Pages

Friday, November 30, 2012

Sinopsis Korean Drama 'Arang And The Magistrate - Epsiod 20 (Finale)'



Arang And The Magistrate
Episod 20 (Finale)


Sinopsis oleh : aznanie

Sambungan Epsiod 19 ...

Arang melihat Mu Yeon berlari ke arahnya. Dia menjerit sekuat hatinya. Dia tidak mahu Mu Yeon masuk ke dalam tubuhnya. Dengan jeritan itu, menandakan Arang tidak rela tubuhnya dimasuki oleh Mu Yeon jadi roh Mu Yeong bagai di tahan oleh suatu kuasa. Mu Yeon terhenti di hadapan Arang. Mu Yeong mengambil kesempatan itu. Dia mendekati Mu Yeon dan menangkapnya. Mu Yeong menikam Mu Yeon dengan menggunakan pisau Jade Emperor. Roh Mu Yeon hilang dari pandangan. Selepas itu Mu Yeong menikam dirinya sendiri. Tubuh Mu Yeong bertukar menjadi kepulan asap hitam dan hilang dari pandangan.


Ju Wal baru pulang dan mendapati Arang berdiri di situ. Dia berlari mahu mendapatkan Arang tetapi Arang telah pergi mendapatkan Gim Eun Oh dan ibunya terlebih dahulu. Langkah Ju Wal terhenti dan hanya memandang pada Arang yang berdiri tidak jauh dari sisi Gim Eun Oh. Gim Eun Oh mendapati cucuk sanggul yang terpacak di dada ibunya telah hilang. Dia memanggil nama ibunya. Gim Eun Oh mengendong ibunya untuk berjumpa dengan doktor. Tiba di pertengahan jalan, ibunya meminta Gim Eun Oh menurunkannya kerana dia tahu masanya telah tiba.

Gim Eun Oh meminta maaf dari ibunya kerana melakukan ibunya sebegitu. Tetapi ibunya berterima kasih kerana Gim Eun Oh berjaya menghapuskan penderitaannya setelah sekian lama. Ibu Gim Eun Oh memandang Arang dan menganggukkan kepalanya. Arang yang faham akan maksud ibu Gim Eun Oh itu membalasnya. Arang tidak dapat menahan sebak melihat kesedihan Gim Eun Oh. Akhirnya ibu Gim Eun Oh mati dalam dakapan Gim Eun Oh.


Ju Wal tidak tahu apa yang harus di lakukannya. Mu Yeon sudah mati. Tinggallah dia keseorangan dengan ingatan-ingatan tentang perbuatan jahatnya yang semakin banyak yang datang menyerbu di fikirannya. Sedang dia kebuntuan, dia teringat yang dia mencampakkan mayat Lee Seo Rim dari atas bukit. Ju Wal mulai ketakutan dengan setiap bayangan-bayangan yang mulai hadir di fikirannya. Dia tidak tahu bagaimana mahu meneruskan kehidupannya kelak.

 King Yama kesal dengan tindakan Mu Yeong yang menikam dirinya itu tetapi dia bangga dengan Mu Yeong akhirnya berjaya juga menghapuskan Mu Yeon. Jade Emperor berkata Mu Yeon harus diletakkan di neraka kerana kesalahan yang teramat berat itu dan mengosongkan kewujudannya adalah jalan terbaik baginya. Lagipun Mu Yeon tidak pernah sukakan kehidupan di syurga. Jade Emperor berbangga kerana rancangannya berjaya. King Yama berkata yang permainan mereka belum tamat lagi. Jade Emperor mengiyakan kata-kata King Yama itu. King Yama begitu yakin yang Arang tidak akan dapat menyelesaikan masalahnya. Jadi, Jade Emperor harus bersedia untuk menukar tubuhnya dengan dirinya. King Yama begitu gembira apabila mengenangkan perkara itu. Jade Emperor hanya tersenyum mendengarkan kata-kata King Yama itu.


 Gim Eun Oh memberi penghormatan di pusara ibunya. Arang hanya memerhatikanya sahaja. Dia terfikir sesuatu, sehingga kematian ibu Gim Eun Oh, lonceng kebenaran itu tidak berbunyi lagi. Ini bermakna bukan ibu Gim Eun Oh yang membunuhnya. Sekiranya dia tidak berjaya mencari siapakah yang menyebabkan dirinya mati, dia tidak kisah kerana jika dia dihantar ke neraka, dia pasti dapat mengingati Gim Eun Oh. Tiba-tiba tangannya dipegang oleh Gim Eun Oh. Gim Eun Oh memberitahu Arang yang Mu Yeong pernah memberitahunya, yang mereka boleh mengetahui siapa pembunuh Arang melalui sebuah buku orang yang sudah mati. Buku itu terletak di sebuah tempat yang terletak di antara dunia kehidupan dan dunia kematian. Tetapi disebabkan masa Arang belum tamat, Arang tidak boleh pergi ke tempat itu. Jadi, Magistrate Gim Eun Oh yang akan pergi ke situ.

Arang membantah rancangan Gim Eun Oh untuk ke tempat itu. Dia tidak mahu Gim Eun Oh pergi ke situ. Tempat itu sangat bahaya untuk manusia seperti Gim Eun Oh. Orang yang sudah mati sahaja yang boleh ke tempat itu. Gim Eun Oh geram dengan tindakan Arang itu. Dia memarahi Arang yang mudah berputus asa.


Arang berjalan sendirian di peka. Dia teringat kata-kata moyang Bang Ool. Dia rela masuk ke dalam neraka seandainya dengan cara itu dia dapat mengingati Gim Eun Oh. Apalah gunanya masuk syurga jikalau dia terpaksa melupakan kenangan cinta nya bersama Gim Eun Oh. Itu nekadnya.

Gim Eun Oh berjumpa dengan Bang Ool. Dia bertanya bagaimana cara untuk ke penghujung dunia kehidupan. Bang Ool memberitahu yang semuanya ada tertulis di dalam buku peninggalan nenek moyangnya. Ada cara untuk mengeluarkan roh dari tubuh tetapi masalahnya, Gim Eun Oh tidak pernah ke tempat itu. Di khuatiri Gim Eun Oh tidak dapat pulang dalam masa yang ditetapkan. Jika itu terjadi, roh Gim Eun Oh akan terperangkap selamanya di situ. Selama ini hanya pengambil roh sahaja yang tahu jalan ke situ. Bang Ool berkata yang Arang pernah ke situ, jadi dia mencadangkan supaya Arang menemani Gim Eun Oh pergi ke situ. Gim Eun Oh tidak bersetuju kerana masa untuk Arang sudah semakin hampir dan sepanjang tempoh itu Arang tidak dibenarkan berada di dunia selepas kematian. Bang Ool berkata dia boleh menghantar roh Arang bersama roh Gim Eun Oh ke sana.


Gim Eun Oh memujuk Arang. Dia tidak mahu Arang hanya duduk menanti masa untuk masuk ke dalam neraka sedangkan dia masih ada peluang untuk berbuat sesuatu yang lebih baik dari itu. Dia mahu Arang berfikir akan tujuannya di hidupkan semula. Arang terdiam mendengar kata-kata Gim Eun Oh. Dia merasakan ada kebenaran dari kata-kata Gim Eun Oh itu.

 
Arang masuk ke dalam bilik Lee Seo Rim. Dia teringat semasa mayat Lee Seo Rim terbaring di situ, dia pernah berjanji akan mencari siapa yang melakukan perbuatan itu kepada Lee Seo Rim. Dia mahu tahu siapakah pembunuh Lee Seo Rim yang sebenarnya.

Gim Eun Oh dalam perjalanan menuju ke biliknya apabila tiba-tiba dia terasa seperti ditarik oleh seseorang. Dia melihat ke belakang. Dia terlihat keempat-empat hantu yang pernah menjadi pengintipnya memandang kepadanya seperti mahukan bantuannya. Rupa-rupanya mereka menuntut janji Gim Eun Oh untuk membantu menunaikan permintaan mereka.


 Gim Eun Oh bersedia menunaikan permintaan mereka. Gim Eun Oh mencatat apa yang dimahukan oleh hantu-hantu itu. Dimulakan dengan hantu yang pertama. Dia menceritakan kepada Gim Eun Oh yang dia bekerja sebagai buruh di dalam hutan. Kepalanya dihempap kayu balak dan dia mati. Gim Eun Oh berkata adakah dia tahu ada orang yang membaling kayu itu ke arahnya. Hantu itu berkata tidak. Timbunan kayu balak itu runtuh lalu jatuh ke atasnya. Gim Eun Oh berkata yang membunuhnya adalah kayu balak. Macam mana dia nak tangkap kayu balak. Hantu itu berkata bukan begitu yang dia mahukan. Semasa kematianya, isterinya sedang mengandung. Di sebabkan kematiannya, tiada siapa yang dapat memberi nama kepada anaknya. Sehingga kini anaknya di panggil dengan panggilan tiada nama. Jadi, dia mahu Gim Eun Oh memberikan nama yang baik, yang dapat memberikan rezeki dan hidup yang sihat kepada anaknya itu. Gim Eun Oh faham dan menulis permintaan hantu itu di dalam buku catatannya.


Hantu kedua pula bercerita yang dia jatuh ke dalam sungai dan kerana air sungai itu deras, maka mayatnya tidak dapat dijumpai. Jadi, dia mahukan Gim Eun Oh membuatkannya satu batu tanda memperingati dirinya di dirinya di sungai itu. Gim Eun Oh faham dan mencatatkannya di dalam buku catatannya.


Hantu ketiga bercerita kisahnya kepada Gim Eun Oh. Menurutnya, dia mempunyai seorang ibu yang sudah tua dan matanya buta. Suatu malam, dia meminta untuk memakan buah persimmon. Dia keluar mencari buah persimmon yang diminta oleh ibunya di dalam hutan tetapi malang nasibnya apabila dia dibaham oleh harimau. Ibunya tidak tahu yang dia sudah mati dan tetap meninggu kepulangannya setiap hari. Dia mahu Gim Eun Oh memberitahu ibunya yang dia sudah mati dan jangan menunggunya lagi. Gim Eun Oh faham dan mencatatkannya di dalam buku catatannya.


Giliran hantu yang keempat pula membuat permintaan. Hantu yang keempat meminta Gim Eun Oh mengahwinkan dirinya. Gim Eun Oh terkejut dengan permintaan hantu yang keempat itu.


Gim Eun Oh mulai memikirkan nama yang sesuai untuk anak lelaki hantu yang pertama. Dia menulis nama yang telah dipilihnya dan memberikannya kepada hantu yang pertama itu. Hantu yang pertama itu berasa sungguh gembira dan berterima kasih kepada Gim Eun Oh.


Pengawal Magistrate Gim Eun Oh mendirikan batu tanda peringatan untuk hantu yang kedua. Dia melihat batu tanda itu. Hatinya sungguh terharu dan berterima kasih dengan Gim Eun Oh kerana menunaikan hajat dan impiannya.


Hantu yang ketiga sungguh terharu melihat ibunya memegang buah persimmon yang tidak sempat diberikannya. Ibunya sungguh sedih apabila diberitahu yang anaknya sudah tiada lagi tetapi dia tahu yang anaknya adalah anak yang sangat baik dan sayang padanya.


Hantu keempat berasa gembira kerana keinginannya untuk berkahwin tercapai akhirnya. Selama ini tiada manusia yang boleh melihat hantu, jadi tiada siapa yang layak untuk mengahwinkan dirinya. Di depan Gim Eun Oh, mereka berdua di istiharkan suami isteri olehnya.


Kesemua hantu-hantu itu berterima kasih kepada Gim Eun Oh kerana membantu mereka semua dan menunaikan permintaan mereka. Gim Eun Oh berasa gembira kerana dapat membantu dan menunaikan impian kesemua hantu-hantu itu. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Gim Eun Oh, kesemua mereka telah kembali ke dunia kematian tanpa rasa terkilan dan menyesal.


Gim Eun Oh berasa puas hati kerana dia sudah melakukan yang terbaik dan termampu olehnya di pekan Miryang ini. Sudah tiba masanya dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada masalah Arang. Dia mahu Arang bersetuju dengan cadangannya dan Bang Ool itu. Hanya itu sahaja caranya untuk mengetahui jawapan kepada persoalan Arang itu.


Gim Eun Oh dan Arang mengambil angin di tepi sungai. Masing-masing melayan perasaan. Arang merasakan yang perasaannya pada Gim Eun Oh sama dengan perasaan Lee Seo Rim terhadap Ju Wal dahulu. Dia mahu berpegang pada keindahan cinta itu walaupun ke mana dia pergi. Samada ke syurga di mana dia akan melupakan Gim Eun Oh atau ke neraka di mana Gim Eun Oh akan melupakan dirinya. Atau bila mereka bertemu kembali dan mereka tidak mengingati antara satu sama lain. Bagi Gim Eun Oh pula, jika suatu hari nanti, ada seorang lelaki yang lalu dihadapannya dan berhenti memandangnya dengan debaran di dadanya dan dengan mata yang bersinar, ketahuilah itu adalah dirinya. Gim Eun Oh melafaz kata cintanya pada Arang dan mereka berkucupan mesra bersama deraian air mata.


Ju Wal sudah hilang semangat untuk meneruskan kehidupannya. Dia terbelengu di dalam dosa-dosa silamnya. Bayangan-bayangan silam perbuatannya semakin kerap datang diingatannya. Di tambah dengan dosanya pada Lee Seo Rim. Gadis yang amat cintakan dirinya tanpa pengetahuannya. Gadis yang sanggup menyerahkan kehidupannya untuk menyelamatkan dirinya. Sedangkan dirinya tanpa rasa bersalah telah membuang mayat gadis itu dari atas ke dalam gaung yang dalam. Ju Wal bertindak menamatkan nyawanya di tempat dia membuang mayat Lee Seo Rim. Dia terjun dari atas bukit yang berbatu itu.


Gim Eun Oh sudah bersiap untuk menyempurnakan tugasnya. Dia berjumpa dengan ketiga-tiga pegawainya dan juga Dol Soe. Dia berterima kasih kepada mereka semua kerana telah bersusah payah bersamanya sepanjang dia melakukan tugas sebagai Magistrate di situ. Dol Soe beranggapan yang Gim Eun Oh mahu pergi dari situ dan dia mahu mengikuti Gim Eun Oh tetapi Gim Eun Oh mahu dia terus berada di situ dan melakukan tugasnya di situ. Dia berkata kepada pegawainya supaya menampal iklan jawatan Magistrate kepada orang kampung. Sesiapa sahaja yang berminat dengan jawatan Magistrate tidak kira dari status apapun, yang penting orang itu sayangkan kampung mereka dan sanggup membantu penduduk kampung menjalani kehidupan dengan lebih baik dan aman. Penduduk kampung berasakan yang Magistrate Gim Eun Oh seorang yang pandai bergurau dan mereka menganggap yang iklan itu hanyalah satu gurauan dari Magistrate mereka.


Dol Soe berjalan bersama Bang Ool di pekan. Dol Soe mahu pelukis jalanan itu melukis gambar mereka berdua. Dia mahu mengabadikan gambar orang yang disayanginya itu. Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan. Bang Ool ternampak penjual barangan perhiasan. Bang Ool tertarik dengan sebentuk cincin jade tetapi menolak apabila Dol Soe mahu membelikannya.

Di rumah Bang Ool, masing-masing melihat lukisan gambar mereka. Tiba-tiba Dol Soe memberikan sebentuk cincin kepada Bang Ool. Cincin yang Bang Ool begitu tertarik di pekan tadi. Bang Ool terkejut dan menjadi malu apabila Dol Soe memakaikan cincin itu ke jarinya. Selepas itu, Dol Soe meminta Bang Ool memakaikannya sebentuk cincin ke jarinya. Dengan malu-malu, Bang Ool memakaikan Dol Soe cincin itu kejarinya.


Dol Soe meminta Bang Ool menerima hatinya. Dia mahu Bang Ool bersamanya menjalani kehidupan mereka. Bang Ool berkata sekiranya dia sudah menerima hati Dol Soe, dia tidak akan memulangkan semula kepada Dol Soe walau apa pun yang terjadi. Dol Soe berasa gembira dengan kata-kata Bang Ool itu.


Bang Ool mengikat tangan Arang dan Gim Eun Oh dengan tali yang dipasang loceng. Bang Ool akan membunyikan loceng itu untuk mengejutkan mereka. Mereka harus keluar dari hutan itu sebelum subuh menjelang. Jika tidak Gim Eun Oh akan kehilangan rohnya. Bang Ool berpesan kepada Arang supaya memberi sepenuh tumpuan dan hanya memandang ke hadapan dan terus berlari. Arang dan Gim Eun Oh memejamkan mata mereka, sementara Bang Ool memulakan upacara  itu dengan membaca mentera.


Sebaik sahaja Gim Eun Oh dan Arang membuka matanya, mereka berada di dalam hutan di dunia selepas kehidupan. Arang menunjukkan jalan kepada Gim Eun Oh. Mereka berjalan tanpa henti. Tiba-tiba mereka dikerumuni roh-roh manusia yang belum di bawa ke dunia kematian. Mereka menarik-narik tangan Gim Eun Oh dan Arang. Tiba-tiba Arang terpandang pengasuhnya. Pengasuhnya mahu dia mengikutinya. Pegangan tangan Arang terlepas dari tangan Gim Eun Oh. Arang hilang dari pandangan Gim Eun Oh.


Arang mengikuti pengasuhnya. Pengasuhnya membawanya ke suatu tempat di mana dia melihat ibunya sedang sakit dan dirinya yang masih kecil sedang menangisi ibunya. Barulah dia tahu bagaimana saat-saat ibunya mati kerana kejadian itu berlaku sewaktu dia masih kecil. Dia tidak ingat apa yang berlaku pada ibunya. Itu yang membuatkan dia tertanya-tanya kenapa dirinya tiada ibu seperti orang lain.


Gim Eun Oh mengejutkan Arang yang terlena di sebatang pokok. Arang memberitahunya yang dia berjumpa dengan ibunya. Dia melihat bagaimana ibunya mati. Gim Eun Oh menenangkannya dan memberitahu yang mereka kesuntukan masa. Mereka harus mencari perpustakaan yang menyimpan rekod kematian itu. Mereka meneruskan perjalanan dan akhirnya mereka berjumpa dengan tempat yang dimaksudkan oleh Mu Yeong.


Di luar pintu perpustaan itu terdapat seorang penjaga. Dia berasa hairan kerana dihadapanya adalah seorang manusia kerana sebelum ini tidak ada seorang manusia pun yang boleh sampai ke situ. Gim Eun Oh berkata yang dia mahu mencari rekod orang yang sudah mati untuk mengetahui kebenaran di sebalik kematiannya. Penjaga pintu itu membawa Gim Eun Oh masuk ke dalam perpustakaan itu. Dia berkata Gim Eun Oh boleh mencari rekod itu dalam masa yang telah ditetapkan. Iaitu ditangan Gim Eun Oh ada tanda merah sebanyak 5 tanda. Sebaik tanda-tanda itu hilang, Gim Eun Oh tidak akan dapat lagi mencari rekod yang diingininya.


Gim Eun Oh buntu memikirkan cara mahu mencari rekod Lee Seo Rim kerana di situ terdapat ribuan buku rekod. Gim Eun Oh memejamkan matanya. Dia meyakinkan dirinya yang dia pasti akan berjumpa dengan apa yang ingin dicarinya. Sebaik dia membuka matanya, dia seperti mendapat petunjuk di mana rekod Lee Seo Rim berada. Dia bergegas ke situ, dan terbukti rekod Lee Seo Rim ada di situ. Dia mengambilnya dan membuka buku itu. Dia mencari tentang saat kematian Lee Seo Rim dan siapa pembunuhnya. Tetapi di dalam buku itu tidak tertulis siapa pembunuh Lee Seo Rim. Gim Eun Oh meletakkan tangannya di buku itu dan memejamkan matanya. Dia berniat di dalam hati untuk tahu siapakah pembunuh Lee Seo Rim. Dia membuka matanya. Tulisan pada buku itu hilang sebentar dan muncul kembali. Gim Eun Oh terkejut apabila mengetahui yang pembunuh Lee Seo Rim adalah Lee Seo Rim sendiri.

Arang kegelisahan menunggu Gim Eun Oh diluar. Dia merancang untuk masuk ke dalam mencari Gim Eun Oh tetapi dia tidak dapat berbuat demikian kerana ada suatu kuasa yang melarang dia menembusi pintu perpustakaan itu. Dia menjerit memanggil nama Gim Eun Oh.


Gim Eun Oh meletakkan buku rekod kematian Lee Seo Rim di tempatnya. Dia mahu keluar dari situ. Tiba-tiba dia terpandang satu buku rekod kematian yang tertera namanya. Dia mengambil buku itu dan melihatnya. Dia terkejut apabila mendapati buku itu sememangnya tertulis namanya. Dia membuka dan membacanya. Rupanya dia sudah mati pada usianya 6 tahun. Tiba-tiba dia teringat di saat Jade Emperor menyelamatkannya. Dia juga teringat kata-kata Jade Emperor bahawa kehidupannya selepas itu bukanlah kepunyaannya. Dia tertanya-tanya kenapa Jade Emperor menghidupkannya semula. Gim Eun Oh menjerit memanggil nama Jade Emperor.


Gim Eun Oh terkejut apabila dia berada di suatu tempat yang cukup asing bagi dirinya. Di hadapannya berdiri Jade Emperor dan King Yama. Jade Emperor bertanya kenapa Gim Eun Oh mahu berjumpa dengan dirinya. Gim Eun Oh bertanya kenapa Jade Emperor menghidupkan dirinya semula. Jade Emperor memberitahunya yang dia adalah manusia yang dia perlukan. Gim Eun Oh naik marah. Dia menuduh Jade mempergunakan dirinya untuk menghapuskan pari-pari syurga yang jahat itu. Jade Emperor berkata ianya memang begitu tetapi tidak semuanya begitu. Gim Eun Oh berkata Jade Emperor hanya merancang dan memulakannya sahaja tetapi dia yang membuat pilihan untuk menamatkannya. Dia yang mencucuk jantung ibunya dengan cucuk sanggul itu.


Jade Emperor berkata ada sebab lain sebenarnya Gim Eun Oh mahu berjumpa dengannya. Gim Eun Oh berkata yang dia sudah tahu yang pembunuh Arang adalah dirinya sendiri. Tetapi Arang belum mati, jadi dia tidak akan mendengar bunyi loceng kebenaran itu. King Yama mengiyakan apa yang dikatakan oleh Gim Eun Oh itu. Sebab itu King Yama berkata yang Arang tidak akan dapat menyelesaikan masalahnya itu. Gim Eun Oh tidak puas hati. Dia bertanya kenapa mereka berdua sengaja membiarkan Arang melalui saat-saat kesukaran untuk mencari jawapan kepada persoalannya itu. Bagaimana boleh mereka memberikan sesuatu persoalan yang tidak dapat diselesaikan olehnya. Tidakkah mereka sepatutnya berlaku adil kepadanya. King Yama berkata dia sememangnya adil tetapi Jade Emperor mahu berbuat sesuatu yang dapat menebus hajat.

Jade Emperor berkata pada mulanya Arang berjumpa dengannya bukan bertujuan untuk masuk ke dalam syurga. Dia hanya mahu tahu siapa pembunuhnya dan siapakah dirinya.  Jadi, Jade Emperor memberikan kebenaran kepadanya untuk mencari jawapan kepada persoalannya. Jika Arang mengetahui apa yang diketahui oleh Gim Eun Oh sekarang, Arang masih lagi mendapat ganjarannya. Syurga atau neraka akan difikirkan kemudian.

Jade Emperor memandang kepada Gim Eun Oh dan bertanya apakah alasan yang sebenarnya Gim Eun Oh mahu berjumpa dengannya. Gim Eun Oh terdiam tanpa berkata apa-apa.

Gim Eun Oh mendapatkan Arang yang sedang menunggu di luar perpustakaan. Dia mengajak Arang keluar dari situ dengan segera. Arang bertanya adakah Gim Eun Oh sudah melihat buku rekod kematiannya dan siapakah yang telah membunuhnya. Gim Eun Oh enggan menjawab pertanyaan Arang itu dan menarik tangan Arang supaya keluar dari hutan itu.


Bang Ool menggerakkan loceng pada tangan Gim Eun Oh dan Arang dengan harapan mereka berdua akan tersedar tetapi keduanya seakan belum dapat keluar dari hutan itu. Bang Ool mencuba lagi. Sekuat hati dia membunyikan loceng itu. Dia mulai menjadi takut dengan kejadian itu.


Gim Eun Oh dan Arang sedang berlari keluar dari hutan itu. Tiba-tiba Arang terjatuh dan pegangan tangan mereka terlepas. Gim Eun Oh berpaling tetapi tidak nampak kelibat Arang. Gim Eun Oh menjerit memanggil nama Arang. Arang juga tidak nampak kelibat Gim Eun Oh. Padahal mereka berhadapan pada ketika itu.

Arang tersedar. Bang Ool bertanya kenapa Gim Eun Oh tidak sedarkan dirinya lagi. Adakah sesuatu telah terjadi kepada Gim Eun Oh sewaktu dalam perjalanan pulang.  Arang menoleh pada Gim Eun Oh yang masih belum sedar. Dia memanggil Gim Eun Oh dan berharap Gim Eun Oh akan tersedar.


Tiba-tiba Bang Ool terkejut apabila mendapati Arang mulai hilang dari padangannya. Dia cuba memegang tangan Arang tetapi Arang telah hilang dari pandanganya. Dia menjerit memanggil Gim Eun Oh dan memberitahunya sesuatu telah terjadi kepada Arang.


Arang di bawa ke suatu tempat di mana terdapat suatu lubang ke neraka di situ. Arang seperti di tarik oleh suatu kuasa ke dalam lubang itu. Arang masih berharap agar Gim Eun Oh akan tersedar. Arang merasakan yang dirinya adalah penyebab Gim Eun Oh tidak dapat pulang. Dia merasakan yang semua itu adalah berpunca dari dirinya. Dia mulai faham yang dirinya adalah penyebab kematiannya. Sebab itu Gim Eun Oh tidak mahu memberitahunya. Kerana dia tidak akan mati dan akhirnya dia akan pergi ke neraka juga.


Gim Eun Oh tersedar. Dia melihat Arang tiada di sebelahnya. Dia keluar dan melihat Arang sedang ditarik masuk ke dalam lubang neraka itu. Dia menjerit memanggil nama Arang. Arang menoleh dan ternampak Gim Eun Oh. Gim Eun Oh berlari ke arahnya dan menolak Arang ke tepi. Gim Eun Oh di tarik masuk ke dalam lubang neraka itu.


Gim Eun Oh teringat saat perjumpaannya dengan Jade Emperor. Dia mahukan Jade Emperor menukar syarat untuk Arang mendengar bunyi loceng kebenaran sebagai pertukaran dengan jasanya menghapuskan pari-pari jahat seperti yang dimahukan oleh Jade Emperor. Jade Emperor berkata sekiranya dia bersetuju dengan permintaan Gim Eun Oh itu, apakah yang akan Gim Eun Oh lakukan untuknya. Gim Eun Oh berkata yang dia akan menyerahkan kehidupannya kepada Jade Emperor. King Yama berkata dia merasakan yang satu nyawa belum cukup untuk menunaikan permintaan Gim Eun Oh itu. King Yama bertanya samada Gim Eun Oh mahu mengantikan tempat Arang untuk pergi ke neraka.

Akhirnya Gim Eun Oh hilang dari pandangan Arang. Lubang neraka itu sudah menelannya. Arang menjerit memanggil nama Gim Eun Oh. Dia melihat dinding itu sudah tidak ada lubang neraka itu lagi. Arang menangis di situ. Bayangan dirinya semakin kabur dan terus hilang dari pandangan. Arang telah kembali ke dunia selepas kehidupan seperti yang dijanjikan oleh Jade Emperor sebaik sahaja dia tahu siapakah sebenarnya pembunuh dirinya yang sebenarnya.


Beberapa tahun sudah berlalu. Kini Miryang sudah mempunyai Magistrate yang baru. Magistrate Dol Soe. Dol Soe menjadi Magistrate di Miryang di atas kepercayaan penduduk Miryang sendiri. Mereka mahukan Dol Soe memegang jawatan itu setelah kehilangan Gim Eun Oh. Magistrate Dol Soe mendapat bantuan sepenuhnya dari ketiga-tiga pegawainya itu. Dia gembira kerana penduduk Miryang sudah hidup dalam keadaan aman damai tanpa penindasan seperti dahulu.


Bang Ool sudah tidak menjadi bomoh lagi. Seorang peniaga gerai makanan telah mencuba kimchi dan daging yang dimasaknya. Peniaga itu memuji keenakan masakan Bang Ool itu dan mengajaknya berniaga makanan yang dipanggil Bosam itu bersamanya. Bang Ool bersetuju dengan perlawaan peniaga gerai makanan itu.


Gerai makanan Bang Ool penuh sesak dengan pelanggan yang datang mahu merasai keenakkan Bosam buatan Bang Ool itu. Hubungan Bang Ool dengan penduduk Miryang semakin mesra. Bang Ool berasa sangat bahagia sekali. Dol Soe melihat Bang Ool yang sedang melayani pelanggan di gerai makan itu. Dia juga berasa gembira dengan perkembangan Bang Ool itu.


Bang Ool memberikan makanan kepada hantu-hantu yang ada di situ. Kebolehannya melihat hantu masih ada. Apabila dia meletakkan makanan di situ. Berebut-rebutlah hantu-hantu itu mengambilnya. Hantu Lord Choe tidak dapat makanan itu kerana hantu Geo Deol lebih handal dari dirinya. Dia memarahi Geo Deol kerana tidak menghormati dirinya. Dia masih merasakan yang dirinya adalah orang kaya dari golongan atasan. Geo Deol memandang padanya dan berkata semua hantu adalah sama tarafnya tidak kira siapa dia semasa hidupnya. Sebagai hantu, siapa yang kuat dan pantas, dialah yang dapat banyak makanan. Geo Deol terus berlalu meninggalkan Lord Choe yang kelaparan di situ.


King Yama berjumpa dengan Jade Emperor yang sedang menikmati tehnya sambil melihat pokok peachnya. King Yama berkata sebagai balasan di atas pengorbanan Gim Eun Oh menyerahkan kehidupannya, mereka menawarkannya tinggal di syurga tetapi Gim Eun Oh mahu turun ke dunia juga. King Yama tidak faham kenapa semua manusia lebih suka tinggal di dunia dari tempat yang lain. Jade Emperor berkata sebab mereka semua manusia. King Yama memandang Jade Emperor sambil berkata dia ingatkan dia berpeluang mendapatkan tubuh Jade Emperor kali ini. Jade Emperor berkata ada lagi di lain kesempatan untuk King Yama mendapatkan tubuhnya lagi.


Jade Emperor berkata sebagai menebus rasa bersalahnya kerana King Yama telah kalah dalam pertaruhan mereka, Jade Emperor telah berbuat sesuatu kepada King Yama. Jade Emperor telah menyediakan sebuah pemberian kecil kepada King Yama. Jade Emperor memanggil Mu Yeong dan King Yama melihat ke arah pandangan Jade Emperor. King Yama berasa gembira apabila melihat Jade Emperor mengabadikan Mu Yeong di dalam kambing peliharaannya. Jade Emperor berkata dia berbuat begitu kerana yakin King Yama pasti akan merindui Mu Yeong walaupun perbuatannya itu bercanggah dengan peraturan yang telah mereka tetapkan. King Yama tidak memarahi Jade Emperor kerana merasakan yang itu adalah hukuman terbaik yang patut diberikan kepada Mu Yeong di atas perbuatannya dulu.


King Yama bertanya kepada Jade Emperor tentang pengganti Mu Yeong. Adakah pengambil roh yang baru itu menjalankan tugasnya dengan baik. Belum sempat Jade Emperor menjawab, kedua-dua pengambil roh itu menghampiri mereka. Rupanya salah seorang dari pengambil roh itu adalah Ju Wal. Jade Emperor memandang Ju Wal dengan rasa puas hati dengan keputusan yang dibuatnya itu.


Seorang budak lelaki terpandang seorang budak perempuan sedang lega bermain dengan bunga-bungaan. Dia datang menghampiri budak perempuan itu. Di ketika itu ibunya iaitu Bang Ool mencari anaknya yang diberi nama Eun Oh. Eun Oh bersembunyi dari pandangan ibunya. Dia memaksa budak perempuan itu duduk. Dia berkata yang dia tidak pernah berjumpa dengan budak perempuan yang lebih cantik dari budak perempuan itu. Dia bertanyakan nama budak perempuan itu. Budak perempuan itu menjawab yang dirinya adalah Arang. Arang mulai memarahi Eun Oh kerana minum air dari telaga lupa. Dia berasa bengang kerana Eun Oh lupa pada dirinya dan kisah cinta mereka. Arang cuba mengingatkan Eun Oh tentang kisah mereka. Tetapi memandangkan kisah mereka terlalu panjang untuk di ceritakan, Arang mulai berasa kecewa dengan Eun Oh. Eun Oh tersenyum memandang Arang dan mengatakan yang paling penting baginya, adalah saat-saat mereka sekarang. Arang berasa gembira dengan kata-kata Eun Oh itu. Ternyata Eun Oh masih mengingati dirinya dan kisah cinta mereka. Mereka berdua menyambung kembali kisah cinta mereka yang terhenti seketika itu. Tamat ....





Para pelakon :

Lee Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh

Sin Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim

Yeon Woo Jin sebagai Joo Wal

Kwon O Joong sebagai Dol Soe

Hwang Bo Ra sebagai Bang Ool

Han Jeong Soo sebagai Mu Yeong

Yoo Seung Ho sebagai Jade Emperor

Park Joon Gyoo sebagai King Yama

* Best ... ending yang sungguh tidak dijangka ... happy ending ... tak sia-sia follow drama Arang And The Magistrate ni .... Jade Emperor memang seorang yang begitu bertimbang rasa ... setiap pengorbanan pasti ada ganjaran ... kerana kesanggupan Gim Eun Oh mengantikan tempat Arang masuk ke neraka telah membuatkan Jade Emperor menunaikan hasrat Gim Eun Oh untuk menjadi manusia semula dan bertemu kembali dengan Arang ... so touching ... Mu Yeong dilahirkan semula sebagai kambing peliharaan Jade Emperor ... memang sesuai ... hehe ... Ju Wal jadi pengambil roh .. memang sesuai dengan dia ... dia kan suka bunuh orang ... jadi kena jadi pengambil roh memang sesuai ... lepas ni tugas dia lah menangkap hantu-hantu yang masih berkeliaran di dunia manusia termasuklah  Lord Choe dan Geo Deol ... hahaha ... Dol Soe kahwin dengan Bang Ool .... dapat anak lelaki ... Dol Soe namakan anak dia Eun Oh ... itulah Magistrate Gim Eun Oh yang dilahirkan semula ... apa pun drama Arang And The Magistrate ni memang terbaik ... aku bagi 5 bintang untuk drama korea ni ... cayalahhh ...



No comments:

Post a Comment