Layan cite hindustan petang sabtu ... cite Ahista Ahista tajuk dia ... filem ni dah lama ditayangkan .. sekitar tahun 2006 lagi ... guna pelakon yang kureng meletup kat sini ler ... kat Bollywood sana tak tau ler meletup ke idak ... hehe ... kisah seorang lelaki yang hidupnya tak punya apa-apa tapi lepas jumpa seorang awek terus ada semangat untuk memajukan diri ... dari kerja amik upah jadi saksi kahwin terus jadi penyelia kawasan sebuah bank ... haaaa ... gituuu ... dasyat penangan cinta ni kannn ... hehe .. jom layan sinopsis filem Ahista Ahista ni ...
Sinopsis oleh : aznanie
Ankush Ramdev, seorang lelaki yang kerjanya menjadi saksi upahan bagi pasangan pengantin yang mahu bernikah tanpa restu keluarga. Dengan upah sebanyak Rs200 itulah pekerjaannya. Walaupun gajinya kecil tetapi hatinya gembira kerana dia dikelilingi oleh kawan-kawan yang senasib dengannya.
Takdir menemukan dia dengan Megha di hadapan pejabat pendaftaran perkahwinan. Dari pagi sehingga ke petang, pasangan Megha, Dhiraj tidak muncul-muncul. Megha tidak tahu ke mana mahu pergi kerana dia tidak ada keluarga atau saudara mara di bandar itu.
Ankush menolong Megha kerana berasa kasihan dengan gadis itu. Bermacam-macam cara dia lakukan untuk membantu Megha dan akhirnya dia berjaya mendapatkan pekerjaan untuk Megha di rumah orang-orang tua di bandar itu tetapi mereka mahukan Rs 10 ribu sebagai bayaran sekiranya Megha mahu kerja dan menetap di situ. Megha menolak kerana tidak mahu menyusahkan Ankush tetapi Ankush memaksa Megha menerimanya.
Ankush meminta bantuan rakannya, Zulfi tetapi kantoi dengan ibunya. Ankush di paksa memulangkan wang itu kembali. Dalam keadaan terdesak, Ankush mendapat peluang pekerjaan sebagai agen sebuah bank. Apa yang perlu dia lakukan adalah mencari pelanggan untuk membuka akaun di bank tersebut. Dan dia mendapat upah yang lebih banyak dari pekerjaan lamanya dulu.
Ankush bertambah seronok dengan kerja barunya itu. Baru dia sedar bertapa dia boleh memajukan dirinya lagi. Dia beranggapan semua itu adalah kerana kemunculan Megha dalam hidupnya. Megha adalah sumber inspirasinya.
Megha mahukan Ankush berjaya dalam hidupnya. Dia menyarankan supaya Ankush memohon jawatan Penyelia Kawasan di bank itu memandangkan dia memperolehi pelanggan yang ramai sekali di kawasan itu. Ankush bersetuju dan memohonnya tetapi pegawai atasan di bank itu mahukan seseorang yang fasih berbahasa Inggris. Ankush meminta pegawai atasan itu memberikannya waktu untuk dia mempelajari bahasa itu dan yakin dengan kemampuan dirinya. Lagipun tanpa berbahasa Inggeris pun dia mampu mencari pelanggan untuk bank itu. Pegawai atasan itu bersetuju dan menerima permohonan Ankush. Ankush berasa sungguh gembira dan memberitahu perkara itu kepada Megha. Megha bersetuju untuk mengajar Ankush bahasa Inggeris memandangkan dirinya berpengetahuan dalam bahasa itu.
Kedatangan Dhiraj menggusarkan Ankush. Dia tidak mahu kehilangan Megha kerana dia sudah jatuh cinta pada gadis itu. Mentelah lagi Megha baru sahaja menerima cintanya.
Ankush berpura-pura tidak mengenali Megha dan membuat rancangan supaya Dhiraj pergi dari situ. Bermacam-macam cara dia mencuba tetapi semuanya gagal. Kerana cinta dia sanggup menipu Dhiraj dengan membuat sijil kematian palsu. Dhiraj begitu kecewa apabila mengetahui yang Megha telah mati.
Kawan Ankush yang tidak puas hati denganya telah menunjukkan Dhiraj tempat tinggal Megha kepada Dhiraj. Megha yang pada mulanya marah apabila melihat Dhiraj datang akhirnya lembut hati apabila mengetahui apa yang terjadi kepada Dhiraj. Dhiraj bukan menipu dirinya tetapi telah ditangkap dan dipenjarakan kerana salah faham. Dhiraj begitu marah dengan Ankush kerana menipu dirinya tetapi Megha faham kenapa Ankush melakukan itu semua. Dia berasa kasihan kepada Ankush. Dia rasa bersalah kerana Ankush sudah banyak berkorban untuk dirinya. Dia tidak sampai hati untuk menolak Ankush tetapi cintanya masih pada Dhiraj.
Megha menemui Ankush di hadapan pejabat pendaftaran perkahwinan. Kebetulan mereka merancang untuk berkahwin hari itu. Ankush akhirnya menyedari yang Megha tidak mencintai dirinya. Megha juga mengakui tidak boleh hidup tanpa Dhiraj. Akhirnya Ankush menjadi saksi upahan perkahwinan Megha dengan Dhiraj. Setelah mengucapkan tahniah, dengan selamba Ankush meminta Rs200 sebagai upah menjadi saksi perkahwinan itu. Tamat ...
Para pelakon :
Abhay Deol sebagai Ankush Ramdev
Soha Ali Khan sebagai Megha
Shayan Munshi sebagai Dhiraj
* Best jugak .. buleh layan ... kesian kat Ankush ... tapi tak pe ... dapat jugak dia pekerjaan yang lebih terjamin dari jadi saksi upahan tu ... hehe ... Ankush tu sebenarnya bertepuk sebelah tangan jek ... Megha tu masih cintakan Dhiraj ... bukan senang nak lupa .. lama diaorang bercinta ... sampai ajak kahwin lari lagi ... hehe ... tak pe la kann .. Ankush tu hensem .. lebih hensem dari Dhiraj tu ... huhu ... layannn ...
No comments:
Post a Comment