Sunday, May 05, 2013

Sinopsis Cerekarama 'Anak Menantu'

Malam minggu tak de aktiviti .. hehe ... seperti biasa tengok cerekarama ... malam minggu yang lepas-lepas pun tengok jugak cerekarama tapi mood nak menaip tak de ... maklum le .. perut dah berat ni .. belakang sakit-sakit kalau duduk lama .. hehe .. sabar ... lagi 2 bulan lagi ... lepas ni lagi la busy nya .. entah-entah nak pegang pc pun tak sempat ... haha ... nampaknya bersawang le blog aku ni .. harap-harap tak de la sampai cam tu kannn .. hehe ...

Ok .. berbalik pada cerekarama malam tadi yang bertajuk anak menantu ... kisah mengenai kehidupan anak beranak mak Esah ... kisah tertumpu pada sikap anak perempuan mak Esah, si Yati dengan menantu perempuan mak Esah, si Anis ... Yati cukup berbulu dengan Anis yang pada anggapan nya terlalu berlagak dan tidak menghormati mak Esah sebagai ibu mertuanya ... juga pengalaman Yati sewaktu meminta pertolongan daripada abang longnya iaitu suami Anis tetapi tidak diendahkan oleh Anis ... malah mereka tidak diperdulikan dengan alasan mereka nak keluar berurusan ... pada Anis pulak .. si Yati tu adalah adik ipar yang celupar dan tidak pandai menghormati dirinya sebagai kakak iparnya ... cakap main lepas aje ... kerana sikap keduanya itulah pertengkaran demi pertengkaran sering terjadi antara mereka ... mak Esah buntu memikirkan keadaan itu ... mak Esah mulai membuat rancangan untuk menyatukan mereka berdua ... apakah yang dilakukan oleh mak Esah???? jommm .. layan sinopsis cerekarama Anak Menantu yang diolah oleh aku ... hehe


Sinopsis oleh : aznanie

Mak Esah mempunyai 3 orang anak. 2 lelaki dan 1 perempuan. Walaupun sudah berkahwin anak perempuan mak Esah iaitu Yati masih tinggal bersama ibunya. Mak Esah tidak kisah kerana dia memang mahukan anak-anaknya berada dekat dengannya. Suami Yati seorang pemandu lori. Sering keluar ke tempat lain membawa barang. Yati suka membebel dan mengongkong suaminya terutama soal duit. Dia mahu suaminya memberikannya duit yang banyak untuk membolehkannya menampung perbelanjaan hariannya. Suaminya hanya mampu bersabar dengan kerenah Yati walaupun kata-kata Yati amat menghiris perasaannya. Mak Esah pening kepala memikirkan sikap Yati itu. Jenuh Mak Esah dan Man menasihatinya, namun sikap Yati masih begitu. Keras hatinya tidak boleh dilentur dengan nasihat.

Haikal adalah anak sulung Mak Esah. Haikal mempunyai seorang isteri, Anis dan seorang anak lelaki, Qayum. Anis adalah anak orang bandar Kuala Lumpur yang terbiasa hidup mewah. Dia selalu memaksa Haikal menjadi orang kaya supaya dia dapat bersenang lenang dengan wang yang diberikan oleh suaminya itu. Namun, apa yang dirancang tidak kesampaian bila Haikal diistiharkan muflis. Semua harta bendanya di sita dan rumahnya telah dilelong. Anis tidak dapat menerima hakikat itu.

Kerana desakan hidup, Haikal membawa Anis dan anaknya, Qayum pulang ke rumah mak Esah di kampung. Anis yang keberatan terpaksa menurut kata-kata suaminya apabila ibunya tidak mahu Anis tinggal bersamanya kerana kehadiran Anis akan menggangu kehidupannya dengan suami muda yang baru dikahwininya.

Yati mulai memulangkan paku buah keras kepada Anis. Yati masih marahkan Anis yang tidak mahu menolongnya dahulu sewaktu dia perlukan pertolongan Haikal. Baginya Anis adalah seorang perempuan yang berlagak dan apa yang berlaku adalah hukuman kerana sikap Anis yang sombong dengan keluarganya dahulu.

Mak Esah mulai tidak senang dengan sikap kedua-dua anak dan menantunya itu. Sehingga kawan sekampungnya memberikan cadangan kepadanya. Mak Esah bersetuju dengan cadangan kawan baiknya itu. Bermulalah rancangan Mak Esah dan anaknya, Man. Mak Esah sengaja memberitahu Yati yang Anis mahu belajar memasak dengannya memandangkan Yati pandai memasak. Pada Anis pula, dikhabarkan yang Yati mahu belajar membuat gubahan bunga dengannya. Mak Esah sengaja menyuruh keduanya memasak di dapur dengan alasan dirinya ada urusan lain di luar. Walaupun keduanya dapat membuat makanan yang disuruh Mak Esah tetapi sikap keduanya masih tidak berubah. Masih bercakaran seperti anjing dengan kucing.

Perubahan sikap Haikal mulai mendatangkan syak di hati Anis. Anis mulai mengesyaki yang Haikal ada perempuan lain. Mak Esah dan Man mulai mengambil kesempatan di atas situasi itu. Mereka menokok tambah cerita itu. Anis berasa sedih dengan keadaan itu. Dia sayangkan suaminya Haikal. Dia mulai sedar yang sikap dia lah punca Haikal mencari perempuan lain. Dia berazam akan berubah asalkan Haikal tidak kahwin dengan perempuan lain. .

Yati yang mengetahui keadaan itu mulai tidak sedap hati. Dia mulai berbaik dengan Anis dan mengajak Anis ke Kuala Lumpur mencari Haikal. Mak Esah bagai tidak percaya dengan perubahan sikap Yati dan Anis itu. Namun tetap bersyukur kerana rancangannya mulai membuahkan hasil tetapi terselit jugak perasaan bimbang di hatinya jikalau Anis dan Haikal pula yang berperang selepas kes dengan Yati selesai.

Yati dan Anis menaiki sebuah kereta ke Kuala Lumpur tetapi malangnya kereta itu mengalami kerosakan di pertengahan jalan. Mereka menahan sebuah kereta. Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki gatal berhenti dan membawa mereka. Sewaktu di perjalanan, lelaki tua yang gatal itu  mengambil kesempatan meraba kaki Anis dengan alasan hpnya jatuh di kaki Anis. Anis dan Yati membelasah lelaki tua yang gatal itu dengan beg tangan mereka dan sebagai akibatnyam mereka berdua di tinggalkan di tepi jalan. Mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki teksi pula.

Sesampai di pejabat Haikal, mereka berdua menanti Haikal keluar dan mengekori Haikal sehingga ke sebuah restoran. Anis sedih dan marah melihat Haikal begitu mesra dengan seorang perempuan yang dikenali sebagai bos suaminya itu, Cik Indah. Yati mendesak Anis pergi menyerang Haikal tetapi Anis tidak sampai hati untuk berbuat begitu. Dia hanya memerhati keduanya dari jarak yang tidak dapat dilihat oleh Haikal, namun dia masih dapat mendengar perbualan di antara suaminya dengan perempuan itu. Luluh hatinya apabila mendengar pengakuan perempuan itu bahawa perempuan itu menyintai suaminya dan berhasrat mahu mengahwini suaminya itu. Dia terus keluar dari restoran itu tanpa berjumpa atau bertanya keadaan yang sebenarnya kepada Haikal. Yati yang tidak puas hati terus menyerang Haikal. Haikal terkejut dengan kedatangan Yati itu. Yati menuduh abang longnya itu gatal dan tidak ingatkan isteri dan anak yang menantinya di kampung. Haikal mengejar Yati dan mencari Anis yang duduk di luar restoran. Haikal menerangkan keadaan yang sebenarnya pada Anis. Anis menerima penjelasan Haikal dan meminta maaf di atas sikap buruknya selama ini. Kedatangan Cik Indah yang menjelaskan segalanya dan memberitahu bahawa Anis bertuah memiliki suami yang cukup setia melegakan hati Anis.

Yati yang melihat keadaan itu menjadi takut sendiri. Dia tidak mahu kehilangan suaminya, Rafi. Dia mulai sedar sikap buruknya pada suaminya itu. Dia menelifon suaminya  dan meminta maaf darinya.

Mak Esah bersyukur dengan perubahan sikap anak dan menantunya itu. Mak Esah meminta maaf kerana membuat perancangan sebegitu. Niatnya cuma mahu menyatukan anak dan menantunya sahaja. Keluarganya bersatu dengan ceria. Sedang mereka berbual-bual, Anis berasa loya dan mahu muntah. Tidak lama selepas itu, Yati pula mengikut jejak Anis. Masing-masing berlawan muntah. Mak Esah dan seluruh keluarga berasa gembira dengan rezeki yang tidak disangka itu. Tamat ...

Para pelakon :
Fauziah Nawi sebagai Mak Esah
Watie Sadali sebagai Yati
Puteri Sarah sebagai Anis
Azhan Rani sebagai Haikal
Azlee Khairi sebagai Man

Terbitan : Layar Consult Sdn. Bhd


* Cite best .. lawak tapi penuh dengan pengajaran ... bahasa yang mudah difahami .. jalan cite yang ringan ... pengajaran yang banyak dan berguna ... perasaan dendam sesama keluarga tidak boleh dibiarkan berpanjangan ... sikap saling hormat menghormati perlu ada pada pasangan masing-masing ... seorang isteri tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati suami ... tak boleh mmebentak-bentak suami supaya mengikut telunjuk kita ... jangan mengambil kesempatan di atas kasih sayang yang ditunjukkan oleh suami kita pada kita ... haaaaa ... banyak kan pengajaran dari cite ni ... banyak lagi sebenarnya .. tapi tak larat nak senaraikan satu persatu hehehe ... enjoy la tengok cite ni ... layannn jek la .. kannnnn

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...