Monday, October 29, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 5'

Arang And The Magistrate
Episod 5

Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 4 ...

Gim Eun Oh berkejaran ke pejabat Magistrate. Dia mahu cepat-cepat sampai ke sana untuk bertemu dengan Arang. Di pertengahan jalan, dia bertemu dengan Dol Soe. Dol Soe mengingatkan Gim Eun Oh tentang rancangan mereka untuk pergi dari situ setelah selesai urusan pengkebumian. Gim Eun Oh menyuruh Dol Soe meneruskan urusan itu kerana dia ada perkara lain yang mahu dilakukannya. Dol Soe tidak puas hati dengan Gim Eun Oh. Dia merasakan yang Gim Eun Oh menyembunyikan sesuatu daripadanya. Dia yakin yang semua itu ada kaitan dengan perempuan tadi. Tetapi Gim Eun Oh berdolak dalik dengannya. Akhirnya Gim Eun Oh melarikan diri dari Dol Soe.


Gim Eun Oh tiba di pejabatnya. Dia terus ke biliknya. Dia memarahi Arang kerana pergi juga ke kawasan perkuburan. Tetapi Arang menidakkannya. Gim Eun Oh tidak berpuas hati dengan kata-kata Arang itu. Dia mencari baju yang dipakai oleh Arang tadi. Dia menyelak kain Arang dan terlihat kulit kaki Arang. Arang menjerit dan menampar muka Gim Eun Oh. Berbekas tapak tangan Arang di pipinya. Arang terkejut dan meminta maaf dari Gim Eun Oh. Arang menuduh Gim Eun Oh lelaki yang tidak tahu malu. Gim Eun Oh mahu menutup perbuatannya dengan menyuruh Arang bercerita tentang dirinya. Gim Eun Oh meminta cucuk sanggul kepunyaan ibunya tetapi Arang menyatakan yang dia tertinggal cucuk sanggul itu di dunia yang lain kerana dia muncul dalam keadaan berbogel. Lagipun sekarang dia adalah manusia. Jadi mana mungkin dia masih boleh menyimpan barangan kepunyaan hantu. Gim Eun Oh amat marah dengan kata-kata Arang itu. Terjadi pertengkaran di antara mereka. Arang mengatakan yang ibu Gim Eun Oh hilang tetapi sengaja meninggalkan Gim Eun Oh kerana sikap biadap Gim Eun Oh itu.


Gim Eun Oh keluar meninggalkan Arang. Dia tidak percaya yang Arang sanggup berkata begitu kepadanya. Dia belari hingga tiba di suatu tempat. Dia mulai teringat kisah silam bersama ibunya. Di saat dia mahu dibawa ke tempat ayahnya. Dia tidak mahu meninggalkan ibunya. Dia mahu berada di samping ibunya. Tetapi ibunya hanya mendiamkan diri sahaja. Bila dia dibawa pergi, ibunya menutup pintu rumahnya. Gim Eun Oh teringat juga di waktu dia memberikan ibunya cucuk sanggul itu sebagai hadiah untuk mengambil hati ibunya. Ibunya tidak memperdulikan dirinya. Dia berkata dia menyesal dan lebih baik jika dia tidak mempunyai seorang ibu. Gim Eun Oh benar-benar sedih dengan perlakuan ibunya itu. Dia tidak tahu kenapa ibunya bersikap begitu. Walau bagaimanapun, dia tetap mahu mencari ibunya.


Setelah berfikir semalaman, Gim Eun Oh pulang ke pejabatnya. Dia melihat kasut Arang masih di situ. Dia membuka pintu biliknya dan mendapati Arang masih duduk di dalam biliknya. Apabila Arang menoleh ke arahnya terlihat kesan lebam di sekeliling mata Arang. Dia bertanya kenapa keadaan Arang begitu. Arang berkata beginilah rupany jika seorang manusia tidak tidur semalaman. Gim Eun Oh tidak dapat menahan rasa gelihatinya melihat keadaan Arang itu. Arang mulai naik angin melihat Gim Eun Oh yang mentertawakannya. Gim Eun Oh duduk di sisi Arang. Arang meminta maaf kerana kelancangannya semalam. Gim Eun Oh tidak mahu meminta maaf. Jadi Arang mahu mereka menguburkan sahaja rasa marah itu dan anggap tiada apa yang berlaku. Gim Eun Oh berkata yang cucuk sanggul itu adalah milik ibunya. Arang terkejut dan menyatakan yang dia tidak mengingati apa-apa. Gim Eun Oh mahu mereka berkerjasama. Arang mencari kebenaran tentang kematiannya dan dia mencari di mana ibunya. Gim Eun Oh merasakan yang kematian Arang memang berkait dengan kehilangan ibunya. Arang mulai naik angin. Dia marah setelah mengetahui yang Gim Eun Oh membantunya hanya kerana mahu mencari ibunya. Dia merasakan Gim Eun Oh hanya mempergunakan dirinya sahaja.

Gim Eun Oh memberitahu Dol Soe yang dia tidak jadi untuk pergi dari situ kerana ada urusan lagi di situ. Dol Soe tidak berpuas hati dengan jawapan Dol Soe. Dia mahu pulang ke kampungnya. Dia pasti keputusan Gim Eun Oh itu pasti ada kaitannya dengan gadis yang dinamakan Arang itu. Yang lebih menyebalkan Dol Soe apabila Gim Eun Oh memberitahu yang gadis itu adalah anak kepada gurunya. Gim Eun Oh meminta Dol Soe bersabar untuk sedikit masa lagi. Dol Soe geram dengan kata-kata Gim Eun Oh itu. Dia berkata terpulanglah apa yang mahu Gim Eun Oh lakukan. Dia tidak mahu ikut campur.

Lee Bang mengadu kepada Lord Choe akan keputusan Gim Eun Oh yang mahu terus memegang jawatan magistrate di situ.  Lord Choe begitu marah dan membaling batu ke arah Lee Bang. Nasibnya baik kerana Lord Choe tidak mensasarkan batu itu ke kepalanya. Lord Choe mengarahkan orang suruhannya itu pergi ke tempat asal Gim Eun Oh dan mencari maklumat tentang niat dan tujuan Gim Eun Oh datang ke situ.


Bang Ool keluar ke jalanan untuk mencari tempat supaya dapat mencari sedikit duit. Dia tidak mahu mati kelaparan kerana tiada orang mahu menilik nasib dengannya. Di pertengahan jalan dia terserempak dengan Dol Soe. Dol Soe sedang marah dan membebel-bebel. Dia tidak puas hati dengan Gim Eun Oh. Dia merasakan yang Gim Eun Oh sudah tidak memperdulikan dia setelah berjumpa dengan Arang. Bang Ool mahu mengambil kesempatan pada Dol Soe. Dia mahu mendapatkan sedikit duit dari Dol Soe. Dia mendekati Dol Soe yang sedang minum di sebuah gerai. Setelah memperkenalkan dirinya, Bang Ool duduk di hadapan Dol Soe. Bang Ool mengunakan maklumat yang didengarinya tadi dan mengolahnya seperti nampak yang dia benar-benar seorang bomoh yang hebat. Dol Soe terkejut mendengar kata-kata Bang Ool itu. Dia bertanya bagaimana Bang ool tahu masalah yang sedang dia hadapi. Bang Ool terus memainkan peranannya. Dia membelek-belek muka Dol Soe. Kemudian dia terus mengarang cerita. Ceritanya berjaya menarik perhatian Dol Soe. Bang Ool menawarkan perkhidmatan meramal masa depan mereka berdua. Dol Soe bersetuju. Bang Ool meminta tarikh lahir dan upahnya. Setelah Dol Soe memberi apa yang dimintak oleh Bang Ool, Bang Ool pun memulakan kerjanya. Bang Ool memberitahu Dol Soe yang dia tidak perlu bimbang kerana orang itu akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Dia menambah yang umur orang itu tidak panjang dan akan pergi ke dunia yang lain. Dol Soe naik angin dengan  kata-kata Bang Ool itu. Sanggup Bang ool berkata yang umur tuannya tidak panjang dan akan mati tidak lama lagi. Dol Soe memegang Bang Ool dengan kejap sehingga Bang Ool kesakitan dan berusaha melepaskan dirinya. Dol Soe menuduh Bang Ool seorang bomoh penipu. Bang Ool mencari helah untuk melepaskan dirinya. Akhirnya Bang Ool dapat melarikan diri setelah helahnya berjaya mengelirukan Dol Soe.


Setelah seharian berfikir, akhirnya Arang bersetuju dengan cadangan Gim Eun Oh supaya mereka berkerjasama. Gim Eun Oh sudah menjangkakan jawapan dari Arang itu. Jadi, dia membawa 2 biji buah peach untuk meraikan tanda persetujuan Arang untuk bekerjsama dengannya. Arang ketakutan melihat buah peach itu kerana hantu tidak boleh memegang buah peach. Mereka akan cedera jikalau terkena buah peach itu. Gim Eun Oh meyakinkan Arang yang tiada apa-apa akan berlaku kerana Arang sudah menjadi seorang manusia biasa. Arang teragak-agak mahu mengambil buah peach itu. Bukan kepalang gembiranya dia apabila dia dapat memegang dan makan buah peach yang sangat manis itu. Gim Eun Oh mengejeknya kerana Arang tidak pasti samada dia manusia atau tidak.


Ju Wal bertemu dengan wanita yang dipanggil Lady di dalam bilik di belakang rumahnya itu. Lady bertanya samada Ju Wal sudah menyediakan apa yang dia mahukan pada setiap bulan mengambang penuh. Dia berharap sangat agar dia dapat apa yang dia mahukan kali ini kerana perasaannya berasakan kelainan pada mangsa yang disediakan Ju Wal kali ini. Ju Wal berlalu dan bersiap untuk memberikan apa yang diinginkan oleh Lady itu.


Arang sudah tidur di bilik yang dikhaskan untuknya. Gim Eun Oh masih lagi mundar mandir di luar biliknya. Terngiang-terngiang kata-kata Arang yang bertanyakan di manakah dia berada sewaktu ibunya menghilangkan diri. Gim Eun Oh teringat sewaktu kecil dimana dia berlari mengadu kepada ibunya yang dia diejek oleh kawan-kawannya yang mengatakan dia adalah anak seorang hamba. Pihak sekolah juga tidak membenarkan dia datang ke sekolah lagi. Ibunya berkata hari itu adalah hari kematian datuk, nenek, pak cik dan sepupu sebelah ibunya. Semua orang mati pada hari yang sama kecuali dirinya. Semuanya kerana perbuatan seorang lelaki yang kejam. Dia akan menuntut bela di atas kematian semua keluarganya itu. Dia mahu membalas dendam kepada lelaki itu. Kemudian ibunya pengsan.


Ju Wal memasuki kawasan pejabat Magistrate dengan berpakaian hitam. Dia kemudiannya masuk ke dalam bilik Arang. Dia mahu menikam Arang kerana Arang adalah gadia yang terpilih. Setelah dia menikam Arang, dia menampal satu mentera di leher Arang dan mentera itu hilang dari pandangan. Ju Wal mengendong Arang untuk di bawa ke suatu tempat. Gim Eun Oh bagai terdengar suatu bunyi dari bilik Arang.


Jade Emperor sedang bermain baduk. Tiba-tiba baduknya mengeluarkan suatu bunyi. King Yama bertanya kenapa Jade Emperor menghentikan permainannya. Jade Emperor memberitahu yang segalanya sudah bermula. King Yama mengeluh kerana tidak tahu adakah permulaan itu kepada suatu yang betul atau tidak. Jade Emperor hanya mendiamkan diri sambil fikirannya ligat berfikir.


Gim Eun Oh bergegas ke bilik Arang. Sebaik membuka pintu bilik Arang didapati Arang tiada di situ. Gim Eun Oh bersungut kerana menyangkakan Arang keluar dari bilik itu dan berjalan di waktu malam sebagaimana sewaktu Arang masih menjadi hantu dahulu. Sewaktu Gim Eun Oh mahu menutup pintu bilik Arang dia terpandang tompokan darah di celah-celah tilam Arang. Gim Eun Oh mendekati kerana ingin mempastikan apa yang dilihatnya itu.


Setelah yakin itu adalah darah, Gim Eun Oh bergegas keluar dari bilik itu. Di luar bilik dia melihat ada lelehan darah. Gim Eun Oh mengikut jejak darah itu. Tetapi jejaknya terhenti di dua persimpangan. Tiada kesan darah di situ. Gim Eun Oh menjerit memanggil nama Arang.

Ju Wal membawa mayat Arang ke suatu kawasan bukit. Di situ terdapat sebuah pondok. Setelah memastikan Arang sudah mati, Ju Wal meninggalkan Arang di situ. Ju Wal teringat semasa dia kecil, di mana Lady itu menjadikannya anak angkat Lord Choe dan dia diberi nama Choe Ju Wal. Lady memakaikannya sebentuk cincin. Tugasnya adalah membawakan Lady itu seorang gadis yang mempunyai roh yang asli (pure soul) Cincin itu akan memberitahu Ju Wal siapakah gadis yang dimaksudkan Lady itu.

Sedang Ju Wal mengelamun, Lady menegurnya dari belakang. Lady bertanya samada Ju Wal sudah membawa gadis yang dimaksudkannya. Ju Wal mengiyakannya dan membawa Lady ke pondok penyembahan itu.

Apabila sampai di pondok itu, Ju Wal membukakan pintu kepada Lady tetapi dia terkejut melihat wajah Lady bertukar menjadi marah. Dia menoleh ke dalam pondok itu. Dia terkejut kerana mendapati Arang sudah tiada di situ. Lady itu memarahi Ju Wal kerana menyangkakan yang Ju Wal mempermain-mainkannya. Ju Wal menegaskan yang dia memang sudah menikam gadis itu dan sudah memastikan gadis itu sudah benar-benar mati. Ju Wal hairan bagaimana gadis itu boleh hilang dari situ. Ju Wal bergegas keluar dari pondok itu. Dia berlari mencari jejak gadis itu tetapi tidak berjumpa. Dia hairan macam mana perkara itu boleh terjadi. Bagaimana seorang gadis yang sudah ditikam dan disahkan mati boleh menghilangkan diri dari pondok itu.


Rupanya Arang tidak mati. Dia tersedar dan merasa sakit di dadanya. Dia tahu dia ditikam seseorang. Arang melarikan diri dari situ. Dia berlari sekuat hatinya sehingga sampai ke kawasan perkampungan.


Arang terhenti kepenatan, setelah yakin tiada orang yang mengejarnya. Tiba-tiba mulutnya ditekup dari belakang. Dia terasa di tarik seseorang. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri. Dia terdengar suara seseorang memanggil namanya. Dia menoleh dan terlihat Gim Eun Oh di sisinya. Arang berasa lega. Dia memberitahu Gim Eun Oh yang dirinya ditikam seseorang dan di tinggalkan di atas gunung. Setelah sedar dia melarikan diri dari situ. Kemudian, Arang pengsan tidak sedarkan diri. Gim Eun Oh berasa hairan melihat keadaan Arang yang telah ditikam tetapi tidak mati. Dia mengesyaki yang Arang memiliki sesuatu kelebihan setelah di hidupkan kembali.


Gim Eun Oh membawa Arang pulang ke biliknya. Dia melihat keadaan Arang yang berlumuran darah itu. Dia bertanya dirinya sendiri, apa yang telah terjadi. Siapakah yang mahu membunuh arang.

Lady begitu marah dengan Ju Wal. Puas Ju Wal menerangkan yang dia memang sudah menikam dan menampal mentera pada gadis itu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Lady tidak mempercayai kata-katanya. Dia menampar Ju Wal sehingga pipi Ju Wal berdarah akibat terkena cincin yang dipakai Lady itu. Ju Wal meminta maaf dan akan memastikan perkara itu tidak akan berulang lagi. Lady itu naik angin apabila mendengar kata-kata Ju Wal. Dia mengugut Ju Wal untuk memulangkan Ju Wal ke keadaannya yang asal. Di mana Ju Wal tidak punya nama, miskin dan berpenyakit. Selagi Ju Wal masih mampu membawakannya roh gadis yang diingininya, Ju Wal akan menikmati kehidupan yang selesa dan menjadi manusia normal. Ju Wal terduduk mendengar kata-kata Lady itu. Lady itu meninggalkan Ju Wal dalam keadaan marah yang amat sangat. Ju Wal teringat semasa kecil dia tidak ada sesiapa dan tidak ada makanan. Dia mencuri  makan makanan yang dimakan oleh lembu. Dia selalu di ejek dan dihina oleh budak-budak sebayanya. Ju Wal tidak mahu perkara itu berulang lagi. Dia tidak mahu melalui pengalaman sebegitu lagi.

Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Dia melihat Arang masih belum sedar. Dia mendekati Arang dan melihat kesan tikaman di dada Arang. Terkejut dia melihat hanya kesan darah sahaja yang ada di situ. Kesan tikaman sudah tiada. Gim Eun Oh percaya yang Arang bukan manusia biasa sepertinya.

Bang Ool keluar mencari rezeki. Dia membentangkan tikar di tepi jalan sambil membawa bekalan untuk di makan. Dia mencium bau kimchi yang dibawanya. Itu sahaja yang ada untuk makanannya. Dia membayangkan kimchi itu adalah daging. Setiap orang lalu di tegurnya untuk menilik nasib dengannya.


Dol Soe tertidur di kedai makan. Pekedai mengejutkan dia. Dol Soe terkejut apabila melihat hari sudah pagi. Dia memarahi Bang Ool yang membuatkan dirinya tertekan begitu. Sedang Bang Ool menjerit memanggil pelanggan, tiba-tiba dia terlihat kelibat Dol Soe. Dol Soe juga perasan kelibat Bang Ool. Dia mendekati Bang Ool. Bang Ool ketakutan melihat Dol Soe menghampirinya. Bang ool mengambil barangannya dan mahu pergi dari situ tetapi dihalang oleh Dol Soe. Dol Soe bertanyakan adakah ramalan Bang Ool semalam itu benar. Bang Ool tergagap-gagap mahu menjawab. Bang Ool berusaha untuk melarikan diri dari situ. Dol Soe sudah mengagak yang Bang Ool menipunya. Apabila Dol Soe mahu menerkam ke arah Bang Ool, tiba-tiba Dol Soe di siram air oleh peniaga gerai di situ. Basah kuyup Dol Soe. Dol Soe memarahi peniaga itu. Melihat keadaan Dol Soe yang kebasahan itu, Bang Ool merasakan sesuatu di dalam hatinya. Dol Soe berlalu dari situ dalam keadaan marah.

Gim Eun Oh meminta pakaian perempuan dari pegawainya. Nasibnya baik kerana masih ada pakaian untuk pegawai perempuan di situ. Gim Eun Oh bertanya tentang gunung yang dimaksudkan Arang malam tadi. Pegawai itu menerangkan yang gunung itu dipanggil gunung yang diabaikan. Ini kerana gunung itu berhantu. Orang kampung tidak berani ke sana walaupun untuk upacara pengebumian. Tiada siapa yang mahu ke gunung itu. Gim Eun Oh mengambil pakaian itu dan berlalu meninggalkan pegawainya yang masih berceloteh tentang gunung itu.


Gim Eun Oh meletakkan pakaian itu di dalam biliknya memandangkan Arang masih belum sedar. Setelah meletakkan kasut Arang di luar biliknya, Gim Eun Oh berpaling dan dia terkejut bila mendapati Dol Soe memandang ke arahnya. Dol Soe melihat perlakuan Gim Eun Oh dengan perasaan jengkel. Dol Soe pasti hubungan Gim Eun Oh dan Arang bukan hubungan biasa. Dol Soe meluru masuk ke dalam bilik tuannya itu dan terkejut melihat Arang tidur di situ. Gim Eun Oh menekup mulut Dol Soe dan mengheretnya keluar dari situ. Dol Soe bertanya kenapa gadis itu berada disitu. Adakah Gim Eun Oh tidur bersama dengan perempuan itu. Gim Eun Oh hanya mengiayakannya sahaja. Jawapan Gim Eun Oh membuatkan Dol Soe terkejut. Dol Soe mengugut untuk memberitahu ayah Gim Eun Oh tentang perkara itu. Gim Eun Oh memandangnya. Dol Soe mulai takut dengan pandangan Gim Eun Oh itu. Gim Eun Oh meminta Dol Soe mengikutnya. Dol Soe terkejut dengan arahan itu tetapi menurut sahaja.

Gim Eun Oh pergi ke Abandoned Mountain. Dol Soe tidak tahu apa yang dicari oleh Gim Eun Oh di situ. Dia masih mahu memperkatakan tentang Arang. Gim Eun Oh meminta Dol Soe mencari sesuatu yang boleh dijadikan bahan bukti. Dol Soe tidak mengerti apa yang diperkatakan oleh Gim Eun Oh. Dol Soe bertanya sampai bila hubungan Gim Eun Oh dan Arang akan berterusan. Gim Eun Oh memberitahunya yang dia akan bersama Arang hingga ke akhirnya. Dol Soe terkejut dengan kenyataan Gim Eun Oh itu. Dia tidak percaya yang ayah Gim Eun Oh akan membenarkan Gim Eun Oh mengahwini Arang. Tetapi apabila melihat reaksi Gim Eun Oh yang mulai naik angin dengan omelannya itu, Dol Soe cepat-cepat melarikan diri dari situ.

Sedang tercari-cari sesuatu, Gim Eun Oh terpandang sebuah pondok di situ. Gim Eun Oh mendekati pondok itu. Dol Soe mengikutnya dari belakang. Gim Eun Oh masuk ke dalam pondok itu. Dia melihat di dala pondok itu ada tempat penyembahan. Di situ juga terdapat meja denga kesan darah kering. Dol Soe mengajak Gim Eun Oh pergi dari situ kerana dia berasa seram seperti mereka diperhatikan oleh hantu-hantu. Gim Eun Oh berasa sangat pelik kerana tempat itu tiada hantu dan tiada kuasa yang negative di situ. Dol Soe tidak percaya cakap tuannya itu. Dia tetap percaya yang memang ada hantu disitu. Gim Eun Oh melihat di sekeliling pondok itu. Ia dipenuhi dengan mentera. Dol Soe ketakutan dan meninggalkan Gim Eun Oh keseorangan di situ.


Gim Eun Oh melihat kesan darah di situ. Dia merasakan sesuatu yang pelik. Apakah tempat itu. Kenapa Arang di tikam dan dibawa ke tempat itu. Kenapa Arang yang di pilih. Mungkin seseorang sudah mulai kenal Arang. Semua itu tidak masuk akal. Gim Eun Oh berpaling untuk keluar dari pondok itu apabila dia ternampak sesuatu yang terselit di tepi dinding. Dia pergi dan mengambilnya. Terkejut apabila dia mendapati ianya adalah cucuk sanggul kepunyaan ibunya yang pernah dipakai oleh Arang sewaktu Arang menjadi hantu dahulu. Dia tertanya kenapa cucuk sanggul itu berada di situ. Bersambung ...





Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Seo
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama

* Makin lama makin best ... tak sangka Arang tu kebal ... kena tikam pun tak mati ... sekejap jek pengsan ... yang lebih terkejut itu ... Lady tu maknya Gim Eun Oh tu ... wahhhh ... kejutan demi kejutan ... tapi Gim Eun Oh tak jumpa lagi mak dia ... jahat gile mak Gim Eun Oh ni ... makan roh manusia .... gilosss ... best la .. tak sabo nak tau kisah selanjutnya ... huhu ...

1 comments:

Anonymous said...

hmm sekarang nie episode berape yer?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...