Tuesday, October 23, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 2'


Arang And The Magistrate
Episod 2
Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 1 ....


Gim Eun Oh berjaya menyelamatkan Arang dari di tangkap oleh pengambil roh, Mu Yeong. Gim Eun Oh membawa Arang ke suatu tempat yang jauh dari pekan iaitu ke tepi sebuah sungai. Setelah memberhentikan kudanya, Gim Eun Oh menurunkan Arang dan menarik cucuk sanggul yang dipakai oleh Arang. Dia melihat cucuk sanggul itu. Dia yakin yang cucuk sanggul itu adalah cucuk sanggul yang sama yang diberikan kepada ibunya dahulu. Dia bertanya dimana Arang mendapat cucuk sanggul itu. Arang hanya mendiamkan diri. Setelah ditengking oleh Gim Eun Oh barulah Arang tersedar dari lamunannya. Arang melihat cucuk sanggulnya di tangan Gim Eun Oh. Dia memarahi Gim Eun Oh kerana mengambil cucuk sanggulnya. Bila Gim Eun Oh bertanya di mana Arang memperolehi cucuk sanggul itu. Arang menyatakan cucuk sanggul itu adalah miliknya. Tetapi Gim Eun Oh tidak mempercayainya. Dia berkeras ingin tahu di mana Arang menjumpai cucuk sanggul itu. Arang menyatakan dengan tegas yang dia memakainya sewaktu dia mati.
Setelah mengucapkan terima kasih kepada Gim Eun Oh, Arang segera meninggalkan tempat itu.


Gim Eun Oh yakin Arang mempunyai hubungan dengan ibunya. Memandangkan Arang tidak mengingati apa-apa sewaktu hidupnya maka dia tidak dapat bertanya kepada Arang. Kerana desakan ingin tahu akhirnya Gim Eun Oh bersetuju membantu Arang untuk menyiasat siapakah dirinya sewaktu hidupnya. Arang sangat gembira dengan persetujuan Gim Eun Oh itu. Dia tidak tahu tujuan sebenar Gim Eun Oh menolongnya.

Mu Yeong berasa curiga dengan kejadian yang berlaku tadi. Tetapi dia tiada jawapan untuk persoalannya. Dia naik ke atas. Di sana dia melihat dayang-dayang sedang sibuk membuat kerja masing-masing. Sedang dia leka mengelamun, dirinya ditegur oleh Jade Emperor. Mu Yeong menafikan apabila Jade Emperor menyatakan yang dirinya teringatkan adik perempuannya, Mu Yeon. Jade Emperor mengingatkan dirinya supaya melupakan segala ikatan tentang masa silamnya kerana dirinya terikat dengan peraturan di atas itu. Mu Yeong akur dengan kata-kata Jade Emperor itu. Jade Emperor bertanya tentang roh gadis yang berjaya melepaskan diri dari ikatan Mu Yeong, samada sudah ditangkap atau belum. Mu Yeong meminta maaf kerana masih belum berjaya menangkapnya. Tanpa mereka sedari perbualan mereka di dengari oleh King Yama. King Yama mempersoalkan tentang kecuaian Mu Yeong sehingga terlepasnya roh gadis itu. Jade Emperor menenangkan King Yama. Dia yakin yang roh gadis itu pasti datang sendiri kepada mereka. King Yama dan Mu Yeong berpandangan tanda tidak memahami apa yang dituturkan oleh Jade Emperor itu. Setelah Mu Yeong dan King Yama berlalu, Jade Emperor meluahkan rasa kegelisahan hatinya pada seekor kambing peliharaannya.


Keputusan Gim Eun Oh untuk menyandang jawatan Magistrate di Miryang tidak dipersetujui oleh orang suruhannya, Dol Soe. Dia menyalahkan 3 orang pegawai kerajaan itu kerana menjadikan tuannya itu Magistrate di situ. Dol Soe mahu membelasah ketiga-tiga mereka tetapi dihentikan oleh Gim Eun Oh.


Ketiga-tiga pegawai kerajaan itu mulai tidak tentu arah. Mereka tidak mahukan jawatan Magistrate itu disisi kerana takutkan Lord Choe. Lord Choe tidak mahukan seseorang yang lebih berkuasa selain dari dirinya di kampung itu. Mereka takut sekiranya Lord Choe melakukan apa-apa kepada mereka. Tetapi mereka tidak boleh menyingkirkan Gim Eun Oh itu kerana Gim Eun Oh adalah anak bekas Perdana Menteri. Tetapi walaubagaimanapun mereka bertiga harus melaporkan perkara itu kepada Lord Choe.


Lord Choe naik berang apabila mengetahui keadaan itu. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui yang Gim Eun Oh adalah anak kepada Gim Eun Bul iaitu musuh ketatnya dulu. Kerana dialah, Lord Choe di turunkan pangkat dan balik semula ke Miryang. Lord Choe menyuruh ketiga-tiga pegawai itu menyiasat apa yang dibuat oleh Gim Eun Oh dan melaporkan segera kepadanya.


Gim Eun Oh cuba melukis wajah Arang untuk mencari maklumat tentang diri Arang. Tetapi Gim Eun Oh tidak mempunyai bakat melukis. Berpuluh-puluh kali dia cuba melukis wajah Arang tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia mengupah seorang pelukis. Disebabkan pelukis itu tidak dapat melihat Arang, jadi dia melukis berdasarkan keterangan daripada Gim Eun Oh sahaja. Tetapi tidak berhasil juga. Gim Eun Oh mulai naik angin. Dia bertanya kepada Arang di mana tempat Arang mati. Mungkin jika mereka pergi ke sana semula akan dapat petunjuk tetapi Arang tidak tahu di mana tempatnya kerana dia tidak mengingati apa-apa yang terjadi sebelum dia tersedar. Yang dia ingat, dirinya diikat dengan tali oleh pengambil roh dan dia berjalan di belakangnya. Kemudian, tali itu terbuka dan dia melarikan diri. Mereka bertegang leher kerana perkara itu. Akhirnya Arang menerangkan yang dia tahu 2 perkara. Pertama dia dah jadi hantu selama 3 tahun tanpa memori dan kedua dia merasakan yang dirinya ditikam kerana ada rasa sakit di bahagian rusuknya. Gim Eun Oh memarahinya kerana Arang baru mengatakan tentang perkara itu kepadanya. Kenapa tidak dari awal-awal lagi. Masing-masing keras kepala dan mahu menang sahaja.


Gim Eun Oh mulai menyiasat tentang orang yang mati dibunuh terutamanya wanita dalam 3 tahun kebelakangan. Dia hairan apabila melihat kes yang dilaporkan sedikit sahaja dan kesnya semua adalah sama iaitu keracunan. Arang mengandaikan yang dirinya bukan di bunuh atau mayatnya belum ditemui. Gim Eun Oh mengiyakan andaian Arang yang mayatnya belum ditemui dan rohnya berkeliaran di dunia keseorangan. Gim Eun Oh mentertawakan ayat-ayat terakhirnya itu. Arang mulai naik angin dengan perbuatan Gim Eun Oh itu. Dia memarahi perbuatan Gim Eun Oh dan meninggalkan Gim Eun Oh dengan keadaan marah.


Gim Eun Oh di belenggu dengan berbagai persoalan. Persoalan demi persoalan yang tidak dapat dirungkaikannya. Tiba-tiba dia terpandang sebuah bilik di dalam kawasan pejabat Magistrate itu. Dia melihat ada cahaya dari dalam bilik itu. Gim Eun Oh menghampiri pagar untuk ke bilik itu. Dia hairan apabila melihat pintu pagarnya dikunci dengan erat.  Gim Eun Oh melompat pagar itu dan membuka pintu bilik itu. Dia melihat keadaan di dalam bilik itu seperti sudah lama tidak berusik. Sedang dia  melihat-lihat keadaan di situ dia terpandang sulaman kain yang belum siap. Dia seperti mengenali sulaman di kain itu tetapi tidak pasti di mana. Kemudian dia terlihat sebuah kotak yang cantik rekaannya. Dia menambil kotak itu dan mahu membukanya. Belum pun sempat dia melihat apa yang terdapat di dalam kotak itu, dia dikejutkan dengan suara seorang perempuan yang memarahinya dan menyuruh meletakkan kembali kotak itu di tempatnya. Gim Eun Oh akur dengan permintaan wanita itu.


Gim Eun Oh keluar dari bilik itu dan menerangkan siapa dia yang sebenarnya. Rupanya wanita itu adalah orang suruhan di situ. Gim Eun Oh bertanya milik siapakah bilik yang dimasuki itu. Dia diberitahu yang bilik itu milik anak gadis bekas Magistrate yang terdahalu. Gadis itu bernama Lee Seo Rim. Tetapi gadis itu hilang begitu sahaja sehingga sekarang. Jadi, orang suruhan itu yang merupakan penjaganya sejak dia kecil lagi, menjaga dan memelihara bilik itu dengan baik dan percaya yang anak majikannya akan kembali semula ke situ.Gim Eun Oh terkejut apabila diberitahu yang gadis itu hilang pada 3 tahun yang lepas sama waktunya dengan kematian Arang. Gim Eun Oh yakin gadis yang dimaksudkan itu adalah Arang.


Arang marah dengan perlakuan Gim Eun Oh yang mentertawakannya. Tiba-tiba dia terlihat sekumpulan hantu sedang berkumpul di satu tempat. Arang bertanya kepada mereka apakah yang telah terjadi tetapi mereka tidak mahu memberitahunya. Tiba-tiba dia teringat pada suatu masa sewaktu dia kelaparan mencari makanan dia telah diberikan makanan oleh hantu lelaki yang menerangkan tentang makanan yang dapat memanjangkan umur. Semua hantu-hantu berebut untuk makan makanan itu untuk mendapat lebih lama umur. Arang turut beratur di hadapan rumah itu bersama dengan hantu-hantu yang lain. Bersedia untuk berebut makanan bersama mereka. Arang melihat seorang wanita meletakkan semangkuk nasi di atas kayu. Setelah wanita itu menutup pintu, barulah Arang dan hantu-hantu yang lain berebut untuk mendapatkan nasi itu. Arang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan makanan itu tetapi akhirnya dia tidak berjaya mendapatkannya. Tenaga Arang tidaklah segagah hantu-hantu lelaki yang menjadi saingannya itu.


Gim Eun Oh tidak sabar menunggu kedatangan Arang. Apabila terpandang Arang, Gim Eun Oh terus membawa Arang ke bilik Lee Seo Rim. Gim Eun Oh memberitahu Arang siapa dirinya. Arang berdiri sambil memandang tempat di mana Lee Seo Rim menghabiskan masanya dahulu. Setelah meyakinkan Arang adalah Lee Seo Rim, Gim Eun Oh bertanya samada Arang mengingati sesuatu tetapi Arang mengatakan dia tidak mengingati apa-apa pun. Gim Eun Oh berasa kecewa dengan jawapan Arang itu.


Gim Eun Oh bertanya kepada ketiga-tiga pegawai istana itu tentang Lee Seo Rim. Mereka mengatakan yang Lee Seo Rim bukan hilang tetapi melarikan diri dengan seorang lelaki golongan bawahan. Mereka mengambarkan yang Lee Seo Rim itu adalah seorang gadis yang pemalu dan pendiam. Tiada siapa yang pernah melihat wajahnya kerana jikalau dia keluar rumah dia akan memakai selubung kepala dan tidak pernah berbual dengan sesiapa pun. Jadi mereka semua tidak menyangka yang Lee Seo Rim berperangai begitu. Mereka sebenarnya tidak percaya gadis yang berbudi bahasa seperti Lee Seo Rim sanggup berbuat perkara itu tetapi khabar angin itu tersebar di kampung itu dan membuatkan semua penduduk di situ mempercayainya. Kejadian itu menjejaskan kedudukan politikal ayah Lee Seo Rim. Dia mencari anak gadis itu di mana-mana. Akhirnya ayahnya meninggal dunia. Gim Eun Oh bertanya tentang ahli keluarga Lee Seo Rim yang lain tetapi lee Seo Rim hanya tinggal berdua sahaja dengan ayahnya. Hanya itu yang mereka tahu tentang keluarga Lee Seo Rim. Mereka juga menyatakan yang Lee Seo Rim sudah bertunang dengan seorang lelaki.


Arang berasa sedih dengan kematian ayahnya. Walaupun begitu dia masih tidak dapat mengingati sedikit pun kejadian di waktu hidupnya. Arang berhasrat untuk berjumpa dengan lelaki yang pernah menjadi tunangannya dulu. Dia ingin bertanya dengan lebih lanjut tentang diri Lee Seo Rim tetapi lelaki itu pasti tidak dapat melihatnya kerana dirinya adalah hantu. Arang meminta Gim Eun Oh bertanya bagi pihaknya. Gim Eun Oh naik angin dengan permintaan Arang itu. Gim Eun Oh tidak mahu orang lain tau kebolehannya melihat hantu. Dan pastinya tiada siapa yang mempercayai cakapnya kelak. Akhirnya Arang akur dengan kata-kata Gim Eun Oh itu. Dia berterima kasih kepada Gim Eun Oh kerana sudi membantunya mencari maklumat tentang dirinya. Arang menyuruh Gim Eun Oh pergi dari situ dan mereka tidak akan bertemu lagi selepas itu kerana mereka sudah tidak ada sebab untuk berjumpa lagi.


Gim Eun Oh melihat Arang berlalu dari itu. Matanya terpandang cucuk sanggul di atas kepala Arang. Mahu tidak mahu Gim Eun Oh memanggil Arang semula. Dia tidak mahu terlepas peluang untuk mencari ibunya. Dia yakin Arang pernah berjumpa dengan ibunya sewaktu hayatnya dulu. Gim Eun Oh bersetuju untuk bertanya kepada tunangan Lee Seo Rim tentang siapa Lee Seo Rim sewaktu hayatnya dulu. Arang terkejut dengan persetujuan Gim Eun Oh itu tetapi dia berasa gembira dengan persetujuan Gim Eun Oh untuk membantunya.

Gim Eun Oh dan Arang pergi ke rumah Lord Choe untuk bertemu dengan anaknya, Ju Wal yang pernah menjadi tunangan Lee Seo Rim. Gim Eun Oh berasa pelik kerana keadaan terlalu sunyi diperkarangan rumah Lord Choe itu. Tiada manusia mahupun hantu di situ, fikirnya. Sedang dia melihat-melihat keadaan di situ, Gim Eun Oh terpandang seorang lelaki muda sedang melukis di dalam rumah Lord Choe. Dia yakin pemuda itu pasti Choe Ju Wal. Arang mahu melihat jejaka yang diperkatakan itu. Dia berdiri di hadapan Gim Eun Oh dengan harapan dapat melihat wajah lelaki itu. Tetapi tiba-tiba dadanya berdegup kencang. Arang dapat merasakan yang Lee Seo Rim amat menyintai lelaki itu kerana dia dapat merasakan debaran di dalam hatinya apabila melihat Choe Ju Wal. Bila Choe Ju Wal berpaling ke arahnya, Arang terus memalingkan wajahnya. Gim Eun Oh mengajak Arang bertemu dengan Choe Ju Wal tetapi Arang menolaknya kerana dia tidak sanggup untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Gim Eun Oh memarahinya kerana padanya hantu tidak mempunyai hati untuk berdegup atau yang seumpama dengannya. Gim Eun Oh cuba untuk merasa degupan yang dikatakan oleh Arang itu tetapi Arang tidak membenarkan Gim Eun Oh menyentuhnya. Gim Eun Oh memaksa Arang mengikutnya tetapi Arang tidak mahu. Apabila Gim Eun Oh menjerit supaya pintu di buka, Arang terus mencekup mulut Gim Eun Oh dan mengheretnya pergi dari situ.


Gim Eun Oh berasa sangat marah dengan Arang. Dia memesan minuman keras dan Arang yang banyak meminumnya. Dia melarang Arang minum lagi sehinggakan pelayan di kedai itu terkejut melihat kelakuan Gim Eun Oh itu. Pada pandangannya hanya Gim Eun Oh sahaja yang berada disitu. Arang terus-terusan berkata yang hatinya berdegup laju bila terpandang Ju Wal tadi. Gim Eun Oh bengang dengan kata-kata Arang itu tetapi terpaksa berkompromi dengan keadaan itu. Dia memujuk Arang supaya mahu berjumpa dengan Ju Wal untuk mendapatkan maklumat tentang Lee Seo Rim. Arang tidak mahu. Dia mahu kelihatan cantik untuk bertemu dengan Ju Wal. Gim Eun Oh mengingatkan Arang yang tiada siapa yang dapat melihat dirinya. Arang tetap berkeras untuk berdandan walaupun Ju Wal tidak dapat melihat dirinya. Tetapi siapa yang boleh membuatkan dirinya sehelai baju. Tiba-tiba dia teringat akan bomoh perempuan yang tidak berapa handal itu. Gim Eun Oh terpaksa bersetuju dengan permintaan Arang.


Gim Eun Oh mengendong Arang yang mabuk di belakangnya. Dia mahu mencari rumah bomoh yang diperkatakan oleh Arang itu. Setelah penat berjalan, akhirnya mereka sampai di hadapan rumah bomoh itu. Tiba-tiba Arang sedar dan turun dari gendongan Gim Eun Oh. Gim Eun Oh naik angin kerana ditipu oleh Arang.


Bomoh perempuan itu sedang memuja nenek moyangnya. Dia terlihat satu isyarat yang dirinya akan menerima duit. Tiba-tiba dia terdengar suara seorang lelaki memanggilnya. Dia segera mendapatkan lelaki itu. Dia bertanya samada lelaki itu datang untuk menilik nasibnya. Tiba-tiba dia terdengar suara Arang menyapanya. Dia tercari-cari arah suara itu. Dia mulai memarahi Arang kerana berani datang berjumpanya lagi tetapi bila teringat ada tetamu di hadapanya dia terus menyatakan yang dia bercakap dengan jeneral god. Tetapi bila Gim Eun Oh menunjukkan tempat Arang berdiri, bomoh perempuan itu terkejut kerana dia tidak menyangka Gim Eun Oh dapat melihat dan mendengar hantu sedangkan dirinya hanya dapat mendengar suara hantu sahaja. Arang meminta bomoh perempuan itu membuatkannya sehelai baju. Tetapi bomoh perempuan itu cuma mengeluh dan menyuruh Arang memakannya sahaja kerana dia tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat baju. Gim Eun Oh memberinya seketul emas dan meminta bomoh perempuan itu membuatkan Arang sehelai baju dan membeli aksesori yang lain. Dia mahukan semua barang-barang itu siap pada hari esok. Bila bomoh perempuan itu mengeluh lagi, Gim Eun Oh memberikannya seketul lagi emas. Bomoh perempuan itu terus bersetuju dengan permintaan mereka. Bomoh perempuan itu menyuruh Gim Eun Oh mengambil ukuran badan Arang kerana hanya Gim Eun Oh sahaja yang dapat melihat dan menyentuh Arang. Mahu tidak mahu Gim Eun Oh terpaksa menurut permintaan bomoh perempuan itu. Setelah selesai mengambil ukuran badan Arang, Gim Eun Oh mahu pulang tetapi ditahan oleh bomoh perempuan itu. Dia bertanyakan apakah rahsia Gim Eun Oh sehinggakan dia berupaya melihat hantu. Gim Eun Oh memberi amaran kepadanya supaya merahsiakan perkara itu dari diketahui oleh orang lain. Apabila keluar dari rumah bomoh itu, Gim Eun Oh merasakan suatu debaran di dalam hatinya. Dia merasakan yang perkara itu tidak patut terjadi dan merasakan dirinya sudah gila. Tanpa disedarinya, Arang berada di atas bumbung rumah bomoh itu dan melihat perbuatan Gim Eun Oh itu. Di pertengahan jalan  Gim Eun Oh berselisih dengan Choe Ju Wal. Gim Eun Oh memandang ke arah Choe Ju Wal dari belakang. Dia tertanya-tanya apakah yang hebat sangat tentang lelaki itu yang membuatkan Lee Seo Rim mencintainya. Ternyata perempuan itu tidak pandai dalam menilai lelaki.


Orang suruhan Lord Choe memberitahu Lord Choe yang Ju Wal pergi ke rumah pelacuran. Lord Choe berasa terkejut tetapi memahami kenapa Ju Wal bertindak begitu walaupun orang suruhannya mengatakan itu bukan perkara yang pernah dilakukan oleh Ju Wal sebelum ini.


Gim Eun Oh sedang tidur di dalam biliknya. Dia terjaga kerana merasakan ada seseorang di sisinya. Dia melihat Arang berbaring di sebelahnya. Arang bertanya kepada Gim Eun Oh apa perkara yang dikesalkannya sepanjang menjadi hantu selama 3 tahun ini. Gim Eun Oh menjawab kerana Arang tidak pernah memakai baju baru sepanjang tempoh itu tetapi Arang menafikannya. Perkara yang paling dikesalinya adalah dia tidak pernah merasa ciuman sewaktu hayatnya dan disebabkan itu bila dia mati dia dipanggil Arang yang membawa maksud hantu gadis yang belum berkahwin. Gim Eun Oh terperanjat dengan kata-kata Arang itu. Arang mendekatkan wajahnya dengan wajah Gim Eun Oh dan mahu menciumnya. Bersambung .....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Seo
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Baru siap wat sinopsis korean drama Arang And The Magistrate episod 2 ... cite best .. tengok ulang-ulang kali pun tak jemu .. hehe ... kena baca sampai habis baru terasa keseronokkannya .... bagai menonton sendiri citenya ... full sinopsis ni tau ... hehe ... bersungguh-sungguh menaip untuk kepuasan pembaca (diri sendiri sebenarnya ... hehe )

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...