Tuesday, November 13, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 13'


Arang And The Magistrate
Episod 13


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 12 ...

Gim Eun Oh kecewa kerana Arang menolak perasaannya. Dia terpaksa menerima hakikat yang Arang tidak mencintainya. Sebenarnya Arang juga berperasaan sepertinya tetapi Arang tidak mahu mengakuinya kerana dia tidak punya masa yang lama di dunia. Dia akan pergi. Dan dia tidak mahu Gim Eun Oh bersedih apabila dia sudah tidak ada kelak. Biarlah Gim Eun Oh tidak tahu perasaannya. Lebih baik begitu.


Gim Eun Oh membuat keputusan untuk memendamkan sahaja perasaannya. Dia pergi ke bilik Arang. Dia melihat kasut yang dipakai oleh Arang. Sudah kelihatan lusuh dan buruk. Gim Eun Oh pergi ke pekan. Dia membeli sepasang kasut baru untuk Arang. Di pekan, dia terlihat iklan mencari pengawal telah ditampal oleh pegawainya.


Arang pergi ke bilik Gim Eun Oh. Dia mendapati kasut Gim Eun Oh tidak ada di luar biliknya. Dia tertanya-tanya adakah Gim Eun Oh keluar malam tadi dan tidak balik-balik lagi. Dia tidak menyedari yang Gim Eun Oh berdiri di belakangnya sambil memerhatikannya. Arang terkejut apabila Gim Eun Oh menegurnya. Gim Eun Oh menunjukkan kasut baru yang dibelikannya. Dia menyuruh Arang duduk di tangga. Dia membuka kasut lama Arang dan membuangnya. Dia memakaikan kasut baru ke kaki Arang. Arang tergamam dan tidak dapat berkata apa-apa. Arang sungguh terharu dengan perbuatan Gim Eun Oh.


Gim Eun Oh tahu apa yang difikirkan oleh Arang. Dia menyuruh Arang melupakan sahaja apa yang diucapkan pada malam itu. Dia sudah berjanji akan menghantar Arang ke syurga dan dia pasti tunaikan janjinya itu. Dia mahu menghantar Arang ke syurga dalam pakaian yang cantik dan kasut yang cantik. Segala apa yang Arang perlukan dia akan tunaikan. Arang meminta agar Gim Eun Oh tidak melangkau makanan kerana jika Gim Eun Oh tidak makan maka dia pun tidak dapat makan jugak. Gim Eun Oh bersetuju dengan permintaan Arang itu.

Gim Eun Oh mengajak Arang berjumpa dengan bomoh Bang Ool. Dia mahu tahu adakah Bang Ool sudah menjumpai mentera yang di mintanya atau belum. Sewaktu mereka keluar dari pejabat Magistrate, orang suruhan Lord Choe terkejut melihat Arang masih hidup sedangkan dia sudah mengsahkan yang Arang sudah mati pada masa itu. Kemudian, dia ternampak Ju Wal masuk ke dalam pejabat Magistrate.

Bang Ool tidak percaya yang didalam buku peninggalan nenek moyangnya ada tertulis mentera yang dicarinya itu. Kedatangan Magistrate Gim Eun Oh dan Arang mengundang rasa takut dan bersalahnya. Dia meminta maaf disebabkan kelancangan mulutnya, rahsia Arang telah diketahui oleh Dol Soe. Arang menenangkan Bang Ool supaya melupakan sahaja perkara itu. Dia tidak memarahi Bang Ool kerana memecahkan rahsianya. Bang Ool berasa lega dengan kata-kata Arang itu


Bang Ool menunjukkan mentera yang dicari oleh Gim Eun Oh itu. Dia berkata mentera yang dijumpai oleh Gim Eun Oh itu bukannya untuk menghalang hantu-hantu tetapi untuk menghalang syurga. Gim Eun Oh terkejut dengan kata-kata Bang Ool itu. Bang Ool menerangkan seseorang telah memagar kawasan tersebut dari dicerobohi dan diketahui oleh Jade Emperor. Sesuatu yang menghalang Jade Emperor dari melakukan apa-apa kepadanya. Sebab itu seseorang itu memagar kawasan tersebut. Hantu yang di dalam kawasan itu tidak boleh keluar dan hantu dari luar tidak dapat memasuki kawasan tersebut.

Tiba-tiba Arang teringat kejadian di gua dahulu. Demon yang dimaksudkan oleh Mu Yeong adalah roh yang terkunci di suatu tempat sekian lama. Mereka berkumpul menjadi demon yang memakan hati manusia. Barulah Arang faham kerana kawasan itu juga di pagar dengan mentera itu.


Lord Choe teringat kata-kata Lady supaya tidak menyentuh Arang lagi. Lord Choe tidak faham kerana setahunya Arang sudah mati. Buat apa mahu mengapa-apakan orang yang sudah mati. Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata Lady suatu waktu dahulu yang dia berharap ada seseorang yang memiliki tubuh yang kekal supaya dia dapat hidup selama-lamanya.

Orang suruhannya, Geo Deol memberitahu Lord Choe yang dia nampak Arang tidak mati walaupun dia sendiri yang memastikan yang Arang sudah mati waktu itu. Lord Choe tahu sesuatu yang Arang adalah hantu. Tetapi dia seperti pernah melihat Arang dahulu. Tiba-tiba dia teringat yang Arang adalah gadis yang pernah bertunang dengan Ju Wal dahulu. Gadis itu telah mati. Dia yakin sangat dan dia tahu apa yang patut dilakukannya. Geo Deol juga memberitahu yang dia ternampak Ju Wal di pejabat Magistrate. Dia yakin yang Ju Wal telah terpikat kepada Arang dan sanggup melakukan apa sahaja untuk gadis itu. Lord Choe menyatakan yang Ju Wal sudah dirasuk oleh Arang.

Ju Wal berdiri di hadapan bilik Arang. Dia menunggu kepulangan Arang kerana dia tahu yang Arang tidak berada di biliknya kala itu. 2 orang pegawai Magistrate melihat Ju Wal di situ. Mereka berpendapat yang Ju Wal jatuh cinta pada Arang, gadis yang dipunyai oleh Magistrate. Mereka takut jikalau terjadi pergaduhan di antara Ju Wal dengan Magistrate Gim Eun Oh, pasti mereka yang akan menerima akibatnya.

Arang mulai takut untuk mengetahui bagaimana cara dia menemui kematiannya. Gim Eun Oh menenangkannya. Arang kena percaya yang dia sentiasa ada dan akan membantu Arang pergi ke syurga. Gim Eun Oh menyuruh Bang Ool menulis mentera untuk membolehkan hantu menembusi kawasan yang berpagar itu. Tetapi Bang Ool menyatakan ia perlu waktu kerana mentera yang asal itu mempunyai kuasa yang sangat kuat. Gim Eun Oh tidak mahu menunggu lama. Dia berkata kepada Arang yang dia mahu menyiasat sendiri. Dia mahu Arang melihat kawasan itu supaya dia boleh menceroboh masuk ke dalam rumah Lord Choe itu.


Mu Yeong bertemu Jade Emperor. Dia meyakinkan yang dia boleh melakukan tugas yang diarahkan oleh Jade Emperor. Jade Emperor akur dengan keyakinan Mu Yeong. Dia memberikan Mu Yeong sebilah pisau. Jade Emperor berpesan supaya Mu Yeong menikam bahagian jantung Mu Yeon. Pisau itu hanya boleh digunakan sekali sahaja. Jadi Mu Yeong harus melaksanakan tugas itu tanpa ada perasaan ragu-ragu atau belas kasihan. Mu Yeong bertanya kenapa hanya dirinya sahaja yang dapat membunuh Mu Yeon. Jade Emperor berkata disebabkan pertalian darah. Mu Yeong terkejut dengan kata-kata Jade Emperor itu.


Lady memerintahkan roh peliharannya mencari hantu untuk dibawa balik kepadanya. Mu Yeong melihat perlakuan roh jahat ituj. Dia muncul di hadapan roh jahat itu. Lady yang tahu kedatangan Mu Yeong terus membaling pasu yang menempatkan roh jahat tadi. Serta merta roh jahat itu hilang dari pandangan. Mu Yeong terus mengambil roh hantu itu.

King Yama begitu percayakan Mu Yeong. Baginya Mu Yeong adalah orang suruhannya yang paling bagus dan paling setia. Tak kira walau tugasan apa pun yang diberikan kepadanya, pasti dia akan lakukannya. Jade Emperor hanya mengiyakan sahaja kata-kata King Yama itu. King Yama mengajak Jade Emperor bertaruh sekiranya Mu Yeong dapat melakukan tugasan itu dengan sempurna, maka Jade Emperor akan menunaikan permintaan King Yama. Jade Emperor bersetuju asalkan King Yama tidak meminta kambing kesayangannya itu.

Arang dan Gim Eun Oh tiba di hadapan rumah Lord Choe. Gim Eun Oh berpesan supaya Arang pergi ke suatu kawasan tersembunyi supaya tiada orang boleh melihatnya. Arang berpesan supaya Gim Eun Oh berhati-hati.

Lady yang baru keluar dari gua rahsianya terhidu bau Arang. Dia mahu melihat wajah Arang.

Gim Eun Oh yang mencerobohi rumah Lord Choe ternampak pintu pagar ke kuil itu terbuka. Dia terus memasuki kawasan itu dan masuk ke dalam kuil. Dia melihat keadaan di dalam kuil itu. Tiada apa yang mencurigakannya.

Lady tergesa-gesa mahu melihat Arang. Sehinggakan dia tidak perasan yang Mu Yeong ada di situ. Mu Yeong terkejut melihat Mu Yeon di dalam badan seorang wanita. Mu Yeong bertanya kenapa Mu Yeon sanggup lakukan semua ini. Sanggup berpindah dari satu tubuh ke tubuh yang lain semata-mata mahu menjadi manusia. Mu Yeon menyalahkan Mu Yeong kerana tidak mahu membantunya memujuk Jade Emperor supaya menjadikan mereka manusia semula. Dia tidak mahu hidup di syurga yang hanya dapat melihat Mu Yeong sebagai abangnya. Dia mahu mereka menjadi pasangan kekasih semula seperti dahulu. Dia tahu Jade Emperor berupaya untuk melakukan semua itu. Mu Yeong menolak anggapan Mu Yeon itu. Padanya, setiap manusia ada takdir masing-masing. Ada sebabnya kenapa mereka tidak  menjadi pasangan kekasih selepas kematian mereka. Semua itu sudah ditakdirkan. Mu Yeon tidak mahu mempercayai semua itu. Dia tetap mahu menjadi seorang manusia.

Kerana kedegilan Mu Yeon, Mu Yeong mengambil keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat Mu Yeon. Mu Yeong mengeluarkan pisau yang diberikan oleh Jade Emperor kepadanya. Mu Yeon mendekatinya. Mu Yeon memegang tangan Mu Yeong dan mendekatkan pisau itu tepat ke jantungnya. Mu Yeon mencabar Mu Yeong supaya menikamnya. Dia tahu Mu Yeong tak kan sanggup menikamnya kerana dia tahu Mu Yeong masih sayang padanya. Mu Yeon menyampaikan pesan kepada Mu Yeong yang umpan yang digunakan oleh Jade Emperor ternyata hebat. Dia sukakannya dan akan memberikan lebih faedah kepadanya kelak.


Buah catur yang dipegang King Yama jatuh ke papan catur dan mengenai buah catur yang lain. Tahulah King Yama yang Mu Yeong telah gagal dalam melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya. King Yama memandang Jade Emperor. Dengan rasa marah, King Yama meninggalkan Jade Emperor keseorangan di situ. Jade Emperor tidak berkata apa-apa kerana dia tahu King Yama sedang marah dengan kegagalan Mu Yeong itu.

Gim Eun Oh melihat kipas yang dipegangnya. Kipas itu mengeluarkan getaran. Gim Eun Oh membuka kipas yang diberikan oleh gurunya itu. Tiba-tiba kayu di hadapannya bergerak. Menampakkan ruang di bawahnya. Gim Eun Oh menolak kayu itu tetapi ianya tidak boleh terbuka. Gim Eun Oh kehairanan. Kipas yang dipegangnya masih mengeluarkan getaran. Dia melibaskan kipasnya sekali lagi. Tiba-tiba penutup kayu itu terbuka. Gim Eun Oh bergegas masuk ke dalamnya. Dia terkejut melihat keadaan di dalam gua itu. Gua yang dipenuhi dengan pasu-pasu. Dia cuba untuk membuka salah satu pasu tersebut tetapi dia tidak dapat membukanya.


Arang menunggu Gim Eun Oh keluar dari rumah Lord Choe. Tiba-tiba Ju Wal menegurnya. Dia bertanya apa yang Arang buat di situ. Dia menunggu Arang di pejabat Magistrate tetapi Arang pula berada di rumahnya. Ju Wal takut sekiranya Lady atau ayahnya nampak Arang di situ. Dia menarik tangan Arang supaya beredar dari situ sebelum sesuatu berlaku.

Tiba-tiba dia terdengar suara Lady menegurnya. Ju Wal menyuruh Arang menyorok di belakangnya. Arang yang mahu tahu apa yang terjadi, menjengahkan kepalanya dan dia melihat seorang wanita berdiri di hadapan Ju Wal. Lady memandang Ju Wal dengan perasaan marah tetapi apabila mengenangkan yang Arang berada di situ juga, dia tersenyum memandang Arang. Ju Wal berasa bimbang sekiranya Lady melakukan sesuatu yang akan menyakiti Arang. Kerana perasaannya itu, dia tidak sedar genggaman tanganya telah menyakitkan tangan Arang.

Gim Eun Oh keluar dari gua itu. Dia membawa bersama pasu yang berisi roh itu. Dia mahu tahu apakah isi kandungan pasu itu. Sewaktu keluar dari situ, Gim Eun Oh sempat merapatkan sedikit pintu pagar sama seperti waktu dia masuk tadi. Kemudian, Gim Eun Oh terus melarikan diri dari situ.


Lady mendekati Ju Wal dan Arang. Matanya tidak lepas memandang Arang. Ju Wal memberitahunya yang Arang adalah seorang kawan yang dikenalinya. Dia tidak memberitahu Lady yang itu adalah Arang. Lady tahu yang Ju Wal berbohong padanya tetapi dia terpaksa bertolak ansur. Dia memperkenalkan dirinya sebagai mak cik Ju Wal kepada Arang dan sebelum berlalu dia sempat memuji kecantikan Arang.


 Gim Eun Oh melihat Ju Wal memegang tangan Arang. Dia tidak melihat Lady kerana di kala itu Lady sudah masuk ke dalam rumah Lord Choe. Dia cemburu melihat keadaan itu.

Arang meminta Ju Wal melepaskan tangannya. Ju Wal yang baru tersedar terus melepaskan tangan Arang. Dia meminta Arang balik ke rumah dan meminta maaf kerana tidak dapat menghantar Arang pulang kerana makciknya telah melihatnya di luar. Arang faham dan tidak berkata apa-apa.

Gim Eun Oh menghampiri Arang yang tidak perasaan kehadirannya. Arang leka memandang Ju Wal yang menghilang ke dalam rumah. Arang melihat Gim Eun Oh memegang pasu. Dia kehairanan dan bertanya apakah isi di dalam pasu itu. Gim Eun Oh tidak dapat memberikan jawapan kerana dia sendiri tidak tahu apa yang berada di dalam pasu itu. Dia mengajak Arang meninggalkan tempat itu.


Ju Wal masuk ke dalam biliknya. Lady sudah menunggunya di situ. Lady marah kerana Ju Wal tidak dapat memberikannya apa yang dia mahukan. Lady mula mengungkit tentang keadaannya sebelum dia mengambilnya dahulu. Lady mengugutnya sekiranya dia tidak dapat memiliki Arang, Ju Wal akan menerima padahnya. Dia akan mengembalikan Ju Wal kepada keadaannya yang asal. Seorang yang miskin dan berpenyakit. Ju Wal mulai ketakutan. Dia tidak mahu menjadi seperti dahulu.


Arang melihat pasu itu. Dia merasa dengan tangannya. Pasu itu mempunyai suatu kuasa di dalamnya. Dia dapat merasakannya tetapi penutupnya tidak dapat dibuka dengan tangan. Gim Eun Oh menolak pasu itu ke tepi dan dia berbaring di situ. Apabila melihat Gim Eun Oh menutup matanya, Arang meminta diri ke biliknya. Gim Eun Oh berkata jika Arang tidak dapat menerima dirinya dia tidak kisah tetapi jika Arang melihat orang lain itu adalah suatu yang amat payah bagi dirinya untuk menerimanya.

Mu Yeong bertemu dengan Jade Emperor. Dia meminta supaya Jade Emperor memberikannya peluang sekali lagi untuk menghapuskan Mu Yeon. Tetapi Jade Emperor tidak membenarkannya. Jade Emperor meminta Mu Yeong melupakan sahaja niatnya itu. King Yama yang masih marah dengan Mu Yeong berlalu dari situ. Dia kecewa dengan Mu Yeong kerana dia terlalu yakin yang Mu Yeong tidak akan menghampakannya.


Mu Yeong tahu King Yama marahkan dirinya. Tetapi dia tidak berdaya melawan perasaannya di kala itu. Dia terfikir, adakah Gim Eun Oh adalah penganti dirinya untuk membunuh Mu Yeon. Adakah tubuh yang digunakan oleh Mu Yeon itu kepunyaan ibu Gim Eun Oh. Ini kerana hanya pertalian darah yang dapat menghapuskan kuasa jahat Mu Yeon itu. Jade Emperor mengiyakan kata-kata Mu Yeong itu.

Gim Eun Oh membawa tempayan kecil itu ke rumah Bang Ool. Sewaktu dia keluar dari biliknya, Arang sudah menantinya di luar. Arang mahu mengikutnya ke rumah Bang Ool. Gim Eun Oh menyuruh Arang menunggu di pejabat sahaja. Arang terpaksa akur dengan kata-kata Gim Eun Oh.

Gim Eun Oh menyuruh Bang Ool mencari maklumat mengenai tempayan yang dibawanya itu. Dia memberitahu Bang Ool bahawa tempayan itu mempunyai kuasa yang luar biasa. Dia mahu Bang Ool mencari sesuatu mengenainya supaya mereka dapat mengetahui apa yang terkandung di dalam tempayan itu.


Arang duduk di luar bilik Gim Eun Oh. 3 orang pegawai Magistrate datang menghampirinya dengan membawa minuman kepadanya. Arang kehairanan melihat kelakuan ketiga-tiga pegawai itu. Kerana sebelum ini mereka tidak pernah memperdulikan dirinya. Arang mengambil minuman itu dan bertanya adakah mereka meletakkan racun di dalamnya. Mereka menafikannya. Arang meminumnya sehingga habis. Apabila mereka bertanya samada Arang sudah membuat pilihan atau belum, Arang kehairanan.


Belum pun sempat dia menjawab soalan dari ketiga-tiga pegawai itu, Arang ternampak Dol Soe. Arang berlari mendekati Dol Soe. Dol Soe tidak mahu Arang memegang dirinya. Arang meminta Dol Soe tidak memarahi Gim Eun Oh lagi. Dia meminta maaf sekiranya dirinya menjadi punca pergaduhan antara Dol Soe dengan Gim Eun Oh. Arang menerangkan yang Gim Eun Oh hanya membantunya menyelesaikan masalah yang dia hadapi. Dol Soe menganggap itu adalah rasukannya terhadap Gim Eun Oh. Gim Eun Oh yang dikenalinya tidak pernah memperdulikan masalah orang lain. Dia hanya pentingkan dirinya sahaja. Arang memberitahu yang dia akan pergi ke dunia lain apabila masalahnya selesai nanti. Dia meminta Dol Soe bersabar seketika dan dia pasti akan memulangkan Gim Eun Oh kepada Dol Soe nanti. Dol Soe terkejut dengan kata-kata Arang itu.


Gim Eun Oh hanya melihat Dol Soe berbicara dengan Arang. Gim Eun Oh telah mendengar perbualan di antara keduanya. Dia mengajak Dol Soe ke biliknya. Gim Eun Oh menerangkan siapa Arang sebenarnya. Dol Soe terkejut apabila diberitahu yang Arang itu adalah Lee Seo Rim yang dia lindungi dulu. Arang dihidupkan semula untuk menyelesaikan masalahnya. Sebab itu Gim Eun Oh membantunya. Gim Eun Oh juga memberitahu yang ini adalah pertama kalinya dia berasa bimbang akan seseorang lain selain dari dirinya sendiri. Dol Soe berasa kasihan melihat Gim Eun Oh. Cinta pertama Gim Eun Oh adalah dengan hantu.

Gim Eun Oh bertanya kepada pegawainya tentang Lord Choe. Alasannya adalah dia ingin berbaik dengan Lord Choe. Ketiga-tiga pegawainya berasa gembira mendengar kata-kata Gim Eun Oh itu. Menurut mereka, Lord Choe bukanlah berasal dari Miryang. Dia dari Hanyang. Dia datang ke Miryang setelah di turunkan pangkat oleh ayah Gim Eun Oh. Tapi mereka berkata yang Lord Choe tidak setegas dahulu. Nampaknya Lord Choe seakan sudah hilang kuasa dan pengaruh.


Lord Choe menyuruh orang suruhannya mencari maklumat tentang pengasuh Lee Seo Rim. Dia mahu memastikan yang Arang adalah Lee Seo Rim. Setelah itu, barulah dia akan menangani Ju Wal dan juga Magistrate Gim Eun Oh yang amat dibencinya itu.

Orang suruhan Ju Wal membawakannya makanan. Dia meminta Ju Wal supaya makan mengikut masa yang ditetapkan. Dia melihat kebelakangan ini Ju Wal sudah tidak berselera untuk makan. Setelah orang suruhannya pergi, Ju Wal teringat akan kata-kata Lady tentang keperluan menjadi manusia. Apa yang dimahukan oleh seorang manusia. Dapat makanan yang sedap-sedap dan tinggal di rumah yang selesa. Ju Wal jadi marah dengan tiba-tiba dan dia telah mencampakkan meja yang berisi makanan sehingga semuanya terbalik ke lantai.


Arang kebosanan. Hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Dia pergi ke bilik Gim Eun Oh. Dia memberitahu yang dia mahu ke rumah Lord Choe untuk mencari maklumat lagi. Gim Eun Oh bergegas keluar dari biliknya apabila mendengar kata-kata Arang itu. Dia menarik tangan Arang. Dia memberitahu yang dia akan pergi. Arang berkeras mahu pergi kerana itu adalah masalahnya. Gim Eun Oh bengang dengan kedegilan Arang itu. Sekali lagi dia menarik Arang supaya tinggal sahaja di situ. Arang mencadangkan supaya mereka pergi bersama tetapi Gim Eun Oh tidak membenarkan Arang pergi. Biar dia sahaja yang pergi ke rumah Lord Choe itu.

Arang geram dengan sikap Gim Eun Oh. Dia dapat merasakan yang Gim Eun Oh tidak memperdulikannya. Bagi Gim Eun Oh bukan mudah untuk melupakan apa yang dirasakan dalam hatinya. Bila dia melihat Arang bersama Ju Wal hatinya tidak dapat menerimanya. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Melakukan tidak semudah menuturkannya. Arang tergamam mendengar kata-kata Gim Eun Oh itu.

Gim Eun Oh meninggalkan Arang di situ. Di pintu masuk dia terserempak dengan Ju Wal yang mahu bertemu dengan Arang. Gim Eun Oh berpandangan dengan Ju Wal. Ju Wal berlalu setelah memberikan salam hormat kepadanya. Gim Eun Oh mulai berasa bengang dengan kehadiran Ju Wal.


Ju Wal meminta maaf kerana tidak dapat menghantar Arang balik semalam. Dia mahu mengajak Arang ke luar sebentar. Belum sempat Arang berkata apa-apa, Gim Eun Oh sudah bersuara. Dia tidak membenarkan Ju Wal membawa Arang pergi kemana-mana. Arang terkejut dengan kata-kata dan perlakuan Gim Eun Oh itu. Gim Eun Oh berkeras tidak membenarkan Arang pergi dan menyuruh Ju Wal pulang sahaja ke rumahnya. Bersambung ....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Seo
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Dalam episod ni Magistrate Gim Eun Oh berebut Arang dengan Ju Wal ... haha ... pada sangkaannya Arang menolak dirinya sebab sukakan Ju Wal ... dia tak leh terima semua tu ... Arang pulak bukannya suka kat Ju Wal ... tapi dia rapat dengan Ju Wal semata-mata nak cari bukti adakah kematian dia ada kena-mengena dengan keluarga Lord Choe ... Arang tak nak terima Gim Eun Oh sebab dia tidak banyak masa kat dunia ni ... dia kena pergi juga walau apa pun yang terjadi .. samada dia berjaya atau tidak mencari siapa pembunuhnya ... gituuuuu ... nantikan sambungan nya dalam episod 14 ... huhu ....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...