Pages

Friday, May 12, 2006

Kisah anakku dan aku - Part I

Aku masih ingat tarikh ini. Tanggal 02.06.2004 bila aku melihat ada benjolan besar di bahagian pundi kencing anak ku yang ketika itu berumur 3 tahun lebih. Seminggu sebelum itu dia merenggek mengadu sakit kaki hingga menyukarkannya berjalan. Aku membawanya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor di Klinik Rawatan Harian itu menyatakan bahawa anak ku tidak sakit apa-apa. Jadi doktor hanya memberikan ubat untuk dimakan sahaja.

Anak ku terus merengek. Makan pun dah tak selera. Minum pun sama gak. Jadi, aku membawanya berurut pula. Beberapa tempat aku pergi tetapi, anak ku masih macam tu jugak. Sehingga badannya lemah kerana kurang makan dan minum.

Sehinggalah pada petang Jumaat itu, setelah aku menemui benjolan itu, suamiku membawanya ke Pusat kesihatan Desa yang terletak berdekatan dengan rumahku. Apabila melihat keadaan anakku yang lemah itu, doktor mengarahkan nurse memasukkan air ke dalam badannya. Dan di bawa ke Hospital Daerah.

Sesampai di hospital, anak aku terus di bawa ke wad kecemasan. Setelah diperiksa, doktor memberitahu bahawa hanya pundi kencing sahaja yang tersumbat. Aku berasa lega. Baru aku perasan yang anak aku memang kurang kencing semenjak dia mengadu sakit.

Jadi, petugas di situ cuba memasukkan sejenis tiub ke dalam pundi kencing anakku melalui zakarnya. Anakku terjerit dan meronta-ronta. Tetapi setelah tiub tersebut dimasukkan tiada juga air kencing yang keluar. Petugas yang pada mulanya kelihatan tenang mulai menggelabah.

Sekali lagi doktor dipanggil untuk melihat keadaan anakku. Dan doktor tersebut menyarankan agar anakku di masukkan ke dalam wad untuk pemeriksaan lanjut. Aku mulai keresahan. Seperti ada yang tak kena apabila doktor berkata begitu. Hati kecil ku tertanya-tanya adakah serius penyakit anakku ini.

Apabila suami ku sampai, aku terus menceritakan keadaan anakku. Suami ku juga kelihatan resah dan kebingungan.

Kasihan aku melihat keadaan anakku ketika itu. Dengan tiub air di tangannya serta tiub kencing yang dikenali sebagai 'CBD'. Semalaman aku tidak dapat tidur. Anakku asyik merengek saja. Tak biasa tidur di hospital. Asyik tersedar saja.

Pada keesokkan harinya, doktor mengarahkan anakku menjalani X-ray untuk mengetahui punca penyakit anakku itu. Tetapi malangnya, gambar yang diperolehi tidak dapat memberikan gambaran sebenar. Doktor mengesyaki yang anakku berpenyakit yang berkaitan dengan buah pinggang. Hampir terduduk aku mendengarnya. Lemah segala urat saraf. Seakan tidak percaya. Tetapi doktor memberitahuku yang itu hanyalah andaiannya sahaja.

Dan untuk mendapatkan kepastian, anakku di pindahkan ke HSA Johor Bahru pada hari itu juga iaitu pada tanggal 03.06.2004. Sepanjang perjalanan ke sana dengan menaiki ambulan, aku menangis mengenangkan nasib anakku. Anak ku yang berada di atas pangkuanku hanya memandang tanpa reaksi. Apakah dosa anakku sehingga dia menerima nasib yang sebegini? Ataukah itu adakah kerana dosa ku? Bersambung ......

No comments:

Post a Comment