Pages

Sunday, July 17, 2011

Cerekarama 'Ziarah'

Cerekarama kat TV3 malam tadi tajuknya Ziarah ... kisah perjalanan hidup seorang lelaki bernama Mustaqim (Jalaludin Hassan). Setelah kematian isteri setahun yang lalu menyebabkan beliau tinggal bersendirian di kampung. Anak-anaknya sibuk bekerja di Kuala Lumpur. Jadi, beliau berhasrat melawat anak-anaknya memandangkan anak-anaknya jarang balik ke kampung menjenguknya. Yang paling dirinduinya, anaknya yang bernama Zarul (Ako Musthapa). Zarul adalah anak kesayangan Mustaqim. Mustaqim begitu menyayangi Zarul sehinggakan tiada seorang pun yang berani memarahi Zarul. Ini menyebabkan Zarul besar kepala dan tidak mempedulikan nasihat ibunya. Jika ibunya mengadu kepada ayahnya akan perbuatannya, ayahnya akan membelanya dan akan memarahi ibunya. Membuatkan adiknya, Rostam makan hati dengan sikap ayahnya.

Sesampai Mustaqim di Kuala Lumpur, dia terus mencari rumah Zarul. Hanya itu sahaja alamat yang ada padanya. Bila tiba dirumah Zarul, tiada orang di rumah itu. Mustaqim mengambil keputusan pergi ke masjid yang berhampiran untuk bermalam. Keesokan harinya, Mustaqim pergi lagi kerumah Zarul. Seorang pemuda yang dikenalinya di Masjid, memberitahunya yang rumah itu sudah 3 bulan kosong dan tak berpenghuni. Mustaqim menelepon Fiqa ( Jue Aziz) supaya mengambilnya. Sesampainya di rumah Fiqa, Mustaqim terus bertanyakan di mana Zarul berada. Fiqa memberitahu yang Zarul pergi outstation ke luar negara. Mustaqim meminta Fiqa tidak memberitahu adik-adiknya yang lain akan kedatangannya ke Kuala Lumpur. Tetapi Fiqa tidak sampai hati untuk meminggirkan adik-adiknya, Rostam dan Nisa (Nisa Dirr). Dalam diam dia beritahu mereka akan kedatangan ayah mereka di rumahnya.

Rostam datang ke rumah Fiqa dengan membawa kereta baru yang mahal. Tetapi dia tidak berapa mahir akan kereta itu. Sebenarnya kereta itu adalah kereta syarikat tempat dia bekerja. Dia hanyalah tukang cuci kereta di syarikat itu sahaja. Tetapi kerana nak tunjukkan pada ayahnya yang kehidupannya berjaya dan membuat ayahnya bangga pada dirinya, dia merancang sebegitu.

Mereka sampai di rumah Nisa. Rostam kagum dengan rumah yang dipinjam Nisa. Mereka berlakon seolah-olah rumah itu adalah rumah Nisa. Sebenarnya rumah itu adalah milik kawan Nisa. Rancangan Nisa diketahui jugak oleh Mustaqim selepas terdengar perbualan Nisa dengan pemilik rumah itu. Dan kehidupan Fiqa jugak diketahui Mustaqim apabila terdengar perbualan Nisa bersama kakaknya itu. Rupa-rupanya, Fiqa dalam proses penceraian bersama suaminya. Fiqa tidak memberitahu Mustaqim kerana Mustaqim begitu menyukai menantunya itu.

Mustaqim terasa hati dengan perbuatan anak-anaknya itu. Di kala itu, dia teringat akan arwah isterinya. Selama ini segala permasalahan, isterinya itu yang menyelesaikannya. Dia hanya mencari rezeki untuk mereka tanpa memperdulikan bagaimana anak-anaknya menjalani kehidupan mereka. Sedang dia mencari-cari jalan untuk ke setesan keretapi, Mustaqim telah di samun. Beg berisi ubat lelahnya dilarikan orang. Mustaqim tersandar akibat ditolak oleh peragut itu. Penyakit lelahnya datang. Dia berjalan mundar-mandir mencari bantuan. Akhirnya dia berjumpa dengan pengemis yang ditolongnya. Pengemis itu yang membantunya mendapatnya bantuan.

Setelah Mustaqim ditemui, anak-anaknya meminta maaf atas apa yang berlaku. Fiqa berterus-terang dengan ayahnya tentang kehidupannya. Apa yang dilakukan adalah kerana mengikut pesanan arwah ibunya yang tidak mahu anak-anaknya menceritakan segala masalah kepada ayahnya. Mustaqim mengakui kesalahannya. Rostam dan Nisa jugak meminta maaf dan menceritakan kehidupan mereka yang sebenarnya kepada ayahnya. Ayahnya tahu apa yang berlaku, membuatkan mereka dihimpit rasa bersalah.

Fiqa membuat keputusan untuk memberitahu ayahnya apa yang telah terjadi kepada Zarul. Sebenarnya Zarul sudah meninggal dunia kerana ditembak polis sewaktu merompak kedai emas. Sebab itu mereka sudah lama tidak pulang ke kampung kerana sibuk menguruskan jenazah Zarul. Lagipun mereka tidak tahu bagaimana mahu memberitahu Mustaqim akan kejadian yang menimpa Zarul kerana bimbang ayahnya tidak dapat menerima hakikat yang anak kesayangannya adalah seorang perompak.

Mustaqim berasa sedih mengenangkan kejadian yang menimpa Zarul, anak harapannya. Dia menziarahi pusara Zarul sebelum dia pulang ke kampung. Setibanya dia di kampung, dia duduk di sebuah kerusi di stesen keretapi itu. Seorang lelaki yang kurang siuman telah menegurnya tetapi dia hanya diam membisu. Tiba-tiba dia rebah di pangkuan lelaki itu. Lelaki itu jadi takut dan meninggalkannya terbaring di kerusi itu. Di tangannya ada alamat Zarul, anak kesayangannya. 

Para pelakon :
Jalaludin Hassan sebagai Mustaqim
Jue Aziz sebagai Fiqa
Ako Musthapa sebagai Zarul
Nissa Dirr sebagai Nisa

* Best gak jalan citenya ... tapi ada cakap-cakap yang mengatakan cite ni dicedok dari cite omputih 'Everybody's Fine' lakonan Robert De Niro .. hmm ... entah la .. couse aku tak tengok cite itu ... aku suka lakonan Jalaludin Hassan ... mantap lakonan dia ... memang best la dia belakon .. likeeee it ... 

No comments:

Post a Comment