Episod 4
Sinopsis oleh : aznanie
Sambungan Episod 3 ...
Gim Eun Oh mencari Arang. Dia ke rumah bomoh Bang Ool. Didapati tiada sesiapa di situ. Tiba-tiba dia terlihat kelibat Bang Ool yang terburu-buru belari menuju ke tempat penyembahannya. Gim Eun Oh menegur Bang Ool. Bang Ool yang sedang cemas itu terkejut dengan teguran itu. Apabila melihat Gim Eun Oh barulah dia berasa lega. Gim Eun Oh bertanya tentang Arang kepadanya. Bang Ool memberitahu yang Arang sudah pergi ke dunia selepas kematian untuk bertemu dengan Jade Emperor. Bang Ool menyifatkan Arang adalah seorang hantu yang gila kerana sanggup mengugut pengambil roh semata-mata untuk bertemu dengan Jade Emperor. Gim Eun Oh terkejut dengan cerita Bang Ool itu. Dia bagai tidak percaya yang Arang sudah tiada lagi di situ.
Arang dan Mu Yeong berjalan menuju ke Underworld. Arang berkata kepada Mu Yeong yang tindakannya tadi adalah kerana dia terdesak. Dia ingin sangat bertemu dengan Jade Emperor. Dia ingin bertanya sesuatu kepada Jade Emperor. Arang bertanya kepada Mu Yeong adakah pengambil roh boleh mati. Mu Yeong berkata tiada apa yang kekal di dunia ini. Arang terkejut dengan penjelasan Mu Yeong itu. Dia bertanya jikalau Mu Yeong mati, kemanakah rohnya akan pergi. Mu Yeong berkata mereka tidak mempunyai roh. Mereka cuma akan hilang sahaja.
Setelah sekian lama berjalan, mereka sampai ke sebuah sungai. Sungai itu adalah sempadan ke Underworld. Sekali melepasi sungai itu, dia tidak boleh berpatah balik. Mu Yeong bertanya samada Arang menyesal atau tidak. Arang teringat yang dia belum mengucapkan selamat tinggal kepada Gim Eun Oh tetapi dia sudah bertekad untuk bertemu dengan Jade Emperor. Dia tidak akan mengalah. Tiba-tiba sebuah perahu datang menghampiri mereka. Mu Yeong terus masuk ke dalam perahu itu. Arang teragak-agak untuk masuk. Setelah Arang duduk di dalam perahu itu, ia pun bergerak ke hadapan. Tidak perlu pendayung atau enjin ataupun layar. Perahu itu bergerak dengan sendirinya. Arang menoleh ke belakang. Melihat dunia manusia yang ditinggalkannya. Perjalanan yang panjang dan tenang itu bertukar menjadi tegang apabila Arang melihat dihadapannya terbentang air terjun. Perahu itu meluncur laju ke arah air terjun itu. Arang mulai ketakutan. Dia melihat banyak lagi perahu yang seperti di naikinya jatuh sama di dalam air terjun itu. Arang memejamkan matanya di saat perahu itu menjunam di dalam air terjun itu. Arang dapat merasakan yang dirinya berasa di dalam air. Seketika kemudian dia merasakan yang dirinya terbang dan tersedar apabila namanya di panggil seseorang. Dia membuka matanya. Dia mendapati Mu Yeong berada di sisinya. Dia berdiri di hadapan sebuah gua. Di situ terdapat penjaga gua itu dengan keadaan yang sungguh tidak di duga. Arang menoleh kepada Mu Yeong dan mengatakan yang Mu Yeong telah menipunya. Mu Yeong hanya mendiamkan diri sahaja. Penjaga gua itu terbang ke arah Arang dan melihat ke dalam mata Arang dengan jarak yang terlalu dekat membuatkan Arang terkejut dengan tindakannya itu.
Bang Ool menerangkan kepada Gim Eun Oh yang pastinya Arang sudah berada di neraka sekarang ini di atas kesalahan yang dilakukannya tadi. Tidak termasuk kesalahan di waktu hidupnya. Gim Eun Oh mempersoalkan di mana Bang Ool tahu semua itu. Bang Ool menegaskan yang semua itu terdapat di dalam buku ajaran yang diwarisi dari keturunannya. Gim Eun Oh bertanya apa yang perlu mereka sekarang ini. Bang Ool berkata sebagai manusia tidak ada apa yang dapat mereka buat. Bang Ool menerangkan keadaan di dalam neraka itu. Apa yang dilalui di dalam neraka. Siksaan yang tidak dapat digambarkan. Gim Eun Oh berhasrat mahu mengantikan tempat Arang tetapi Bang Ool menyatakan yang ini bukan boleh di tukar ganti. Setiap orang akan merasai semua itu memandangkan semua orang akan mati suatu hari nanti. Gim Eun Oh sedih apabila mendengar kata-kata dari Bang Ool itu.
Do Soe ditugaskan menjaga mayat Lee Seo Rim. Dia duduk di luar bilik itu sambil sesekali menjengah ke dalam. Dia mulai berasa simpati dengan Lee Seo Rim yang tidak mempunyai saudara mara itu. Mentelah Lee Seo Rim mati dalam usia yang terlalu muda. Ketiga-tiga pegawai kerajaan itu yang merupakan orang Lord Choe memberitahu di mana mayat Lee Seo Rim kepada orang suruhan Lord Choe yang mahu mengambil mayatnya. Dol Soe yang duduk di hadapan bilik itu terkejut melihat kedatangan mereka. Dia berusaha melindungi mayat Lee Seo Rim seperti yang diarahkan oleh tuannya, Gim Eun Oh. Orang-orang Lord Choe membelasah Dol Soe tetapi Do Soe bukan calang-calang orang. Dol Soe mempertahankan dirinya dengan segenap kekuatan yang dimilikinya. Orang suruhan Lord Choe mula hilang kesabaran melihat kedegilan Dol Soe itu. Dia mengeluarkan pisau dan mahu menikam Dol Soe. Nasib Dol Soe baik kerana dia menepis dengan menggunakan gulungan jerami. Apabila orang suruhan Dol Soe itu mahu menikam Dol Soe sekali lagi tiba-tiba tubuhnya terdorong ke hadapan. Rupa-rupanya dia dibaling dengan kasut oleh Gim Eun Oh yang kebetulan pulang ke rumah ketika itu. Setelah mendapat kembali kasutnya dia berjalan ke arah orang suruhan Lord Choe itu sambil bertanya adakah dia mahu berlawan dengannya. Orang suruhan Lord Choe itu bersedia untuk berlawan dengan Gim Eun Oh tetapi Gim Eun Oh hanya berkata sekiranya sesuatu terjadi kepadanya ayahnya yang merupakan bekas perdana menteri Gim Eun Bul tidak akan melepaskannya walaupun dia orang suruhan Lord Choe. Ketiga-tiga pegawai kerajaan itu menarik orang suruhan Lord Choe itu supaya meninggalkan pejabat magistrate itu dengan segera. Setelah keadaan kembali aman, Dol Soe menangis di bahu Gim Eun Oh. Gim Eun Oh berkata yang dia bangga dengan kesetiaan dan kesanggupan Dol Soe menjalankan tugas yang diberikan kepadanya.
Lord Choe begitu marah apabila diberitahu yang mereka gagal mengambil mayat Lee Seo Rim dari pejabat magistrate itu. Lord Choe membaling batu ke arah kepala orang suruhannya itu. Ju Wal ternampak orang suruhan ayahnya itu keluar dari bilik ayahnya dengan kepala yang berdarah. Tahulah dia yang ayahnya gagal mendapatkan mayat Lee Seo Rim dari Magistrate Gim Eun Oh.
Gim Eun Oh menatap jasad Lee Seo Rim. Dia bertanya apa yang harus dia lakukan padanya. Dia buntu memikirkannya. Pada keesokkan harinya, Gim Eun Oh menyuruh ketiga-tiga pegawai kerajaannya bersedia melakukan upacara pengkebumian untuk mayat Lee Seo Rim. Dan juga di suruh mengadakan upacara melihat mayat Lee Seo Rim buat kali terakhir. Pada mulanya ketiga-tiga pegawai kerajaan itu mahu membantah kerana pada mereka Lee Seo Rim tidak mempunyai saudara mara jadi tiada siapa yang mahu datang melihat mayatnya tetapi Gim Eun Oh menyuruh menyebarkan berita itu kepada orang kampung supaya memberikan penghormatan terakhir kepada Lee Seo Rim dan meminta maaf kerana menyebarkan berita palsu tentangnya. Lord Choe mahu berjumpa dengan Gim Eun Oh tetapi terhenti apabila melihat pegawai yang bekerja di pejabat magistrate itu datang berjumpanya. Dia mahu memberitahu yang Gim Eun Oh mahu mengebumikan mayat Lee Seo Rim. Lord Choe bagai tidak percaya dengan berita itu tetapi berasa lega dengan berita itu.
Setelah 2 hari berlalu. Seorang pun tiada menziarahi mayat dan memberi penghormatan terakhir kepadanya. Gim Eun Oh berasa pelik dengan keadaan orang-orang di kampung itu yang sangat takutkan Lord Choe. Dia berasa lega kerana Arang tidak sempat bertemu dengan tunangnya, Ju Wal kerana dia tidak perlu tahu yang Ju Wal tidak pernah mempunyai perasaan dan tidak pernah mengenalinya. Gim Eun Oh bertanya samada benarkah Arang berada di neraka sekarang ini.
Persiapan untuk pengebumian mayat Lee Seo Rim giat dilakukan. Hanya pengasuh Lee Seo Rim sahaja yang datang memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Gim Eun Oh mengambil keputusan untuk pergi dari situ setelah selesai urusan pengebumian dijalankan. Gim Eun Oh bersedia untuk menjalankan urusan pengebumian tiba-tiba dia terlihat Arang berdiri di hadapannya. Mulutnya bagai terkunci. Apabila Dol Soe menegur Arang barulah Gim Eun Oh tersedar dan berasa hairan bagaimana Dol Soe buleh melihat Arang. Apabila Arang memberitahu yang dia sudah menjadi manusia, Gim Eun Oh menarik Arang masuk ke dalam biliknya. Dia mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi. Dia mahu Arang menceritakan dengan lebih jelas apa yang terjadi sepanjang pemergian Arang.
Setelah penjaga di gua batu itu melihat ke dalam mata Arang, tiba-tiba dia terbang ke hadapan dan hilang di dalam gelap. Seketika kemudian suatu cahaya yang menyilaukan mata terpancar di dalam gua itu dan cahaya itu semakin terang. Mu Yeong berjalan ke arah cahaya itu. Arang mengikuti langkah Mu Yeong itu sehingga apabila Arang membuka matanya, dia sedang terbang di atas awan dan tangannya di pegang oleh Mu Yeong. Arang kegayatan dengan keadaan itu. Dia takut sekiranya dirinya jatuh ke bawah. Sehinggalah tiba di seketul batu. Arang mendarat di batu yang bersebelahan dengan Mu Yeong. Arang terlihat 2 orang lelaki di hadapannya. Jade Emperor bertanya kenapa Arang mahu bertemu dengannya. Arang memanggil nama Jade Emperor tetapi matanya memandang King Yama. King Yama menjeling kepada Jade Emperor. Jade Emperor menyuruh Arang memandangnya. Arang terkejut melihat Jade Emperor itu muda dan kacak orangnya. Bila Arang menyebut si tua penipu, Jade Emperor menyuruh Arang melupakan perkatan itu kerana adakah rupanya terlalu tua dan adakah dia kelihatan seperti penipu. Arang berkata biarpun rupanya nampak muda tetapi Jade Emperor sudah tua sebenarnya. Mu Yeong menegurnya supaya bersikap sopan di hadapan King Yama dan Jade Emperor. Arang mahu melawan kata-kata Mu Yeong itu tetapi terbantut setelah Jade Emperor menyuruh Arang berterus terang akan tujuannya mahu bertemu dengannya. Arang mahu bertanya kenapa dia mati dan berada di tempat yang sangat kotor begitu. Jade Emperor terkejut dan berkata oh betul kah. Perlakuannya itu membuatkan Arang terkejut. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. Masakan Jade Emperor tidak mengetahui apa yang terjadi kepadanya. Jade Emperor berkata bukan semua perkara berada di dalam pengetahuannya walaupun dia seorang Jade Emperor. Banyak benda yang harus dilakukan olehnya. Bukan fokus kepada sesuatu perkara sahaja. Tetapi jika Arang begitu terdesak untuk mengetahui apakah punca kematiannya, Jade Emperor harus berbincang dahulu King Yama. Jade Emperor mahu berbisik kepada King Yama tetapi King Yama menolak Jade Emperor. Dia memandang Jade Emperor dan berkata semuanya sudah dibincangkan, kenapa Jade Emperor mahu berlakon lagi. King Yama meminta Jade Emperor mengotakan janji yang dibuat kepadanya itu.
Sepeninggalan Gim Eun Oh, Arang teringat kepada biliknya. Dia bergegas ke sana. Di sana dia melihat barang-barang miliknya dahulu. Dia melihat cermin di hadapannya. Dia dapat melihat dirinya. Dia gembira kerana menjadi manusia semula. Arang teringat kata-kata Jade Emperor yang mereka memberikannya masa selama 3 bulan iaitu 3 kali bulan mengambang penuh untuk mencari jawapan kepada persoalannya. Jika dia gagal mencari jawapan kepada persoalannya itu, dia akan dihantar terus ke neraka. Arang bertanya bagaimana dia dapat mengetahui yang jawapannya itu betul atau tidak. Jade Emperor memberitahunya yang dia akan membunyikan lonceng sekiranya Arang dapat mencari jawapan dengan betul. Jade Emperor menunjukkan lonceng di tangannya. Arang ketawa melihat lonceng itu seraya berkata bagaimana dia mahu mendengar bunyi lonceng sekecil itu. Jade Emperor menghulurkan lonceng itu dan lonceng itu bertukar menjadi besar dan mengeluarkan bunyi yang bergema. Jade Emperor memberitahunya yang apabila Arang bertemu dengan orang yang menyebabkan kematiannya maka lonceng itu akan berbunyi. King Yama memberitahunya yang dia sudah pun memilih neraka untuk Arang kerana dia yakin yang Arang pasti tidak akan dapat menyelesaikan persoalannya itu. Arang menjawab dengan berani, sekiranya dia berjaya mencari siapa pembunuhnya, adalah dia akan dibenarkan berada di syurga. King Yama berpandangan dengan Jade Emperor. Jade Emperor tersenyum memandang Arang dan berkata sekiranya masanya tiba, dia akan mempertimbangkan permintaan Arang itu. Arang geram dengan kedua-dua si tua penipu itu. Padanya, usahkan 3 bulan, sebulan sahaja sudah cukup untuknya mencari siapa pembunuhnya. Dia bukanlah Lee Seo Rim yang lemah dahulu. Dia pasti akan dapat membuatkan lonceng itu berbunyi secepat mungkin.
King Yama tahu yang mencari kebenaran tentang kematian Arang itu bukanlah tujuan utama mereka menghantar Arang kembali ke dunia penghidupan. Ada perkara lain yang mereka mahu selesaikan dan perkara itu berkait juga dengan Arang. King Yama musykil samada strategi Jade Emperor itu akan berjaya atau tidak. Jade Emperor berkata sekurang-kurangnya dia mencuba. King Yama beranggapan yang Jade Emperor mahu menambah dayang di syurga tetapi Jade Emperor hanya mendiamkan diri. King Yama begitu pasti yang Arang pasti akan ke neraka dan Jade Emperor akan kalah dalam pertaruhan mereka. King Yama mengingatkan Jade Emperor supaya mengotakan janjinya. Jade Emperor memandang King Yama dan menenangkannya yang dia pasti mengotakan janjinya kepada King Yama. Jade Emperor bertanya apakah yang King Yama mahukan sekiranya King Yama memenangi pertaruhan itu. King Yama mahukan tubuh Jade Emperor sekiranya dia menang pertaruhan itu. Jade Emperor terkejut dengan permintaan King Yama itu. King Yama menambah Jade Emperor akan memberikan tubuh kepadanya dan King Yama akan memberikan tubuhnya pula kepada Jade Emperor. Maknanya mereka akan bertukar tubuh. Jade Emperor terkejut dengam permintaan King Yama itu. Jade Emperor terpaksa bersetuju dan giliran dia pula bertanya, apakah yang akan King Yama berikan padanya sekiranya dia memenangi pertaruhan itu. King Yama mahukan Jade Emperor meletakkan buah caturnya di tempat yang memang dijangka oleh nya tetapi Jade Emperor bagai dapat membaca fikiran King Yama itu. Dia seperti memain-mainkan buah caturnya itu. Apabila Jade Emperor meletakkan buah caturnya di tempat itu, King Yama ketawa gembira kerana dia telah memenangi permainan itu. Jade Emperor berkata sekiranya King Yama memenangi permainan mereka itu pasti ada kematian beramai-ramai. Jade Emperor mahu tahu apakah akan ada peperangan atau pemberontakkan. King Yama memberitahunya sekiranya ada kematian, akan ada ruang untuk kelahiran yang baru. Jade Emperor bersetuju dengan kata-kata King Yama itu.
Ju Wal serba salah samada mahu berjumpa dengan seorang perempuan yang dipanggil Lady yang tinggal di belakang rumahnya itu atau tidak. Dia mahu bertanyakan sesuatu kepada Lady itu. Ju Wal sudah sampai ke pintu bilik yang menempatkan Lady itu tetapi dia tidak jadi masuk ke dalam bilik itu. Akhirnya dia pergi dari situ tanpa berjumpa dengannya.
Orang suruhan Lord Choe memanggil penduduk kampung, kononnya mahu memberikan makanan kepada mereka. Padahal mahu membuang makanan-makanan yang sudah busuk dan tidak boleh dimakan oleh mereka lagi. Penduduk kampung tahu yang makanan itu sudah busuk dan tidak boleh di makan tetapi mereka terpaksa mengambil juga kerana takut akan diapa-apakan oleh Lord Choe. Orang suruhannya memberitahu tentang pemberian-pemberian barangan dari mereka yang mahukan perlindungan Lord Choe. Lee Bang iaitu pegawai kerajaan memberitahu Lord Choe yang Gim Eun Oh akan pergi dari situ selepas urusan pengebumian Lee Seo Rim dilakukan. Lord Choe gembira dengan berita itu.
Lord Choe memberitahu Ju Wal yang bulan akan mengambang penuh pada hari esok. Apakah yang akan Ju Wal lakukan. Sekiranya Ju Wal gagal mencari gadis untuk dikorbankan, pasti Lady tidak akan berdiam diri. Ju Wal berkata supaya Lord Choe tidak perlu bimbang tentang itu. Tahulah dia apa yang perlu dia lakukan. Lord Choe memberitahunya yang hari itu adalah hari pengebumian gadis yang bertunang dengannya dahulu. Lord Choe menyuruh Ju Wal pergi ke situ. Manalah tau boleh berjumpa dengan mangsanya di situ. Ju Wal naik angin dengan kata-kata Lord Choe itu. Dia menyuruh Lord Choe membeli minuman dan keranda kerana yang mati itu adalah bakal menantunya. Ju Wal terus berlalu meninggalkan Lord Choe yang menahan rasa marah terhadapnya.
Para pelakon :
Lee
Joon Ki sebagai Magistrate Gim Eun Oh
Sin
Min Ah sebagai Arang / Lee Seo Rim
Yeon
Woo Jin sebagai Joo Wal
Kwon
O Joong sebagai Dol Seo
Hwang
Bo Ra sebagai Bang Ool
Han
Jeong Soo sebagai Mu Yeong
Yoo
Seung Ho sebagai Jade Emperor
Park
Joon Gyoo sebagai King Yama
* Dalam episod ni Arang jumpa dengan King Of Heaven .... suke suasana yang digambarkan kat heaven (kononnya) ... dengan asap ... dengan bunga-bunga ... suasana macam nyaman dan tenang jek ... lepas Arang jumpa King Of Heaven tu, dia jadi manusia semula ... untuk dia cari jawapan kepada setiap soalan dia ... tapi dia dapat duduk kat dunia manusia selama 3 bulan aje ... lepas tu, kalau dia gagal cari pembunuh tu, dia kena masuk neraka ... woooo ... dasyat .... lepas ni bermula lah pencarian pembunuh Arang tu ... so .. layan jek la kkk ... hehe
No comments:
Post a Comment