Arang And The Magistrate
Episod 3
Sinopsis oleh : aznanie
Sambungan Episod 2 ....
Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Ternyata dia hanya bermimpi sahaja. Gim Eun Oh merasakan yang dirinya sudah gila kerana berasakan sesuatu yang pelik dalam hatinya setelah peristiwa di rumah bomoh, Bang Ool itu. Keesokan harinya, Gim Eun Oh memberikan sepucuk surat kepada Dol Soe. Surat itu ditujukan kepada anak Lord Choe iaitu Choe Ju Wal. Dol Soe akur dengan permintaan Gim Eun Oh itu walaupun berat hatinya. Dia bertanya berapa lama Gim Eun Oh mahu menjadi Magistrate di situ dan tinggal di Miryang ini. Gim Eun Oh memarahinya dengan menyatakan dia tidak akan tinggal lama di situ dan terus berlalu. Dol Soe bengang dengan tindakan tuannya itu yang pergi ke mana-mana tanpa memberitahunya dan meninggalkan dirinya keseorangan.
Jade Emperor dan King Yama duduk memancing berdua. Jade Emperor bertanya kepada King Yama yang dirinya tidak pasti kenapa wajah King Yama sudah bertambah kedutannya. King Yama memandang Jade Emperor seraya berkata bertambahnya hantu berkeliaran menggangu tenaganya. Yang mati pergi ke underworld, yang masih hidup tempatnya di dunia manusia. King Yama tak faham. Kenapa susah sangat nak menangani masalah itu. Jade Emperor menasihatkan King Yama agar lebih terbuka dalam menangani masalah itu. Setiap manusia ada keistimewaan mereka yang tersendiri untuk berjuang dalam kehidupan yang mereka lalui. King Yama mulai naik angin, padanya itulah yang menyebabkan dunia manusia kacau bilau. Bukan masalah hantu-hantu yang berkeliaran itu sahaja, kehilangan roh-roh manusia yang mati juga turut membebankannya. Bukan sekejap masalah itu berlaku. Sudah 400 tahun masalah itu tidak dapat di selesaikan pun. King Yama bertanya samada Jade Emperor telah melaksanakan rancangannya atau belum. Jika Jade Emperor gagal dalam rancangannya, King Yama akan mengambil alih dan melakukannya mengikut caranya. Jade Emperor mengatakan yang King Yama terlalu bising sehingga hilang moodnya untuk memancing lagi. Lalu dia pun berlalu meninggalkan King Yama keseorangan di situ.
Arang sudah menunggu kedatangan Bang Ool membawakannya persalinan baru untuknya. Apabila Bang Ool meninggalkannya, Arang terus mengenakan pakaian baru itu di badannya. Setelah selesai berdandan, Arang melihat dirinya di cermin tetapi dia tidak nampak dirinya di cermin itu. Gim Eun Oh bersungut apabila Arang mengambil masa yang lama untuk bersiap. Dia sudah tidak sabar untuk membawa Arang bertemu dengan Ju Wal dan menyelesaikan masalah Arang itu. Dia mahu cepat-cepat tahu tentang hubungan Arang dengan ibunya. Bang Ool menenangkannya dengan memberitahu yang wanita memang memerlukan masa untuk bersiap dan berdandan. Apabila Arang keluar dari rumah, Gim Eun Oh terpaku melihat kejelitaan Arang. Arang bertanya bagaimana dirinya pada Gim Eun Oh tetapi Gim Eun Oh tidak menjawab pertanyaannya sebaliknya mengarahkannya tunggu di situ sehingga masa untuk berjumpa dengan Ju Wal ditetapkan. Dia mahu pergi ke satu tempat yang lain.
Ju Wal diberitahu oleh orang suruhannya bahawa seseorang dari pejabat Magistrate datang memberikannya sepucuk surat. Ju Wal terkejut apabila diberitahu yang Pekan Miryang sudah mempunyai Magistrate yang baru. Ju Wal membaca surat itu dan memberitahu yang Magistrate yang baru itu mahu bertemu dengannya.
Sepeninggalan Gim Eun Oh, Arang tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia mengayakan baju barunya di dalam bilik Bang Ool. Di luar rumah, Bang Ool sedang melakukan pemujaan. Dia meminta supaya nenek moyangnya memberikannya jeneral spirit bukannya hantu seperti Arang. Kemudian, dia terperasan yang Arang berada di belakangnya. Dia menyuruh Arang pergi dari situ kerana dia mahu melakukan perkara yang penting. Arang menolak kerana khuatir baju barunya akan kotor, lagipun dia sudah berjanji akan menunggu Gim Eun Oh di situ. Bang Ool bengang dengan kata-kata Arang itu. Dia mengungkit segala perbuatan Arang kepadanya dulu. Kerana Arang dia terpaksa menjadi pencuri dan sampai sekarang dia masih memerlukan ubat penenang kerana trauma dengan kejadian itu. Arang berasa bersalah apabila mendengar kata-kata Bang Ool. Arang mengambil keputusan untuk pergi sahaja ke tempat yang dikatakan oleh Gim Eun Oh walaupun masih awal dari masa yang dijanjikan.
Di pertengahan jalan, Gim Eun Oh terfikir yang Arang mesti sentiasa berada di sisinya selagi ingatannya belum pulih. Kerana ke mana sahaja Arang pergi, pasti ada masalah yang berlaku. Dia tidak boleh meninggalkan Arang bersendirian. Gim Eun Oh berpatah balik ke rumah Bang Ool. Arang yang telah keluar dari rumah Bang Ool telah berjalan sehingga ke pekan. Di sana dia terpandang sebuah gedung lama. Dia teringat di situlah dia mendapat sejenis herba yang dapat membuatkan mereka dapat di lihat oleh manusia. Dia berharap yang dia akan dapat lagi herba itu sebelum dia pergi ke dunia kematian selepas pertemuan dengan Ju Wal nanti. Tanpa berfikir panjang, Arang terus masuk ke dalam kawasan gedung itu. Dia tidak sedar sekumpulan hantu jahat telah melihatnya menuju ke gudang itu. Hantu-hantu itu mahu membalas dendam kerana Arang penyebab mereka tidak dapat makan makanan yang dikhaskan untuk hantu-hantu yang berkeliaran. Di dalam gudang itu, Arang menjerit untuk meminta herba-herba itu lagi. Apabila dia menoleh ke belakang, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati sekumpulan hantu berada di hadapannya. Hantu-hantu itu menangkapnya. Arang cuba melawan tetapi hantu-hantu itu terlalu ramai dan tenaganya tidak cukup kuat untuk melindungi dirinya. Bajunya di pijak-pijak oleh hantu-hantu itu. Arang dibelasah oleh hantu-hantu itu secara beramai-ramai.
Gim Eun Oh tiba tepat pada masanya. Sewaktu ketua hantu itu mahu membelasah Arang, Gim Eun Oh menendang ketua hantu itu dan ketua hantu itu terdorong ke hadapan. Gim Eun Oh menarik Arang ke sisinya. Dia melihat Arang yang sudah kusut masai keadaannya. Dia mulai naik angin apabila melihat baju yang dipakai Arang sudah terkena kotoran. Hantu-hantu itu terkejut apabila melihat kemunculan Gim Eun Oh. Mereka menyatakan yang Gim Eun Oh adalah seorang manusia istimewa kerana dapat melihat mereka tetapi itu tidak ada kena mengena dengan mereka. Mereka menyuruh Gim Eun Oh pergi dari situ dan meninggalkan Arang bersama mereka. Gim Eun Oh menyuruh mereka yang pergi dari situ sebelum dia menghapuskan mereka dengan biji-biji kacang merah. Tetapi di saat dia mahu mengeluarkan biji-biji kacang itu di dapati yang kacang-kacang merahnya telah habis. Hantu-hantu itu mentertawakan Gim Eun Oh. Mereka menyuruh Gim Eun Oh pergi dari situ tetapi perbuatan mereka itu telah mengundang kemarahan Gim Eun Oh. Terjadilah pertempuran di antara Gim Eun Oh dengan hantu-hantu itu. Setelah bermatian berlawan, Gim Eun Oh dan Arang dikerumuni lebih ramai hantu-hantu tiba-tiba datang penangkap hantu. Sedang mereka berlawan, Gim Eun Oh dan Arang melarikan diri dari situ.
Gim Eun Oh mahu membawa Arang bertemu dengan Ju Wal di tempat yang telah dijanjikan tetapi dipertengahan jalan Arang berhenti. Gim Eun Oh kehairanan dengan sikap Arang itu. Tetapi bila melihat Arang merenung bajunya yang sudah koyak-koyak dan rupanya sudah kusut masai, Gim Eun Oh faham apa yang difikirkan Arang. Dia bertanya samada Arang mahu membasuh muka dan berdandan semula atau tidak. Arang mengatakan yang Ju Wal tidak akan nampak dirinya, Jadi tidak perlu berdandan semula. Gim Eun Oh mulai berang kerana itulah yang dikatakan kepada Arang dahulu. Arang terus berlalu meninggalkan Gim Eun Oh di situ. Gim Eun Oh mengejar Arang dari belakang. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ju Wal dan orang suruhannya sudah menanti di tempat yang dijanjikan oleh Gim Eun Oh. Tetapi sekian lama menunggu kelibat Magistrate tidak kelihatan. Memandangkan masa yang dijanjikan sudah lama berlalu dan hujan pula semakin lebat, orang suruhannya meminta supaya Ju Wal meninggalkan tempat itu dengan segera sebelum hujan semakin lebat. Ju Wal akur dengan kata-kata orang suruhannya itu. Gim Eun Oh dan Arang tiba di tempat itu setelah Ju Wal berlalu pergi. Gim Eun Oh naik berang apabila melihat Ju Wal sudah tiada di situ. Dia melihat Arang yang muram. Arang mulai mengeluh tentang perjalanan hidupnya yang banyak halangan itu. Gim Eun Oh mengiyakan kata-kata Arang itu. Menurutnya, Arang mati terlalu muda dan kemudian menjadi hantu yang tiada ingatan. Arang mulai berang dengan kata-kata Gim Eun Oh itu. Arang menyatakan yang semua itu bukan kehendaknya. Dia mulai memarahi Jade Emperor yang menjadikan dirinya begitu.
Di atas sana, Jade Emperor dan King Yama sedang bermain catur. Jade Emperor mendengar suara memanggil namanya. King Yama berkata ada suara manusia memanggil namanya tetapi Jade Emperor menafikan kerana suara itu memanggil orang tua penipu dan ternyata itu bukan dirinya. King Yama hanya tersenyum mengejek apabila mendengar kata-kata Jade Emperor itu. Jade Emperor meletakkan sebiji buah catur dan buah catur itu mengeluarkan cahaya. Jade Emperor terdengar suara Arang yang bertanya kenapa Jade Emperor memperlakukan dirinya sebegitu rupa. Jade Emperor meletakkan sebiji lagi buah caturnya dan sekali lagi buah caturnya mengeluarkan cahaya menandakan sesuatu akan terjadi di dunia manusia.
Hujan yang turun dengan lebat itu telah mengeluarkan sesuatu dari dalam perut bumi. Seorang penduduk kampung telah terjumpa mayat berdekatan air terjun di kampung itu. Dia pergi ke pejabat Magistrate untuk memaklumkan tentang penemuan mayat itu. Orang suruhan Lord Choe juga memaklumkan tentang perkara itu kepada Lord Choe. Begitu juga dengan orang suruhan Ju Wal. Keadaan menjadi gempar. Semua penduduk kampung berlari ke tempat itu untuk melihat mayat siapakah yang dimaksudkan. Gim Eun Oh terlihat Dol Soe berlari bersama dengan 3 orang pegawai kerajaan dan penduduk kampung. Dia bertanya kepada Dol Soe apa yang terjadi. Dol Soe menerangkan kejadian itu kepada Gim Eun Oh. Mereka berlari ke tempat kejadian. Di situ Gim Eun Oh diberitahu yang mayat itu adalah mayat anak gadis bekas magistrate yang hilang 3 tahun dulu. Orang suruhan bekas magistrate itu yang mengesahkannya. Gim Eun Oh terkejut dengan berita itu. Dia menghampiri mayat itu dan membuka penutupnya. Dia melihat mayat Lee Seo Rim yang masih elok walaupun sudah 3 tahun tertanam di situ. Dia mencari cucuk sanggul ibuny di tangan mayat Lee Seo Rim tetapi cucuk sanggul itu tiada di situ. Pegawainya memberitahu yang itu adalah kes pembunuhan. Gim Eun Oh teringat kata-kata Arang yang dirinya berasa sakit seperti telah ditikam. Gim Eun Oh mengiyakan kata-kata pegawainya itu. Gim Eun Oh terpandang Arang berdiri tidak jauh dari situ. Matanya sedang memerhati mayat yang terbujur di tanah itu. Gim Eun Oh melarangnya melihat mayat itu tetapi Arang berdegil. Dia melihat pengasuhnya meratap mayat itu. Bila pengasuhnya ditarik supaya meninggalkan tempat itu, dengan tidak tersengaja tangan pengasuh itu menarik penutup mayat. Arang melihat mayat itu adalah dirinya. Arang bagai tidak percaya apa yang dilihatnya. Dia berlari meninggalkan tempat itu. Gim Eun Oh mahu mengejarnya tetapi terhenti apabila terlihat kedatangan Ju Wal dan orang suruhannya di situ. Penduduk kampung berkata yang Ju Wal adalah tunangan gadis malang yang mati itu.
Arang berlari dan berlari sambil fikirannya sarat dengan pertanyaan. Kenapa dia terbaring begitu. Kenapa dia mati. Sepanjang dia belari itu, dia teringat semua peristiwa-peristiwa yang dilaluinya sepanjang 3 tahun ini. Pelariannya terhenti di tepi sebuah sungai. Arang menangis semahu-mahunya di situ.
Ju Wal memerhatikan mayat gadis yang dikatakan tunangannya itu. Mereka menyatakan yang khabar angin tentang tunangannya melarikan diri dengan lelaki lain itu tidak benar sama sekali. Di atas arahan Lord Choe mereka mahu membawa mayat gadis itu ke tempat mereka tetapi Gim Eun Oh selaku Magistrate di situ mahukan mayat gadis itu di bawa ke pejabatnya kerana yakin itu adalah kes pembunuhan. Mahu tidak mahu orang suruhan Lord Choe terpaksa beralah dengan keputusan Magistrate itu. Ju Wal bertanya kenapa Gim Eun Oh mahu bertemu dengannya. Gim Eun Oh berkata dia mahu bertanyakan beberapa soalan kepadanya tetapi sekarang sudah tidak perlu lagi. Ju Wal mahukan Gim Eun Oh mengikut arahan ayahnya, Lord Choe. Dia tidak mahu ada sebarang gosip yang akan memalukan mereka sekeluarga lagi. Cukuplah mereka berasa malu kerana kejadian yang dahulu. Terperanjat Gim Eun Oh apabila mendengar kata-kata Ju Wal yang mengetahui kebenaran tentang kematian Lee Seo Rim tidak sepenting mana berbanding dengan wujud khabar angin yang akan memalukan keluarganya. Gim Eun Oh berkata yang ternyata khabar angin tentang gadis itu melarikan diri dengan lelaki lain adalah tidak benar. Kenapa mesti keluarga Lord Choe malu dengan kematian gadis itu. Ju Wal menegaskan yang dia tidak pernah mengenali gadis itu walaupun mereka sudah bertunang. Dia melihat gadis itu cuma sekali sahaja dan sekarang dia tidak ingat lagi bagaimana rupa tunangannya itu. Dia sebenarnya tidak kisah siapa pun yang akan menguruskan mayat gadis itu tetapi ayahnya pasti tidak akan mendiamkan diri jika arahanya tidak dipatuhi.
Arang menghabiskan masanya di tepi sungai itu. Dirinya sudah terlalu lemah untuk berfikir lagi. Dia hanya mendiamkan diri dan termenung sambil berbaring di situ. Di pejabat Magistrate, pengasuh Lee Seo Rim membakar pakaian yang dipakai oleh Lee Seo Rim sewaktu mayatnya dijumpai. Pengasuhnya berharap Lee Seo Rim akan mendapat ketenangan di sana. Gim Eun Oh hanya melihat perlakuan pengasuh Lee Seo Rim itu. Dia teringat reaksi Arang apabila melihat mayatnya tadi. Dia risau dengan keadaan Arang yang menghilangkan diri itu. Dia kesal kerana Arang tidak mahu mendengar katanya yang tidak mahu dia melihat kejadian itu.Dol Soe memberitahu yang dia sudah meletakkan mayat Lee Seo Rim di biliknya dan bertanya apakah tindakan mereka seterusnya. Bila Gim Eun Oh berkata yang dia pun tidak tahu apa yang harus di lakukan, Dol Soe mulai naik angin. Dia bertanya apa tujuan Gim Eun Oh membawa mayat itu ke situ. Bukankah lebih elok jika Lord Choe yang menguruskannya. Pasti Lord Choe tahu apa yang harus dilakukan. Gim Eun Oh berkata dia tidak tahu apa yang diinginkan oleh si mati. Samada mahu mencari pembunuhnya atau menjernihkan nama baiknya atau lupakan semua peristiwa lepas dan kuburkan sahaja. Apabila 3 orang pegawainya mula bersuara, Gim Eun Oh terus berlalu dari situ.
Arang memerhatikan mayat Lee Seo Rim. Itulah juga jasadnya. Arang bertanya kenapa ia terbaring di tempat yang sejuk dan kotor seperti orang bodoh. Dia mahu tahu apa yang berlaku sebenarnya. Siapa yang melakukan semua itu kepadanya. Jikalau dia tidak tahu, seharusnya Lee Seo Rim mesti tahu apa yang terjadi pada dirinya itu. Arang berjanji kepada jasad Lee Seo Rim yang dia akan mencari jawapan kepada setiap pertanyaannya itu. Arang duduk di atas bumbung dan memandang ke bulan. Arang berkata kepada Jade Emperor yang dipanggil si tua penipu itu supaya mendengar kata-katanya. Dia tahu mereka yang di atas itu tahu apa yang telah terjadi kepadanya. Arang bertanya apa yang terjadi kepada Lee Seo Rim. Beritahulah apa yang dilihatnya itu kepadanya. Arang terus-terusan berdoa tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Arang naik angin dan terus menjerit nama si tua penipu itu.
Jeritan Arang itu menyebabkan Jade Emperor terkejut. King Yama berkata jika Jade Emperor tidak melakukan gerakan pada buah caturnya, King Yama akan mengambil alih tugasan Jade Emperor dan akan melakukan hukuman mengikut caranya. Jade Emperor memberitahu yang sekiranya dia memberitahu Arang apa yang dia mahukan, pasti Arang akan menjadi baik. King Yama memarahinya kerana mahu mendengar kata-kata dari roh yang berkeliaran. Jade Emperor menafikan itu bukan satu perjanjian, itu adalah suatu doa dari roh yang tidak berupaya.Setiap doa pasti akan dijawab dengan baik olehnya. Sikap Jade Emperor itu lah mengundang kemarahan King Yama. Padanya setiap kekecohan yang tercetus akibat tindakan Jade Emperor itu pasti dia yang akan menyelesaikannya. Sebab itu dia di gelar tuhan kejahatan sedangkan Jade Emperor di gelar tuhan kebaikan. Pada pandangan King Yama tiada yang tidak adil apa yang berlaku di bawah sana kerana segala perkara telah mereka tentukan. Jade Emperor bertanya adakah King Yama begitu pasti yang tidak timbul segala ketidakadilan di dunia manusia itu. King Yama mengiyakan kata-kata Jade Emperor itu.
Arang berjumpa dengan bomoh perempuan, Bang Ool. Dia meminta pertolongan Bang Ool untuk berjumpa dengan pengambil roh, Mu Yeong. Dia mahu Mu Yeong membawanya berjumpa dengan Jade Emperor. Dia mahu tahu siapakah yang menyebabkan kematiannya. Bang Ool membawanya ke suatu tempat yang dipanggil pintu pagar ke dunia lain. Rancangan Arang adalah mahu mengugut Mu Yeong sekiranya dia tidak mahu membawanya berjumpa dengan Jade Emperor, dia akan menghantar Mu Yeong ke Underworld. Setelah Mu Yeong muncul, Arang memberitahunya yang dia bersedia untuk mengikutnya ke Underword tetapi dengan syarat dia mahu Mu Yeong membawanya berjumpa dengan Jade Emperor. Mu Yeong mengingatkan Arang bahawa yang mengendalikan soal kematian adalah King Yama bukannya Jade Emperor. Tetapi Arang bertegas untuk berjumpa dengan Jade Emperor. Sebelum itu Arang memberitahu Bang Ool sekiranya dia menyebut perkataan si tua penipu, Bang Ool harus menolak papan yang telah di tutup dengan kain yang bercorak simbol Underworld. Mu Yeong hampir-hampir di sedut masuk ke dalam lubang ke dunia lain itu. Mujur dia sempat menahan badannya dari terjerumus ke dalam. Arang juga di sedut masuk. Dia terdampar di atas badan Mu Yeong. Arang berkata dia boleh menutup pintu itu seandainya Mu Yeong bersedia membawanya berjumpa dengan Jade Emperor.
Sementara itu, di atas sana, King Yama dan Jade Emperor sedang bermain catur untuk menentukan perjalanan manusia di dunia. King Yama yakin yang dia akan memenangi perlawanan kali ini. Dia sudah tidak sabar untuk mengambil alih tugas Jade Emperor menangani masalah Arang itu. Jade Emperor tenang sahaja menjalankan buah caturnya. Setiap langkah yang diambil oleh Jade Emperor bagai sudah di baca oleh King Yama. Tetapi apabila Jade Emperor meletakkan buah caturnya di satu tempat di mana King Yama tidak dapat berganjak ke mana-mana, King Yama meminta Jade Emperor membenarkannya menarik balik 1 dari buah catur yang telah di letakkannya tadi. Jade Emperor berpura-pura tidak mendengar kata-kata dari King Yama itu. King Yama mulai naik angin dengan perlakuan Jade Emperor itu. King Yama terpaksa menahan amarahnya dan terus menujuk Jade Emperor supaya membenarkannya menarik balik buah caturnya itu. Jade Emperor bertanya apa yang dia dapat balasan jikalau dia membenarkan King Yama berbuat begitu. Sebagai balasannya King Yama bersetuju dengan cadangan Jade Emperor supaya membenarkan Arang bertemu dengannya. Dengan senang hati, Jade Emperor menarik balik buah caturnya dan King Yama meletakkan buah catur miliknya di situ.
Mu Yeong yang terdengar namanya di panggil oleh King Yama. Fahamlah Mu Yeong yang King Yama dan Jade Emperor menyuruhnya bersetuju dengan permintaan Arang itu. Mu Yeong memberitahu Arang yang dia bersetuju dengan permintaan Arang untuk membawanya bertemu dengan Jade Emperor. Arang menyuruh Bang Ool membuka kain yang direntangkan di dinding itu. Setelah keadaan menjadi reda, Mu Yeong memarahi Arang dan meminta Arang tidak mengulangi perbuatannya itu. Arang memarahi Mu Yeong semula dengan mengatakan jikalau Mu Yeong bersikap baik dengannya pasti perkara itu tidak terjadi.
Gim Eun Oh mencari Arang setelah Arang menghilangkand diri. Gim Eun Oh bimbang sesuatu terjadi kepada Arang. Dia tahu Arang berasa sedih setelah melihat mayatnya dirinya tadi. Gim Eun Oh pergi ke tepi sungai dengan harapan Arang berada di situ tetapi hampa. Arang tiada di situ.
Arang dan Mu Yeong memulakan perjalanan untuk bertemu dengan Jade Emperor. Arang mengikut Mu Yeong dari belakang. Masing-masing diam seribu bahasa. Bersambung ....
Para
pelakon :
Lee
Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin
Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon
Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon
O Joong sebagai Dol Seo
Hwang
Bo Ra sebagai Bang Ool
Han
Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo
Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park
Joon Gyoo sebagai King Yama
* Episod 3 ni lebih best citenya ... sian Arang bila dia tengok jasad dia kesejukan ... kotor pulak tu ... menangis dia (ngan aku sekali nangis ... hehe) ... kesungguhan magistrate tu nak tolong Arang (sebenarnya dia nak cari mak dia jek) ... paling tragis masa Arang perangkap Mu Yeong kat pintu Underworld ... sanggup dia pertarungkan dirinya ... kalau tersilap langkah dengan dia sekali termasuk dalam Underworld tu .. terus ghaib macam tu jek dia ... nasib baik la berjaya jugak dia nak jumpa Jade Emperor tu .. tu pun sebab King Yama dah nak kalah ngan Jade Emperor ... kalau tak tak tau la nasib Arang ... yang si bomoh Bang Ool tu takut Mu Yeong apa-apakan dia sebab tolong Arang perangkap Mu Yeong ... dia merayu-rayu supaya Mu Yeong maafkan dia sebab dia tak tau pun rancangan Arang tu ... hehe ... lawak la pulak .. tengah serius-serius ada bahan lawak pulak ... apa pun memang the best la cite Arang And The Magistrate ni ...
1 comments:
hi, saye melawat je ni..salam!~ dah follow awk..sudilah follow saya jugak kk.. yang ade "Ai Ai, Trebangkan aku Ke Mesosfera" tu...kk2 have a nice day!~ thanks
Post a Comment