Follow filem seram .. hehe ... mood nak tengok cite seram jek sejak akhir-akhir ni ... hari ni tengok filem Santau ... sebenarnya dah beberapa kali tengok .. kat tv pun dah ditayangkan beberapa kali ... tapi baru ari ni tergerak nak buat sinopsis dia ... Santau ni mengisahkan sepasang suami isteri yang terkena ilmu santau ... bermacam kejadian aneh dan pelik serta yang menakutkan terjadi pada mereka ... semuanya bermula setelah Halim berpindah ke rumah baru mereka ... isterinya, Nina yang paling teruk terkena santau ... banyak babak yang mengundang seram ... cite ni memang dapat meremangkan bulu roma lah kiranya ... jadi ... jom layan sinopsis filem Santau ni ...
Sinopsis oleh : aznanie
Halim dan Nina mempunyai seorang anak perempuan bernama Icha. Kehidupan mereka sangat bahagia. Kerjaya Halim sebagai seorang kontraktor dapat membuatkan mereka hidup senang. Halim berkawan baik dengan Usin yang tinggal tidak jauh dari rumahnya. Usin juga adalah seorang kontraktor. Tetapi syarikat Husin tidaklah seberjaya syarikat yang di miliki oleh Halim. Walaupun begitu Halim bukanlah seorang yang sombong dan bongkak dengan kejayaan yang dimilikinya.
Suatu hari, Halim mengadakan jamuan di rumahnya. Dia menjemput semua jiran-jirannya bertandang ke rumahnya. Termasuklah Man dan isterinya. Man merupakan jiran baru Halim. Man dan isterinya datang ke rumah Halim dengan membawa makanan berupa lepat pisang. Usin dan isterinya, Ana juga membawa bubur kacang untuk Halim dan Nina. Nina makan bubur kacang pemberian Husin dengan berseleranya sedangkan Halim hanya makan lepat pisang sahaja.
Setelah hari itu, kehidupan Halim dan Nina di ganggu oleh kejadian mistik. Ada-ada sahaja yang berlaku. Gangguan seperti tv terpasang dengan sendirinya. Membuatkan kehidupan mereka sekeluarga mulai tidak selesa. Namun gangguan ini berlaku apabila Halim tidak ada di rumah. Sebagai seorang kontraktor, Halim sangat sibuk sehinggakan terpaksa bekerja sehingga lewat malam. Tinggallah Nina dengan anak mereka, Icha sahaja di rumah.
Apabila Nina dan Tuti menceritakan kejadian yang mereka alami kepada Halim, sukar bagainya untuk mempercayainya. Tetapi perubahan Nina amat membingungkan dirinya. Sehinggalah Nina jatuh sakit. Halim membawa Nina ke hospital dan doktor cuma menyatakan yang Nina hanya mengidap gastrik sahaja.
Halim mengadu mengenai masalah yang dihadapi oleh Nina kepada Usin. Usin menyuruh Halim mencari seorang yang pandai mengenai ilmu-ilmu hitam ini. Halim juga menyatakan yang dia kurang selesa dengan jiran baru mereka itu, Man. Pada pandangan Halim, Man seperti ada agenda. Pandangan mata Man mengambarkan sesuatu yang aneh. Halim mengesyaki yang Man ada kaitan dengan kejadian yang menimpa isterinya, Nina.
Atas saranan Usin, Halim membawa Nina berjumpa dengan bidan kampung. Bidan kampung itu memberitahu yang Nina memang terkena ilmu hitam tetapi mak bidan itu tidak sanggup mengubatkan Nina kerana ilmu santau yang menyerang itu sudah berakar umbi dan mak bidan itu menyuruh Halim mencari orang lain yang lebih handal dari dirinya untuk memulihkan Nina.
Suatu malam, sewaktu Nina dan Halim diganggu, Man dan isterinya, Arifah datang ke rumah mereka. Man dan Arifah melihat keadaan Nina yang telah dirasuk itu. Man dan Arifah berusaha memulihkan Nina. Setelah keadaan pulih, Man dan Arifah membawa Nina dan Halim bertemu dengan Tok Bomoh. Tok Bomoh itu memberitahu yang Nina terkena santau yang dihantar oleh jirannya. Halim terus menerpa ke arah Man. Dia memang mengesyaki Man yang melakukan perbuatan itu tetapi apabila Nina menyebut yang dirinya adalah Usin, Halim tidak jadi untuk menumbuk Man. Keadaan Nina semakin kuat, Tok Bomoh tidak dapat mengawal situasi itu. Usin membuat sesuatu pada patung tuju-tuju dari rumahnya. Tok Bomoh menyuruh Halim membawa Nina ke rumah Lebai Kudin. Mereka mesti sampai di sana sebelum kering air di rambut Nina.
Halim mengendong Nina menuju ke rumah Lebai Kudin. Arifah, Icha dan Man mengikuti mereka. Kedatangan mereka sudah dinanti oleh Lebai Kudin. Lebai Kudin beristifar beramai-ramai dengan orang-orangnya. Tiba-tiba Nina sedar, dia duduk dihadapan Lebai Kudin dan mulai beratib menyeru namanya sendiri. Arifah bagai didorong sesuatu untuk memegang Nina sambil mengikutnya beratib sama seperti Nina. Di ikuti dengan Halim. Halim pun melakukan perbuatan yang sama dengan Arifah. Lebai Kudin memanggil Man supaya memulihkan Arifah. Lebai Kudin memulihkan Halim dari terus berkeadaan begitu. Lebai Kudin berbicara dengan jin yang terdapat di dalam badan Nina. Nina menerangkan yang dirinya adalah jin berketurunan majusi yang di hantar oleh Usin untuk memusnahkan keluarga Halim. Dia tidak mahu Halim hidup senang. Lebai Kudin membaca ayat suci Al-Quran. Bila Lebai Kudin mengibaskan serbannya, jasad Nina tergantung di tepi dinding yang bertulisan ayat-ayat suci Al-Quran. Lebai Kudin bertanya samada jin itu mahu keluar dari jasad Nina atau tidak. Jin itu menjawab, dia mahu keluar melalui mulut. Lebai Kudin mahu jin itu menuruti kata-katanya. Jin itu akur dengan kata-kata Lebai Kudin. Akhirnya jin itu dapat diislamkan oleh Lebai Kudin. Setelah itu jin tersebut keluar dari badan Nina. Usin yang sedang melakukan perbuatan keji itu telah menerima padahnya. Makhluk-makhluk peliharaannya kembali kepadanya. Usin tergolek kesakitan bersama makhluk itu. Rumahnya terbakar.
Setelah jin itu keluar dari badan Nina, Nina terjatuh ke lantai. Mulutnya berbuih. Halim memangku isterinya yang sudah tidak bergerak itu. Dalam sedu-sedan, Halim berdoa kepada ALLAH. Dirinya redha dengan dugaan dan ujian darinya. Tiba-tiba Nina mengerakkan tangannya. Halim mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Dia berterima kasih kepada Lebai Kudin yang membantu memulihkan isterinya. Usin akhirnya menerima pembalasan di atas perbuatannya. Rupanya Usin lah yang mengenakan santau kepada Nina melalui bubur kacang yang di makan oleh Nina semasa mereka membuat jamuan dahulu. Sesungguhnya perbuatan jahat pasti akan mendapat pembalasan dari ALLAH S.W.T. Tamat ....
Para pelakon :
Esma Daniel sebagai Halim
Puteri Mardiana sebagai Nina
Riezman Khuzaimi sebagai Usin
Zul (Handy Black) sebagai Man
Lisdawati sebagai Arifah
Bob Lokman sebagai Tok Bomoh
Hafidzudin Fadzil sebagai Lebai Kudin
Farisha Fatin Faisal sebagai Icha
Pengarah : Azhari Zain
* Best jalan citenya ... ringkas dan ringan .. tak terlalu berbelit-belit ... walaupun banyak flashback tapi still faham apa yang mahu di sampaikan oleh pengarah .... pelakon pun hebat-hebat .. dapat menjiwai watak masing-masing dengan baik ... good job ... hehe ... cam pengkritik pulak aku ni ... ni adalah pandangan aku ... setiap orang ada pandangan masing-masing kannnn ... so ... enjoy the sinopsis filem Santau ni ... hehe
No comments:
Post a Comment