The Vineyard Man
Sinopsis oleh : aznanie
Kisah bermula di mana kepayahan Lee Ji Hyun merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang pereka fesyen. Suatu hari ada pertandingan mencari pereka fesyen di syarikat dia bekerja. Lee Ji Hyun begitu teruja untuk menyertai pertandingan itu dan dia berjaya mereka sehelai baju yang sangat cantik rekaannya. Sememangnya dia berbakat dalam bidang itu. Pada hari pertandingan itu, dia memakai baju itu dan satu kejadian yang tidak diduga telah berlaku. Pakaiannya telah di curi ketika dia di dalam tandas. Dia ditinggalkan dengan hanya berpakaian dalam sahaja. Dia menelifon polis memberitahu pakaiannya telah di curi orang. Selepas beberapa ketika dia menunggu, seorang lelaki telah masuk ke dalam tandas di mana Lee Ji Hyun berada. Dia menyangka lelaki itu polis yang telah di telefonnya. Dia bertindak mengambil baju yang dipakai lelaki itu. Terjadi kekecohan di situ dan kejadian itu di saksikan oleh pihak polis yang memasuki tandas itu. Mereka di bawa ke balai polis. Jang Taek Gi berasa tidak puas hati apabila dia dituduh mahu memperkosa Lee Ji Hyun.
Setelah berjaya keluar dari balai polis, Lee Ji Hyun terus pergi ke pertandingan itu. Alangkah terkejutnya apabila melihat baju yang di curi darinya diperagakan dan diperkenalkan sebagai rekaan bosnya sendiri. Dia ingin memberitahu yang baju itu adalah rekaannya tapi dia tiada bukti untuk berbuat demikian. Lagipun tiada orang yang akan percaya padanya. Tahulah dia kini bosnyalah yang merancang untuk mencuri bajunya di dalam tandas itu.
Jang Taek Gi berasa sangat marah dengan Lee Ji Hyun.Di sebabkan perkara itu dia kerugian apabila tidak dapat menghantar anggur-anggurnya tepat pada masanya dan anggurnya ada yang rosak. Oleh kerana dia tidak tahu nama dan tempat tinggal Lee Ji Hyun, dia bertindak mencari Lee Ji Hyun dengan merayau menggunakan pembesar suara. Tujuannya adalah untuk meminta ganti rugi dari Lee Ji Hyun. Dan nasibnya baik apabila dia bertemu dengan Lee Ji Hyun. Tetapi Lee Ji Hyun dapat melarikan diri darinya.
Keluarga Lee Ji Hyun memaksa Lee Ji Hyun menerima cadangan atuk sedaranya supaya mengerjakan ladang anggurnya selama setahun. Selepas itu jika dia berjaya membuatkan ladang anggurnya itu berhasil, ladang anggur itu akan di serahkan kepadanya. Pada mulanya, Lee Ji Hyun tidak mahu. Dia sudah biasa dengan kehidupan di bandar, bagaimana mahu hidup di kampung yang tiada sebarang kemudahan. Tetapi dia terpaksa bersetuju kerana ibunya mulai mengungkit akan perihal baju yang dibeli oleh Lee Ji Hyun menggunakan wangnya. Lagipun Lee Ji Hyun sudah tiada pekerjaan lagi setelah kejadian tersebut.
Sampai di kampung datuknya, Lee Ji Hyun bertemu dengan Jang Taek Gi. Bila mengetahui yang mereka berdua akan bekerja bersama di ladang anggur milik datuknya, Lee Ji Hyun berasa kurang selesa, tetapi terpaksa berkompromi dengan keadaan itu. Dia hanya menganggap Jang Taek Gi pekerja datuknya.
Lee Ji Hyun tidak menyangka yang dia akan melalui pengalaman yang paling mencabar dalam hidupnya. Dia di suruh bekerja dengan teruk di awal pagi hingga ke petang hari. Bergelumang dengan tanah dan lumpur. Mempelajari selok belok penanaman anggur dan melakukan kerja-kerja berat di ladang. Padanya, Jang Taek Gi sengaja mahu menderanya dengan menyuruhnya melakukan kerja-kerja berat sebegitu sebagai balasan di atas perbuatannya dulu. Tetapi berlainan pula dengan Jang Taek Gi, dia hanya menjalankan amanah yang diberikan kepadanya oleh orang yang banyak membantunya. Dia setia bersama datuk Lee Ji Hyun kerana mengenangkan budi dan jasa orang tua itu sehingga dia berjaya melanjutkan pelajaran dan berjaya menjadi pegawai penyelidik di pusat penyelidikan di bandar. Tetapi dia menolak untuk bekerja di situ kerana mahu berkhidmat dengan datuk Lee Ji Hyun yang telah uzur dan tidak mampu lagi mengerjakan ladang anggurnya.
Di kampung itu Lee Ji Hyun bertemu kembali dengan orang yang diminati semasa dia belajar dulu. Bertugas sebagai doktor di kampung itu. Lee Ji Hyun menyuruh budak-budak di kampungnya pura-pura sakit untuk dia bertemu dengan doktor itu. Dan tidak disangkanya doktor itu pun menyukainya. Maka bermulalah kisah cinta antara mereka. Dr. Kim Kyung Min adalah anak orang kaya. Ibu bapanya menetap di luar negara.
Ladang mereka mahu dibeli untuk di bangunkan menjadi pusat pelancongan tetapi datuk Lee Ji Hyun tidak mahu menjualkannya. Dan beberapa orang juga tidak mahu menjualnya. Ini menimbulkan kemarahan kepada pembeli itu dan mengupah beberapa orang samseng membuat onar supaya pemilik ladang kerugian dan mahu menjualkan sahaja ladang itu kepada mereka.
Beberapa orang samseng telah melepaskan serangga yang dapat memusnahkan pokok anggur. Jang Taek Gi membuat racun untuk mencegah serangga itu membiak tetapi tidak berjaya. Dia pergi ke pusat peyelidikan dan mahukan pertolongan dari mereka. Dan tidak disangkanya, dia bertemu dengan bekas teman wanitanya, Kang Su Jin yang merupakan seorang penyelidik sepertinya. Kang Su Jin meninggalkannya untuk bersama lelaki lain.
Mahu tidak mahu dia terpaksa menceritakan masalah yang dihadapi penduduk kampung kepada Kang Su Jin. Kang Su Jin berjanji akan ke sana untuk mengambil sample dan akan menyelidik apa yang berlaku. Kedatangan Kang Su Jin memang di nanti oleh penduduk kampung. Mereka berharap sangat agar masalah mereka akan dapat di atasi. Sepanjang penyelidikannya Kang Su Jin tinggal di rumah datuk Lee Ji Hyun. Lee Ji Hyun tidak tahu kenapa dia tidak suka melihat kemesraan antara Jang Taek Gi dengan Kang Su Jin. Sedangkan dia menyintai Kim Kyung Min.
Kedatangan ibu bapa dan adik Lee Ji Hyun ke kampung, mengundang rasa tidak senang Lee Ji Hyun. Ibu Lee Ji Hyun tidak menyenangi Jang Taek Gi. Perasaannya mengatakan yang Jang Taek Gi menyukai Lee Ji Hyun. Dia tidak mahu mereka berdua menjadi rapat. Tetapi setelah diperkenalkan dengan Kim Kyung Min, ibunya jadi gembira. Dia begitu menyenangi doktor muda itu. Padanya itulah jodoh yang sesuai dengan anaknya. Layanan mesra doktor itu membuatkan hatinya berbunga riang.
Setelah beberapa hari melakukan penyiasatan, Kang Su Jin berjaya menemui penawar untuk serangga yang menyerang ladang mereka. Setelah membuat racun itu mereka mengagih-agihkan ke ladang mereka. Pada waktu malam, beberapa orang samseng telah memasukkan sejenis cecair lain untuk menghalang dari memulihkan ladang dari serangga itu. Perbuatan mereka dilihat oleh Lee Ji Hyun. Dan mereka melarikan diri setelah menyedari tindakan mereka di ketahui. Tetapi samseng itu dapat melepaskan diri. Kang Su Jin terpaksa membuat semula racun tersebut dengan bantuan penduduk kampung.
Setelah ladang mereka bebas dari ancaman serangga perosak, mereka mengadakan parti untuk meraikan kejayaan dan sebagai tanda terima kasih mereka atas usaha dan penat lelah Kang Su Jin membantu mereka. Sedang yang lain bergembira, Jang Taek Gi mengajak Lee Ji Hyun minum di tepi sungai. Di situ dia mengajar Lee Ji Hyun beberapa bunyi serangga. Lee Ji Hyun terpesona dengan bunyi-bunyi serangga yang didengarinya malam itu. Setelah lewat malam, mereka pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang kaki Lee Ji Hyun terseliuh. Jang Taek Gi mendukung Lee Ji Hyun di belakang badannya. Setibanya mereka di rumah, Kim Kyung Min dan Kang Su Jin telah menanti mereka. Kim Kyung Min terkejut melihat Jang Taek Gi mendukung Lee Ji Hyun. Bila diberitahu kaki Lee Ji Hyun terseliuh, dia terus menurunkan Lee Ji Hyun dari dukungan Jang Taek Gi. Dia memapah Lee Ji Hyun ke dalam rumah dan memeriksa kaki Lee Ji Hyun.
Awal pagi Jang Taek Gi telah bangun dan pergi mencari daun hutan untuk di buat ubat untuk Lee Ji Hyun. Dia menumbuk dan merebus daun tersebut untuk di letakkan pada kaki dan diminum oleh Lee Ji Hyun. Lee Ji Hyun akur dengan permintaan Jang Taek Gi supaya meminum air daun itu. Tetapi Kim Kyung Min membuang daun yang diletakkan pada kaki Lee Ji Hyun dan digantikan dengan ubat sapu yang dibawanya dari klinik dan memakaikan Lee Ji Hyun sarung kaki khas. Dia jugak membawa tongkat untuk memudahkan Lee Ji Hyun berjalan. Sebaik terpandang Jang Taek Gi yang melihatnya, Lee Ji Hyun berasa serba salah tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.
Pertandingan grape king yang diadakan setiap tahun bagi mengiktraf anggur terbaik membuatkan Lee Ji Hyun teruja. Lebih-lebih lagi datuknya berjanji akan menambah mata dalam penilaian yang dilakukan oleh datuknya samada dia layak atau tidak mewarisi ladang anggur itu. Lee Ji Hyun membuat rekaan bakul anggurnya dengan begitu menarik sekali. Walaupun di perli oleh Jang Taek Gi dia tidak kisah. Kerana yang penting baginya dia mahu memastikan yang terbaik untuk pertandingan itu.
Tiba hari pertandingan, Lee Ji Hyun dan Jang Taek Gi menjual anggur di festival itu tetapi anggur mereka kurang mendapat sambutan. Doktor Kim Kyung Min juga ada membuat gerai pemeriksaan kesihatan di situ, jadi mereka berjumpa dan berbual dengan mesra. Jang Taek Gi berasa cemburu dengan kemesraan mereka berdua itu.
Lee Ji Hyun tidak berasa senang melihat gerai mereka kurang mendapat pelanggan. Jadi dia mengajak Jang Taek Gi ke pentas di mana sedang berlangsung acara nyanyian. Bila Lee Ji Hyun naik ke atas pentas, dia disuruh menyanyi. Dia bersetuju dan dia meminta Jang Taek Gi menyanyi tetapi dia menolak. Bila Lee Ji Hyun meminta dia menari barulah dia mahu menyanyi dan Lee Ji Hyun menari. Mereka menyanyi dan menari dengan gembira. Setelah selesai menyanyi, Lee Ji Hyun sempat memberitahu yang gerai mereka ada menjual anggur dan meminta mereka beramai-ramai datang untuk membeli anggur mereka. Sekejap sahaja anggur mereka habis di jual.
Pemilihan juara king of grape mendebarkan hati Lee Ji Hyun. Setelah di umumkan juara king of grape, Lee Ji Hyun berasa kecewa kerana anggurnya tidak berjaya mendapat gelaran king of grape tahun ini. Datuknya memberitahunya walaupun tidak menang dia tetap memberikan markah bonus di atas usaha keras Lee Ji Hyun itu.
Penduduk kampung di kejutkan dengan berita kehilangan anggur dari ladang mereka. Pencuri anggur itu membuat kerja mencuri pada waktu malam ketika penduduk kampung nyenyak tidur. Berita kehilangan anggur itu disiarkan melalui berita di tv. Lee Ji Hyun dan Jang Taek Gi mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengawal ladang anggur mereka pada waktu malam di atas pondok tinggi. Semasa mereka sedang leka berbual, mereka terdengar suara orang di dalam ladang. Lee Ji Hyun dan Jang Taek Gi bergegas ke arah suara itu. Sesampai di sana, terdapat beberapa orang pencuri sedang melarikan diri. Sedang keadaan kelam kabut, Lee Ji Hyun sampai. Jang Taek Gi memarahi Lee Ji Hyun yang datang juga ke situ. Pencuri itu mengambil kesempatan memukul Jang Taek Gi dengan menggunakan kayu. Pukulan itu terkena di lengan Jang Taek Gi. Disebabkan kejadian itu, tangan Jang Taek Gi cedera. Lee Ji Hyun mencari daun herba yang pernah di buat oleh Jang Taek Gi semasa kakinya terseliuh dahulu. Malahan dia telah membuatkan Jang Taek Gi baju khas untuk orang yang cedera tangannya. Kang Su Jin berasa cemburu melihat keperihatinan Lee Ji Hyun itu.
Memandangkan tiada lagi urusan yang berkaitan dengan Kang Su Jin di situ, Jang Taek Gi memintanya kembali semula ke pusat penyelidikan. Tak manis katanya bila Kang Su Jin masih berada di rumahnya memandangkan mereka tiada sebarang ikatan. Lee Ji Hyun berasa lega apabila Kang Su Jin pergi dari rumahnya.
Semasa Lee Ji Hyun keluar ke bandar bersama Kim Kyung Min, dia teruja untuk membeli anggur yang terdapat di situ. Tetapi sedang dia membelek-belek anggur, dia perasan rasa anggur di situ sama dengan anggur yang di tanam di ladangnya. Setelah diteliti itu memang anggurnya kerana dia telah membuat tanda pada kertas pembalut buah anggur pada setiap anggur di ladangnya. Dia membuat laporan polis dan penjual itu memberitahu yang anggur itu di beli dari beberapa orang yang membawa anggur itu kepadanya dengan harga yang murah. Setelah di soal siasat, pihak polis akhirnya berjaya menangkap pencuri anggur itu. Penduduk kampung memuji tindakan Lee Ji Hyun yang menanda buah anggur kepunyaannya sehingga dapat menangkap pencuri anggur di ladang mereka.
Lee Ji Hyun tidak percaya pada hatinya sendiri. Dia tidak menyangka yang dia menyukai Jang Taek Gi tetapi sikap Jang Taek Gi yang selalu berkasar dengannya membuatkan dirinya tidak yakin. Lagipun dia sudah bercinta dengan Kim Kyung Min.
Kepulangan bekas menantunya membuatkan datuknya binggung. Lagi-lagi diberitahu yang dia mempunyai anak bersama mendiang suaminya yang merupakan anak tunggal datuk Lee Ji Hyun. Datuk Lee Ji Hyun tidak mempercayainya pada mulanya, tetapi tetap menerima kehadiran bekas menantunya itu. Bekas menantunya itu mempunya agenda yang tersendiri. Dia mahu datuk Lee Ji Hyun mewariskan ladang anggurnya pada anaknya. Walaupun di ketahui bahawa anak itu bukanlah anaknya bersama mendiang suaminya tetapi anak bersama suaminya sekarang. Kerana desakan hidupnya yang sukar di bandar dia memulakan rancangan jahatnya.
Dia dengan sengaja melepaskan khinzir peliharaan datuk Lee Ji Hyun dan meletakkan kesalahan pada Lee Ji Hyun dengan menyatakan pintu kadang itu tidak bertutup. Datuk Lee Ji Hyun sangat marah dan menyuruh Lee Ji Hyun mencari binatang itu dengan segera dan jangan balik kalau tidak berjaya mendapatkannya semula. Lee Ji Hyun yang kecewa dengan sikap datuknya yang tidak mempercayainya bertindak masuk ke hutan seorang diri tanpa membawa apa-apa peralatan hatta telefon bimbitnya.
Apabila mengetahui Lee Ji Hyun masuk ke dalam hutan, Jang Taek Gi bersiap untuk mengekori jejak Lee Ji Hyun. Dia bertemu akhirnya dengan Lee Ji Hyun yang ketakutan di kejar orang asli dalam hutan itu. Setelah menemui Lee Ji Hyun, Jang Taek Gi menyuruh Lee Ji Hyun balik ke rumah. Biar dia sahaja yang pergi mencari khinzir yang terlepas itu. Tetapi Lee Ji Hyun tidak mahu. Dia mahu membuktikan pada datuknya yang dia bukanlah seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia mengekori Jang Taek Gi masuk ke dalam hutan walaupun dilarang.
Apabila suasana sudah hampir malam, Jang Taek Gi mengambil keputusan untuk bermalam di dalam hutan itu. Dia mendirikan khemah dan memasak untuk makan malam mereka. Memandangkan khemah itu hanya muat untuk seorang, dia menyuruh Lee Ji Hyun tidur di dalam khemah. Sedangkan dia menunggu dan tidur di luar khemah. Memandangkan cuaca sejuk, Lee Ji Hyun mengajak Jang Taek Gi tidur dalam khemah bersamanya. Mereka berbual dan akhirnya Lee Ji Hyun tertidur di sebelah Jang Taek Gi dengan lenanya. Jang Taek Gi merasakan saat itu adalah saat paling bahagia dalam hidupnya. Walaupun dia tidak pernah meluahkan perasaannya pada Lee Ji Hyun tapi sebenarnya dia sudah jatuh cinta pada Lee Ji Hyun.
Kang Su Jin dan Kim Kyung Min berasa bimbang apabila mengetahui yang Lee Ji Hyun dan Jang Taek Gi masuk ke hutan bersama. Apabila malam tiba, mereka membuat keputusan untuk mengikut jejak mereka di dalam hutan. Tetapi mereka tidak tahu sangat mengenai hutan itu. Akhirnya mereka kepenatan dan rasa mengantuk. Mereka berehat di suatu tempat dan tertidur di situ.
Keesokan harinya, sedang mereka membasuh pinggan bekas makan tiba-tiba pinggannya hanyut ke dalam sungai. Pada masa itu lah dia terpandang khinzir peliharaan datuknya di seberang sungai itu. Lee Ji Hyun berasa sangat gembira dan membawa binatang itu pulak ke rumah.
Di rumah, mereka diberitahu yang Kang Su Jin dan Kim Kyung Min juga masuk ke hutan mencari mereka. Mereka bergegas kembali ke dalam hutan dan mencari Kang Su Jin dan Kim Kyung Min. Mereka saling menyalahkan antara satu sama lain. Akhirnya mereka bertemu dengan keduanya dalam keadaan yang sangat lemah. Mereka di bawa keluar dari hutan itu.
Disebabkan kejadian itu, Kang Su Jin jatuh sakit. Jang Taek Gi rasa bersalah dan bertanggungjawab menjaga Kang Su Jin. Lagipun dia tahu ibu Lee Ji Hyun tidak menyukainya kerana terlalu rapat dengan Lee Ji Hyun. Dia tahu dia hanya lelaki miskin yang tak punya apa-apa. Jadi dia harus menjarakkan dirinya dari Lee Ji Hyun. Lee Ji Hyun yang melihat perubahan Jang Taek Gi berasa sedih. Dia mahukan Jang Taek Gi selalu bersamanya. Dan apabila dia mengetahui yang Jang Taek Gi bersama Kang Su Jin sehingga tidak pulang ke rumah, dia rasa kecewa. Dia merasakan Jang Taek Gi dan Kang Su Jin menjalin semula hubungan yang terputus dulu.
Jang Taek Gi mengambil keputusan untuk meninggalkan ladang anggur itu memandangkan musim anggur berbuah hampir tamat. Dia merasakan dirinya tidak diperlukan lagi di situ. Dia mahu kembali berkerja di pusat penyelidikan. Lee Ji Hyun berasa sedih dan kecewa dengan tindakan Jang Taek Gi yang langsung tidak memahami perasaannya. Kedatangan Kang Su Jin menambahkan rasa kecewanya. Kang Su Jin memberitahunya permohonannya untuk bekerja di pusat penyelidikan itu sudah diterima dan dia juga sudah mencarikan rumah untuk Jang Taek Gi tinggal nanti.
Kim Kyung Min melamar Lee Ji Hyun dan disaksikan oleh Jang Taek Gi dan beberapa penduduk kampung. Jang Taek Gi berasa kecewa dengan kejadian itu. Lee Ji Hyun berasa serba salah dengan lamaran itu. Dia tidak tahu perasaannya sendiri. Setengah hatinya mahu menerima lamaran Kim Kyung Min setengah hatinya mencintai Jang Taek Gi. Cinta yang terlalu mendalam yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini.
Setelah berfikir panjang, Lee Ji Hyun mengambil keputusan untuk tinggalkan kampung itu. Dia tidak mahu ladang anggur milik datuknya itu. Lagipun cucu sebenar datuknya sudah pulang, jadi tidak perlu dia ada di situ. Ketiadaan Jang Taek Gi menguatkan lagi semangatnya untuk pergi. Dia bertemu dengan Kim Kyung Min dan memberitahunya dia tidak dapat menerima lamaran Kim Kyung Min itu kerana dalam hatinya hanya ada Jang Taek Gi. Dia mencintai lelaki itu walaupun Jang Taek Gi tidak menyintainya. Dia tidak mahu memilih Kim Kyung Min sedangkan hatinya mencintai lelaki lain. Kim Kyung Min berasa sangat terkejut dan kecewa.
Kim Kyung Min tidak puas hati. Dia pergi mencari Jang Taek Gi.Dia menumbuk Jang Taek Gi dan memberitahu yang Lee Ji Hyun mencintainya. Dia marah kerana Jang Taek Gi lah punca dia tidak dapat memiliki Lee Ji Hyun. Jang Taek Gi yang terkejut dengan kata-kata Kim Kyung Min itu terus berlari pulang ke rumah untuk bertemu dengan Lee Ji Hyun dan inginkan kepastian darinya.
Lee Ji Hyun sudah menaiki keretapi semasa Jang Taek Gi sampai ke stesen keretapi itu. Jang Taek Gi mengejar keretapi yang dinaiki Lee Ji Hyun sehingga keretapi itu berhenti di stesen lain. Jang Taek Gi mencari Lee Ji Hyun dan berjumpa akhirnya. Dia membawa Lee Ji Hyun turun dari keretapi itu dan memberitahu perasaannya yang dia juga mencintai Lee Ji Hyun dan mahu mengahwini gadis itu. Lee Ji Hyun bagai tidak percaya tetapi gembira dengan pengakuan Jang Taek Gi itu. Dia kembali semula ke kampung datuknya bersama Jang Taek Gi. Jang Taek Gi juga tidak jadi bekerja di pusat peyelidikan itu.
Pembohongan bekas menantu datuknya terbongkar jua. Di saat datuk Lee Ji Hyun membawa cucunya berjalan-jalan di ladang anggur, dia terserempak dengan bekas menantunya sedang berbual dengan seorang lelaki. Bekas menantunya memberitahu lelaki itu adalah abangnya tetapi bila cucunya memanggil lelaki itu ayah, mereka tidak dapat mengelak lagi. Akhirnya dia mengaku yang lelaki itu adalah suaminya sekarang dan anak itu adalah anak dia bersama suami barunya itu. Datuk Lee Ji Hyun sangat marah dengan perbuatan bekas menantunya itu kerana dia sudah mulai menerima dan menyayangi cucunya itu.
Percintaan di antara Lee Ji Hyun dan Jang Taek Gi akhirnya dapat dihidu oleh datuknya. Dia menyuruh mereka berkahwin. Tetapi Jang Taek Gi belum meminta kebenaran keluarga Lee Ji Hyun. Datuknya menyuruh ibu dan ayah Lee Ji Hyun datang ke kampung untuk menetapkan tarikh perkahwinan mereka.
Penentangan ibu Lee Ji Hyun sudah dijangka. Dia berkeras tidak mahu Lee Ji Hyun mengahwini Jang Taek Gi. Dia tidak mahu Lee Ji Hyun merana kerana pada sangkaannya Jang Taek Gi itu tiada apa-apa harta dan kebolehan selain bekebun anggur sahaja. Datuk Lee Ji Hyun memujuk ibunya dengan menyatakan dika sengaja meminta Lee Ji Hyun bekerja di ladangnya dengan harapan mereka berdua akan jatuh cinta dan bersama. Dia tidak mahu Jang Taek Gi jatuh ke tangan perempuan lain. Dia begitu menyenangi Jang Taek Gi dan yakin hanya Jang Taek Gi yang akan dapat membahagiakan Lee Ji Hyun. Akhirnya ibunya mengalah dengan kemahuan Lee Ji Hyun itu dan menerima Jang Taek Gi sebagai menantunya.
Hari perkahwinan tiba jua. Semua penduduk kampung meraikan dengan gembira. Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing. Ibunya masih memujuk Lee Ji Hyun supaya mengubah keputusannya tetapi akhirnya akur yang cinta Lee Ji Hyun hanya untuk Jang Taek Gi.
Para Pelakon :
Yoon Eun Hye sebagai Lee Ji Hyun
Oh Man Suk sebagai Jang Taek Gi
Jung So Young sebagai Kang Su Jin
Kim Ji Suk sebagai Kim Kyung Min
* Best sesangat cite ni ... suka dengar Jang Taek Gi punya dialek korea .. bahasa kampung cam tu kot ... kalau bahasa Lee Ji Hyun tu basaha orang bandar ... biasa dengar dalam drama korea yang lain ... drama ni diselitkan adegan lucu disamping adegan romantik pasangan Lee Ji Hyun dan Jang Taek Gi ... memang berharap sangat diaorang ni bercinta walau pada awalnya diaorang ni asik bergadung aje ... hehe .. tapi cari diaorang meluahkan perasaan tu unik .. tak tersangka la cam tu ... pandai pengarahnya mencari kelainan .. kalau tak caya cer tengok sendiri la drama korea The Vineyard Man ni dan nilaikan sendiri kepuasan menontonnya .... layannnnnzzzz ...
0 comments:
Post a Comment