Pages

Friday, April 22, 2011

Sinopsis Novel 'Kau Doktor Hatiku'

"Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Sayang kekasih hamba turutkan"

Sinopsis oleh : aznanie

Cinta Suraya pada Hisyam bukan mainan. Cinta yang tulus dan suci. Tapi ternyata Hisyam hanya mempergunakan Suraya untuk mendapatkan kemewahan. Perkenalan mereka bermula apabila Suraya dan keluarganya melancong ke Thailand dan Hisyam menjadi pemandu pelancong. Di sana Hisyam telah menyelamatkan Suraya dari disamun dan diperkosa oleh samseng jalanan. Sejak itulah mereka mula menyemai cinta. Walaupun ibu Suraya, Datin Rohani menghalang perhubungan itu tetapi atas dasar terhutang budi dia hanya berdiam diri.


Namun sikap Hisyam yang sememangnya suka berfoya-foya membuatkan Suraya tidak betah untuk meneruskan hubungan mereka. Dan akhirnya hubungan itu terputus jua. Suraya merana. Derita membalut hati. Dan di saat diri diselubungi duka, hadirnya Zaid Johan bagai mengubat lara. Zaid lelaki yang baik. Yang lurus dan tidak pernah mengambil kesempatan walaupun tahu yang dirinya dari keluarga berada.

Zaid Johan seorang lelaki yang baru tersedar dari dihanyutkan arus kehidupan. Hidup tanpa arah tujuan. Pulangnya bila embun jantan mulai membasahi bumi. Mentari meninggi Zaid masih berbungkus di bilik tidur. Bangun apabila perut berkeroncong minta di isi. Menjadi kutu berahak. Menjelajah dari satu pub ke satu pub. Mujur kesedaran datang walau agak terlewat. Dia tak kisah. Asalkan ada kemahuan untuk berubah. Dan dia bertuah apabila ibunya menyokong keputusannya untuk menyambung pelajaran yang terbengkalai.

Hisyam mulai sedar akan pentingnya Suraya dalam hidupnya. Tekad bertemu Suraya, menyatakan hasrat ingin kembali kepadanya. Namun Suraya menolak dengan menyatakan dirinya sudah mendapat penganti yang lebih baik dari dirinya. Dipaksa Zaid mengaku sebagai kekasihnya. Zaid yang kehairanan hanya mengikut sahaja drama arahan Suraya itu.

Hisyam merancang untuk mengugut Zaid. Bersama kawan-kawan samsengnya, dia membelasah Zaid. Mengugut supaya Zaid meninggalkan Suraya. Zaid yang sememangnya tiada perasaan dengan Suraya hanya bersetuju. Lagipun mengenangkan kerambit yang begitu hampir dengan kulit perutnya dan buku lima bergerigi yang dihala ke mukanya membuat gerun hatinya. Bagaimana mahu dihadap ibu ayahnya dengan keadaan dirinya yang teruk di belasah hanya kerana seorang perempuan. Zaid hanya menurut apabila Hisyam menyuruhnya menulis surat kepada Suraya untuk meminta perpisahan.

Suraya tahu itu rancangan Hisyam. Kerana dia mengenali Zaid. Zaid tak kan menulis surat sebegitu. Dia yakin benar sebab dia yang menyuruh Zaid menyamar sebagai kekasihnya. Lagipun antaranya dengan Zaid belum termaktub apa-apa hubungan yang serius pun. Datin Rohani terjumpa surat itu. Dan dia telah tersalah sangka terhadap Zaid.

Datin Rohani nekad berjumpa dengan Zaid. Dia mencabar Zaid menyediakan wang sebanyak sepuluh ribu ringgit dan harus di sediakan sebelum hujung tahun. Dan Datin Rohani meminta Zaid tidak memberitahu Suraya akan perjumpaan mereka dan tentang cabaran itu. Zaid menyetujuinya. Bukan kerana dia benar-benar menyintai Suraya. Hanya kerana maruah diri.

Hisyam berang dengan Zaid apabila mengetahui yang Zaid masih berhubungan dengan Suraya. Dia bersemuka dengan Zaid. Dan tanpa pengetahuan, Zaid bukanlah calang-calang orangnya. Ternyata Zaid lebih hebat bertarung dari dirinya. Kali ini giliran Hisyam pula yang tunduk dengan Zaid. Tapi Zaid bukanlah kejam orangnya. Dia mencabar Hisyam untuk mendapatkan Suraya secara gentelman. Dan Hisyam menyetujuinya.

Irwan, anak Dato' Haizam seorang lelaki yang berpewatakan mulia. Sama seperti ayahnya. Manja walaupun sudah menginjak alam dewasa. Dia terkejut apabila diberitahu yang Pak Mat, tukang kebun yang telah dianggap seperti ayahnya sendiri. Pak Mat sebenarnya menghidap penyakit barah paru-paru tetapi tidak diberitahu kepada anaknya, Zaid dan isterinya, Jah.

Zaid merancang untuk bekerja dengan Dato' Haizam untuk mengantikan ayahnya, Pak Mat yang telah berhenti kerja. Niatnya untuk mengumpul wang sepuluh ribu itu. Untuk menunaikan cabarannya dengan Datin Rohani. Dato' Haizam bersetuju mengambil Zaid bekerja dengannya memandangkan kesungguhan dan semangat Zaid yang tinggi itu.

Dato' Haizam dan Dato' Helmi berhasrat untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dengan menyatukan Suraya dengan Irwan. Irwan tidak menyetujuinya tapi tidak mahu menyakiti hati orang tuanya. Irwan sebenarnya menghidap AIDS melalui pemindahan darah akibat kemalangan jalanraya yang dialaminya dulu. Tetapi sebenarnya itu hanyalah rancangan Razman untuk mendapatkan Liza, teman wanita Irwan. Razman merancang sebegitu kerana perasaan cintanya pada Liza yang begitu mendalam. Hiduplah Irwan dengan mempercayai cerita dusta Razman itu tanpa mengetahui hakikat sebenarnya.

Irwan mendapat tahu yang Zaid dan Suraya sedang menjalinkan hubungan cinta. Jadi Irwan dengan rela hati menolong Zaid mendapatkan duit yang dicabar Datin Rohani itu. Zaid terharu dengan kebaikan Irwan itu. Hisyam pula mendapat tahu yang dirinya menghidap AIDS kerana sering berfoya-foya dengan perempuan di sempadan. Dia telah berjumpa dengan Zaid dan meminta pertolongan Zaid untuk memberi sepucuk surat kepada Suraya. Hisyam pulang ke kampungnya di Pantai Timur. Dan meninggal dunia di sana.

Zaid ke rumah Suraya. Dia terkejut apabila melihat Irwan ada di situ. Datin Rohani memberitahu yang Irwan dan Suraya akan bertunang. Zaid kecewa dan menyerahkan surat Hisyam dan terus berlalu. Dia tetap memberikan wang sepuluh ribu itu kepada Datin Rohani sebagai lambang cintanya pada Suraya. Irwan telah pergi ke London untuk mencari ketenangan diri dan berhasrat untuk tinggal di sana sehingga ke hujung hayatnya. Suraya pula melanjutkan pelajaran ke Amerika setelah menziarahi pusara Hisyam.

Penulis  : Ahadiat Akashah
Terbitan : Melati Publishers Sdn Bhd
Point  : 4/5

* Jalan cerita yang ringkas .. bahasa pun senang difahami .. novelnya nipis aje .. cuma 191 muka surat jek ... tak sampai setengah hari dah abis baca .. haha .. ni novel lama .. cetakan pertama tahun 1993 .. huhu .. aku tengah amik SPM masa ni .. tapi baru baca ari ni .. haha .. baru jumpa dalam timbunan buku-buku lama kat umah abah tadi .. Kak Yong yang beli kot novel ni .. sukee dengan watak Zaid .. memula liar pastu leh berubah jadi anak yang baik .. bukan senang nak berubah wooo .. dah lama tak sekolah .. pastu nak sekolah balik .. fuh .. perlukan azam yang tinggi tu .. Suraya tu .. anak orang kaya .. tak pernah menjadikan kekayaan yang dimilikinya untuk meninggi diri .. baik jek .. tapi jadi mangsa lelaki yang mempergunakan diri dia untuk mendapatkan kemewahan .. sian dia .. yang Irwan tu lagik la kesian ... kena tipu dengan kawan baik sendiri .. kononnya dia kena AIDS padahal rancangan dia nak rampas awek Irwan .. jahat betul .. tak berperikemanusian langsung .. tau pikir diri sendiri jek ... tu la .. pengajarannya .. jangan mudah percaya walaupun dengan kawan baik sendiri .. kawan baik pun boleh jadi musuh kalau dah termakan dengan hasutan syaitan .. hmm .. tragik betul ...

No comments:

Post a Comment