Pages

Wednesday, April 13, 2011

Sinopsis Novel 'Ratu Hatiku'

"Kau barangkali tidak sedar tatkala gerimis membasahi hati kita. Namun aku merasa tempiasnya .. sehingga basah hatiku kerana mencintaimu sebegitu lama .."

Sinopsis oleh : aznanie

Kehidupan gadis bernama Norazirawati penuh dengan rintangan. Menumpang kasih ibu dan bapa saudara setelah kematian ibu bapanya bukanlah sesuatu yang diingininya. Tetapi apakan daya, mengenangkan dirinya yang masih belum mempunyai pekerjaan sedangkan dirinya memiliki segulung ijazah. Di tambah dengan usianya sudah menjangkau 27 tahun pasti menjadi kata umpat penduduk kampung. Dirinya dituduh memilih pekerjaan namun hakikatnya tidak begitu. Puas dikerah tenaganya. Serata pelusuk pekan itu di teroka demi mencari pekerjaan namun pekan tempat tinggalnya itu terlalu kecil dan membataskan peluang pekerjaan yang diingininya. Akhirnya dia hanya mampu berserah.

Pak Longnya, Sulaiman bukanlah dari kalangan orang yang senang. Semenjak perniagaannya semakin merosot dia semakin tidak keruan mengenangkan banyak tanggungan yang perlu ditanggungnya. Dalam tak sedar dia menganggap Norazirawati sebagai orang asing dalam keluarganya sedangnya Norazirawati adalah anak kepada adik kandungnya, Mustafa. Dia lupa pada janjinya untuk menjaga Norazirawati setelah kematian adiknya itu. Bersama ketidaksengajaann dia telah menghalau Norazirawati secara tertib.

Norazirawati yang terasa akan perbuatan Pak Longnya, hanya mampu menurut sahaja. Apakan daya dirinya untuk melawan. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur. Tinggal bersama sepupunya, Zahira. Zahira merupakan anak sulung kepada Sulaiman. Pada mulanya dia menolak untuk tinggal di situ tetapi setelah dipujuk oleh Zahira, akhirnya dia akur. Mentelah dirinya tiada tempat lain untuk dituju.

Setelah 3 bulan, Norazirawati masih belum berjaya mendapat sebarang pekerjaan lagi. Hatinya walang mengenangkan nasib diri. Kepulangan Zahira membawa berita yang tidak disangkanya. Tuan rumah sewanya itu tidak mahu menyewakan lagi rumah itu kepada mereka. Zahira akan berkahwin dan akan mengikut suaminya. Norazirawati berasa dirinya teraniya. Dia menyangkakan yang Zahira berpakat dengan tuan rumah sewanya untuk mengenakannya.

Dengan perasaan marah, Norazirawati bertekad meninggalkan rumah itu. Namun setelah meninggalkan rumah barulah dia tersedar tiada tempat lain yang hendak ditujunya. Dia buntu. Di puduraya, sedang dia berfikir tempat untuk bermalam, tiba-tiba dia disapa oleh teman satu universitinya dulu, Ros. Tetapi malangnya, Ros tidak dapat memberikan tempat tinggal kepadanya kerana dia tinggal di Ipoh. Malam itu Ros mengajaknya tinggal di hotel tempat dia menginap dan berjanji akan mencarikan rumah sewa keesokan harinya.

Dengan bantuan Ros, Norazirawati menyewa bilik di sebuah apartmen. Dan Ros juga menasihatkannya supaya jangan memilih pekerjaan. Kerja aje apa yang ada dulu, dah ada duit esok-esok baru cari peluang pekerjaan yang lain, yang setaraf dengan kelulusan yang dimiliki. Dan Norazirawati mengikut nasihat Ros itu. Kini dia bekerja di sebuah restoran sebagai pelayan.

Di restoran itulah dirinya bertemu dengan Amir. Seorang lelaki handsome yang berjaya menambat hatinya. Amir juga mempunyai perasaan terhadapnya. Setelah Amir memberanikan diri berterus terang tentang perasaannya, dengan senang hati Norazirawati menerimanya.

Suatu malam, Norazirawati ternampak kawan serumahnya membawa seorang lelaki ke dalam bilik. Dia menyaksikan mereka berdua melakukan maksiat di dalam rumah itu. Dia di ugut oleh kawannya, Rozi supaya merahsiakan perkara itu. Norazirawati bertindak keluar dari rumah tersebut dan meminta bantuan Amir. Amir meminta bantuan Imah, seorang guru yang kebetulan sedang mencari teman serumah.

Amir berkerja sebagai pengurus pemasaran di Intelligence College. Pengurus besarnya adalah seorang lelaki muda yang berjaya iaitu Hairie. Amir membawa Norazirawati berjumpa dengan Hairie untuk mengisi jawatan kosong di Intelligence College. Tanpa pengetahuan Amir, sebenarnya Hairie adalah bekas tunangan Norazirawati sewaktu waktu dahulu. Pertunangan mereka dulu putus kerana Hairie dulunya penagih dadah dan pemabuk. Pernah Hairie membelasah ayah Norazirawati kerana ayahnya membuang pil ectasy miliknya. Norazirawati tidak dapat menerima perbuatan Hairie itu dan bertindak memutuskan hubungan mereka. Hairie yang masih sayangkan Norazirawati bertindak mencari gadis itu namun tidak berjumpanya.

Pertemuan itu bagai satu mimpi ngeri buat Norazirawati. Dia belum bersedia untuk berjumpa dengan Hairie. Mentelah di ketahuinya yang Hairie masih menyayanginya dan masih setia menantinya. Sedangkan dirinya mencintai Amir.

Norazirawati menolak untuk bekerja di Intelligence College dan membuatkan Amir berang dengan tindakannya itu. Mereka bertengkar dan sebulan mereka tidak berjumpa. Bila Amir hadir kembali dan memujuknya, akhirnya Norazirawati bersetuju memaafkan Amir.

Pak Longnya, Sulaiman memberitahunya yang keluarga Hairie datang meminangnya. Dan mengingatkan dirinya tentang wasiat arwah ayahnya yang mahukan dirinya berkahwin dengan Hairie. Norazirawati serba salah. Antara cintanya pada Amir atau wasiat arwah ayahnya.

Setelah berfikir panjang, akhirnya Norazirawati membuat keputusan untuk memberitahu akan hubungan cintanya antaranya dengan Amir kepada Hairie. Tetapi sebelum sempat dia berbicara, Norazirawati terpandang Amir sedang berjalan bersama seorang perempuan cantik. Dia terus mengekori dan melihat aksi mesra mereka berdua. Norazirawati akhirnya menerima lamaran Hairie setelah merasakan yang Amir hanya mempermainkannya.

Tinggal 2 hari sahaja lagi, mereka berdua akan disatukan. Tiba-tiba perempuan yang dilihat bersama Amir itu datang berjumpa dengan Norazirawati dan menerangkan kedudukan yang sebenarnya. Sebenarnya perempuan itu adalah adik kandung Amir yang menetap di Singapura. Norazirawati berasa bersalah pada Amir.

Norazirawati memberanikan diri berterus terang pada Hairie tentang hubungannya dengan Amir. Hairie yang pada mulanya terkejut akhirnya merelakan Norazirawati, gadis yang disayanginya sepenuh hati itu pergi kepada Amir. Dia sanggup melepaskan gadisnya itu pergi untuk berbahagia bersama orang yang dicintai Norazirawati. Bertapa tulusnya hatinya Hairie, detik hati Norazirawati.

Amir yang mendapat tahu tentang berita perkahwinan Norazirawati bersama Hairie berasa dipermainkan oleh Norazirawati. Dia yang kecewa meminta Jeslina, setiausahanya menemaninya malam itu di rumahnya. Dan di saat Norazirawati sampai di rumah Amir, dia melihat Amir sedang berdua-duaan dengan Jeslina dalam keadaan yang romantik sekali. Hatinya hancur. Fahamlah dia kini, hanya Hairie yang terbaik untuk dirinya.

Kini dia yakin. Hairie adalah pilihan yang terbaik untuk dirinya. Hairie yang setia, yang sanggup menunggunya sekian lama, yang sanggup melepaskan dirinya untuk melihat dia bahagia. Lelaki ini memang di takdirkan untuk dirinya. Dia yakin ... seyakin-yakinnya. Akhirnya mereka di satukan dan hidup bahagia selamanya.

Penulis   : Azlini Hassan
Terbitan : Creative Enterprise Sdn.Bhd
Point      : 4/5

* Jalan ceritanya ringkas .. mudah di fahami .. sian si Norazirawati ni .. susah dapat kerja .. kena halau dengan pak long dia .. pastu kena halau dengan tuan rumah sewa pulak .. lepas tu kena ugut bunuh .. pastu kena cederakan, nyaris kena rogol dengan pembunuh upahan yang di hantar oleh Rozi .. nasib baik Rosli datang tepat pada masanya .. pastu Amir pulak buat hal .. ego sangat .. tak nak pujuk lepas diaorang gaduh .. tapi sayang sangat kononnya .. tapi kecewa sikit dah cari perempuan lain ... apa daa .. tapi Hairie tu .. wah .. cam best jek  .. cool .. loving .. baik .. sanggup lepaskan gadis yang dicintai semata-mata nak tengok si Norazirawati ni bahagia .. huhu .. apa pun novel ni best ... buleh layan sesangat ...    

No comments:

Post a Comment