Pages

Friday, May 12, 2006

Kisah anakku dan aku - Part II


Sambungan dari Part I

Kami sampai di HSA Johor Bahru pada pukul 12.00 tengah malam. Setelah mendaftar, anakku dibawa ke Bangunan Bunga Raya yang menempatkan pesakit kanak-kanak. Anakku dimasukkan ke wad Bunga Raya 2 atau dikenali dengan nama BR2 yang terletak di aras 1 bangunan itu.

Oleh kerana sudah malam, sementelah itu esok hari minggu, tiada doktor pakar yang bertugas, jadi yang ada hanya lah doktor on-call sahaja.

Jadi, doktor itulah yang datang melihat anakku. Dan malam itu juga, anakku menjalani 'Ultrasounds' iaitu satu kaedah untuk melihat organ dalaman tubuh. Darah anakku juga diambil untuk pemeriksaan.

Selepas doktor selesai membuat Ultrasounds tersebut, beliau telah memaklumkan bahawa terdapat satu ketulan besar yang dikenali sebagai ketumbuhan telah menutupi pundi kencing dari dimasuki oleh air kencing. Jadi air kencing tidak dapat keluar dan hanya berlegar di buah pinggang. Dan akibatnya buah pinggang di sebelah kanan anakku telah membengkak. Dan darah telah menjadi kotor kerana air kencing telah bercampur dalam darah. Ketumbuhan itu juga telah menekan urat saraf bahagian kaki yang menyebabkan anakku kesakitan.

Aku dan suamiku berasa terkejut dengan perkhabaran itu. Perasaan takut menghantui diri. Macam mana nasib anakku? Dapatkah dia diselamatkan? Aku tak tahu. Aku menangis lagi. Suamiku memujuk ku. Dan meminta aku bertawakal sahaja kepada Yang Esa.

Memandangkan keesokannya adalah hari minggu, maka doktor hanya memantau sahaja keadaan anakku.

Pada 05.06.2004, seorang Doktor Pakar yang bernama Doktor Susan telah membuat keputusan untuk membuat 'Hemodialisis' iaitu satu proses mencuci darah ke atas anakku kerana 'Urea' yang terdapat di dalam darah anakku terlalu tinggi yang boleh mengakibatkan keracunan dalam darah.

Doktor telah membuat satu line di urat besar iaitu di leher anak aku untuk membolehkan darah keluar masuk. Anakku dimasukkan ke HDU iaitu wad untuk pesakit kritikal. Di situlah anakku menjalani rawatan 'Hemodialisis' selama 4 hari berturut-turut selama 3 Jam. Ngeri aku melihat darah yang mengalir memasuki mesin untuk dicuci dan darah yang telah dicuci mengalir kembali ke dalam badan. Dan mesin itu akan berbunyi sekiranya anakku bergerak-gerak. Petugas di situ menyuruh anakku tidak bergerak tetapi tempoh 3 jam itu terlalu lama bagi budak sekecil anakku. Tentulah dia merasa lenguh apabila hanya berpaling ke satu arah sahaja. Dan bagi menenangkannya aku memegang tangannya dan bercerita.

Semenjak anakku di masukkan kedalam hospital, aku tidak pernah berenggang dari sisi anakku. Aku tidak memperdulikan makan atau minum ku. Yang penting bagiku adalah anakku. Sayu betul hatiku melihat keadaannya. Masih terbayang-bayang bertapa aktifnya dia dahulu. Berlari-lari bersama sepupunya. Berbasikal tanpa mengenal erti penat. Kini, hanya terlantar tidak bermaya. Menitis air mataku melihat dia.

Setelah selesai menjalani rawatan 'hemodialisis', doktor telah membuat keputusan untuk membedah anakku untuk membuang ketulan besar yang terdapat di bawah usus anakku itu. Setelah beberapa kali tertangguh, pada 20.06.2004, pukul2.00 petang anakku selamat memasuki dewan bedah.

Bertapa berdebar-debarnya aku, mengiringi anakku memasuki dewan bedah. Setelah anakku diberi ubat tidur, barulah aku keluar dari situ. Terasa perasaanku melayang-layang. Tempoh yang diberikan doktor selama 6 jam waktu pembedahan terasa terlalu lama. Mujurlah suamiku sentiasa di sampingku. Memberi kata-kata semangat walaupun hatinya juga tidak keruan. Perjalanan waktu begitu menyesakkan dadaku. Debaran di dada membuatkan aku kurang selesa. Setiap kali melihat pintu dewan bedah itu terbuka, aku pasti menjengukkan kepalaku. Manalah tahu kalau-kalau anakku sudah keluar.

Tepat pukul 8.00 malam, barulah anakku keluar dari dewan bedah. Tetapi aku lihat, anakku tidak seperti orang yang baru dibedah. Dia tidak tidur pun. Malah boleh memanggil aku lagi. Aku kaget. Tapi tak ada doktor di situ, bagi membolehkan aku bertanya.

Anakku dimasukkan kembali ke HDU. Bila aku mengangkat selimut yang menutupi anakku, memang terdapat kesan belahan di pundi kencing anakku tetapi aku tak pasti apa yang dibuat oleh doktor.

Pada keesokkan harinya, barulah aku diberitahu oleh doktor bahawa ketumbuhan itu tidak dapat dibuang kerana ia terlalu besar dan agak berisiko. Mereka hanya mengambil sedikit daripada ketumbuhan tersebut untuk dibuat kajian dan memasang 'J-Stand', sejenis tiub silikon dari buah pinggang ke pundi kencing, bagi membolehkan air kencing memasuki pundi kencing.

Setelah mendapat keputusan kajian makmal, doktor telah mengenal pasti bahawa ketumbuhan tersebut adalah sejenis barah yang tidak diketahui puncanya. Doktor menamakannya 'Embryonal Rhabdomyosarcoma' atau nama ringkasnya 'RMS'.

Aku menangis lagi. Tak tertahan aku melihat wajah anakku. Sayu dan pilu bila menatapnya. Semua kawan-kawanku yang berada disitu (yang kesemuanya adalah ibu pesakit yang dirawat disitu) memberi kata-kata semangat untukku. Menyuruh ku bersabar dan memohon kepada ALLAH agar diselamatkan anakku.

Doktor telah menyarankan agar anakku dipindahkan ke HKL bagi mendapatkan rawatan 'Kemoterapi' iaitu sejenis rawatan yang memasukkan sejenis radiasi ke dalam tubuh pesakit kanser untuk membunuh sel-sel dalam badan.


Tetapi malangnya ketika itu tiada kekosongan katil di HKL, jadi anakku terpaksa menunggu sehingga ada kekosongan.

Dan pada tarikh 25.06.2004 anakku selamat dihantar ke HKL. Bersambung .....

No comments:

Post a Comment