Arang And The Magistrate
Episod 11
Sinopsis oleh : aznanie
Sambungan Episod 10 ...
Gim Eun Oh dan Arang sampai ke kediaman setelah hari malam. Arang bertanya samada Gim Eun Oh mahu menemaninya mengambil pakaiannya keesokkan harinya tetapi Gim Eun Oh berkata yang dia ada hal lain dan bukannya asik berkepit dengan Arang sahaja. Arang bengang dengan kata-kata Gim Eun Oh itu dan bersunggut dengan sikap Gim Eun Oh yang berubah-ubah itu.
Arang berpaling dan terlihat bulan yang separuh mengambang. Dia bersunggut dengan 2 orang tua di atas sana yang hanya memberikannya 2 bulan mengambang sahaja bukannya 3 bulan seperti yang dijanjikan.
Jade Emperor berkata kepada King Yama yang ikan sekarang pandai memilih. Dia menunjukkan kepada King Yama yang ikan banyak mengelilingi joranya berbanding joran King Yama. Ini kerana keterampilan yang dimiliki olehnya. King Yama menafikan kata-kata Jade Emperor itu. Padanya umpan yang baik akan mendorong ikan memilih joran.
Jade Emperor bertanya kepada King Yama tentang permintaan Arang supaya dirinya dimasukkan ke dalam syurga sekirannya dia berjaya mencari siapa pembunuhnya dalam masa yang ditetapkan. King Yama menafikan yang dia ada berjanji dengan Arang tentang perkara itu. Jade Emperor menyakat King Yama yang itu adalah janji juga. King Yama melihat Jade Emperor dan merasakan yang Jade Emperor ada merancangkan sesuatu tentang perkara itu. Jade Emperor mengiyakannya. Tiba-tiba joran Jade Emperor dimakan oleh ikan.
Lady tahu rancangan Jade Emperor dan King Yama yang menggunakan Arang sebagai umpan untuk menangkapnya. Dia juga tahu yang selagi dia berada di dalam tubuh manusia, mereka berdua itu tidak apa mengapa-apakan dirinya. Dia pasti yang mereka berdua akan menghantar Mu Yeong untuk menghapuskanya. Hanya Mu Yeong sahaja yang dapat membinasakan dirinya. Samada Mu Yeong sanggup untuk membunuhnya atau tidak, itu yang dia tidak tahu.
Mu Yeong mahu mencari kepastian tentang kipas yang dimiliki oleh Gim Eun Oh. Kipas yang mampu menghapuskan roh itu bukan sebarangan kipas. Dia mahu tahu siapa yang memberikan kipas itu kepadanya. Dia masuk ke dalam bilik Gim Eun Oh dan mencarinya. Dia terjumpa kipas itu dan melihat simbol pada kipas itu. Dia yakin yang kipas itu ada kena mengena dengan Jade Emperor. Tetapi dia tidak pasti. Kemudian, dia terpandang cucuk sanggul kepunyaan ibu Gim Eun Oh. Dia seperti mengenali cucuk sanggul itu. Sewaktu Mu Yeong leka membelek-belek cucuk sanggul itu, Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya. Dia menangkap tangan Mu Yeong dan bertanya apa yang dibuatnya di situ.
Terjadi pergaduhan di antara Gim Eun Oh dan Mu Yeong. Mu Yeong bertanya milik siapakah cucuk sanggul dan kipas itu. Gim Eun Oh tidak mahu memberitahu Mu Yeong. Dia hanya berkata yang cucuk sanggul itu dibawa oleh Arang selepas kematiannya. Mu Yeong mulai mengingati kejadian di mana dia terlihat Arang pernah memegang cucuk sanggul itu. Gim Eun Oh berkata yang cucuk sanggul itu bukanlah kepunyaan Arang yang sebenarnya. Dia bertanya samada ada sesiapa yang mati bersama Arang di kala itu. Mu Yeong berkata tiada sesiapa bersama Arang ketika itu. Apabila Mu Yeong bertanya tentang kipas itu, Gim Eun Oh tidak mahu menjawab dan mereka bergelut lagi. Sedang mereka berlawan, Arang menegur perbuatan mereka berdua itu. Mu Yeong mengambil kesempatan menghilang diri dari situ.
Arang dan Gim Eun Oh kehairanan dengan sikap Mu Yeong itu. Kebiasaannya Mu Yeong tidak mengambil kisah akan hal-hal lain selain dari mengambil roh. Arang bertanya siapakah yang memberinya kipas dan cucuk sanggul itu. Gim Eun Oh memberitahu Arang yang gurunya yang memberikan kipas dan cucuk sanggul itu kepadanya. Dia hanya diberitahu oleh guru yang mengajarnya seni mempertahankan diri itu yang kipas itu berupaya membunuh hantu. Kemudian, Gim Eun Oh menyuruh Arang pergi dari situ kerana dia berasa penat selepas berlawan dengan Mu Yeong tadi.
Arang akur dengan kehendak Gim Eun Oh. Dia melihat dinding yang roboh akibat pergelutan Gim Eun Oh dengan Mu Yeong tadi. Arang berasa pelik dengan kelakuan Mu Yeong itu. Pasti ada sesuatu yang terjadi sehinggakan Mu Yeong bertindak sedemikian rupa. Sepeninggalan Arang, Gim Eun Oh berfikir apa yang menyebabkan Mu Yeong bertanya begitu padanya.
Mu Yeong sudah pasti yang kipas dan cucuk sanggul itu adalah kepunyaan Jade Emperor. Dia cuma mahu tahu apakah Gim Eun Oh itu. Kenapa Jade Emperor memberikan barangan sebegitu kepada Gim Eun Oh. Apa kaitan Gim Eun Oh dengan Jade Emperor. Mu Yeong tidak tahu jawapannya.
Orang suruhan Ju Wal memberitahu yang pembuat baju datang dan mengembalikan wang kepadanya atas perintah Magistrate Gim Eun Oh. Ju Wal terkejut dan tertanya-tanya. Apakah yang terjadi sebenarnya. Kenapa Gim Eun Oh tidak suka melihat dia rapat dengan Arang.
Gim Eun Oh mencari Arang di biliknya. Tetapi Arang tiada di situ. Gim Eun Oh beranggapan yang Arang sudah pergi ke kedai baju untuk mengambilnya. Sewaktu dalam perjalanan ke pintu keluar kediamannya, dia terpandang bilik yang pernah dihuni oleh Lee Seo Rim. Dia teringat kata-kata pengasuh Lee Seo Rim yang bilik itu adalah segala-galanya bagi Lee Seo Rim. Jadi, Gim Eun Oh beranggapan yang mesti ada sesuatu di situ yang dapat membantu Arang mencari siapakah pembunuhnya. Gim Eun Oh mengeledah bilik Lee Seo Rim dan terjumpa sebuah buku yang mencoretkan isi hati Lee Seo Rim. Gim Eun Oh membaca dengan penuh minat buku tersebut.
Arang ke kedai baju untuk mengambil baju yang ditempah oleh Gim Eun Oh. Tak di sangka dia terjumpa dengan Ju Wal di situ. Ju Wal bertanya kenapa dia menolak baju yang ditempah olehnya. Arang tergagap-gagap untuk memberitahu tetapi apabila Ju Wal berkata itu adalah kerja Magistrate Gim Eun Oh barulah Arang berasa lega.
Ju Wal mengajak Arang minum kerana pada pendapatnya yang Arang mahu bertanyakan sesuatu kepadanya. Arang bertanya tentang Lee Seo Rim pada Ju Wal. Ju Wal menerangkan yang pertunangan mereka adalah di atas kehendak orang tua. Bukan dirinya yang mahukannya. Dia juga berasakan yang Lee Seo Rim juga tiada kena mengena dengan pertunangan itu kerana setahunya yang meminta mereka bertunang adalah ayah Lee Seo Rim. Dan di atas sebab itu juga, dia tidak pernah bertemu dengan Lee Seo Rim. Mungkin sekiranya mereka berkahwin, mereka akan berjumpa pada malam perkahwinan mereka. Arang berasa kecewa dengan jawapan Ju Wal itu kerana dia merasakan yang Lee Seo Rim benar-benar mencintai Ju Wal.
Bang Ool masih tidak berpuas hati. Dia seperti pernah mendengar suara itu. Dia cuba meniru gaya suara gadis yang ditemui di pejabat Magistrate itu. Bang Ool yakin yang suara gadis itu sama seperti suara hantu yang menggangunya dulu. Tiba-tiba dia melihat Arang melewati tempat dia duduk. Dia bertekad mahu membuat Arang berkata sesuatu. Dia mengekori Arang dari belakang.
Gim Eun Oh menunggu Arang balik di luar bilik Arang. Sedang dia mundar mandir di situ, tiba-tiba sebatang anak panah yang di ikat dengan cebisan kain meluru laju ke arahnya. Mujur Gim Eun Oh sempat mengelak dari terkena panahan anak panah itu. Dia meluru mendapatkan anak panah yang terpacak pada dinding bilik. Dia melihat kain itu adalah kain ikat kepala yang dipakai oleh Arang. Ada nota yang tertulis dia situ supaya Magistrate Gim Eun Oh pergi ke atas bukit di dalam hutan seorang diri. Gim Eun Oh naik angin dan berlari sekuat hati menuju ke arah bukit itu. Dol Soe yang terlihat kelibat Gim Eun Oh menjerit memanggilnya dan berasa hairan kenapa Gim Eun Oh tergesa-gesa sebegitu. Apakah yang terjadi.
Orang suruhan Lord Choe melihat Arang yang pengsan di dalam pondok itu. Dia bertanya siapakah wanita yang disebelah Arang itu. Penjahat upahannya itu berkata yang gadis itu bersama dengan Arang sewaktu dia mengangkapnya, jadi dia membawa sekali gadis itu. Dia bertanya adalah mahu dihapuskan sahaja Arang. Orang suruhan Lord Choe menyuruh supaya menunggu dahulu kedatangan Gim Eun Oh. Barulah mereka menghapuskan kesemuanya sekali..
Orang suruhan Lord Choe memberitahu Lord Choe yang dia sudah menculik Arang. Lord Choe berasa gembira dengan perkhabaran itu. Dia pasti Magistrate Gim Eun Oh akan pergi mendapatkan Arang apabila mengetahui berita itu. Dia berasa marah dengan Magistrate Gim Eun Oh kerana mengosongkan stor miliknya dan juga marah dengan Arang kerana kelancangan mulut Arang menghina dirinya dahulu. Tetapi dia seakan pernah melihat Arang dahulu, tapi tidak pasti di mana.
Ju Wal berlegar-legar di luar kediamannya. Dia teringat kata-kata Lady mengenai Arang. Dia juga teringat di mana Gim Eun Oh menunggung kuda bersama Arang. Kemudian, dia terlihat orang suruhan ayahnya keluar dari bilik ayahnya. Dia terdengar kata-kata orang suruhan ayahnya itu yang mahu menghapuskan Magistrate Gim Eun Oh dan Arang. Dia terkejut dan bertindak mengikut orang suruhan ayahnya itu.
Gim Eun Oh tiba di bukit dalam hutan itu. Ramai penjahat upahan sudah bersedia menantinya di luar pondok. Gim Eun Oh bertanya di mana mereka menyembunyikan Arang. Tiba-tiba mereka membawa Arang dan Bang Ool keluar dari pondok itu. Sebilah pisau diletakkan di leher Arang. Mereka menyuruh Gim Eun Oh jangan melawan sekiranya mahu Arang selamat. Arang menyuruh Gim Eun Oh menghapuskan mereka semua dan jangan bimbangkan dirinya. Dia akan selamat. Dia tahu yang Gim Eun Oh juga tahu akan hal itu tetapi Gim Eun Oh hanya membiarkan dirinya dibelasah oleh penjahat upahan dan orang suruhan Lord Choe itu. Arang menjerit-jerit nama Gim Eun Oh.
Ju Wal memerhatikan dari jauh apa yang terjadi di situ. Dia melihat Gim Eun Oh dibelasah oleh orang-orang upahan ayahnya. Arang memijak kaki penjahat dan mengigit tanganya sehingga dia melepaskan Arang. Tiba-tiba seorang penjahat yang mahu menikam Arang dengan pisaunya rebah ke bumi. Di belakangnya terpacak sebilah pisau.
Gim Eun Oh mengambil kesempatan itu membelasah penjahat di situ. Dia berdiri di hadapan Arang dan Bang Ool. Dia menyuruh Arang dan Bang Ool pergi dari situ. Pada mulanya Arang tidak mahu meminggalkan Gim Eun Oh tetapi akhirnya akur dengan kata-kata Gim Eun Oh.
Sewaktu Gim Eun Oh leka berlawan dengan penjahat upahan Lord Choe, orang suruhan Lord Choe telah mengarahkan beberapa orang penjahat upahannya mengekori Arang dan Bang Ool. Mereka dapat menawan Arang dan Bang Ool. Orang suruhan Lord Choe mengarahkan penjahat itu membunuh Bang Ool dahulu. Bang Ool minta dibebaskan dan menjerit apabila melihat pedang yang diacukan kepadanya. Gim Eun Oh yang mencari merek terdengar jeritan itu dan mencari arah suara itu.
Rupanya berdiri di hadapan Bang Ool sewaktu pedang itu di libas pada Bang Ool. Libasan itu tepat mengenai leher dan dada Arang. Arang jatuh ke tanah dan disambut oleh Bang Ool. Penjahat itu memeriksa nadi Arang dan memastikannya yang dia sudah mati. Orang suruhan Lord Choe menyuruh penjahat upahannya membunuh Bang Ool pula. Sewaktu pedang mahu dilibas ke arah Bang Ool, Gim Eun Oh sampai dan menendang penjahat itu. Dia melihat Arang yang sudah terbaring di tanah. Dia membelasah kesemua penjahat itu terlebih dahulu. Apabila semua sudah ditewaskan barulah dia melihat keadaan Arang.
Gim Eun Oh memanggil nama Arang. Bang Ool terkejut apabila mendengar nama itu. Barulah dia tahu yang Arang itu adalah hantu yang menggangunya dulu. Tetapi dia masih hairan bagaimana Arang boleh bertukar menjadi manusia. Gim Eun Oh melihat luka di leher Arang. Seketika kemudian, lukanya hilang. Gim Eun Oh membuat pernafasan dari mulut ke mulut untuk memberikan oksigen kepada Arang supaya Arang cepat sedar. Arang tersedar dan mendapati yang bibir Gim Eun Oh di bibirnya. Dia bertanya apa yang dilakukan oleh Gim Eun Oh kepadanya. Gim Eun Oh tersenyum dan menerangkannya. Arang memarahinya dan menyuruh Gim Eun Oh tunggu selepas dia mendapat tenaganya. Tahulah dia apa yang mahu dilakukannya pada Gim Eun Oh itu.
Lord Choe begitu marah apabila mendapat tahu yang hanya Arang sahaja yang dapat dibunuh. Dia yakin selepas ini pasti Magistrate Gim Eun Oh akan menyiasat perkara itu dan pasti dia akan mengetahui yang itu adalah perbuatan mereka. Orang suruhannya menenangkannya dengan mengatakan dirinya memakai penutup muka dan tiada siapa yang nampak dirinya. Lord Choe tidak dapat menerima alasan itu dan masih memarahinya.
Sewaktu keluar dari bilik Lord Choe, orang suruhan Lord Choe ternampak Ju Wal yang tergesa-gesa ke biliknya. Dia terfikir sesuatu dan merasakan Ju Wal berada di tempat mereka tadi. Dan dia juga merasakan yang Ju Wal adalah orang yang membaling pisau dan terkena pada penjahat upahannya itu.
Ju Wal masuk ke dalam biliknya. Hatinya sakit melihat Gim Eun Oh mencium bibir Arang. Dia marah dengan kejadian itu.
Bang Ool bagai tidak percaya apa yang dilihatnya itu. Dia bertanya kepada Gim Eun Oh apa sebenarnya yang terjadi. Macam mana hantu boleh menjadi manusia. Dan kalau Arang ialah manusia, kenapa setelah di tetak dengan pedang dia tidak mati. Gim Eun Oh meminta Bang Ool merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan sesiapa. Dia juga meminta Bang Ool dapat menerima Arang seperti kawan lamanya ataupun sebagai penyelamatnya. Jikalau tidak kerana Arang tentu Bang Ool sudah mati di saat ini. Bang Ool mengiyakan dan berjanji akan menyimpan rahsia itu. Apabila Bang Ool bertanya saat Gim Eun Oh mencium bibir Arang, Gim Eun Oh tidak mahu bercakap mengenai perkara itu dan berlalu meninggalkan Bang Ool bersama Arang yang masih tidak sedarkan diri.
Mu Yeong melihat Jade Emperor sedang khusyuk bermain baduk. Dia tidak jadi mahu bertemu dengannya. Di saat dia mahu berpaling, dia terlihat King Yama memandangnya. Dari pandangan King Yama, Mu Yeong tahu yang King Yama mahu dia meneruskan hajatnya berjumpa dengan Jade Emperor.
Mu Yeong menghampiri Jade Emperor. Jade Emperor menghentikan permainannya apabila terpandang Mu Yeong. Dia tahu pasti ada sesuatu yang mahu ditanyakan oleh Mu Yeong kepadanya. Mu Yeong bertanya adakah pembuat onar itu adalah Mu Yeon. Jade Emperor mengiyakannya. Mu Yeong bertanya kenapa dirinya tidak diberitahu lebih awal lagi. Jade Emperor berkata dia tidak mempercayai Mu Yeong. Mu Yeong berkata yang dirinya bukan manusia dan perhubungan antara dirinya dengan Mu Yeon sudah berakhir 1000 tahun dahulu. Jade Emperor menegaskan kerana perhubungan itu jugalah dia tidak mempercayai Mu Yeong. Kerana hanya Mu Yeong yang akan dapat menghapuskan Mu Yeon. Mu Yeong terkejut dengan kata-kata Jade Emperor itu.
Arang tersedar dari tidurnya. Dia melihat Gim Eun Oh tertidur di tepi dinding di dalam biliknya. Dia berasa kasihan melihat keadaan Gim Eun Oh itu. Tiba-tiba Gim Eun Oh tersedar dari tidurnya dan mendapati Arang sudah sedar dan duduk di tilamnya. Dia bertanya adakah Arang sudah pulih. Arang mengiyakannya dan bertanya samada Gim Eun Oh tidak apa-apa setelah dibelasah oleh ramai penjahat. Gim Eun Oh mengiyakannya. Tiba-tiba Arang menumbuk perut Gim Eun Oh. Gim Eun Oh terkejut dengan tindakan Arang itu. Rupanya Arang mahu membalas dendam kerana Gim Eun Oh mencium bibirnya. Arang meminta supaya Gim Eun Oh tidak melakukannya lagi kerana lambat atau tidak dia pasti akan sedar semula. Gim Eun Oh meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi. Arang juga berterima kasih kepada Gim Eun Oh kerana membantunya dan meminta Gim Eun Oh tidak membiarkan dirinya dibelasah oleh orang lain sewenang-wenangnya kerana dirinya.
Dol Soe membawa Bang Ool makan di sebuah kedai makan. Meskipun sudah lewat malam, Dol Soe meminta pekedai itu memasakkan mereka daging kerana Bang Ool gemar makan daging. Dol Soe berkata sekiranya Bang Ool mahu berjumpa dengannya, tidak perlulah berlegar-legar di kediaman Magistrate itu. Datang terus berjumpa dengannya. Bang Ool menafikan yang dia mahu berjumpa dengannya. Dol Soe bertanya bagaimanakah perasaan Bang Ool terhadapanya. Bang Ool yang gugup bertindak memasukkan daging dan kimchi ke dalam mulut Dol Soe. Dol Soe terpaku dengan tindakan Bang Ool. Dia merasakan yang Bang Ool mahu mengodanya. Bang Ool yang tersedar dari tindakan spontannya itu terkejut dan berasa malu dengan Dol Soe. Dol Soe mengambil makanan dan menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Bang Ool. Dol Soe bertanyakan namanya dan seketika mereka terkejut apabila pekedai makan itu meletakkan air di atas meja mereka.
Arang keluar dari biliknya. Dia pergi ke bilik Gim Eun Oh. Dia tahu Gim Eun Oh tiada di dalam bilik keran kasutnya tiada di luar bilik itu. Jadi dia hanya duduk sahaja di situ sambil melihat bulan. Tiba-tiba dia terdengar suara Gim Eun Oh. Dia melihat Gim Eun Oh membawa bungkusan di tangannya.
Rupa-rupanya Gim Eun Oh pergi mengambil baju yang ditempah olehnya. Gim Eun Oh menyuruh dia menukar pakaiannya yang dipenuhi dengan darah itu. Arang melihat baju-baju itu. Dia berasa sungguh terharu melihat pakaian yang dibuat khas untuk dirinya.
Gim Eun Oh menunggu Arang menukar pakaiannya di luar biliknya. Apabila Arang keluar dengan berpakaian kemas, Gim Eun Oh tidak berkelip memandangnya. Apabila Arang bertanya bagaimanakah rupanya dalam pakaian baru itu, Gim Eun Oh masih lagi terpaku melihatnya. Arang tahu yang Gim Eun Oh mulai berperasaan terhadapnya tetapi membiarkannya kerana dia tahu Gim Eun Oh past tidak mengaku jika di tanya.
Memandangkan mereka sudah berpakaian sebegitu di waktu malam begitu, Arang meminta Gim Eun Oh menemaninya berjalan-jalan di luar. Gim Eun Oh bersetuju. Mereka menyusuri sungai di waktu malam. Arang bertanya kenapa dia masih belum mengingati apa-apa tentang masa silamnya sedangkan masa untuknya mencari siapa pembunuhnya sudah semakin hampir. Gim Eun Oh memandangnya dan tersenyum. Gim Eun Oh berkata yang dia mahu memberi amaran kepada penjahat yang menangkap Arang. Arang terkejut dan menyuruh Gim Eun Oh menangkap mereka. Tetapi Gim Eun Oh berkata dia tidak ada bukti untuk menangkap mereka kerana mereka semua memakai penutup muka.
Kemudian, Gim Eun Oh mengajak Arang balik kerana hari sudah lewat malam. Arang mahu membantah kerana dia masih belum puas berjalan-jalan. Tetapi Gim Eun Oh sudah mendahuluinya. Terpaksalah Arang mengikut juga langkah Gim Eun Oh untuk pulang ke kediaman mereka.
Jade Emperor berjumpa dengan King Yama. Dia tahu yang King Yama yang menyuruh Mu Yeong berjumpa dengannya. King Yama tidak mahu melihat fikiran Mu Yeong dipenuhi dengan persoalan tanpa jawapan. Dia mahu Jade Emperor mempercayai Mu Yeong kerana Mu Yeong adalah seorang pengambi roh yang terbaik. Jade Emperor tahu Mu Yeong adalah pengambil roh kesayangan King Yama tetapi permasalahan mereka bukan seperti yang di sangka oleh King Yama. Ianya melibatkan perasaan. Dia tidak mahu rancangan mereka gagal seandainya Mu Yeong tidak dapat mengawal perasaannya. King Yama tidak mahu mendengar Jade Emperor berkata sesuatu yang pernah dikatakannya dulu.
Sewaktu kecil, Gim Eun Oh sakit dan dia melihat ibunya pergi tanpa menghiraukan dirinya yang sakit. Dia menjerit memanggil ibunya untuk meminta air dari ibunya. Ibunya tidak menghiraukan dirinya. Dia keluar dan mendapati Lord Choe sedang lalu di hadapan rumahnya. Dia mengikut Lord Choe meskipun dirinya tidak memakai kasut di ketika itu. Gim Eun Oh yang sedang lemah merangkak keluar dan tiba-tiba dia tidak sedarkan diri.
Seorang lelaki melihat Gim Eun Oh yang terbaring tidak bermaya itu. Dia menghampiri Gim Eun Oh dan melihatnya. Dia berasa kasihan dengan nasib yang menimpa Gim Eun Oh itu. Di saat itu sebenarnya, Gim Eun Oh sudah mati. Lelaki itu menghulurkan tangannya di kepala Gim Eun Oh dan mengeluarkan suatu aura dari tangannya. Tiba-tiba muncul pengambil roh untuk mengambil roh Gim Eun Oh tetapi menghilangkan diri apabila terpandang lelaki yang duduk di kepala Gim Eun Oh. Lelaki itu adalah Jade Emperor.
Jade Emperor membawa Gim Eun Oh ke dalam rumahnya. Jade Emperor berkata selepas ini kehidupan Gim Eun Oh bukanlah miliknya lagi. Dan apabila tiba waktunya nanti Gim Eun Oh akan mengetahui hubungan mereka dan tahu apa sebenarnya yang terjadi pada dirinya dan tujuannya masih berada di dunia ini.
Gim Eun Oh melihat pakaian rasmi Magsitrate yang mahu dipakainya kelihatan kotor. Dia mencari pakaian lain. Dia terlihat bungkusan pakaiannya. Dia membuka dan mengambil pakaiannya itu. Tiba-tiba terjatuh kain mentera dari pakaiannya itu. Dia mengambilnya dan teringat kain mentera itu adalah dari lubang tulang yang dijumpai di dalam hutan itu sebelum dirinya jatuh ke dalam gaung.
Sedang dia asyik melihatnya, Arang masuk ke dalam biliknya. Dia terlihat kain mentera itu. Dia berkata yang dia seperti pernah melihat mentera itu di rumah Lord Choe. Mereka berdua pergi ke rumah bomoh Bang Ool. Gim Eun Oh meminta Bang Ool melihat tulisan itu. Adakah dia mengenali bomoh yang menulis seperti itu. Bang Ool menafikan dia pernah melihat tulisan pada kain itu. Gim Eun Oh mahu pergi ke rumah Lord Choe untuk mencari mentera yang di katakan oleh Arang itu. Arang mahu mengikutnya tetapi Gim Eun Oh menyuruh Arang balik ke pejabat. Arang meminta Gim Eun Oh berhat-hati dan menjaga dirinya dengan baik. Gim Eun Oh hanya tersenyum dan menyuruh Arang jangan bimbang akan dirinya.
Gim Eun Oh sampai di rumah Lord Choe. Dia melihat rumah itu sungguh sunyi bagai tidak berpenghuni. Dia teringat kata-kata Arang yang terdapat bilik yang terpisah dari rumah besar itu di belakang bilik Ju Wal. Sewaktu melewati bilik Ju Wal, dia terlihat kasut Ju Wal ada di luar biliknya. Ju Wal yang berada di dalam bilik itu dapat merasakan ada seseorang di luar biliknya.
Gim Eun Oh meneruskan perjalanannya. Berpandukan arahan dari Arang, dia menuju ke arah rimbunan pokok buluh. Kemudian, dia terhenti di sebatang kayu yang terpacak di antara rimbunan pohon buluh itu. Dia melihat tulisan mentera pada kayu itu dan membandingkannya dengan tulisan di kain mentera itu. Memang sama. Gim Eun Oh mulai tertanya-tanya tujuan Lord Choe melakukan semua itu.
Lady dapat merasakan ada seseorang sedang menceroboh kediaman Lord Choe. Dia dapat merasakan sesuatu bakal terjadi. Dia cepat-cepat pergi ke tempat persembunyiannya di bawah tanah di dalam pondok yang terletak bersebelahan dengan biliknya.
Gim Eun Oh meneruskan perjalanannya sehingga bertemu dengan sebuah bilik. Tetapi dia lebih tertarik dengan pondok yang terletak tidak jauh dari pondok itu. Gim Eun Oh melihat ada mangga besar di hadapan pintu pagar menuju ke pondok itu. Gim Eun Oh menolak pintu pagar itu dan masuk ke dalamnya. Terdapat pondok di situ. Dia berdiri di hadapan pintu itu. Lady keluar dari gua persembunyiannya. Dia mahu melihat apakah yang terjadi di luar pondok itu. Dia berdiri di hadapan pintu pondok itu. Sewaktu Gim Eun Oh mahu membuka pintu pondok itu tiba-tiba dia ditegur oleh Ju Wal. Gim Eun Oh terkejut dan berpaling melihat Ju Wal yang nyata tidak senang melihat dirinya di situ. Bersambung ...
Para
pelakon :
Lee
Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin
Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon
Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon
O Joong sebagai Dol Seo
Hwang
Bo Ra sebagai Bang Ool
Han
Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo
Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park
Joon Gyoo sebagai King Yama
No comments:
Post a Comment