Lama tak buat sinopsis novel .... sebab dah lama tak beli novel ... minggu lepas beli sebuah novel ... hasil karya novelis Rozita Abd. Wahab ... best jalan ceritanya ... mengundang air mata ... perjalanan kehidupan seorang wanita bernama Auni Filzah ... kehidupan yang penuh dengan liku-liku ... baru nak mengecapi bahagia ... dugaan datang ... memusnahkannya ... tapi yang best happy ending ... bahagia setelah derita ... cam tu la ... jadi, jom layan sinopsis novel Setelah Hati Di miliki ni ....
" Musnah sebuah harapan, berderai segala impian ... "
Disebabkan onar yang dibuat oleh Amni, Auni yang terpaksa menjadi galang-gantinya. Dia dipinta meneruskan sebuah perkahwinan tanpa kerelaan hati. Demi maruah keluarga dan rahsia yang selama ini tersimpan kemas, dia menerima jua Fikri sebagai suaminya. Tiada secubit pun rasa kasih yang wujud di ruang hati tatkala lafaz akad itu bergema.
Auni berasa kesal kerana menerima lelaki yang tidak dikasihinya. Dia cuba memujuk hati untuk menyayangi Fikri, namun dia takut diusik rasa kecewa. Dia dapat merasakan bakal menjadi janda sebaik saja cerita yang satu itu terbongkar.
Seiring masa berlalu, lelaki yang diterima tanpa rela itu akhirnya berjaya juga meraih kasihnya. Namun, semuanya musnah sebaik sahaja Fikri mendapat tahu status dirinya yang sebenar. Dia diceraikan tanpa sedikit pun rasa simpati.
Setelah hatinya dimiliki, mengapa begitu mudah ia dilukai? Kenapa dia harus merasakan kesakitan itu lagi? Namun, jatuh sekali tidak bererti akan rebah sekali lagi. Dia bangkit membina semangat untuk meneruskan kehidupan. Semoga kebahagiaan akan menjadi miliknya yang abadi.
Sinopsis oleh : aznanie
Auni Filzah seorang wanita yang memiliki segalanya. Namun dia masih bersendiri. Kemelut percintaan adiknya, Amni dengan tunangannya Fikri, sedikit sebanyak memberi tempias kepadanya. Semakin dekat tarikh pernikahan mereka, Amni pula menjarakkan diri dari Fikri. Kepada Auni di adu dombakan perasaannya. Walhal hubungan mereka tidaklah semesra mana pun.
Kepulangan Hadi mengejutkan Auni. Hadi adalah abang sepupunya yang merajuk membawa diri ke Sabah kerana hasratnya untuk mengahwini wanita idamannya di halang oleh ibu bapanya. Kononnya Hadi diguna-gunakan oleh perempuan itu yang merupakan seorang janda anak dua. Hadi tidak dapat menerima kenyataan itu dan melarikan dirinya.
Tindakan Amni pulang ke kampung bersama seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai bakal suaminya amat mengejutkan ibu bapanya termasuk Auni. Amni meminta kebenaran ayahnya untuk menikahi Zamarul yang sebaya ayahnya itu. Auni tidak sabar melihat kelakuan adiknya itu. Terjadi perang mulut antara keduanya. Akhirnya Amni mengaku sudah terlanjur bersama Zamarul dan akibat dari perbuatan mereka itu, Amni kini mengandung. Mahu tidak mahu ayahnya terpaksa menikahkan mereka berdua.
Bersemuka dengan keluarga Fikri bukanlah suatu yang mudah. Ketegasan ibu Fikri, Puan Mariam tidak mampu dilentur oleh sesiapa. Puan Mariam mahukan majlis perkahwinan diteruskan jugak. Puan Mariam mahukan Auni sebagai ganti Amni. Jika tidak, dia akan menyaman keluarga Auni. Permintaan itu memeningkan kepala Auni kerana menerima bererti rahsia yang selama ini tersimpan kemas pasti akan terbongkar. Dia tidak mahu itu terjadi. Dia tidak mahu melukakan hati ibu dan ayahnya lagi. Cukuplah Amni yang menjadi duri dalam keluarganya.
Auni berjumpa Umi Aminah, wanita yang amat memahami perasaannya itu. Lama dia tidak bertemu dengan wanita itu. Semuanya kerana Adam. Jejaka yang muda setahun darinya itu telah meluahkan hasrat hati untuk mengahwininya. Hasrat itu ditolak oleh Auni. Bukan kerana jarak usia mereka tetapi kerana Adam adalah bekas adik iparnya. Adik kepada arwah suaminya, Amzar yang dinikahinya sewaktu mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di luar negara dahulu. Pernikahan yang dirahsiakan dari ibu dan ayahnya. Hanya Umi Aminah dan Adam serta seorang rakan karibnya, Lily sahaja yang tahu rahsia ini. Dan kerana rahsia ini jugak lah dia keberatan untuk menerima Fikri sebagai suaminya. Dia pasti akan diceraikan oleh Fikri seandainya rahsianya ini diketahui. Tetapi dia tidak sanggup untuk memberitahu Fikri perkara sebenar sebelum mereka berkahwin kerana tidak mahu menambah malu dan luka yang ditanggung ayah dan ibunya.
Akhirnya Auni bersetuju dengan rancangan Puan Mariam. Semangat dan nasihat yang diberikan oleh Umi Aminah telah menyedarkan akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Biarlah dia berkorban demi maruah ibu dan ayahnya. Walaupun dia tahu dia akan diceraikan oleh Fikri apabila rahsianya terbongkar, dia akan menerima segalanya dengan tabah. Itu tekadnya.
Puan Mariam sangat gembira dengan persetujuan Auni. Dia memang sangat sukakan Auni berbanding Amni. Hati tuanya terpikat dengan perilaku dan kesopanan Auni. Walaupun Amni lebih cantik berbanding Auni tetapi Auni ada kelebihannya yang tersendiri.
Majlis pernikahan mereka dijalankan dalam suasana meriah walaupun tiada pelamin persandingan. Masing-masing masih bersikap dingin antara satu sama lain. Masih kekok kerana masing-masing tiada perasaan sayang dan cinta dalam hati mereka.
Hari berlalu, tanpa sedar tumbuh suatu perasaan yang sukar dimengertikan oleh Auni. Mungkin kerana mereka selalu bersama maka perasaan indah itu terbit jua di dalam hati. Tetapi Auni tidak mahu terus terusan mempunyai perasaan itu kerana dia takut untuk menyatakan rahsia yang di simpannya.
Fikri jua tidak menyangka yang perasaannya mulai berubah. Ada getar rindu untuk isteri yang dinikahi tanpa perasaan cinta itu. Dia tidak sedar bila masanya dia mulai menyayangi Auni. Tetapi dia dapat merasakan Auni tidak mahu bermesra dengannya. Mungkin Auni belum dapat menerima dirinya sepenuhnya. Itu fikir Fikri.
Kepulangan Fikri dari outstation telah merubah segalanya. Kerana mahu melepaskan perasaan rindu yang bersarang di hati, Fikri telah melakukan perbuatan yang amat ditakuti oleh Auni. Apa yang disangka Auni nyata berlaku. Fikri mengamuk apabila menyedari dirinya telah ditipu. Disangka Auni seorang gadis, rupanya Auni adalah seorang janda kematian suami. Fikri tidak dapat menerima kenyataan itu. Dia merasakan dirinya dikhianati dan di tipu oleh Auni. Hilang rasa sayang yang baru bercambah itu. Ditinggalkan Auni yang dalam sedu sedan menahan rasa.
Fikri mulai berubah. Menjadi seorang pemarah dan panas baran. Apa sahaja yang dilakukan oleh Auni salah di matanya. Auni terpaksa melalui semua itu dengan sabar. Dia tahu itu hukuman untuk dirinya. Fikri melakukannya seperti sampah yang tidak bernilai. Dirinya dikasari zahir dan batin. Bila Fikri menginginkannya, Fikri akan melakukannya tanpa memperdulikan perasaannya.
Sehingga Auni disahkan mengandung luar rahim dan dimasukkan ke hospital, Fikri masih tidak memperdulikannya. Fikri tidak mahu menghantar Auni ke hospital. Auni pergi sendiri ke hospital. Setelah dibedah untuk membuang janin yang tumbuh di luar rahimnya itu, Auni ditahan di wad. Adam yang setia bersama Auni sepanjang dirinya di hospital. Adam memberitahu Fikri akan keadaan Auni.
Fikri bergegas ke hospital apabila di beritahu yang Auni telah ditahan di hospital. Dia menyesal kerana tidak mengambil berat akan kesihatan Auni. Tetapi perasaan marah dan cemburunya kembali memuncak apabila melihat Adam bersama Auni. Ketika itu Adam sedang membantu Auni bangun untuk minum air.
Akibat kejadian itu, Fikri telah melafazkan talak kepadanya. Maka berakhirlah sebuah perkahwinan yang penuh dengan kemelut perasaan itu. Auni terseksa kerana dia mencintai Fikri. Tetapi cinta itu telah terhapus setelah apa yang dilakukan Fikri kepadanya.
Auni tinggal bersama Umi Aminah dan Adam setelah keluar dari hospital. Umi Aminah menjaganya seperti anaknya sendiri. Walaupun anaknya, Amzar telah tiada tetapi kasih sayangnya pada Auni tidak pernah berubah. Malah semakin sayang. Adam mulai menunjukkan sikap perihatin pada Auni. Kasih sayangnya semakin bercambah pada wanita yang pernah menjadi kakak iparnya itu. Sikap terlalu menjaga yang ditunjukkan Adam membuat Auni rimas. Dan kerana keadaan itu, Auni bertindak keluar dari rumah itu dan menyewa bersama rakan sekerjanya.
Fikri mulai menyedari kesilapannya. Dia menyesal kerana memperlakukan Auni sedemikian rupa. Dia masih cintakan Auni. Sedaya upaya dia mahu kembali kepada Auni. Tetapi tidak dilayan oleh Auni. Dia rimas di ganggu oleh Fikri yang terus-terusan memujuk rayunya. Juga Adam yang tidak mahu mengerti akan dirinya. Dalam kemelut itu, Hadi menawarkan diri untuk mengahwininya. Auni terkejut dengan permintaan Hadi itu. Tetapi setelah difikir semasak-masaknya, akhirnya Auni menerima lamaran Hadi.
Fikiran Auni terganggu. Dia tahu dia sudah tidak dapat menyimpan rahsia itu lagi. Dia mahu membuat pengakuan pada ibu dan ayahnya. Dan kerana itu dia kembali ke kampung. Tetapi di kampung dia dikejutkan dengan kejadian yang tidak disangkanya. Dia terlihat Hadi memeluk Amni dan mencium pipi adiknya itu. Auni angin dengan kejadian itu. Akhirnya, Hadi membuka rahsia yang mereka sekeluarga berpakat untuk menolong Fikri mendapatkan Auni. Ibu dan ayah Auni telah tahu rahsia yang disimpan oleh Auni dan berasa bersalah dengan Fikri. Sebenarnya, Hadi telah bernikah dengan Amni yang telah bercerai dengan Zamarul tanpa pengetahuannya. Rancangan untuk menyatukan Fikri dengan Auni adalah rancangan ibu dan ayah serta Amni. Amni menyangka yang Auni masih mencintai Fikri.
Auni membawa diri ke rumah Umi Aminah. Hanya di situ dia diterima. Hanya di situ tempat dia mencurahkan rasa hati yang kecewa. Hanya pada Umi Aminah dan Adam yang memahami gelodak hatinya. Akhirnya, Auni bersetuju menerima Adam sebagai suaminya.
Auni berasa sangat bahagia. Adam memanjakan seperti kanak-kanak yang dahagakan kasih sayang. Seluruh perhatian tertumpah kepadanya. Hatinya tersentuh dengan kasih sayang di berikan Adam. Kasih sayang yang melebihi kasih sayangnya. Adam menasihatkan Auni supaya memaafkan keluarganya. Mereka hanya mahukan Auni bahagia. Walaupun caranya tidak kena pada tempatnya. Akhirnya, Auni menerima kata-kata suaminya itu. Dia terkejut kerana dia menyangka Fikri yang membuka rahsianya tetapi sebenarnya Hadi lah orang yang membuka rahsianya kepada orang tuanya. Dia mulai dihantui perasaan bersalah terhadap Fikri. Dia menuduh Fikri yang mengucar-kacirkan hidupnya. Adam mulai terasa dengan sikap Auni. Dia merasakan Auni menyesal memilihnya sebagai suami. Tetapi Auni cepat-cepat meyakinkan Adam yang dirinya tidak salah membuat pilihan. Adam adalah seorang suami yang tercipta untuk dirinya. Cinta dan sayangnya hanya pada Adam. Tidak pada yang lain. Semoga bahagia ini milik mereka sehingga ke akhirnya. Tamat ....
Penulis : Rozita Abd. Wahab
Terbitan : Alaf 21 @ grupbuku karangkraf
Point : 5/5
* Best sangat ... jalan cerita yang stright to the point ... gaya bahasa yang mudah difahami ... cerita yang ringan ... tak kusut-kusut kepada pikir ... ada suka ... ada romantik ... ada geram ... ada bahagia ... semua ada ... geram dengan Fikri ... tak tau fikir perasaan orang lain .. pentingkan diri sendiri ... geram jugak dengan Auni ... kalau dari awal dia terima Adam ... tak de la kena siksa dengan Fikri ... hehe ... emo pulak aku ni ... tapi akhirnya bahagia ... biasalah ... happy ending memang cam ni ... tapi kalau dia pilih kembali pada Fikri ... cam mana ea akhirannya ... hehe ... tu lain cite la ea ... apa pun tahniah pada penulis novel ni iaitu Rozita Abd. Wahab kerana dapat menghasilkan sebuah novel yang memang sangat-sangat best ... sampai tak leh stop baca ... baca dan baca dan baca ... alih-alih dah habis ... tengok jam dah pukul 3 pagi ... hahaha ... sabo jek la ...
2 comments:
makasih banyak buat infonya gan,,, sangat bermafaat..
http://goo.gl/4NuXkM
Terima kasih yer rivew ni.. Xsabau nak baca
Post a Comment