Pages

Monday, November 12, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Episod 12'



Arang And The Magistrate
Episod 12 


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Episod 11 ...

Magistrate Gim Eun Oh menjumpai sebuah bilik yang aneh dari pandangan matanya. Dia masuk dan berdiri di hadapan pintu bilik itu. Sebaik sahaja tanganya mencapai tombol pintu, dia ditegur oleh Ju Wal. Ju Wal bertanya kenapa dia berada di situ. Dengan selamba, Gim Eun Oh berkata dia mahu bertemu dengan Lord Choe. Ju Wal menegaskan bilik ayahnya bukan di sini. Ini adalah kuil milik keluarganya. Sesiapa pun tidak di benarkan berada di sini. Gim Eun Oh buat-buat tidak tahu dan menyampaikan pesan supaya Lord Choe tidak lagi menyentuh atau mengapa-apakan Arang.


Setelah Gim Eun Oh pergi, Lady keluar dari bilik itu. Dia bertanya apakah yang terjadi dan siapakah lelaki yang datang ke situ. Ju Wal menerangkan apa yang terjadi kepada Lady. Lady amat marah dan memanggil Lord Choe berjumpa dengannya. Dia memberi amaran kepada Lord Choe supaya tidak lagi menganggu atau membuat sesuatu kepada Arang. Jika Lord Choe melanggar perintahnya, dia tidak teragak-agak menghapuskan Lord Choe.

Lady meminta Ju Wal menpercepatkan tindakannya membawa Arang kepadanya. Dia tahu yang Ju Wal berat hati untuk melakukannya. Dia menerangkan kepada Ju Wal yang dia tidak mahukan roh Arang tetapi dia mahukan tubuh Arang. Dia memberikan Ju Wal sebilah pisau yang dapat membunuh Arang. Dia mahu menjadikan tubuh Arang untuknya meneruskan kehidupannya di dunia manusia. Dia tahu tubuh Arang adalah kekal. Walau di cederakan ianya tetap akan kembali pulih seperti sedia kala.


Arang bimbang kerana Gim Eun Oh begitu lambat pulang. Dia membuat keputusan untuk melihat keadaa Gim Eun Oh. Tetapi apabila dia berpaling, Gim Eun Oh sudah berada di belakangnya. Gim Eun Oh menghampirinya. Gim Eun Oh tahu yang Arang bimbangkan dirinya tetapi Arang tidak mahu mengaku.

Gim Eun Oh menerangkan yang mentera pada kain itu sama dengan mentera yang tertulis pada kayu di belakang rumah Lord Choe. Gim Eun Oh mahu menyiasat tentang bomoh yang berada di rumah Lord Choe itu tetapi dia tidak mempunyai pengawal. Arang menawarkan diri untuk mengintip di rumah Lord Choe tetapi tidak dibenarkan oleh Gim Eun Oh.


Arang mencari 4 hantu-hantu untuk menolong Gim Eun Oh menyiasat rumah Lord Choe. Pada mulanya, Gim Eun Oh tidak bersetuju tetapi akhirnya dia menyalah. Dia memberitahu rancangannya kepada hantu-hantu itu. Arang memberitahu Gim Eun Oh yang perkhidmatan hantu-hantu itu bukanlah percuma. Mereka mahukan Gim Eun Oh memberikan mereka keadilan. Gim Eun Oh tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk oleh Arang akhirnya Gim Eun Oh bersetuju. Permintaan mereka akan diberitahu apabila sampai masanya nanti.

Gim Eun Oh meminta 3 orang pegawainya mencarikan pengawal untuknya. Mereka mengatakan yang mereka tidak mempunyai budget yang cukup untuk mengajikan mereka semua. Gim Eun Oh memberitahu yang dia mahukan 100 orang tetapi memandangkan keadaan kewangan mereka tidak mencukupi, memadailah hanya mendapat 20 orang sahaja. Gim Eun Oh menyuruh mereka bertiga menampal iklan mencari pengawal dengan segera.


Mangistrate Gim Eun Oh pergi ke rumah Lord Choe. Dia sengaja mahu membakar perasaan Lord Choe dengan harapan Lord Choe akan mengambil tindakan. Dia sudah menyuruh hantu-hantu upahannya melihat dan memperhatikan Lord Choe. Dia mendesak Lord Choe memberitahu siapakah bomoh yang menulis mentera di kain yang dijumpai di lubang tulang di atas bukit itu. Lord Choe mulai berang. Muncul Ju Wal, dia memberitahu Gim Eun Oh yang tulisan itu sudah ada di situ sebelum dia lahir lagi. Mungkin bomoh itu sudah tiada lagi sekarang. Jika adapun, dia tidak mahu memberitahu apa-apa kepada Gim Eun Oh. Gim Eun Oh pergi dari rumah Lord Choe setelah memberi amaran yang dia tidak akan berdiam diri selagi belum ketemu apa yang dicarinya.


Setelah keluar dari rumah Lord Choe, Magistrate Gim Eun Oh telah menyuruh hantu-hantu itu memasuki rumah Lord Choe, tetapi hantu-hantu itu gagal memasuki rumah itu. Seperti rumah itu sudah di pagar oleh suatu kuasa. Kuasa yang menghalang hantu-hantu atau kuasa negatif dari memasuki rumah itu. Gim Eun Oh terkejut dengan keadaan itu. Dia memberitahuj Arang tentang perkara itu. Baru Arang teringat, sewaktu dia berada di rumah Lord Choe dahulu, dia tidak menjumpai hantu-hantu yang lazimnya berada di setiap rumah. Gim Eun Oh juga perasan yang keadaan di rumah Lord Choe sama dengan pondok yang terdapat di atas bukit di tempat Arang di bunuh dahulu.

Arang terfikir kenapa ayah Lee Seo Rim mahukan dia berkahwin dengan keluarga yang ternyata aneh itu. Bagaimankah orangnya Lee Seo Rim itu. Adakah dia hanya menurut sahaja kata-kata ayahnya. Arang kecewa apabila mengetahui yang Ju Wal tidak pernah berjumpa dengan Lee Seo Rim begitu juga sebaliknya. Dia gagal mendapatkan maklumat tentang Lee Seo Rim dari Ju Wal. Arang mengandaikan yang Lee Seo Rim dapat merasai apa itu cinta sebelum dia mati. Dia sedih apabila mengenangkan itu semua.


Gim Eun Oh membaca lagi diari milik Lee Seo Rim. Dia keliru samaada mahu memberi Arang diari itu atau tidak. Dia tahu jawapan yang di cari Arang ada di dalam diari itu. Akhirnya dia nekad untuk memberi sahaja diari itu kepada Arang. Semoga Arang dapat menyelami siapa Lee Seo Rim melalui diari itu.


Arang membaca diari milik Lee Seo Rim. Dia dapat mengambarkan apa yang dicoret oleh Lee Seo Rim. Madah cinta dan luahan perasaan Lee Seo Rim benar-benar menceritakan tentang perasaan cintanya pada seseorang. Arang berasa pelik dengan kandungan diari itu. Dia memandang sekeliling bilik yang dihuni oleh Lee Seo Rim itu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.

Arang teringat sewaktu kali pertama Lee Seo Rim bertemu dengan Ju Wal. Di waktu itu Lee Seo Rim bersama pengasuhnya melalui jambatan di mana Ju Wal sedang berdiri di atas jambatan itu. Dia melihat sekali imbas wajah Ju Wal. Pengasuhnya memberitahu itulah tuan muda di rumah Lord Choe yang bernama Choe Ju Wal. Sejak itu Lee Seo Rim menyuruh ayahnya mengahwinkannya dengan Ju Wal. Ayahnya yang amat sayangkannya menurut sahaja kehendak anaknya itu dan tidak disangka permintaannya diterima oleh Lord Choe.


Gim Eun Oh menunggu Arang di luar bilik Lee Seo Rim. Dia bimbang seandainya terjadi sesuatu kepada Arang. Setelah sekian lama menunggu, Gim Eun Oh mengambil keputusan untuk beredar. Sewaktu dia berpaling, dia terdengar pintu di tolak. Dia melihat Arang yang baru keluar dari bilik itu. Dia bertanya samada Arang sudah habis membaca diari itu atau belum. Arang memberitahunya yang dia sudah mengingati saat Lee Seo Rim berjumpa buat pertama kalinya dengan Ju Wal. Malahan Lee Seo Rim jatuh cinta pandang pertama dengan Ju Wal dan mahukan perkahwinan antaranya dengan Ju Wal. Arang percaya yang Lee Seo Rim amat menyintai Ju Wal kerana dia seperti merasakan degupan jantung Lee Seo Rim apabila memandang Ju Wal sewaktu pertama kali melihat Ju Wal. Tetapi ingatannya tidak pula mengenai bagaimana kematian Lee Seo Rim.

Gim Eun Oh meningatkan Arang yang dulu dia ada berkata yang Arang adalah Arang, Lee Seo Rim adalah Lee Seo Rim. Waktu itu Gim Eun Oh mengganggap itu adalah tidak masuk akal tetapi sekarang dia mahukan begitu. Dia tidak mahu Arang menganggap dia adalah Lee Seo Rim. Gim Eun Oh mendekati Arang tetapi Arang melangkah ke belakang. Gim Eun Oh mendekatinya lagi, sekali lagi Arang melangkah menghindarinya. Akhirnya, Arang berlalu meninggalkannya. Gim Eun Oh berasa kecewa dengan sikap Arang itu.

Bang Ool menyelongkar rumahnya untuk mencari buku peninggalan nenek moyangnya. Dia mahu mencari mentera yang membolehkan hantu-hantu masuk ke dalam rumah Lord Choe yang telah di pagar dengan mentera itu. Akhirnya, dia bertemu dengan buku yang dicarinya.


Dol Soe masuk ke dalam rumah Bang Ool setelah Bang Ool tidak menjawab panggilannya. Dia menyerahkan bungkusan makanan kepada Bang Ool. Dia kehairanan melihat rumah Bang Ool yang berselerak. Bang Ool menerangkan yang dia mencari buku peninggalan nenek moyangnya. Magistate Gim Eun Oh mahu dia mencari mentera untuk membolehkan hantu upahannya masuk ke suatu tempat yang telah dipagar. Kelancangan Bang Ool berkata-kata telah membuka rahsia yang Gim Eun Oh berkebolehan melihat hantu-hantu. Dol Soe terkejut dengan berita itu dan yang menambah kepanikkannya apabila dia mengetahui yang Arang pernah menjadi hantu sebelum ini. Bang Ool mulai tersedar dari kelancangan mulutnya apabila melihat reaksi Dol Doe.

Dol Soe begitu terperanjat mendengar berita itu. Dia menyangkakan yang Arang masih lagi hantu dan telah merasuk Gim Eun Oh. Dia bertemu dengan Gim Eun Oh. Dia mahu Gim Eun Oh meninggalkan Arang kerana Arang bukanlah manusia seperti mereka. Dol Soe keluar dari bilik Gim Eun Oh dan mahu bertemu dengan Arang. Arang yang berada di luar bilik terdengar perbualan Dol Soe dengan Gim Eun Oh itu. Dol Soe mahukan Arang pergi meninggalkan Gim Eun Oh. Tetapi Gim Eun Oh memarahinya. Arang menyatakan yang dirinya adalah manusia tetapi Dol Soe tetap tidak mempercayainya. Dol Soe kecewa apabila Gim Eun Oh memarahinya dan tidak mahu mendengar kata-katanya.


Ju Wal sudah membulatkan nekad. Dia akan menurut kata-kata Lady untuk membunuh Arang pada malam itu. Lady berasa gembira kerana kebetulan malam itu adalah malam bulan mengambang. Dia percaya yang Arang memang ditakdirkan mati pada setiap bulan mengambang.

Ju Wal memasuki bilik Arang. Dia melihat Arang sedang tidur lena. Dia mulai teringat saat pertama bertemu dengan Arang. Dia sudah terpikat dengan kejelitaan wajah Arang. Tetapi dia meyakini yang dia boleh melakukannya. Dia tidak mahu Lady memarahinya sekiranya dia gagal melakukan arahan Lady itu. Ju Wal mengeluarkan pisau yang diberi oleh Lady. Dia teringat arahan Lady supaya menikam pisau itu tepat ke jantung Arang. Hanya dengan cara itu dapat mematikan Arang yang imortal itu. Ju Wal mengangkat pisau itu dan bersedia untuk menikam jantung Arang tetapi tiba-tiba tindakannya terhenti. Dia melihat wajah Arang. Dia tidak dapat melakukannya. Hatinya tidak kuat kerana sayangnya pada Arang. Dia membelai wajah Arang sebelum berlalu meninggalkan bilik Arang.


Gim Eun Oh bagai mengetahui yang Arang di dalam bahaya. Dia bergegas ke bilik Arang. Dia membuka pintu bilik Arang dan terkejut melihat Arang sudah terjaga dari tidurnya. Arang juga terkejut melihat kedatangan Gim Eun Oh ke biliknya pada waktu malam itu. Gim Eun Oh lega apabila melihat Arang selamat.

Ju Wal ke bilik Lady. Lady melihat keadaan Ju Wal yang ketakutan. Dia tahu yang Ju Wal gagal melakukan arahannya. Dia begitu marah. Ju Wal bertanya kenapa dirinya menjadi lemah sebegitu. Lady menerangkan di dalam manusia ada sesuatu perasaan yang dinamakan cinta dan dia menggelarkan ianya sesuatu yang tidak berguna dan menyusahkan. Ju Wal terduduk di luar bilik Lady dan meratapi apa yang telah terjadi.


Gim Eun Oh mundar-mandir di luar biliknya. Dia tidak tenang kerana dia yakin ada sesuatu yang terjadi. Tetapi dia tidak tahu. Dia kembali ke bilik Arang. Dia melihat Arang berada di luar biliknya dan sudah berpakaian biasa. Gim Eun Oh bertanya kenapa Arang berada di luar bilik. Arang memberitahu yang dia tidak dapat tidur. Arang meminta Gim Eun Oh tidak memarahi Dol Soe lagi. Dia mahu selesaikan permasalahannya dengan cepat dan pergi dari situ segera kerana dia merasakan yang kehadirannya menyusahkan ramai orang.

Sewaktu Arang berpaling untuk kembali ke biliknya, Gim Eun Oh memanggil Arang. Dia mahu memberitahu Arang tentang perasaannya. Arang tidak mahu mendengarnya. Gim Eun Oh tetap juga menyatakan perasaannya. Dia sukakan Arang walaupun tahu Arang cuma ada 2 bulan mengambang sahaja di dunia manusia itu. Arang menyatakan yang dia tidak ada perasaan yang sama pada Gim Eun Oh. Dan dia meminta supaya Gim Eun Oh juga tidak meneruskan niatnya itu. Gim Eun Oh menarik tangan Arang dan berkata ini peluang terakhir untuk Arang menyatakan apa yang tersirat di dalam hatinya. Arang memandang Gim Eun Oh. Bersambung ....




Para pelakon :
Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon O Joong sebagai Dol Seo
Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool
Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park Joon Gyoo sebagai King Yama


* Makin mendebarkan ... hehe ... Gim Eun Oh nak luahkan perasaan dia tapi Arang tak nak ... sebab dia tak lama pun kat dunia manusia ... berjaya atau tidak dia cari pembunuh dia .. dia kena pergi jugak ... dia dah cakap kat Gim Eun Oh tu tapi Gim Eun Oh tak perduli ... dia pun tak faham apa yang terjadi pada dia ... yang dia tahu dia suka dan amik berat pasal Arang ... dia janji akan hantar Arang ke syurga ... siap bagi amaran supaya tak pegi kat Ju Wal ... haha ... cute kannn ... gentelmen sungguh ... melindungi orang yang dia sayang ...

No comments:

Post a Comment