Pages

Sunday, November 20, 2011

Sinopsis Novel 'Cinta Yang Ku Rasa'

"Usah biarkan kasih ku sunyi menunggu seorang diri"

Sinopsis oleh : aznanie

Cinta yang terbit di hati Laila Nabila hanya untuk seorang jejaka iaitu Mir Shariman. Namun rasa cinta hanya mampu berlegar dalam anganannya sahaja. Tak mampu diucap bila bersua muka. Walau di alam maya sekalipun malunya tidak terperi. Sudahnya dia hanya memendam rasa.

Percutian bersama ahli keluarga ke Turki menemukan mereka. Dari saling bertatapan mereka kembali mesra. Namun kemesraan yang dipamerkan Mir Shariman terhadap gadis lain yang sama-sama mengikut percutian mereka itu sedikit sebanyak mengoyahkan keyakinan Laila Nabila untuk menyatakan hasrat hatinya. Dirinya merintih sedih setiap kali terpandang kemesraan mereka.

Laila Nabila bagaikan tidak percaya apabila Mir Shariman akhirnya menyatakan rahsia hatinya. Dan tanpa banyak bicara Laila Nabila menyambut huluran kasih Mir Shariman. Bahagia mengulit diri.

Namun bahagia tidak berpanjangan. Setelah Mir Shariman terlibat dalam kemalangan, semuanya berubah. Mir Shariman bagaikan menghilang darinya. Sms dan email yang dihantar tidak berjawab. Setiap panggilan yang dibuat hanya menghasilkan kekecewaan. Akhirnya Laila Nabila lelah sendiri. membiarkan cintanya tergantung tanpa kata putus dari Mir Shariman.

Hatinya lara. Jiwanya kosong lantaran sikap Mir Shariman yang menyepi. Hadirnya Raid bukan penganti Mir Shariman. Laila Nabila tidak mampu memberi, walau sedikit ruang untuk Raid bertapak di hatinya. Namun kerana kesepian yang mendatang, Laila Nabila seakan terhibur dengan kehadiran Raid yang setia menemaninya. Kepada Raid, diberitahu hatinya sudah dimiliki dan menggangap Raid sekadar kawan sahaja.

Akhirnya pengajian  Laila Nabila di Australia tamat. Kepulangannya hanya disambut adik kembarnya. Kehairanan melanda diri apabila mendapati kereta dan rumah keluarganya sudah tidak sama seperti dulu. Setelah dijelaskan keadaan sebenar, barulah Laila Nabila mengerti. Perasaan rendah diri terus menguasai diri. Simpati dan kasihan pada ibubapanya melimpah ruah. Untuk mengurangkan beban ayahnya, ibunya turut membantu dengan menjadi pengasuh kepada anak jiran mereka. Laila Nabila nekad mencari pekerjaan untuk membantu meringankan beban ayahnya.

Namun mencari pekerjaan yang sesuai dengannya bukan lah suatu yang mudah. Pertolongan Uncle Sufian iaitu ayah Mir Shariman amat dihargainya walaupun dia bakal berjauhan dengan ibubapanya kerana bertugas di luar Kuala Lumpur.

Pertemuan dengan Mir Shariman membuka rahsia yang tersimpan. Laila Nabila tidak percaya pada kenyataan di hadapannya. Mir Shariman dihadapannya kini berlainan sekali dengan Mir Shariman yang dikenalinya dulu. Mir Shariman berubah sejak di timpa kemalangan. Kecederaan tulang belakangnya mengakibatkan kedua belah kakinya tidak dapat berfungsi seperti biasa. Mir Shariman kini memerlukan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Sayunya hati Laila Nabila bila melihat orang kesayangannya berkeadaan begitu. Namun, Mir Shairman tidak mahu simpati Laila Nabila. Dia tidak mahu Laila Nabila memandangnya seperti orang yang tidak mempunyai upaya diri.

Sikap Mir Shariman yang melayannya dengan acuh tak acuh dan kadang kala menjengkelkan hatinya membuat hubungan mereka tidak mesra seperti dulu. Laila Nabila juga tidak menginginkan keadaan mereka menjadi seperti dulu. Dia sedar, walaupun Mir Shariman tidak sempurna seperti dahulu tetapi dia tetap masih mempunyai kedudukan dan kekayaan tetapi dirinya bukan seperti dulu lagi. Dia ibarat burung pipit dan Mir Shariman ibarat burung enggang. Masakan burung pipit boleh seiringan terbang bersama burung enggang namun, hatinya bagai tidak memahami apa yang akal mahukan. Hatinya masih terus merindu dan mengharap belaian kasih Mir Shariman.

Pertukarannya ke Kuala Lumpur bagai menjerat dirinya. Mir Shariman bagai mahu mengurung dirinya dari terbang bebas di luar sana. Setiap pergerakannya diawasi. Laila Nabila terpaksa berkompromi dengan keadaan itu demi mencari rezeki. Sekurang-kurangnya dia dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh ayahnya.

Rombongan merisik dari pihak Mir Shariman mengelirukannya. Sebelum jawapan diberi, Laila Nabila bersemuka dan meminta penjelasan yang sewajarnya. Setelah di jelaskan duduk perkara sebenar, akhirnya Laila Nabila bersedia  menerima lamaran Mir Shariman.

Hari bahagia mereka berlangsung dalam suasana yang meriah. Kegusaran ibu Laila Nabila terjawab kini setelah Laila Nabila disahkan hamil setelah beberapa bulan hari bahagia mereka. Keghairahan untuk menyambut orang baru dapat kehidupan mereka dikongsi bersama keluarga.

Namun kemunculan Raid sebagai kekasih Aima, adik Mir Shariman bagai membuka sejarah silam yang tidak pernah Laila Nabila ceritakan pada suaminya. Penemuan sekeping kad pemberian Raid di dalam kotak lama Laila Nabila mencetuskan pertelingkahan antaranya dengan Mir Shariman. Mir Shariman mulai beranggapan yang bukan-bukan tentang hubungannya dengan Raid. Puas Laila Nabila menerangkan keadaan sebenar. Mir Shariman bagai tidak sepenuh hati mempercayai kata-kata Laila Nabila itu.

Pertemuan dengan Raid di hospital makin mencetuskan berang Mir Shariman. Dalam usaha mempertahan diri, Laila Nabila terjatuh dan perutnya semakin senak. Dia dibawa ke hospital. Laila Nabila selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Nur Raudhah. Dan lebih mengembirakan lagi Mir Shariman sudah boleh berjalan. Syukur ke hadrat ilahi kerana mengurniakan kebahagiaan yang melimpah ruah kepada mereka. Tamat ...

Penulis   : Anis Ayuni
Terbitan : Alaf 21
Point      : 4/5

*Ambil masa jugak nak menghabiskan novel ni .. hehe ... walaupun jalan ceritanya straight to the point tapi banyak penerangan tempat-tempat pelancongan yang tidak mudah difahami .. sepertinya membaca buku sejarah pun ada ... haha ... geram jek tengok si Mir Shariman tu .. konon-konon nak jadi 'mr.cool'padahal nak mengorat si Laila Nabila balik .. entah apa-apa ntah .. haha ...   

No comments:

Post a Comment