Sunday, May 22, 2011

Cerekarama 'Utusan Ilahi'

Cerekarama malam tadi kat TV3, aku tengok sambil buat cenderahati saputangan gulung tempahan Rabiaah dari Jerantut, Pahang. Kata orang nyambil-nyambil .. hehe .. sebenarnya kejar masa .. musti siapkan dalam minggu nih jugak .. tapi cerekarama tak leh lepas .. hehe .. jadi, jom layan cerekarama Utusan Ilahi nih ...

Sinopsis oleh : aznanie

Mengisahkan tentang kehidupan seorang lelaki bernama Iskandar yang tersimpang jauh dari landasan agama islam. Dibesarkan dalam kemewahan membuatkan dirinya hanyut. Mentelah ayahnya Datuk Malik, juga sering mengabaikan tuntutan agama.

Iskandar tinggal bersama ayahnya, Datuk Malik serta ibu tirinya, Datin Haleeza dan adik tirinya, Daniel. Di depan ayahnya, Iskandar berpura-pura baik. Namun dibelakang ayahnnya dia adalah seorang playboy. Berhubungan sulit dengan setiausaha ayahnya, yang merupakan isteri orang. Dalam masa yang sama meniduri Kamelia sehingga hamil. Kamelia meminta Iskandar bertanggungjawab. Tetapi ditolak oleh Iskandar.

Datin Haleeza tidak menyukai Iskandar. Dia mahu Daniel yang dilantik sebagai CEO syarikat mengantikan suaminya. Dia menghasut Daniel supaya membenci Iskandar. Dan Daniel yang termakan hasutan ibunya telah mengupah orang mengintip perbuatan Iskandar.

Setelah memperolehi bukti perbuatan liar Iskandar, Daniel mendedahkannya kepada Datuk Malik. Datuk Malik menjadi berang dan berlakulah pertengkaran. Datuk Malik bertindak menampar Iskandar yang dirasakannya terlalu biadap terhadapnya. Dan diketika itu juga, Datuk Malik diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital.

Suami setiausaha ayahnya, yang mempunyai hubungan sulit dengan Iskandar, menyetahui akan perbuatan curang isterinya bersama Iskandar dan bertindak memukul Iskandar . Abang Kamelia, Aziz juga berang apabila mengetahui adiknya, Kamelia telah hamil. Dia menyuruh Kamelia memerangkap Iskandar supaya datang ke rumahnya.

Bila Iskandar sampai ke rumah Kamelia, Aziz telah mengacukan parang ke leher Iskandar dan menyuruh Iskandar menikahi Kamelia. Mereka menaiki kereta yang berasingan menuju ke pejabat kadi. Di dalam kereta Iskandar bertengkar dengan Kamelia. Dan mereka mengalami kemalangan.

Kamelia meninggal dunia akibat kemalangan itu. Manakala Iskandar koma. Semasa tidak sedarkan diri itulah, Iskandar diperlihatkan akan dosa-dosa masa silamnya. Diperlihatkan apa yang berlaku pada wanita-wanita yang disakitinya dulu. Dia rasa bersalah.

Datuk Malik mulai menyedari akan kejahilan diri. Dia kembali ke jalan yang diredhai. Dia berdoa agar diampunkan dosanya dan keluarganya. Dan dia jugak berdoa agar Iskandar sedar dari koma. Doktor yang merawat Iskandar memberitahu yang Iskandar hanya bergantung pada mesin untuk terus hidup.

Apabila Doktor memberitahu Datuk Malik yang Iskandar tidak mampu sedar lagi dan menyuruh Datuk Malik menandatangani borang kebenaran mencabut mesin jangka hayat Iskandar, dikala itulah Iskandar sedar dari koma. Datuk Malik bersyukur tetapi Datin Haleeza mempamerkan rasa kurang senangnya.

Setelah mulai pulih, Iskandar menangguhkan pembedahannya. Dia ingin menebus segala dosa-dosa silamnya. Iskandar berjumpa dengan ibu Kamelia untuk meminta maaf atas segala kesalahannya tetapi telah dihalau oleh Aziz.

Iskandar pergi berjumpa dengan bekas setiausaha ayahnya yang telah diceraikan oleh suaminya selepas mengetahui akan perbuatan curangnya bersama Iskandar. Iskandar memohon maaf dan telah dimaafkan.

Iskandar mengembara untuk mencari isterinya yang ditinggalkan tanpa nafkah sedangkan isterinya hamil ketika itu. Dia ingin mencari anaknya. Sewaktu Iskandar berhenti di sebuah surau, dia berjumpa dengan ustaz Fadzil serta Sakinah. Sakinah mengajak Iskandar bermalam dirumahnya.

Di rumah Ustaz Fadzil, barulah terbongkar rahsia yang Iskandarlah bapa kepada Sakinah. Ibu Sakinah telah meninggal dunia sewaktu melahirkan Sakinah. Tetapi melihat kepada kesungguhan Iskandar untuk berubah dan bertaubat, akhirnya Ustaz Fadzil menerima Iskandar. Sakinah telah dibawa pulang oleh Iskandar ke rumah Datuk Malik.

Datuk Malik menerima Sakinah setelah diberitahu oleh Iskandar bahawa Sakinah adalah anaknya hasil perkahwinannya dengan Sufiah. Datin Haleeza menentang dan dimarahi oleh Datuk Malik.

Daniel yang mulai insaf dan memohon maaf kepada Iskandar. Melihatkan anaknya, Daniel sudah mulai berbaik-baik dengan Iskandar, Datin Haleeza berasa insaf.

Iskandar berhasrat membuat kenduri kesyukuran di rumahnya dengan menjemput jemaah surau. Dalam pada masa yang sama, ibu Kamelia bermimpi sesuatu. Apabila dia tersedar, tergerak di hatinya untuk memaafkan Iskandar. Hasrat itu diberitahu kepada Aziz. Aziz yang pada mulanya menentang akhirnya bersetuju dengan ibunya. Ibu Kamelia menelifon Iskandar, dan menyatakan dia sudah menerima kemaafan dan meminta Iskandar berubah sikap dan jangan mengulangi kesilapan yang lalu. Iskandar berasa bersyukur dan membuat sembahyang sunat.

Semasa sedang menunaikan sembahyang sunat, Iskandar dijemput ilahi. Sakinah yang mencari Iskandar telah menjumpai Iskandar tidak sedarkan diri dalam sembahyangnya. Tamat.

Para pelakon :
Nazim Othman sebagai Iskandar
Fadhil Dani sebagai Pak Imam
Aida Aris sebagai Datin Haleeza
Abu Bakar Juah sebagai Ustaz Fadzil
Erin sebagai Sakinah


*Jalan ceritanya dah best tapi entahlah aku rasa cam pembawa watak dalam cerekarama nih kaku dari segi perbualan la kebanyakkannya .. yang menyelamatkan keadaan cuma beberapa watak sahaja contohnya seperti Aida Aris, Abu Bakar Juah .. yang pelakon utamanya pun cam kaku jek cara lakonannya .. hmm .. tak tau ler cam mana nak cakap .. walaubagaimana pun pengajaran yang terdapat dalam cerita nih wajar diambil iktibar oleh semua penonton ..

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...