Sunday, June 09, 2013

Sinopsis Cerekarama 'Di Bawah Satu Langit'

Malam minggu tengok cerekarama ... sorang-sorang pulak tu .. en.suami kerja .. anak-anak gi umah atuk diaorang ..apa lagi layan cerekarama ler ... malam tadi cerekarama cite tak kelaka pulak ... dah beberapa minggu cerita sedih ... layan kan jek la ... hehe .. cerekarama malam tadi bertajuk di bawah satu langit ... mengisahkan tentang kepincangan hidup dalam masyarakat sekarang ... sikap pentingkan diri sendiri ... tak prihatin pada masalah orang lain ... sukar menerima pandangan dan takdir yang menimpa diri sendiri ... tapi akhirnya sedar jugak ... kembali menjernihkan suasana ... hehe .. amacam introoo ... buleh tak mengambarkan cerekarama malam tadi ... layan jek la sinopsis cerekarama Di Bawah Satu Langit ni ...



Sinopsis oleh : aznanie

Kehidupan Khairul atau Khai dilimpahi kemewahan dan kasih sayang yang melimpah ruah dari ibu dan ayahnya. Namun semua itu musnah apabila seorang perempuan mengaku sebagai ibu kandungnya. Khai yang tidak dapat menerima hakikat itu melarikan diri dari rumah. Perempuan yang mengaku ibunya itu mengejarnya dari belakang dan nyaris dilanggar kereta. Malangnya, pemandu kereta itu merempuh tiang elektrik dalam usaha mengelak dari melanggar perempuan itu. Akibatnya, pemandu kereta itu cedera parah dan koma.

Doktor Marina menerima panggilan telefon mengatakan suaminya, Farez kemalangan dan berada di hospital tempatnya bekerja. Doktor Marina bergegas ke situ dan mendapati suaminya cedera teruk di bahagian kepala dan koma. Doktor Marina berusaha untuk menyembuhkan suaminya. Dia meminta pandangan dari kawan-kawan doktornya yang pakar dalam pembedahan otak tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewakan dirinya.

Sewaktu kemalangan itu terjadi, Azizah dalam perjalanan ke rumah jagaan orang tua di mana suaminya berada. Suaminya mengalami penyakit nyanyuk yang serius sehinggakan tidak dapat mengenali dirinya dan keluarganya. Azizah dapat melihat dengan jelas kemalangan itu tetapi tidak mengetahui siapa pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu. Rupanya pemandu kereta itu adalah Farez iaitu menantunya sendiri. Farez berkahwin dengan Umi dan mendapat seorang anak bernama Sarah. Umi adalah isteri kedua Farez. Isteri pertama Farez adalah Doktor Marina. Farez berkahwin dengan Umi tanpa pengetahuan Doktor Marina.

Kedatangan Umi bersama anaknya, Sarah membongkar rahsia. Doktor Marina tidak dapat menerima kehadiran kedua mereka apatah lagi disaat Farez terlantar koma begitu. Doktor Marina berasa di khianati dan dipermainkan oleh mereka berdua. Dia menuduh Umi sebagai perampas. Puas Umi menerangkan yang Farez amat sayangkan Marina tetapi Marina tetap berkeras untuk tidak membenarkan Umi dan Sarah berjumpa dengan Farez.

Azizah tetap melawat suaminya walaupun suaminya tidak mengenali dirinya. Suaminya berulang kali memberitahunya yang Umi bukan lah anak dia. Dia memberitahu yang anaknya sudah mati sewaktu dilahirkan dan dia telah menanam mayat anaknya itu dibelakang rumahnya tanpa pengetahuan isterinya. Dia mencari seorang bayi perempuan untuk digantikan dengan anaknya yang sudah mati itu. Dia tidak memberitahu isterinya kerana keadaan isterinya yang kritikal dan pasti isterinya tidak dapat menerima kenyataan jikalau tau apa yang terjadi kepada anaknya itu.

Azizah sungguh terkejut dengan berita itu. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali tindakan suaminya itu. Dia tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Umi. Kebetulanya Umi akan pulang ke rumahnya dari Johor kerana melawat suaminya yang kemalangan. Sewaktu dalam perjalanan ke rumahnya, Azizah nyaris dilanggar oleh Doktor Marina yang tidak tenteram perasaannya. Nasib baik dia dapat mengelak dari melanggar Azizah.

Khai tidak mahu pulang ke rumahnya. Dia merayap di sekitar bandar. Sehingga dia terlanggar dengan seorang gadis. Dia meminta maaf tetapi gadis itu menempaknya. Dia tidak puas hati dan mengekori gadis itu. Sehingga sampai ke sebuah tanah perkuburan. Khai melihat gadis itu memakai tudung dan masuk ke dalam kawasan perkuburan itu. Khai menunggu di luar.

Khai dibelasah dan disamun oleh sekumpulan samseng. Mujur ada gadis tadi yang menyelamatkannya dan membawanya ke suatu tempat yang dirasakan selamat. Terjadi pertengkaran mulut diantara keduanya. Dan Khai ditinggalkan seorang diri di situ.

Keesokkan harinya, gadis itu datang lagi dengan membawa makanan untuk Khai. Khai mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkannya dan membelikan makanan padanya.

Khai berjumpa dengan perempuan yang mengaku ibunya itu. Dia mahu tahu kenapa dia dijual oleh ibu kandungnya kepada ibu angkatnya. Sebenarnya, dia bukan dijual. Dia telah dilarikan oleh jiran ibunya itu dengan alasan untuk berubat. Kemiskinan keluarga ibu kandungnya tidak memungkinkan ibunya itu membawa Khai berubat. Jadi ibunya membenarkan jiranya itu membawa Khai berubat dan entah di mana silapnya, Khai terus hilang dan dia tidak dapat mencarinya. Setelah 15 tahun, barulah dia dapat bertemu Khai. Dia mencari Khai adalah untuk berjumpa sebelum dia menjadi tetamu ALLAH. Dia mahu menunaikan fardhu haji di Mekah dan mahu berjumpa walaupun sekali dengan anaknya itu.

Khai mengikut sahaja kemana gadis itu pergi. Sehingga terjadi lagi pertengkaran kecil antara mereka. Sekali lagi gadis itu meninggalkannya. Khai melilau mencari gadis itu dan tidak disengajakan dia terjumpa dengan kumpulan samseng yang membelasahnya kelmarin. Dia dibelasah lagi dan kali ni nasibnya baik kerana kereta peronda polis melalui tempat dia dibelasah itu.

Ibu Khai datang menjemputnya dari balai polis. Khai yang masih marah pada ibunya itu tidak memperdulikan ibunya walaupun ibunya merayu supaya Khai memaafkannya. Khai tidak mahu mendengar penjelasan ibunya itu. Namun akhirnya, Khai beralah jua. Dia dapat menerima takdir yang menimpa dirinya.

Keadaan Farez semakin kritikal. Umi dan Sarah masih belum dapat bertemu dengan Farez. Doktor Marina masih berkeras untuk tidak membenarkan Umi dan Sarah bertemu dengan Farez. Akhirnya, Farez meninggal dunia tanpa sempat menerangkan segalanya pada Marina mahupun bertemu dengan Umi dan Sarah. Umi Dan Sarah dapat jugak menatap wajah Farez setelah kematiannya.

Azizah terkejut apabila mendapati suaminya tiada di katilnya. Puas dia mencari. Akhirnya dia bertemu dengan suaminya yang sedang duduk di hadapan sepohon pokok. Azizah menghampirinya dan duduk di sampingnya. Dia memberitahu Azizah yang isterinya bernama Azizah dan sedang menunggu isterinya. Azizah memberitahu yang dia adalah Azizah isterinya tetapi suaminya menafikannya. Suaminya memberitahunya yang dia mahu meminta maaf kepada isterinya itu kerana dia banyak menyakiti hati isterinya itu dan tidak menjaga hati dan selalu melukakan hati isterinya itu. Azizah hanya terdiam mendengar kata-kata suaminya itu.

Setelah kematian Farez, Marina hilang semangat untuk bekerja. Sedang dia berehat, tiba-tiba dia berasa mual dan mahu muntah. Dia meluahkan isi perutnya di sinki dan mulai mengesyaki yang dirinya hamil.

Khai bertemu kembali dengan ibu kandungnya. Dia bertanya siapakah nama asalnya. Ibu kandungnya memberitahu yang nama asalnya ialah Khairul Umar. Khai menghulurkan tangannya. Ibu kandungnya teragak-agak untuk menyambutnya. Khai meluru menyambut huluran tangan ibunya itu. Ibu kandungnya menangis terharu dengan perbuatan Khai itu. Khai memberitahunya yang dia mahu pulang ke rumah ibunya itu. Mereka beriringan bersama meninggalkan tempat itu. Tamat ....

Para pelakon:
Faezah Ilai sebagai Doktor Marina
Hamidah Wahab sebagai Azizah
Syazwan Zulkifli sebagai Khai
Syera Ayub sebagai Umi
Safura Ya'acob sebagai ibu kandung Khai

* Jalan cerita tak berat ... simple ... mudah faham ... tapi cam bercelaru .. sebab banyak watak ... pergolakan 2 keluarga yang berlainan masalah ... konflik anak yang di serahkan tanpa rela kepada orang lain ...  jugak tentang isteri pertama yang tidak tahu dirinya dimadukan oleh si suami ... di saat suaminya terlantar koma baru tahu status tu ... rasa sedih di khianati .. sehingga isteri pertama itu tidak tahu samada suaminya cintakan dirinya atau hanya bersimpati padanya yang sebatang kara itu ... haaaaa ... banyak konfliknya ... tak masuk lagi bab suami mengantikan anak kandung yang dah meninggal dengan anak orang lain semata-mata tak mahu isterinya merana akibat kematian anak mereka .... poning kepala mikir .. hahaha ... tak pe la ... layan jek la sinopsis ni kannn ... cite dah abis pun ... enjoy jugak la ... hehe

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...