"Mengapa hati ini semakin rindu tatkala menatap wajahmu?"
Sinopsis oleh : aznanie
Dirinya di benci dan dihina oleh neneknya namun Puteri Adalea menerima itu sebagai takdir hidupnya. Dia bersyukur kerana mama dan papanya serta adik beradiknya yang lain masih menerimanya. Walaupun dia hanya anak tiri mamanya. Darahnya tetap sama dengan papanya kerana dia anak kandung Zulkarnain dengan isteri yang lain.
Peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara sedikit sebanyak telah merawat hatinya. Tak sanggup dia berdepan dengan neneknya yang hanya mahu mencari silapnya sahaja. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari menjadi mangsa dengan alasan itu. Dan di sana lah dia bertemu dengan Tengku Iman Aqmal. Jejaka yang berjaya mencuri hatinya. Mengundah gulanakan perasaannya. Khabar angin yang mengatakan Aqmal lelaki kasanova sedikit sebanyak mengoyahkan perasaan cinta yang baru berputik di hati Alea. Di tambah dengan aksi romantik Aqmal bersama wanita-wanita cantik yang sentiasa di sisinya, membuatkan Alea semakin mempercayai gosip itu.
Aqmal bersungguh-sungguh meyakinkan Alea yang cintanya hanya untuk wanita itu, namun kata-katanya tidak seiring dengan perilakunya. Alea buntu. Perasaannya tetap degil untuk terus mencintai Aqmal walaupun hatinya sebu melihat kemesraan Aqmal bersama wanita lain.
Alea semakin tertekan dengan sikap Aqmal. Menyatakan cinta hanya padanya namun masih berkepit dengan wanita lain. Alea tak betah begitu. Segalanya harus di tamatkan. Dirinya tidak mahu menjadi mangsa lelaki kasanova itu. Di nyatakan niatnya untuk tidak lagi meneruskan hubungan bersama Aqmal. Aqmal yang kecewa terus-terusan meminta penjelasan. Alea hanya membiarkan permintaan Aqmal tergantung di situ.
Setelah berjaya mendapatkan segulung ijazah, Alea pulang ke Malaysia. Di lapangan terbang, dia terserempak dengan Aqmal dan ayahnya. Rupa-rupanya ayah Alea dan ayah Aqmal adalah rakan lama di England dahulu. Terputus hubungan setelah masing-masing tamat pengajian di sana. Alea semakin resah mengenangkan situasi itu. Takut kalau-kalau rahsia antaranya dengan Aqmal di ketahui keluarga.
Sebulan bergelar penganggur amat menyeksakan bagi Alea. Ditambah dengan cercaan serta hinaan dari nenek membuat Alea semakin tertekan. Atas bantuan Remy, Alea berjaya mendapatkan pekerjaan. Dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapat tahu yang syarikat tempatnya bekerja itu adalah milik Aqmal.
Masalah menimpa Alea apabila ayahnya meminta dia mempertimbangkan untuk menerima lamaran Aqmal. Ini kerana neneknya tidak mahu Misya adik Alea melangkah bendul. Menikah dulu dari kakaknya. Alea buntu. Hatinya tiada cinta untuk lelaki itu. Tapi benarkah tiada cinta untuk lelaki itu di hatinya kini? Dia buntu. Antara kebahagian keluarga dan kebahagiannya sendiri.
Selepas kejadian itu, Misya seakan menyisihkan diri darinya. Tiada kemesraan antara mereka lagi. Alea semakin tertekan. Perlukah dirinya berkorban untuk kebahagiaan orang lain? Kebahagian Misya? Mama dan papa jugak nenek? Bagaimana dengan dirinya sendiri? Adakah dia perlu berkorban sebagaimana mama berkorban menerima ibunya dulu? Alea pasrah.
Majlis berlangsung dengan gilang-gemilang. Dengan sekali lafaz Alea sah menjadi isteri Aqmal. Isteri kepada lelaki yang tidak diketahui setianya. Sungguh Alea meragui keikhlasan Aqmal menjadikan dia isteri sedangkan dalam hati Aqmal ada wanita lain yang bertahta.
Prasangka dan cemburu Alea makin menjadi-jadi apabila Sofea bersama keluarganya pulang ke Malaysia untuk meraikan majlis perkahwinannya. Aqmal dilihat begitu mesra melayani Sofea sehingga dirinya disisihkan. Pilunya hati. Tapi tiada tempat untuk mengadu. Dipendam semuanya dalam hati. Lalu air mata peneman setia saban malam.
Kesabaran sampai ke kemuncaknya. Alea mendesak Aqmal berterus-terang, siapa sofea di sisi Aqmal. Dengan berat hati Aqmal memberitahu yang Sofea menghidap penyakit barah perut dan tak kan dapat hidup lama. Alea terpaku mendengarnya. Simpati pada Sofea mulai melimpah ruah. Namun masih ada kesangsian lagi untuk membuka pintu hatinya buat jejaka bernama Aqmal ini kerana masih ada seorang wanita lagi yang mendapat tempat di hatinya selain Alea.
Aqmal tak putus asa mencuba untuk melembutkan hati Alea. Dan sedang mereka baru sahaja menikmati indahnya asmara datang dugaan menduga diri. Aqmal tersalah sangka dengan hubungan Alea bersama Haikal. Cemburu membutakan matanya. Ditambah dengan hasutan dari Amelia yang sememangnya menaruh perasaan padanya. Puas diyakini Alea yang dirinya tiada hubungan dengan Haikal namun tidak dipedulikan Aqmal. Amarahnya tidak dapat dibendung lagi. Alea ditinggalkan sementara waktu untuk mencari ketenangan diri. Alea tidak dapat menerima kenyataan dirinya ditinggalkan hingga memakan dirinya sendiri.
Akibat penanggungan beban perasaan, Alea pengsan ditempat kerjanya. Dia dimasukkan ke hospital. Aqmal yang sudah mulai sedar akan ketelanjuran sikapnya merayu agar Alea memaafkan dirinya. Alea berkeras untuk tidak memaafkan Aqmal namun mengenangkan dirinya mengandungkan anak Aqmal hatinya menjadi lembut. Hubungan mereka perlu diselamatkan demi anak yang sedang membesar dalam rahimnya kini.
Kehadiran Julea merobek kemesraan yang baru terbina. Alea diamuk cemburu. Dirinya tidak dapat menerima kehadiran wanita lain dalam diri suaminya. Namun apalah daya dirinya apabila Aqmal bersungguh-sungguh menerima kehadiran Julea dirumahnya. Alea memberontak dalam diam. Alasan kononnya ibu Julea baru meninggal dunia tidak dapat diterima oleh Alea. Kenapa harus pada Aqmal, Julea mengadu nasib? Kenapa tidak dengan lelaki lain? Kenapa? Kenapa? Tiap soalan Alea hanya bergema dalam hatinya sahaja. Aqmal bagai orang asing dalam hidupnya kini.
Alea harus menokhtahkan segalanya. Amarah Alea dihamburkan pada Julea. Tanpa sedar Aqmal menyaksikan segalanya. Aqmal yang berang dengan sikap Alea terus memarahinya. Alea mempertahankan dirinya. Kewajaran amarahnya di persoalkan. Dan Aqmal menceritakan padanya satu rahsia yang telah lama terpendam. Julea merupakan adik kandungnya. Ayahnya menikahi ibu Julea atas dasar simpati. Pernikahan itu di rahsiakan dari pengetahuan ibu Aqmal kerana ayahnya tidak mahu melukakan hati ibu Aqmal. Alea berasa bersalah dan simpatinya tumpah kepada Julea.
Aqmal menyedari yang Julea telah melarikan diri dari rumahnya apabila terdengar Aqmal dan Alea bertengkar kerana dirinya. Aqmal mencari Julea. Dan berita kehilangan Julea itu sampai ke pengetahuan ayahnya. Akhirnya mereka menjumpai Julea yang keseorangan di taman.
Akhirnya, setelah sekian lama memendam rahsia. Ayah Aqmal nekad untuk menceritakan perkara sebenar kepada isteri dan keluarganya yang lain. Rupa-rupanya ibu Aqmal telah lama mengetahui akan pernikahan suaminya dengan perempuan lain tetapi dipendamkan sahaja. Kerana dirasakan yang kasih sayang suaminya tidak pernah berubah malah makin bertambah kepadanya dan anak-anaknya.
Alea kagum dengan kesabaran dan ketabahan ibu mertuanya. Dia sanggup menerima Julea sebagai anaknya sendiri. Dan kejadian itu semakin mengukuhkan hubungan antaranya dengan Aqmal. Dan mereka hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Penulis : Ayu Emelda
Terbitan : Alaf 21
Point : 5/5
*Best novel ni .. aku baca satu hari jek ... tak boleh dilepaskan ... nak baca sampai ke penghujung cerita .. sampai makan pun bawak novel ni .. hehe .. memula baca memang geram jugak dengan Aqmal tu .. banyak girlfriend .. sian si Alea tu .. makan hati berulam jantung ... tapi rupa-rupanya seorang sepupu .. sorang lagik adik .. hmm ... dari cara garapan cerita macam betul-betul la si Aqmal ni buaya darat .. haha .. cerita ni banyak salah sangka jek .. padahal tak de apa pun .. semuanya disebabkan cemburu .. terlalu cemburu sebenarnya .. haha ..
No comments:
Post a Comment