana cintanya pada Dian. Apabila Dian memberitahu yang dia mahu pulang ke Malaysia, Azad mahu mengikutinya. Dia mahu menyambung pelajarannya di Malaysia sahaja. Dia mahu mengahwini Dian apabila mereka kembali ke Malaysia. Dia terkedu apabila Azad memberinya sebentuk cincin. Selama ini, itulah yang diharapkannya tetapi tidak sekarang. Hatinya sudah tawar untuk Azad tetapi mengenangkan mereka sudah lama menjalin cinta dan ditambah dengan dia tidak tahu isi hati Harris padanya, dia menerima kembali Azad dan memberikannya peluang kedua.

Harris menunggu kepulangan Dian. Dia tahu yang Dian tidak mempunyai kunci apartment itu kerana sudah menyerahkannya kepada Tuan Suleyman. Sewaktu masuk ke dalam apartment, Dian menyerahkan baju Harris yang dipakainya dan cincin dijarinya jatuh ke lantai. Harris mengambil cincin itu dan menyerahkannya kepada Dian. Dian memberitahu yang Azad melamarnya dan mahu mereka berkahwin apabila mereka pulang ke Malaysia kelak. Harris terkejut dan menpersoalkan tindakan Dian itu. Dian mempertahankan dirinya dengan mengatakan mereka sudah terlalu lama menjalinkan perhubungan. Sukar untuk melupakan jalinan rasa antara mereka. Harris mengalah dan mengucapkan tahniah kepada Dian kerana kembali semula mendapatkan cintanya.

Azad sampai ke apartment Dian. Dia melihat Dian sudah bersedia mengikutnya. Dia mengambil semua beg Dian dan membawanya turun. Dian tidak berjumpa dengan Harris kerana dia berat hati untuk mengetuk bilik Harris. Harris keluar dari biliknya apabila Dian sudah berada di bawah dan bersedia untuk pergi. Harris bergegas ke bawah. Azad membukakan pintu teksi kepadanya. Dian teragak-agak mahu masuk ke dalam teksi. Dia seperti menunggu seseorang. Tiba-tiba namanya dipanggil. Dia melihat Harris berlari mendapatkannya. Harris meminta Dian jangan pergi. Dia meminta peluang kepada Dian untuk membuka pintu hatinya untuk dirinya. Dian memandang kepada Harris. Azad mulai bimbang sekiranya Dian berpaling pada Harris. Dia mengingatkan Dian yang Dian sudah berjanji akan memberikan peluang kedua kepadanya. Dian binggung. Dia tidak tahu mahu membuat keputusan.

2 tahun sudah berlalu. Kini Dian kembali lagi ke Istanbul. Kali ini dia mahu mengambil gambar perkahwinannya di sebuah bangunan yang dikenali sebagai Aya Sopia. Dian berpakaian pengantin dan menunggu pengantin lelakinya tiba di situ. Muncul pengantin lelakinya dan pengantinnya itu adalah Harris. Rupanya Dian memilih Harris sebagai teman hidupnya. Ternyata kedatangannya ke Istanbul bukan untuk merapatkan hubungannya dengan Azad tetapi untuk bertemu dengan Harris. Dian berasa bahagia kerana Harris begitu menyayangi dirinya. Tamat ...

Para pelakon :
Lisa Surihani sebagai Dian
Beto Khusairy sebagai Harris
Tomok sebagai Azad
Aizat Hamdan sebagai Ijol

* Haha ... cite lawak ... mesra banget si Tomok dengan si Lisa Surihani ... berpeluk bagai ... hmmm ... jelos nanti bini Tomok ngan si Yusri nengok aksi romantik diaorang tu ... hehe ... susah payah si Dian tu tak kemana pun ... lain yang dicari .. lain yang dapat ... walaupun dia dapat jugak cincin dari Azad macam yang dia harapkan tapi perasaan cinta pada Azad dah hilang ... akhirnya si Harris jugak yang dapat ... hahaha .... 
layan jek la kannnn ....



4 comments:

ahsfantasy24 said...

bila tengok cerita ni,
rasa macam nak ketuk2 kepala si azad tu, huu~

aznanie said...

salam Ahsfantasy24 ...
betul2 ... geram ngan si Azad tu ... sian kat Dian kannn .. bersusah payah datang Istanbul ... ingatkan Azad setia pada dia .. rupanya main kayu tiga ngan awek Turki ... hampeh punya Azad .. tapi Harris pun ok jugak ... nampak cam mamat slow tapi pengotor sikit .. kencing bersepah .. hahahha ...

Thanks sudi singgah blog akak n komen kat sini ...

Wilson said...

Citer ni mmg kiranya best antara filem2 melayu yg sy tgk. Yang lagi bagusnya, awak sanggup tuliskan sinopsis citer ni, Sinopsis sebegini mmg banyak kat
sini sana, tapi awak punya cukup kemas and detail. Wish you 'bahagia' for you and family. Kalau tidak keberatan, tulislah sinopsis utk citer2 yg lain menarik
lagi. TQ! :)

Nurul hidayu Ajis said...

cerita nie memang best..brapa kali dah tengok..tak jemu-jemu......akak punya blog ni boleh tlg ajar tak macamana nak tulis blog mcm dalam cerita nie.....best lah

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...